Showing posts with label rasuah. Show all posts
Showing posts with label rasuah. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

Bekas Pengarah Perikanan Beas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengarah Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar, 58, menerima ‘hadiah hari jadi’ paling bermakna dalam hidupnya apabila kekal bebas tuduhan berhubung rasuah dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah pihak pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tuduhan rayuan berkaitan.

Abdullah ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa bersyukur bebas daripada tuduhan rasuah berkaitan dan menganggapnya sebagai hadiah hari jadinya yang jatuh pada 31 Disember hadapan juga merupakan tarikh persaraannya.

“Keputusan ini amat bermakna kerana terbukti saya tidak melakukan kesalahan terbabit sekali gus membersihkan semula nama yang dikaitkan dengan kes tersebut sejak dua tahun lalu dan kini saya betuk-betul bebas,” katanya.

Hakim Azman Abdullah membebaskan Abdullah berdasarkan notis menarik balik rayuan yang dikemukakan oleh SPRM pada 21 Jun lalu iaitu pada tarikh dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan yang sama.

Peguam belanya, Datuk Shukri Mohamed berkata, tuduhan rayuan tersebut sepatutnya didengar pada kelmarin, namun pihaknya ada menerima “Notis Menarik Balik Rayuan’’ bertarikh 13 Disember 2010 yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

“Sebelum kes rayuan tersebut didengar hari ini (semalam), SPRM telah menghantar notis menarik balik rayuan berkaitan dan hari ini (semalam) ia didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Abdullah telah bebas daripada pertuduhan rayuan tersebut dan dianggap semuanya telah selesai,’’ katanya.

Berdasarkan kepada pertuduhan sebelum ini, Abdullah yang kini ditukarkan ke Putrajaya dituduh bersama Muhammad Fadzil Md. Sulong, 53, di Jabatan Perikanan negeri pada Ogos 2006, mengemukakan satu Pesanan Kerajaan sebanyak RM13,000.15 kepada pegawai tadbir jabatan itu, Marini Mohamed.

Tuntutan palsu itu didakwa bertujuan memperakui pakej bagi kerja mencuci dan memasukkan air ke dalam kanvas serta makan minum satu gotong-royong di Pejabat Perikanan Machang oleh sebuah syarikat yang telah selesai dilakukan.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Saturday, November 13, 2010

AHMAD YAACOB JENIS MELAYU CEPAT LUPA?

Daripada Kelantan Untuk BN (Tajuk Asal - Mat Yaacob bohong, Kelantan tidak bersih dari rasuah)

Harakah Daily melaporkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob mendabik dada tidak ada pegawai kerajaan yang didapati terbabit dengan kesalahan rasuah sejak PAS menerajui Kelantan daripada Oktober 1990 sehingga sekarang. Baca laporan sepenuhnya sini.

Blog Pejuang Maya sini mendedahkan kes-kes melibatkan dua personaliti besar dalamn kerajaan untuk menyangkal pengakuan Timbalan Menteri besar Kelantan tersebut. Ini sudah cukup membuktikan kenyataan beliau adalah satu pembohongan dan hanya usaha untuk menutup malu kerajaan PAS Kelantan yang kalah di Galas kerana kesalahan rasuah Nik Aziz.

Kes pertama melibatkan penyelewengan oleh Datuk Shkori Mohammad (gambar kanan) yang dituduh melakukan kesalahan penipuan invois untuk bertajuk "Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina" bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol seluas 7,656 kaki persegi dan bernilai RM 267,960.00.

Invois tersebut bernombor 1302 dan bertarikh 3 Disember 2008. Ketika dokumen tuntutan diserahkan kepada beliau di pejabat Perbendaharaan Negeri pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan. Mereka membuat invois "claim" (tuntutan) atas projek yang langsung tidak wujud.

Rakan subahat Datuk Shokri Mohammad, Encik Yusri Che Noh mengemukakan Invois atas nama Construction & Trading kepadanya sebagai Pegawai Kewangan Negeri pada 3 Mac 2009.

Dalam invois tersebut, ia mengandungi butiran palsu mengenai bekalan dan kerja-kerja tar tempat letak kereta Istana Negeri seluas 2,436 meter persegi pada harga RM27.00 semeter persegi membabitkan tuntutan RM 65,772.00

Datuk Shokri Mohammad telah didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim telah membenarkan beliau diikat jamin dengan sebanyak RM20,000 oleh seorang penjamin. Bila sebut dijamin, maka kes terhadap Datok Shokri agak kuat hingga memerlukan jaminan.

Datok Shokri Mohammad juga dikatakan mempergunakan nama Raja Perempuan Kelantan untuk menghalalkan perbuatan salahguna kausa dalam satu kes lain. Beliau pernah meluluskan sekeping tanah tanpa merujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan. Ini berlaku semasa beliau menjawat sebagai Ketua Jajahan Gua Musang.

Beliau dan Ho Tin Tik mempergunakan tanah kepunyaan Wan Taib seluas 2.6 hektar untuk menceroboh tanah kepunyaan Yayasan Kraftangan yang mengandungi tanah putih yang berkualiti tinggi. Tanah itu dikorek dan dilonggokkan di atas tanah Wan Taib supaya seolah-olah tanah Wan Taib yang mengeluarkan tanah putih tersebut.

Beliau dan Ho Tin Tik melalui Ceramic Material Supplies (CMS) telah menipu Yayasan Kraftangan dengan mengistiharkan feldspar ini adalah hasil daripada tanah Wan Taib yang seluas 2.6 hektar. Jumlah yang dibayar kepada Yayasan Kraftangan adalah sedikit jika dibandingkan dengan pengeluaran sebenarnya.

Yayasan adalah di bawah naungan Raja Perempuan Negeri Kelantan. Oleh kerana kekebalan yang diperolehi oleh "Tengku" Hoe Tin Tik melalui pengaruh Dato’ Shkori bin Mohamed, CMS dengan beraninya menceroboh tanah simpanan Perhilitan untuk pemeliharaan rusa.

Perkara ini ada dilaporkan dalam New Straits Times, November 17, 2008, Prime New ms 15. Petikan NST yang dilampirkan di atas patut memulihkan kembali ingatan Timbalan Menteri Besar yang serupa pelupa dan nyanyuk macam Nik Aziz.

Dato Ahmad Yaacob tidak perlu ingat jauh untuk mengingatkan kembali dalam kurang dari setahun lepas bahawa Nik Aziz pernah terlibat dalam rasuah dan sepatutnya beliau didakwa kerana:

(i) Menerima rasuah untuk meminta tajaan Haji untuk diri dan keluarganya daripada seorang lelaki bernama Nudin Bin Awang yang ada kepentingan dengan kerajaan negeri; dan
(ii) Melanggar Akta SPRM bila melantik menantunya Abdul Ariffahmi bin Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.


Kedua-dua pertuduhan ini sepatutnya sudah cukup untuk Nik Aziz merengkok dalam penjara. Namun apakan daya, beliau begitu berpengaruh di Kelantan hingga maklumat dan bukti yang dikumpul oleh SPRM Kelantan bocor kepada seoorang ahli Parlimen PAS dari Kelantan.

Ahli Parlimen tersebut dinasihatkan oleh seorang Pegawai Tinggi SPRM Kelantan supaya menasihatkan Tuan Guru untuk memadamkan segera segala bahan-bahan bukti bagi menyelamatkan Tuan Guru Nik Aziz. Perkara ini dan dokumen berkenaan telah didedahkan di blog Suara Rakyat di sini.

Kes terhadap Nik Aziz belum lagi ada kesudahan. Tiada berita Nik Aziz dihadapkan ke mahkamah. SPRM Kelantan hanya membuka profail terhadap kes tersebut dan bukannya kertas siasatan. Tanpa ada kertas siasatan dibuka, tiadalah sebarang kes terhadap Nik Aziz.

Pengarah SPRM Kelantan, Mohd Jaafar Bin Hussin telah ditukar kerana enggan menyiasat kes Nik Aziz. Namun demikian, kes masih tidak disiasat dan ini menunjukkan ada pegawai-pegawai SPRM Kelantan yang tidak bebas dari kecenderongan politik dan adalah pro-PAS.

Usahlah Ahmad Yaacob cuba berbohong yang kononnya PAS Kelantan bersih dari salahlaku rasuah. Rasuah banyak berlaku di Kelantan dan seringkali di "kowtim" dengan baik oleh puak berserban serta berkopiah ini.Rakyat janganlah mudah percaya sangat akan setiap laporan dan ucapan yang mereka berikan, kerana Islam bagi mereka hanyalah "alat" untuk kepentingan politik sempit mereka.

Pendek kata, PAS hanyalah sebuah parti politik bukannya sebuah sunnah yang perlu kita ikut dan patuhi. Kelantan diterajui oleh manusia biasa, bukannya "tuhan", yang kadangkala mesti ada melakukan kesilapan.

Thursday, November 4, 2010

GALAS - TEPUK DADA TANYA SELERA

Daripada hambali1

Pada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 80 peratus jumlah pengundi akan keluar membuang undi pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang berlangsung hari ini, PAS menjadi perhatian utama kerana isu-isu rasuah, merampas tanah orang Asli dan fitnah terhadap Tengku Razaleigh Hamzah.

DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Amat jelas isu utama di DUN Galas bukan isu calon Barisan Nasional (BN) yang hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ab Aziz Yusof, sebaliknya calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, mencuri tumpuan bukan kerana dia seorang doktor yang obes tetapi kerana isu sama ada benar atau tidak beliau pernah ditangkap khalwat.

Malang sedikit kerana pilihan raya Dr Zulkefli terpaksa menghadapi tuduhan peribadi sedemikian. Ia sesuatu yang akan menjadi ‘sejarah hitam’ dalam hidupnya. Kalaupun beliau menang, beliau akan menghadapi rakyat dengan persoalan dirinya yang ‘seribu pertanyaan’ sepanjang beliau berkhidmat untuk rakyat.

Mampukah Dr Zulkefli dan keluarga berdepan dengan kedudukan ini.

Mengenai isu rasuah oleh PAS yang mendominasi kempen dan ‘kemeriahan’ pilihan raya kecil kali ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan, wang yang diberikan oleh siapapun kepada pengundi yang boleh mengubah undi mereka, dianggap rasuah mengikut Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954, biarpun PAS mendakwa ia adalah zakat..

Yang nyata, di mata undang-undang ia adalah rasuah dan SPR sudah memaklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.

"Mereka telah melihat video, dan mereka mungkin mengambil inisiatif untuk menyiasat kes ini," katanya dalam satu sidang akhbar di Gua Musang semalam.

Di pihak PAS, mereka cuba menegakkan benang basah apabila Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata beliau diberitahu ia adalah wang zakat. “Tok Guru mengislamkan tiga Orang Asli ini dan bagi wang zakat. Takkan zakat ini rasuah?" katanya dalam sidang media di markas jentera PAS di Gua Musang semalam.

Menurutnya SPR perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut. “Jangan kalau Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ada beri duit sikit, dianggap rasuah, jangan rakyat tengok SPR ini memihak. Ini zakat bukan rasuah. Utusan (Utusan Malaysia) itu suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.”

Beliau menafikan laporan Utusan Malaysia dan membuat penjelasan itu selepas menyemak dengan setiausaha politik Menteri Besar Kelentan untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung isu itu.

Persoalannya, apakah tindakan SPRM selepas ini?

Juga apa tindakan calon, pendudk Galas atau parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu mengenai perkara ini, termasuki melaporkan kes tersebut supaya SPRM boleh mengambil tindakan.

Sejauh ini Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Umno tidak akan masuk campur sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada mereka yang menerima wang daripada Menteri Besar Kelantan untuk melaporkannya kepada SPRM.

Katanya, tindakan Nik Aziz memberikan wang sumbangan secara terbuka kepada mualaf Orang Asli pada majlis mesra rakyat di Pos Sandrop, Gua Musang semalam bercanggah dengan apa yang dilakukan PAS sebelum ini.

"Biarlah dilaporkan oleh penerima itu sendiri, kita tidak mahu campur tangan urusan SPRM dan kita yakin SPRM mempunyai bukti dan fakta yang cukup,” katanya.

Selain isu rasuah, isu PAS merampas tanah Orang Asli juga menjadi tumpuan umum apabila dikatakan ada kepemimpinan PAS bertambah rakus merampas tanah rakyat, membabitkan keluasan lebih 30,000 hektar di Hulu Kelantan sejak memerintah 20 tahun lalu.

Mengikut apa yang dilaporkan sudah berpuluh syarikat luar Kelantan diberi kelulusan membangunkan tanah terbabit dan ada banyak lagi menunggu masa untuk berbuat demikian. Kebanyakan tanah yang dirampas itu sudah diusahakan rakyat dengan pelbagai tanaman, termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa membayar sebarang pampasan.

Ini bertentangan dengan janji Nik Aziz ketika mula menerajui Kelantan selepas pilihan raya umum 1990, akan selesai semua hak milik namun lain pula yang berlaku apabila tanah berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada syarikat luar.

Hakikatnya, isu rampas tanah memberi tekanan hebat kepada pengundi dan menjadi antara punca pengundi menolak PAS kerana bimbang lebih banyak tanah penduduk dirampas selepas ini.

Lagipun, kebanyakan penduduk yang bergantung kepada punca hasil tanaman hilang pendapatan kerana tanah mereka dirampas tanpa terlebih dulu mendengar rayuan penduduk. Ironinya, kebanyakan tanah sudah dibayar deposit untuk geran hak milik, namun kerajaan negeri tidak memprosesnya disebabkan lebih mengutamakan syarikat luar dengan menyediakan pajakan selama 99 tahun.

Masalah utama menghimpit penduduk Orang Asli bukan saja masalah pemilikan tanah tetapi juga dihimpit hakisan ekoran kegiatan pembukaan tanah syarikat perladangan tetapi air tadahan bukit turut tercemar. “Ini bukan cerita dongeng, malah perkara benar berlaku di merata tempat di kawasan ini menyebabkan pengundi DUN Galas sudah merasa bosan dengan janji pemimpin PAS yang dilihat tidak mengotakan apa yang dijanjikan berkaitan dengan isu tanah,” kata Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah. Beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh.

Berikutan itu PAS berusaha melarikan atau menggelapkan isu ini dengan janji akan memberikan hak milik tanah kepada Orang Asli, termasuk melalui Sijil penempatan berkelompok.

Ia dianggap sebagai usaha terakhir buat PAS untuk memancing undi!

Menurut sebuah blog, “Selama ini apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri?

Pelbagai usaha dan rayuan dibuat oleh orang asal dan peneroka namun mereka hampa dan amat sedih kerana langsung tidak dipandang oleh kerajaan negeri.

Dijanjikan habuan tanah buat mereka yang mengundi PAS pada PRU12.Rasuah sebegini dilakukan secara besar besara.Namun janji hanya tinggal janji,pembohongan dan tidak menepati janji itulah yangberlaku selama beberapa tahun dibawah pemerintahan PAS.”

Juga menjadi isu utama ialah beberapa fitnah yang dilemparkan PAS termasuk terhadap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyebut beliau mengkhianati Orang Asli di negeri ini. Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Fitnah itu ialah beliau melarikan fail mengandungi permohonan tanah golongan itu semasa membawa Semangat 46 keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan menyertai UMNO.

Malah fail yang dikatakan itu juga sebenarnya tidak wujud. Katanya, walaupun jentera PAS dilihat mula menyerang peribadinya, beliau tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang.

"Jika PAS nak serang (peribadi) itu mereka punya hal...dia tanggunglah (dosa)...kita hanya akan tetap menerangkan mengenai dasar kerajaan dan apa yang akan kita lakukan untuk kebajikan rakyat,” jelasnya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob terpaksa membuat kenyataan bagi meredakan isu fitnah itu apabila mengatakan "Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya.

Amat jelas kini PAS sudah diasak hingga ke sudut dan persoalan-persoalan utama yang ditimbulkan BN ini mampu menyedarkan penduduk di kawasan itu, termasuk Orang Asli bahawa tiada pihak yang lain, selain BN mampu membela nasib mereka.

Jika mereka terus menyerahkan nasib kepada PAS, bukan sahaja generasi sekarang akan terus teranianya tetapi generasi akan datang lebih merana kerana apa yang sedang berlaku di Galas dan juga di tempat lain di Kelantan membabitkan isu-isu yang ada kaitan dengan kerajaan negeri di bawah PAS umpama ‘menang sorak kampong tergadai’.

Yang nyata seperti kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, kejadian penduduk di Galas tertipu, termasuk penubuhan Ladang Rakyat tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan PAS Kelantan benar-benar jujur dalam menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran.

Tetapi yang nyata ialah PAS sanggup memperdaya penduduk dengan pelbagai janji tanpa mengambil kira kemampuan untuk menunaikannya walaupun sedar ia jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang kononnya diamalkan parti itu.

KEPADA PENGUNDI GALAS, TEPUK DADA TANYA SELERA!

Tuesday, November 2, 2010

RASUAH – PAS HALALKAN JIKA IA HANYA SEBAGAI MEDIUM

Daripada hambali1

Nak heran apa Tok Pa Oiii...Rasuah dalam PAS dan PAS rasuah sudah lama.

Bagi PAS, rasuah itu hanya berlaku jika pemberi itu parti atau orang PAS. Kalau orang tengah, penaja atau NGO yang berikan bagi pihak PAS, itu tidak rasuah. Kerana apa? PAS hanya jadi medium atau perantara.

Hebat dan tabik kepada cara dan fatwa PAS ini!

Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed – Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan) semacam terpinga-pinga mengetahui PAS secara terang-terangan cuba membeli undi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas agar pulang mengundi pada 4 November ini .

Pas tawar habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar yang berdaftar dan kembali mengundi di Galas Khamis ini.


"Ini adalah terang-terangngan satu rasuah untuk mendapat undi, kalau dulunya mereka menghentam kita bermacam-macam (tuduhan), tapi sekarang mereka yang mengamalkannya.

"Mereka sudah banyak berubah, mereka adalah sebuah parti yang tidak konsisten, jadi rakyat Kelantan amat mengenali PAS," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Baru Hulu di Gua Musang semalam.

Tok Pa bekata, PAS merupakan parti yang tidak konsisten dalam perjuangannya kerana kini parti itu secara terang-terangan mengamalkan rasuah.

PAS bukan mengamalkan rasuah dalam bentuk wang sahaja. Ia juga menawarkan syurga kepada orang tua.

PAS tidak akan boleh diubah. Lihatlah, walaupun menerima kecaman pelbagai pihak, PAS tetap mahu menawarkan habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar agar pulang mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menegaskan PAS hanya menjadi 'orang tengah' bagi menguruskan pemberian habuan berkenaan.

Jelasnya, peruntukan sumber kewangan yang akan diberikan itu adalah hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)sebagai insentif galakkan supaya pengundi luar pulang mengundi.

"Bukan PAS yang bagi wang itu sebaliknya disumbangkan NGO tertentu yang tak boleh saya nyatakan. Kita akan bagi juga kerana pemberian habuan berkenaan tidak menggunakan wang tabung atau dana parti PAS secara langsung...PAS hanya jadi medium untuk salurkan wang itu sahaja," katanya ketika
dihubungi mStar Online malam semalam.

Selain itu Abdul Halim berkata, pemberian wang berkenaan hanya akan dilakukan selepas pengundi-pengundi berkenaan selesai membuang undi.

"Kita hanya bayar selepas mereka selesai mengundi, tindakan itu bukan bermakna kita beli undi kerana kita sendiri pun tak tahu parti mana yang mereka pangkah (undi).

Mungkin kalau kita beri wang itu sebelum mengundi boleh disifatkan sebagai kesalahan, tapi apa yang akan kita lakukan adalah sebaliknya...lagipun wang itu hanya pembayaran kepada servis kenderaan mereka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata habuan itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pemberian wang berkenaan boleh disifatkan sebagai pemberian sogokan bagi tujuan membeli undi.

Bagi Tok Pa, beliau menyerahkan kepada pihak bekuasa termasuk Suruhanjaya Pecegahan Rasuan Malaysia (SPRM) untuk bertindak. Ini kerana di pihak BN kata Mustapa: "Saya tak tahu (ada tawaran), tak ada tawaran apa-apa."

Itu hal duit. Bagaimana pula taktik taktik kotor diadakan semula oleh PAS yang cuba mempengaruhi pengundi warga emas di sesetengah kawasan dengan mendakwa undi PAS masuk syurga.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman kelmarin ketika pihaknya mengadakan kempen rumah ke rumah di beberapa buah kampung sejak lima hari lalu.

Ekoran itu beliau berkata, Wanita UMNO terpaksa memberi penjelasan kepada kumpulan pengundi terbabit bahawa penentuan syurga atau neraka merupakan hak Allah dan bukannya PAS.

''Saya tidak sangka yang PAS masih lagi memainkan isu pangkah Pas masuk syurga terutama di kalangan pengundi-pengundi warga emas. Kami terpaksa memberi penjelasan supaya mereka sedar kempen yang dijalankan oleh jentera Pas itu tidak benar.

Akhirnya mereka faham penentuan syurga dan neraka adalah hak Allah. Apa yang kami lakukan ini bukan setakat berkempen malah turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai perbezaan antara Islam dan PAS."

Bagi saya kedua-dua perkara ini tidak mengejutkan kalau sebut PAS. Ini kerana dalam apa juga pilihan raya, PAS akan menghalalkan apa saja cara – yang penting seperti saya ulang banyak kali – PAS hanya mahu menang pilihan raya!

Monday, November 1, 2010

SPR - TAWARAN RM200-RM250 KEPADA PENGUNDI LUAR ADALAH RASUAH

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar sudah menegaskan bahawa tindakan yang dibuat oleh PAS untuk membayar secara tunai untuk menampung perbelanjaan balik mengundi kepada 1557 orang pengundi DUN Galas yang berada di luar seperti di Selangor dan juga di Johor adalah rasuah.

Ia melanggar Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1954

Menurut Datuk Wan Ahmad walaupun jika PAS memenangi Pilihan Raya itu nanti namun mereka akan pasti berhadapan dengan tindakan pihak Barisan Nasional yang mungkin tidak berpuas hati.

BN mungkin akan mengemukakan bantahan ataupun petisyen pilihan raya dan sekira ini berlaku maka pilihan raya yang diadakan kini akan menjadi sia-sia apabila keputusan siapa yang layak menjadi wakil rakyat di DUN Galas terpaksa ditentukan oleh pihak mahkamah dan bukannya oleh rakyat atau pengundi.

Nah! PAS kalau dah kemaruk sangat nak menangpun janganlah meludah ke sebarang arah, kalau meludah ke kiri, ke kanan, ke depan, ke belakang tak apalah jua...tetapi kalau dah terludah ke atas memanglah akan jatuh ke atas muka sendiri.

Dulu kalau pihak BN yang terbuat begitu bukan main riuh lagi pihak DAP/PKR/PAS ini menyalak, tetapi bila dah sampai giliran mereka yang melakukannya gajah di depan matapun sudah tak nampak...

Saturday, October 30, 2010

PAS SOGOK WANG PADA PRK GALAS


http://gtpm-malaysia.blogspot.com/

Kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas telahpun bermula. Parti-parti yang bertanding akan mempertaruhkan strategi masing-masing. Seperti mana yang kita maklum PRK DUN Galas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dengan UMNO. Untuk rekod PAS merupakan penyandang kerusi DUN Galas sebelum ini, Adakah PAS berjaya mempertahankan kerusi ini? Jawapanya pada 4 November ini.

Parti-parti yang bertanding sudah tentu mempunyai strategi masing-masing terpulang kepada pendekatan yang digunakan parti masing-masing. Apa yang tak sedapnya, apabila pada PRK kali ini PAS dikatakan telah cuba menyogok RM500 sebagai memancing undi sepertimana yang dilaporkan oleh Gelombang Rakyat.

Sebelum ini, PAS mendakwa BN suka menyogok rakyat, kini apa pula jawapanya apabila PAS sendiri yang menyogok rakyat? Jangan pula selepas ini 'tindakan PAS' ini dihalalkan oleh Mursyidul Am Mereka. Kalau ini terjadi terbuktilah PAS mengamalkan politik "Wal Haram Mu, Wal Halal Ku".

GTPMM Crew hairan juga kenapa PAS begitu terdesak sehingga sanggup menggunakan strategi 'sogok wang' untuk memenangi PRK DUN Galas, sedangkan kalau mereka kalah sekalipun ia tidak akan menggugat Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS. Apa nak ditakutkan setakat hilang satu kerusi dan bukanya 20 mahupun 10 kerusi.

Hairan juga apa yang ditakutkan PAS sehingga sanggup 'menggadai prinsip' demi memenangi PRK DUN Galas kerana bagi GTPMM Crew sekiranya PAS tewas ia langsung tidak akan meninggalkan kesan terhadap PAS dan juga Kerajaan Negeri Kelantan.

Lagipun peluang untuk PAS memenangi PRK ini adalah cerah memandangkan calon yang diketengahkan oleh PAS lebih tinggi taraf pendidikanya berbanding calon yang dipertaruhkan BN, jadi tak perlu lah PAS menggunakan strategi yang menampakkan PAS seolah-olah terdesak.

Komen GTPMM Crew: Apa nak jadi dengan PAS sekarang ni?

Sunday, October 3, 2010

MAGISTRET MUDA DIJATUHI HUKUMAN PENJARA 6 TAHUN, DENDA RM40,000

Majistret yang dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah. Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang. - Foto Berita Harian

Seorang Majistret dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah.

Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperoleh rasuah berupa wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu. Wang suapan itu dikatakan diperoleh sebagai dorongan baginya melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan jenayah yang dilakukan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, pada 6 Oktober tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, dan Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Shukri Mohammed.

Bagi tuduhan pertama Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000, dan jika tidak dibayar denda, beliau boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua beliau dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM25,000, dan jika denda tidak dibayar beliau boleh dihukum penjara 18 bulan.

Hakim Sabariah Othman mengarahkan agar perintah penjara ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan.

Hukuman denda pula ditangguh tiga bulan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Monday, August 16, 2010

BEKAS PEGAWAI KEWANGAN KELANTAN BEBAS TUDUHAN

Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam membebas dan melepaskan bekas Pegawai Kewangan Kelantan Shkori Mohamed atas tuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu membabitkan projek Istana bernilai RM267,960.

Hakim Zainal L. Salleh ketika membacakan penghakimannya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi dan pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Shkori, 57.

"Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, saya mendapati tiada keterangan jelas yang membuktikan sabitan bersubahat dan dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.

Selepas keputusan itu, Shkori dilihat mengalirkan air mata sambil dipeluk keluarganya yang memenuhi galeri awam itu.

Mengikut pertuduhan, Shkori didakwa menerima invois palsu 'Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol' bertarikh 3 Dis 2008 daripada seorang kontraktor Yusri Che Noh, 37.

Projek dengan keluasan 7,656 kaki persegi itu bernilai RM267,960.

Shkori didakwa bersubahat kerana ketika dokumen tuntutan itu diserahkan kepadanya di Pejabat Perbendaharaan Negeri di sini pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.

Atas pertuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Shkori diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal, Zainal Abidin Mustaffa dan T. Kumar manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahsan Abdul Latiff.

Thursday, June 25, 2009

UMNO BERPECAH JADI TIGA PUAK?

Oleh SM Noor (buletinonline.com)

Wednesday, 24 June 2009 01:52

PAS Terengganu tidak sedikit pun berasa gentar dan tergugat dengan perlantikan pimpinan tertinggi UMNO Terengganu dan yakin segala pendekatan yang diambil, bakal menemui kegagalan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik berkata, Pengerusi UMNO Terengganu yang baru, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein tidak akan mampu menyatupadu dan memperkukuhkan UMNO Terengganu

Percaturan Hishammuddin melantikan kepimpinan baru tersebut tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada rakyat negeri ini, bahkan akan menyebabkan UMNO terus berbalah dan semakin berpecah

Katanya UMNO Terengganu telah pun berpecah kepada dua kumpulan sebelum ini iaitu kumpulan yang menyokong Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idirs Jusoh.

Dengan Hishamudin yang bukan orang tempatan, dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu, katanya, UMNO kini menjadi tiga puak.

“Sebelum ini kita semua sudah maklum UMNO ada dua puak iaitu kumpulan Idris dan Ahmad Said, sebagai Pengerusi UMNO negeri, kehadiran Hishammuddin akan jadikan UMNO Terengganu kepada tiga puak,

“Oleh itu, pelantikan (pimpinan tertinggi yang baru) ini memang tidak akan untungkan orang Terengganu, perpecahan akan terus berlaku dan keadaan UMNO (akan) menjadi lebih parah berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian dalam mengulas pelantikan Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Abdul Rahin Mohd Said sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan serta Bendahari UMNO negeri baru.

Katanya, tindakan yang dilakukan Hishammuddin hanya pada zahirnya sahaja dilihat menyatukan UMNO Terengganu.

“Namun, pemimpin UMNO pusat itu sekarang sebenarnya sedang mencengkam dari segi politik dan ekonomi,

”Sama ada kebetulan atau disengajakan, tiba-tiba muncul kes rasuah yang dikaitkan dengan dua pemimpin UMNO Terengganu yang digugurkan,

”Mungkin kedua-duanya tidak akan didakwa selepas ini dan Hishamudin sebagai Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa dalam hal tersebut,”tambahnya.

Friday, June 12, 2009

SPRM TAHAN PEMIMPIM UMNO TERENGGANU

KUALA TERENGGANU (Buletinonline.net (Jumaat 12 Jun 2009 02:57) - Dua ahli politik dikalangan pemimpin UMNO dilaporkan berasal dari Pantai Timur ditahan SPRM Selangor dipercayai kerana meminta wang suapan sebanyak RM3 juta.

Adalah dipercayai ia berkait rapat dengan kes yang pernah dipaparkan oleh Buletin Online, 7 Ogos tahun lalu. Di bawah dipaparkan semula artikel tersebut.

BPR buka semula fail MRR2 - Selamatkan Pak Rosli, bagaimana Roslan?

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan dalam projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dimulakan pada 2004.

BPR akan melihat semula kertas siasatan yang sudah dibuka sebelum ini dan akan mengambil tindakan susulan berhubung kejadian keretakan terbaru pada tiang jejambat MRR2.

Antara tindakan yang akan diambil BPR adalah memanggil kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta itu. Jejambat enam lorong berhampiran Stesen Komuter Kepong sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999.

Ahad lalu (3 Ogos) MRR2 ditutup kepada semua kenderaan apabila satu daripada tiang yang pernah dibaiki sebelum ini dikesan retak semula. Penutupan itu adalah kali ketiga dalam tempoh empat tahun, kali pertama pada Ogos 2004 dan kali kedua pada Februari 2006.

Tiang yang mengalami keretakan itu adalah termasuk dalam laluan yang dibina oleh Konsortium Bumi Hiway, SUKMIM Sdn Bhd dan Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd melalui kontrek Pakej II MRR2 berharga RM238 juta.

Berikutan keretakan kali pertama pada 2004, Unit Kejuruteraan BPR menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan.

Manakala siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), yang dilantik kerajaan bagi mengkaji punca kerosakan tiang tersebut mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

Sehubungan dengan itu Buletin Online telah menerima satu salinan surat seorang individu yang bernama Kamaruzzaman Ishak, bertarikh 15 Jun lalu yang ditujukan kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Dalam surat tersebut Kamaruzzaman yang beralamat di Sura Gate, Dungun, telah membuat permohonan kepada Ahmad Said Hamdan supaya membuat pendedahan umum, status siasatan BPR terhadap tuduhan-tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Rosli Mat Hassan (Pak Rosli).

Pak Rosli adalah Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun dan kini baru dilantik oleh Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said (Mad Said) sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu.

Surat tersebut juga menyenaraikan beberapa kes dimana Pak Rosli dikatakan telah disiasat oleh pihak BPR.

Kes-kes tersebut sebagaimana dalam surat itu adalah Projek Pembinaan Lebuhraya MRR 2 di Kuala Lumpur, Projek Pembinaan Sekolah Menengah Serating di Marang (RM 15 juta) (yang terbengkalai) dan Projek Tangki Air Simpanan (Terbengkalai) di Cherul, Kemaman (RM 10 juta).

Sebelum ini, pada 22 November 2007, Pengarah BPR negeri Terengganu, Sharuddin Sapian pernah mengesahkan bahawa seorang ahli politik terkenal Terengganu adalah antara 70 orang yang telah disiasat oleh BPR sejak awal 2007.

Namun Shaharudin enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan, identiti serta maklumat berhubung ahli politik itu hanya boleh didedah apabila kertas siasatan mengenainya siap.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran khabar angin yang tersebar mengatakan Pak Rosli telah disiasat BPR berhubung dengan penyelewengan dalam projek MRR2.

Berita tersebut tidak diambil peduli dan berlalu begitu sahaja kerana tidak ada siapa yang menduga Pak Rosli terlibat dengan pembinaan MRR2.

Malah ada yang terkejut apabila ditanya berkenaan Pak Rosli disiasat BPR kerana Pak Rosli tidak dikenali sebagai seorang kontraktor.

Sekiranya dikaitkan perkara tersebut dengan Bendahari UMNO yang baru, Dato’ Roslan Awang Chik, barulah munasabah, kerana beliau ada cukup dikenali sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).

Sebelum ini Pak Rosli hanya terkenal sebagai jaguh dangdut kerana isu berkaitan beliau suka berdangdut pernah menjadi popular suatu masa dulu.

Apabila isu MRR2 kembali ‘menggegar’ awal minggu ini, ingatan kepada dakwaan Pak Rosli disiasat BPR tersebut kembali semula.

Setelah Buletin Online mendapat salinan surat Kamaruzzaman, carian dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sebuah keratan akhbar tahun 2000 dari rekod JKR dan Berita Harian 26 Oktober 1998 yang telah merakamkan beberapa kenyataan Pak Rosli, menjadi kunci yang mengaitkan Pak Rosli dengan siasatan BPR.

Pak Rosli ketika itu adalah Setiausaha Agung PKMM.


Jadi apa kaitannya ?

Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd dan SUKMIM adalah dua daripada tiga kontraktor yang dilantik kerajaan bagi melaksanakan Pakej II MRR2.

Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd (KKM) adalah syarikat yang ditubuhkan dibawah PKMM, manakala SUKMIM Sdn Bhd (SUKMIM) pula sebuah syarikat gabungan diantara PKMM dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).

Maknanya sewaktu pembinaan Pakej II MRR2 sedang dilaksanakan oleh kedua-dua KKM dan SUKMIM, Pak Rosli adalah Setiausaha Agung PKMM yang berkuasa keatas kedua-dua syarikat tersebut.

Bukan sedikit dakwaan penyelewengan yang dikatakan telah dilakukan oleh Pak Rosli, nilainya sebanyak RM 500,000.

Sebagaimana hasil siasatan unit kejuruteraan BPR pada tahun 2004 yang tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan, khususnya menyebabkan keretakan pada tiang MRR2.

Begitu juga hasil siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.


Bolehkah Pak Rosli terlepas dari pendakwaan?

Bagaimana pula kedudukan Bendahari UMNO Terengganu, Dato’ Roslan Awang Chik, yang baru dilantik oleh Mad Said?

Roslan adalah Pengerusi PKMM pada waktu pembinaan Pakej II MRR2 dulu, dan masih menjadi Pengerusi PKMM sehingga hari ini !

Thursday, March 12, 2009

AZALINA TERLIBAT POLITIK WANG?

Sukar mempercayainya. Apa dah jadi jadi ni?

SPRM 'serbu' pejabat Azalina kerana dakwaan politik wang.

Apakah beliau terlibat? Lebih baik tunggu sehingga selesai siasatan.

Yang pasti, selepas seminggu menahan setiausaha politik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menyerbu' pejabat Menteri Pelancongan di ibu negara pagi semalam.

Tiga pegawai SPRM menghabiskan hampir tiga jam untuk mendapatkan bukti susulan dipercayai berhubung amalan politik wang menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

Laporan Berita Harian menyebut, SPRM dijangka memanggil Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Ini berikutan serbuan pegawai SPRM ke pejabat Kementerian Pelancongan di Tingkat 36, Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pemeriksaan oleh dua pasukan itu, SPRM turut merampas sejumlah dokumen dan menyoal siasat beberapa pegawai.

Utusan Malaysia melaporkan, lapan pegawai kanan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Semalam sahaja, dua pegawai kanan menteri telah diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Kesemua mereka yang disoal siasat telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan segala dokumen.

Difahamkan ketika soal siasat dijalankan menteri terlibat tiada di dalam pejabat.
“Setakat ini tiada serbuan, rampasan atau pun penahanan dilakukan. Semua pegawai terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya,” menurut sumber rapat kementerian itu di sini hari ini.
Pada 6 Mac lalu, setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet ditahan di sebuah restoran di sini kelmarin kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

Penahanan lelaki berusia dalam 40-an tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota SPRM setelah menjalankan intipan ketika menerima suapan kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurut sumber, pegawai-pegawai SPRM keluar dari pejabat menteri berkenaan dengan membawa keluar beberapa dokumen.

Dua fail berkaitan dengan perwakilan Umno Wilayah Persekutuan dipercayai dibawa keluar ekoran kunjungan tersebut.

Malah mereka juga menemu bual dua pegawai kanan di pejabat Datuk Azalina Othman yang terletak di Menawa Dato Onn, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pegawai pejabat Azalina, SPRM tidak merampas apa-apa dokumen dari pejabat mereka.

Rabu lalu, SPRM menahan pegawai tersebut - setiausaha politik, didapati membawa bersama wang tunai RM75,000 dalam keretanya.

Setiausaha Politik itu dan menterinya turut layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi.
Dia telah dibebaskan awal Khamis lalu selepas kenyataannya diambil.

Dalam pada itu, pegawai-pegawai Azalina menafikan kunjungan MACC ada kaitan dengan isu wang tunai tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pejabat Menteri Pelancongan berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepdada SPRM berhubung isu tersebut.

"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap MACC dan yakin bahawa kami akan dibersihkan menerusi siasatan mereka," katanya.

SPRM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta SPRM menyegerakan siasatan terhadap setiausaha politik berkenaan.

Sehubungan itu kata Perdana Menteri, pegawai kanan tersebut harus dibebaskan jika tidak bersalah.

Beliau berpendapat kes tersebut kemungkinan menjejaskan peluang setiausaha politik berkenaan jika bertanding dalam pemilihan Umno pada 26 Mac ini.

"Jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk dakwaan politik wang, saya berharap dia akan dibebaskan dengan secepat mungkin.
"Kemungkinan dia bertanding... jadi jangan tangguhkan (siasatan)," kata beliau.