Showing posts with label Singapura. Show all posts
Showing posts with label Singapura. Show all posts

Wednesday, July 21, 2010

SELAMAT BERANGKAT PULANG TUANKU...

SULTAN Kelantan, Tengku Ismail Petra diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selepas menerima rawatan di Singapura, di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, 21 Julai. – Gambar Utusan

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pulang hari ini setelah enam hari berada di Singapura untuk menjalani prosedur angiogram dan angioplasty di Hospital Mount Elizabeth.

Ketibaan baginda dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini pada pukul 1.20 tengah hari tadi disambut oleh pembesar-pembesar istana.

Baginda selamat menjalani prosedur itu pada Sabtu lalu.

Tuanku Ismail Petra yang mengalami masalah jantung dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth untuk menerima rawatan pada 24 Mei tahun lalu dan berangkat pulang ke Istana Mahkota di sini pada 4 Mac lepas.

Pada 18 Julai lalu, Tuanku Ismail Petra dilaporkan selamat menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 17 Julai.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, Tuanku Ismail ketika ini masih lagi dirawat oleh pakar-pakar perubatan di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, baginda telah selamat menjalani prosedur Angiogram dan Angioplasty pada 17 Julai 2010,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Abdul Halim berkata, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra akan mengatur penerbangan pulang ayahandanya itu seberapa segera walaupun pada mulanya Tuanku Ismail dijadual berangkat pulang pada 21 Julai ini (hari ini)

“Pemangku Raja Kelantan sentiasa mendoakan yang terbaik kepada ayahanda baginda.

Baginda Pemangku Raja Kelantan mengharapkan agar rakyat turut sama mendoakan yang terbaik agar Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan cepat sembuh daripada kegeringan,” katanya.

Abdul Halim berkata, Tengku Muhammad Faris juga telah mengatur solat hajat di beberapa buah masjid dan berharap ia dapat diteruskan oleh rakyat negeri ini.

Menurutnya, Sultan Kelantan telah berangkat ke Singapura menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 11 pagi, Khamis lalu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan.

Beliau sehubungan itu mengingkatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan membuat andaian atau kenyataan mengenai kesihatan Tuanku Ismail untuk kepentingan diri sendiri.

Semua pihak perlu mengambil langkah-langkah agar tidak mengaibkan keluarga diraja Kelantan, biarkan segala kemelut diselesaikan secara kekeluargaan. Berat mata kita memandang, berat lagi keluarga diraja memikul. Kita hanya mampu berdoa kepada Allah,” jelasnya.

Saturday, July 10, 2010

SULTAN KELANTAN KE SINGAPURA UNTUK RAWATAN SUSULAN 14 JULAI

Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Julai ini untuk menjalani rawatan susulan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata tujuan rawatan tersebut adalah untuk menukar tiub di perut Sultan yang berfungsi untuk menyalurkan makanan.

Beliau bagaimanapun berkata rawatan susulan itu tidak diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan dan setakat ini pejabat itu tidak dititah menguruskan rawatan susulan tersebut.

Katanya sebelum ini Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra bertitah sebarang rawatan ke atas baginda Sultan di luar negara perlu mendapat perkenan baginda selepas dirujuk kepada pakar perubatan dalam negara seperti yang digariskan dalam peraturan kerajaan.

"Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra amat prihatin terhadap kesihatan Sultan Kelantan dan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya rawatan yang hendak dilaksanakan di Hospital Mount Elizabeth tidak terdapat dalam negara dan telah dirujuk dan disyorkan oleh pakar-pakar perubatan dalam negara dan dibincang di kalangan keluarga," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata terdapat sungutan rakyat untuk mengetahui kedudukan sebenar keadaan kesihatan Sultan dan ada juga kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak mendapat perkenan Sultan mahupun Pemangku Raja yang menyebabkan timbul kekeliruan.

"Cadangan untuk mendapatkan rawatan di luar negara tanpa mengikut prosedur yang digariskan menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat dan ada pihak membuat andaian bahawa ianya dibuat untuk melindungi keadaan sebenar Tuanku Sultan," katanya.

Tuanku Ismail yang mengalami masalah kesihatan telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 14 Mei tahun lalu untuk menerima rawatan.

Baginda kemudiannya dihantar ke Hospital Mount Elizabeth untuk menerima rawatan susulan pada 24 Mei tahun lalu dan berangkat pulang ke Istana Mahkota di sini pada 4 Mac lalu.

Pada 4 Mei lepas, Tuanku Ismail dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk diperiksa oleh doktor panel yang dilantik oleh kerajaan negeri dan baginda dibenarkan keluar dari HUSM pada 9 Mei.