Showing posts with label Tengku Merjan. Show all posts
Showing posts with label Tengku Merjan. Show all posts

Wednesday, September 15, 2010

KENYATAAN FITNAH - PEJABAT SULTAN KELANTAN BUAT LAPORAN POLIS

Abdul Halim membuat laporan polis di Kota Bharu, semalam.

Pejabat Sultan Kelantan semalam, membuat dua laporan polis terhadap kenyataan fitnah yang didakwa dibuat Tengku Merjan Sultan Yahya Petra dan Tengku Muhammad Fakry Sultan Ismail Petra, mengenai pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang disempurnakan kelmarin.

Laporan itu dibuat Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, di Balai Polis Kota Bharu, kira-kira jam 4 petang.

Menerusi dua laporan polis itu, Abdul Halim mendakwa kenyataan Tengku Merjan dan Tengku Muhammad Fakhry yang disiarkan beberapa media tempatan pada Ahad dan Isnin lalu, berkaitan pemasyhuran itu adalah satu tuduhan amat berat dan fitnah yang disengajakan.

Antara lain, beliau (Tengku Merjan) berkata, sebarang tindakan menyingkirkan Sultan (Tuanku Ismail Petra) di luar cara ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategori sebagai penderhakaan mengikut Kanun Keseksaan.

“Tengku Muhammad Fakhry pula berkata, usaha memasyhurkan Tengku Muhammad Faris Petra adalah satu penderhakaan dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam laporan polis itu yang salinannya diedar kepada media di Kota Bharu, semalam.

KELANTAN KINI ADA DUA SULTAN?

Istana Mahkota, Kubang Kerian merupakan tempat Sultan Ismail Petra bersemayam.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mahu 'rumah siap pahat terus berbunyi'.

Namun, pahat tetap berbunyi apabila kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra (gambar kanan) mendakwa "Kelantan kini diperintah oleh dua sultan".

Dakwaan itu dibuat ekoran pelantikan anak saudaranya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru kelmarin (13 September 2010).

Tengku Merjan mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.

Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.

"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.

"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," katanya.

Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa Isnin lalu.

Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.

Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.

Kelmarin beliau menegaskan, pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan boleh disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa.

Tengku Merjan berkata, ini kerana Perlembagaan negeri menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja iaitu jika sultan mangkat, menghilangkan diri dari Kelantan tanpa alasan kukuh lebih daripada setahun ataupun jika sultan turun dari takhta.

Katanya, justeru sebarang tindakan menyingkirkan Sultan di luar daripada cara yang ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategorikan sebagai penderhakaan di bawah Kanun Keseksaan.

Tambah Tengku Merjan, pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri mesti campur tangan kerana jika konspirasi tersebut berjaya dilaksanakan akan menyumbangkan kesan yang negatif terhadap negeri yang mengamalkan sistem beraja.

“Jika terjadi sedemikian tiada pemerintah yang mahu mewujudkan jawatan Pemangku Raja lagi kerana jawatan tersebut seolah-olah mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan yang mana Pemangku Raja bila-bila masa saja boleh mengambil alih jawatan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.

Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.

"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.

Monday, July 26, 2010

JANGAN BINCANG ISU ISTANA DALAM AKHBAR

Kekanda Sultan Kelantan, Datuk Tengku Rozan Sultan Yahya Petra semalam meminta semua pihak terutama keluarga diraja itu agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan berhubung isu Istana Kelantan sehingga dibincangkan di dalam media.

Dalam satu kenyataan di Kota Bharu, semalam, Tengku Rozan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri dan Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan meminta supaya anggota keluarga diraja itu tidak lagi menghebahkan sebarang isu melalui media.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan kekandanya Datuk Tengku Merjan menerusi media semalam yang mendakwa Pengelola Istana Diraja Datuk Abdul Halim Hamad itu berbohong apabila menyatakan telah menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra beberapa kali di Kota Bharu dan ketika dirawat di Singapura baru-baru ini.

Tengku Rozan dalam kenyataannya juga berharap Tengku Merjan tidak mencampuri urusan pentadbiran Pejabat Sultan kerana setiap pegawai terpaksa mengikut peraturan dalam menjalankan tugas dengan Pengelola Istana sebagai Ketua Pejabat dan menjalankan titah.

"Urusan keluarga tidak patut dicampur adukkan dengan urusan pejabat. Hormatilah Tuanku Sultan yang sedang gering dan pentadbiran negeri perlu berjalan seperti biasa di bawah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

"Kita berdoalah kepada Allah agar diberi petunjuk dan jalan yang lurus untuk kita selesaikan masalah keluarga ini," katanya.