Showing posts with label Istana Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Istana Kelantan. Show all posts

Sunday, October 3, 2010

AKAN BERLANJUTANKAH KRISIS ISTANA KELANTAN?


Tengku Muhammad Fakhry Petra sudah menyatakan beliau kecewa dengan tindakan Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V melucutkan gelaran Temenggong dan semua anugerah yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Bak jatuh ditimpa tangga. Kegagalan beliau untuk menahan sebarang perlantikan Sultan baru gagal pada ketika ayandanya 'masih gering' ditambah pedih apabila beliau kini dilucutkan pula gelaran dan semua anugerah.

Katanya, beliau menerima nota daripada Setiausaha Kerajaan Datuk Mohd Aiseri Alias semalam yang memaklumkan mengenai keputusan Sultan Kelantan itu.

"Saya kecewa tetapi tidak terkejut kerana baginda dilihat sebagai wajar untuk mengambil tindakan itu," katanya dalam satu kenyataan Jumaat lalu.

Persoalannya apakah Tengku Fakhry akan berdiam diri?

Baginya, segala-galanya bagaikan hilang kesemuanya. Ini Sultan Muhammad ke-V turut menarik balik Darjah Kerabat Yang Dihormati (DK)(Al-Yunusi) serta Tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) (Al-Muhammadi) yang sebelum ini dianugerahkan kepada adinda ketiga baginda itu.

Penarikan itu dilihat sebagai kesan daripada 'krisis istana' yang hasilnya ialah yang menang, memang semua dan yang kalah 'hilang semuanya'.

Apa pun cakap-cakap terus kedengaran bahawa krisis istana Kelantan akan berterusan akibat penarikan anugerah Tengku Fakhry ini.

Tengku Fakhry sendiri mendakwa kekandanya tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik gelaran dan anugerah itu kerana berpendapat ayahandanya Tuanku Ismail Petra masih sebagai Sultan Kelantan.

Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar pada 13 Sept lepas.

Bulan lepas, bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra, memfailkan petisyen di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah berkenaan bahawa pemasyhuran anakanda sulung baginda itu tidak mengikut perlembagaan.

Menurut sebuah blog yang rapat dengan Tengku Fakhry, perisytiharan oleh Tengku Faris itu mencipta satu lagi sejarah di Kelantan dibawah kepimpunan Musyridul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Wednesday, September 15, 2010

JANGAN ADA LAGI 'PAHAT BERBUNYI' - NIK AZIZ

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat.

Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah 'rumah siap pahat berbunyi'.

"Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing," katanya di Istana Negeri, Kubang Kerian di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada Isnin (13 September 2010).

Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu.

Tuesday, August 3, 2010

ANGIN KENCANG, LAUT BERGELORA HINGGA ISNIN

Keadaan angin kencang dengan kelajuan antara 40 dan 50km sejam dan ombak setinggi 3.5 meter yang melanda perairan di utara Semenanjung kini dijangka berterusan sehingga Isnin ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan pada hari Selasa berkata keadaan itu yang meliputi perairan Perlis, Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang adalah berbahaya kepada bot kecil dan kegiatan rekreasi laut.

Kenyataan itu juga menyebut keadaan angin kencang yang bertiup selaju 50-60km sejam di perairan Phuket, Thailand dengan ketinggian ombak mencecah 4.5 meter juga dijangka berterusan hingga Isnin.

Keadaan itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata jabatan tersebut juga meramalkan keadaan angin kencang dan laut bergelora melanda perairan Kelantan, Terengganu, Miri (Sarawak), Labuan, Sabah, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Sulu dan Sulawesi bermula Jumaat ini sehingga Isnin.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran ribut petir menyeluruh yang dijangka berlaku di perairan Sarawak (perairan Kuching, Sarikei, Mukah dan Bintulu), Sabah (kawasan pantai barat, Kudat dan Sandakan), Reef South, Palawan dan Sulu yang diramal berterusan sehingga lewat petang ini.

Keadaan itu menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam serta keadaan laut yang bergelora membawa ombak setinggi 3.5 meter yang boleh membahayakan bot-bot kecil.

Thursday, July 29, 2010

SERAH SAHAJA KEPADA PUSAT JIKA TIDAK MAMPU LAKSANA

Serah sahajalah kepada Kerajaan Pusat jika tidak mampu.

Itulah saranan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin kepada kerajaan PAS Kelantan.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan boleh menyerahkan projek-projek yang sesuai kepada kerajaan pusat jika tidak mampu melaksanakan projek berkenaan.

"Kita tidak paksa, tetapi kerajaan negeri boleh menyerahkan projek-projek yang sesuai untuk dilaksanakan oleh agensi di bawah kerajaan pusat jika tidak mampu (melaksanakannya)," katanya di Kuala Krai, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan yang dikatakan boleh menjejaskan sistem ekologi dan alam sekitar berikutan pembukaan kawasan hutan bagi projek itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, kerajaan negeri sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menjalankan siasatan berhubung pencemaran alam ekoran daripada aktiviti penerokaan tanah baru untuk pembukaan ladang dan pembalakan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pencemaran di kawasan tadahan air dan memusnahkan hutan di Hulu Kelantan kini semakin serius ekoran daripada aktiviti yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Penduduk Orang Asli di Pos Pasik, dan Aring di Gua Musang serta penduduk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dabong dikatakan mengalami masalah bekalan air bersih akibat aktiviti tersebut.

Pada 21 Okt tahun lepas, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan negeri meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta.

Kawasan itu sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.

Hamzah berkata kementeriannya memastikan setiap projek yang dijalankan di kawasan hutan mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan dan JAS untuk mengelakkan ia menjejaskan penduduk dan alam sekitar.

"Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik rakyat dalam melaksanakan sesuatu
projek yang melibatkan kebajikan dan kepentingan kepada mereka," katanya.

Monday, July 26, 2010

JANGAN BINCANG ISU ISTANA DALAM AKHBAR

Kekanda Sultan Kelantan, Datuk Tengku Rozan Sultan Yahya Petra semalam meminta semua pihak terutama keluarga diraja itu agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan berhubung isu Istana Kelantan sehingga dibincangkan di dalam media.

Dalam satu kenyataan di Kota Bharu, semalam, Tengku Rozan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri dan Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan meminta supaya anggota keluarga diraja itu tidak lagi menghebahkan sebarang isu melalui media.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan kekandanya Datuk Tengku Merjan menerusi media semalam yang mendakwa Pengelola Istana Diraja Datuk Abdul Halim Hamad itu berbohong apabila menyatakan telah menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra beberapa kali di Kota Bharu dan ketika dirawat di Singapura baru-baru ini.

Tengku Rozan dalam kenyataannya juga berharap Tengku Merjan tidak mencampuri urusan pentadbiran Pejabat Sultan kerana setiap pegawai terpaksa mengikut peraturan dalam menjalankan tugas dengan Pengelola Istana sebagai Ketua Pejabat dan menjalankan titah.

"Urusan keluarga tidak patut dicampur adukkan dengan urusan pejabat. Hormatilah Tuanku Sultan yang sedang gering dan pentadbiran negeri perlu berjalan seperti biasa di bawah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

"Kita berdoalah kepada Allah agar diberi petunjuk dan jalan yang lurus untuk kita selesaikan masalah keluarga ini," katanya.