Showing posts with label Teroka. Show all posts
Showing posts with label Teroka. Show all posts

Sunday, April 24, 2016

Pasukan Petugas Khas Kumpul Bukti Dalang Teroka Hutan Simpan Kekal


Sebuah pasukan petugas khas sedang mengumpul pelbagai bukti untuk menangkap dan mendakwa dalang serta anggota sindiket yang meneroka hutan simpan kekal terutama di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pasukan itu yang ditubuhkan tiga tahun lalu dan diterajui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah mengenal pasti dalang terbabit yang tinggal di luar Kelantan.

"Usaha sedang giat dilakukan bagi mengumpul bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka di mahkamah.

"Dalang kes ini tidak ada di sini (di Kelantan), jadi kalau kami tangkap pun adalah pekerja. Kalau ingin tangkap dalang ini, kena ada bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan media Kelantan di Kota Bharu, Khamis lalu.

Mohd Amar mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan semalam, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda bagi memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Mohd Amar berkata penerokaan di kawasan Hutan Simpan Kekal adalah salah dan kegiatan melibatkan sindiket itu dipercayai sudah berlaku lebih 10 tahun lalu.

"Antara strategi peneroka haram ini adalah dia guna nama-nama besar dan dalam kes ini mereka menggunakan nama sultan sedangkan sultan sendiri tidak ada sebarang hubungan dengan kes ini.

"Sindiket ini, sebahagian besar berada di luar Kelantan tetapi oleh kerana mereka ada duit mereka boleh gunakan orang tempatan untuk membuat penerokaan haram seperti menebang kayu dan menjual secara haram kemudiannya mereka tanam sawit, getah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata menjadi kesalahan juga kepada penduduk kampung yang meneroka kawasan Hutan Simpan Kekal namun jika melibatkan tanah milik kerajaan negeri, perkara itu boleh dipertimbangkan apabila mereka membuat permohonan rasmi kepada pihak kerajaan.

Katanya Jabatan Perhutanan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain seperti polis dan PTG akan meningkatkan pemantauan dan serbuan bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu, ditanya persediaan kerajaan negeri untuk menghadapi kesan cuaca panas dan kemarau yang berpanjangan, beliau berkata syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah diarah membuat pemantauan dan sekiranya bekalan air terganggu, syarikat itu akan membekalkan air secukupnya kepada penduduk terbabit.

Thursday, April 21, 2016

Sindiket Teroka 7,284 Hektar Tanah Hutan Simpan Kekal Di Kelantan

 Kerja siapa ini?

Tidak kiralah siapa pun, dakwa sahaja mereka jika ada bukti kukuh.

Sindiket sebegini bukan sahaja tamak tetapi memusnahkan hutan simpan kekal yang mengawal ekosistem untuk rakyat di Kelantan dan Malaysia amnya.

Semalam Jabatan Perhutanan Kelantan mendapati 7,284 hektar tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket sebelum tanah terbabit dijual secara lot kepada orang ramai.

Pengarahnya Zahari Ibrahim berkata daerah yang terjejas teruk adalah di Gua Musang melibatkan keluasan 3,840 hektar dengan 404 hektar daripadanya adalah HSK Ulu Galas dan HSK Batu Papan.

Bernama melaporkan, dalam operasi dilakukan sepasukan 34 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Kelantan semalam, mendapati penerokaan dua kawasan HSK terbabit didalangi sindiket yang diketuai individu berasal dari Pahang dan Terengganu, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Zahari berkata sindiket itu menipu orang ramai dengan mendakwa penerokaan kawasan terbabit mendapat kelulusan daripada pihak Istana Kelantan.

"Melalui risikan dan maklumat awal kita dapati sindiket ini menggunakan nama kerabat (diraja) untuk menipu orang ramai dengan alasan ada kelulusan untuk pembukaan perkampungan di Hutan Simpan Kekal Ulu Galas," katanya.

Zahari berkata dalam operasi terbabit pihaknya menyita jentera dan peralatan untuk membuka kebun, ladang getah dan kelapa sawit secara haram serta menahan tiga penduduk tempatan yang berada di kawasan HSK Ulu Galas.

Kesemua suspek terbabit akan didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dan mereka juga didapati melanggar Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara sehingga lima tahun, katanya.

Zahari berkata operasi berkenaan adalah antara beberapa siri penguatkuasaan jabatan itu yang dirancang khusus untuk membanteras aktiviti pencerobohan hutan simpan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Operasi kali ini menyasarkan kawasan `hotspot' yang dipercayai bergiat aktif menggunakan nama pihak istana bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai, katanya.

"Hasil siasatan, kita dapati Pejabat Hutan Kelantan Selatan Gua Musang sudah beberapa kali membuat serbuan tetapi modus operandi peneroka haram sentiasa berubah bagi mengelak dicekup serta masih berdegil meskipun sudah beberapa kali ditahan dan peralatan disita," katanya.

Katanya pihaknya dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan sindiket berkenaan.

Sementara itu, Zahari mengingatkan orang ramai bahawa HSK adalah kawasan tertutup dan orang ramai dilarang menerokainya.