Showing posts with label UPP. Show all posts
Showing posts with label UPP. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

UPP Kelantan Rampas 14,000 Kg Beras Wangi Siam Seludup Guna Invois Palsu

Strategi penyeludup yang menggunakan invois palsu untuk membawa 14,000 kilogram beras wangi Siam ke pantai barat Semenanjung berjaya dihidu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubur, yang menahan treler membawa muatan itu di Kampung Pek, Machang awal pagi kelmarin.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata beras bernilai RM42,000 itu diisi dalam 280 kampit dan dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur.

"Penyeludup menggunakan invois palsu yang menyatakan beras itu beras Super Malaysia untuk diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Gua Musang, sedangkan ia adalah beras wangi Siam yang dibungkus dalam kampit bercop keluaran tempatan," katanya di Tumpat.

Mazlan berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket penyeludupan beras dari Thailand yang menggunakan pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.

"Beras itu dipercayai diseludup secara berdikit-dikit melalui pangkalan haram sebelum diisi ke dalam treler sebelum dibawa ke sesuatu destinasi," katanya.

Mengulas operasi pukul 4.20 pagi itu, Mazlan berkata pihaknya bertindak hasil intipan dan juga maklumat orang ramai.

Beras yang disita itu telah diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler berusia 58 tahun yang juga rakyat tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan, katanya.

Mazlan berkata rampasan itu adalah yang terbesar dilakukanya UPP Kelantan sepanjang tahun ini.

Thursday, October 7, 2010

UPP RAMPAS BERAS SELUDUP RM39,000

Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor berjaya merampas 13,000 kilogram beras seludup bernilai RM39,000 dalam satu serbuan pada Rabu awal pagi.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata serbuan itu dilakukan di sebuah rumah kedai separa siap di Kampung Pangkal Meleret, Machang kira-kira pukul 4.30 pagi tadi hasil intipan melalui maklumat orang awam.

"Bagaimanapun, tiada individu yang ditemui ketika serbuan itu dilakukan," katanya semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 260 kampit beras yang setiap satunya seberat 50 kilogram dan dianggarkan bernilai RM39,000.

Mazlan berkata kesemua beras wangi berkenaan dipercayai adalah beras yang diseludup dari negara jiran dan bakal dipasarkan untuk pasaran tempatan terutama di Kuala Lumpur.

"Beras berkenaan biasanya akan dibungkus semula dengan pelbagai jenis jenama untuk dipasarkan kepada orang ramai," katanya.

Mazlan berkata kesemua beras berkenaan akan diserahkan kepada Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pengkalan Kubor bagi tindakan dan siasatan lanjut.

Saturday, August 21, 2010

KAIN BATEK TIRUAN DIRAMPAS

Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Rantau Panjang merampas 2,050 helai kain batik tiruan bernilai RM18,450 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasik Berangan, Repek, Pasir Mas, empat hari lepas.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata serbuan pada kira-kira 10.10 malam itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

Katanya anggota UPP yang melakukan intipan berdekatan pangkalan haram Bukit Lata ternampak sebuah kereta Proton Iswara yang mencurigakan keluar dari satu lorong berdekatan lalu mengekorinya sehingga tiba ke sebuah rumah sebelum melihat tiga lelaki memunggah beberapa guni berwarna putih masuk ke rumah terbabit.

Bagaimanapun, kehadiran anggota UPP itu disedari oleh tiga lelaki terbabit lalu mereka segera melarikan diri dengan kereta berkenaan, katanya semalam.

Mazlan berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, pasukan itu menemui 12 guni kain batik tiruan yang dipercayai diseludup dari negara jiran, menggunakan jenama kain batik buatan Terengganu.

Mazlan berkata, pasukan UPP turut merampas mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM10,000 di pangkalan haram Tersang, di sini, petang semalam.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 6 petang itu, pihaknya terpaksa mengambil tindakan keras dengan memecahkan pagar di pangkalan haram berkenaan kerana dikunci oleh kumpulan penyeludup.

"Terkejut dengan kehadiran anggota UPP, beberapa lelaki yang dipercayai penyeludup kemudian segera meloloskan diri menggunakan bot dan hasil pemeriksaan yang dilakukan pada kenderaan yang ditinggalkan di situ, pihak kami menemui 10 kotak berisi mercun dan bunga api," katanya.