Showing posts with label Seludup. Show all posts
Showing posts with label Seludup. Show all posts

Thursday, May 12, 2016

Sindiket Seludup PATI Semakin Agresif, Baling Objek Berbahaya - AKSEM

Air Sungai Golok cetek ketika ini.
Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini bertindak lebih agresif termasuk membaling objek berbahaya kepada kenderaan penguat kuasa bagi menggelakkan daripada ditahan.

Dalam kejadian kelmarin (10 Mei), seorang anggota sindiket dalam sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang membawa lapan PATI warga Myanmar bertindak membaling peralatan membaiki kenderaan termasuk spanar ke arah kenderaan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan yang mengejar mereka.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki empat anggota AKSEM Cawangan Bukit Bunga, Tanah Merah nyaris terbabas akibat dibaling objek berbahaya ketika mengejar kenderaan sindiket yang dilaporkan membawa PATI.

"Dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, anggota sindiket terbabit akhirnya memberhentikan kenderaan di tepi jalan berdekatan Kampung Kubang Kuar, Pasir Mas sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin.

Mohd Asri berkata pemeriksaan yang dilakukan mendapati lapan PATI warga Myanmar berada dalam kenderaan itu yang dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di tebing Sungai Golok, iaitu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Beliau berkata kesemua lima lelaki dan tiga wanita warga Myanmar yang berusia antara 23 dan 55 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Hasil maklumat yang diperoleh, kumpulan PATI itu kemungkinan dari negeri Pantai Barat Semenanjung dan mahu kembali negara mereka.

"Kemungkinan mereka sudah berpakat dengan sindiket untuk membawa mereka ke pangkalan haram di sempadan sebelum menyeberang ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata kumpulan PATI itu kemungkinan juga mengambil kesempatan menyeberangi Sungai Golok di kawasan yang paras airnya cetek berikutan fenomena El-Nino ketika ini.

"Sebelum menyeberang sempadan, mereka ini kemungkinan ditempatkan di rumah yang dijadikan transit sementara menunggu waktu yang sesuai menyeberangi sempadan," katanya.

Sementara itu, AKSEM Kelantan mahu anggotanya yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sentiasa berhubung dengan penduduk di kawasan sempadan itu bagi mendapatkan maklumat dalam misi membanteras kegiatan penyeludupan.

Komandernya, Asri Yahya berkata anggota yang ditempatkan di sempadan biasanya akan membuat rondaan menggunakan motosikal dan mereka akan berjumpa dengan penduduk untuk mendapatkan maklumat terbaharu berkaitan kegiatan di sempadan.

"AKSEM sentiasa berhubung dengan penduduk tempatan khususnya di Rantau Panjang (Pasir Mas), Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Bukit Bunga (Tanah Merah).

"Melalui kaedah ini kita dapat mengetahui di mana biasanya berlaku kegiatan penyeludupan serta kewujudan lorong-lorong tikus," katanya ketika ditemui di sini, Selasa.

Asri berkata ekoran air Sungai Golok yang kian cetek akibat fenomena El Nino, anggota AKSEM tidak ketinggalan dalam melakukan pemantauan lebih kerap bagi mengelakkan kawasan sempadan terlibat dibolosi penjenayah.

Beliau berkata terdapat beberapa kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di tebing Sungai Golok untuk bermain air dan AKSEM turut melakukan rondaan kerana bimbang ada penyeludup mengambil kesempatan.

"Buat masa ini kawasan tebing sungai itu iaitu di antara Kampung Bagus, Rantau Panjang dan Kampung Burin, Thailand kini diawasi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagaimana pun, AKSEM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan kawasan di sempadan tidak bolos," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asri berkata AKSEM Kelantan berjaya merampas sebanyak lapan tan metrik beras Siam serta sebuah lori, bernilai RM118,000 semalam.

Katanya rampasan itu dilakukan selepas sepasukan anggotanya yang menerima maklumat berjaya memintas dan menahan sebuah lori di Kampung Bechah, Pasir Mas.

"Dalam kejadian pukul 7 malam itu, pemandu dan kelindan lori berkenaan berjaya melarikan diri sambil meninggalkan lori di tepi jalan.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada 160 guni beras yang kesemuanya seberat 8,000 kilogram. Kita percaya beras itu diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan di sini," katanya.

Katanya kes diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Cawangan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Wednesday, December 29, 2010

UPP Kelantan Rampas 14,000 Kg Beras Wangi Siam Seludup Guna Invois Palsu

Strategi penyeludup yang menggunakan invois palsu untuk membawa 14,000 kilogram beras wangi Siam ke pantai barat Semenanjung berjaya dihidu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubur, yang menahan treler membawa muatan itu di Kampung Pek, Machang awal pagi kelmarin.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata beras bernilai RM42,000 itu diisi dalam 280 kampit dan dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur.

"Penyeludup menggunakan invois palsu yang menyatakan beras itu beras Super Malaysia untuk diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Gua Musang, sedangkan ia adalah beras wangi Siam yang dibungkus dalam kampit bercop keluaran tempatan," katanya di Tumpat.

Mazlan berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket penyeludupan beras dari Thailand yang menggunakan pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.

"Beras itu dipercayai diseludup secara berdikit-dikit melalui pangkalan haram sebelum diisi ke dalam treler sebelum dibawa ke sesuatu destinasi," katanya.

Mengulas operasi pukul 4.20 pagi itu, Mazlan berkata pihaknya bertindak hasil intipan dan juga maklumat orang ramai.

Beras yang disita itu telah diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler berusia 58 tahun yang juga rakyat tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan, katanya.

Mazlan berkata rampasan itu adalah yang terbesar dilakukanya UPP Kelantan sepanjang tahun ini.

Monday, August 9, 2010

JEANS LEVI'S BERNILAI RM36,000 DIRAMPAS

Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan merampas 360 helai seluar jeans jenama Levi's bernilai RM36,000 yang diseludup dari negara jiran di dua lokasi berasingan berdekatan Pangkalan Haram Tok Awang dan Pangkalan Haram Haji Ghani di Rantau Panjang hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion Kelapan Supt Rooslan Radzi berkata rampasan pertama pukul 7.30 pagi melibatkan 200 helai seluar jeans di Pangkalan Haram Tok Awang manakala rampasan kedua pukul 9 pagi membabitkan rampasan 160 helai seluar.

Ketika ditemui pemberita di Rantau Panjang, beliau berkata sebelum itu, PGA yang membuat rondaan biasa terlihat sekumpulan lelaki sedang mengangkut keluar bungkusan yang mengandungi seluar dari bot yang terletak di pinggir Sungai Golok berdekatan pangkalan itu.

Apabila didekati, katanya kumpulan lelaki itu melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki bot yang terletak di pinggir sungai itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan yang ditinggalkan oleh lelaki terbabit mengandungi seluar jeans jenama Levi's yang diseludup masuk ke negara ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada tangkapan dibuat dan semua suspek yang dipercayai rakyat negara jiran berjaya melepaskan diri.

Sementara itu, Rooslan berkata PGA merampas 47 gulung kain putih yang cuba diseludup ke negara jiran di pangkalan haram Jitong, Jeram Perdah di sini yang dianggarkan bernilai RM28,200 dan ditinggalkan di tebing sungai itu pada Ahad.

Beliau berkata gulungan kain putih sepanjang 60 meter setiap satu itu dipercayai untuk diproses di negara jiran sebelum dibawa pulang ke negara ini untuk pasaran tempatan.

Tiada tangkapan dibuat dan semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Pencegah Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut, katanya.