Showing posts with label Zahid. Show all posts
Showing posts with label Zahid. Show all posts

Wednesday, October 27, 2010

UMNO PUSAT, NEGERI, KU LI & AZIZ PERLU SEIRING

"Saya berasal dari sini dan banyak terlibat dengan masyarakat malah jawatan saya dengan Kesedar selama ini juga mewajibkan saya berjumpa dengan masyarakat yang memerlukan bantuan. Jadi harapan saya sekarang adalah untuk bekerja keras dan dengan bantuan jentera BN pusat dan dari seluruh negeri saya yakin kita akan meraih kemenangan," - Abdul Aziz

Mencari kemenangan di Galas?

UMNO Pusat, UMNO Negeri perlu membantu jentera parti yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Galas dalam menghadapi pilihan raya kecil kawasan tersebut.

Setidak-tidaknya inilah janji dan harapan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap pemilihan Tengku Razaleigh untuk menggalas tanggungjawab tersebut menunjukkan keyakinan pucuk pimpinan parti kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu.

"Kita berterima kasih kepada Tengku Razaleigh yang menggalas tugas sebagai Pengarah dan menggerakkan jentera parti di Galas ini. Kita yakin dengan kepimpinan beliau, itu sebabnya kita ambil keputusan letakkan beliau sebagai pengarah dan keyakinan kita terhadap kemampuan beliau dalam menjaga khalayak di Galas ini," demikian kata Zahid.

Namun soal penting di sini ialah Tengku Razaleigh dibantu dan tidak dibiarkan ‘bersaorangan’ sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Ini bukan musim pilihan raya umum apabila pemimpin lain perlu menumpukan ke kawasan mereka, Oleh kerana ini pilihan raya kecil, jentera parti perlu ditumpukan di Galas.
Pada pilihan raya kecil itu, calon BN, Abdul Aziz Yusoff akan menentang calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad dalam pertembungan satu lawan satu.

Abdul Aziz perlu bekerjasama dengan Tengku Razaleigh dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam menjalan kempennya.

"Sudah tentu saya akan ikut arahan beliau (Tengku Razaleigh) dan Tok Pa (Mustapa) kerana mereka adalah dua pemimpin yang berpengalaman di negeri ini. Saya yakin dengan kerjasama ini, semangat kira-kira 3,000 penyokong yang hadir semasa Timbalan Perdana Menteri berada di sini akan diterjemahkan melalui undi," katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas dijadualkan pada 4 November ini selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu akibat barah paru-paru.

Yang menarik ialah pengalaman berkhidmat dengan masyarakat selama 30 tahun ketika menjadi kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan digunakan sepenuhnya oleh calon Abdul Aziz bagi menggalas cabaran menghadapi pilihanraya kecil ini.

Anak jati Gua Musang ini percaya, beliau memahami kehendak masyarakat di sini dan tahu cara terbaik untuk membantu mereka terutama dalam soal pembangunan.

"Saya berasal dari sini dan banyak terlibat dengan masyarakat malah jawatan saya dengan Kesedar selama ini juga mewajibkan saya berjumpa dengan masyarakat yang memerlukan bantuan. Jadi harapan saya sekarang adalah untuk bekerja keras dan dengan bantuan jentera BN pusat dan dari seluruh negeri saya yakin kita akan meraih kemenangan," katanya.

Abdul Aziz yang berasal dari Kampung Bertam Baru berkhidmat dengan Kesedar sejak tahun 1980 dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Pejabat Operasi Kesedar di RPT Sungai Terah.

Beliau bagaimanapun telah melepaskan jawatan tersebut untuk menepati syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa seorang calon tidak boleh memiliki sebarang jawatan dalam sektor kerajaan.

Kerjaya politik beliau pula bermula 1982 sebagai Ketua Cawangan RPT Limau Kasturi dan kini memegang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang.

Selain berpolitik, Abdul Aziz turut aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Gua Musang.

Mengulas mengenai pemilihannya, Ab. Aziz berkata, dia telah bersedia sepenuhnya sejak namanya diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap, rakyat Galas memberi peluang kepada calon BN untuk mewakili mereka dalam memperjuangkan masa depan yang lebih baik.

"Percayalah kalau BN menang, walaupun kerajaan negeri bukan kerajaan negeri BN tetapi Pusat akan membantu calon ini memastikan mereka akan dapat lihat seperti apa yang kita sarankan melalui konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Mengenai gerak jentera UMNO, beliau berkata, UMNO akan bertemu dengan pengundi dan memaklumkan kepada mereka mengenai rancangan-rancangan nasional kerajaan termasuk di Galas.

Malah, katanya, masalah perumahan yang dihadapi oleh penduduk Galas turut diberi perhatian oleh kerajaan BN walaupun pentadbiran negeri ini dikuasai oleh Pas yang terbukti gagal menyelesaikannya.

Mengenai kemungkinan provokasi dicetuskan penyokong Pas sepanjang kempen berlangsung, Tengku Adnan berharap, kedua-dua parti dapat bertanding secara sihat dan tidak terlalu ghairah sehingga mewujudkan keadaan tidak tenteram.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, semua jentera UMNO luar Kelantan masih berperanan membantu kempen pilihan raya kecil Galas tetapi bergerak mengikut tata kerja yang telah ditentukan.

Ditanya kempen Pas dilihat lebih dominan berbanding UMNO dan BN, beliau berkata, perkara tersebut berlaku kerana Pas merupakan pihak yang berusaha mempertahankan kerusi DUN Galas dan mereka sudah pasti akan menggerakkan sepenuhnya jentera untuk mencapai tujuan itu.

Selain itu, katanya, terdapat juga ahli dan penyokong Pas yang datang ke Galas semata-mata untuk berniaga kerana menganggap pilihan raya kecil merupakan satu pesta.
"Dia menganggap ia macam pesta dan mereka akan buat macam-macam tohmahan serta fitnah.
"Kita menganggap ini sebagai bukan pesta tetapi untuk mewakili rakyat bagi memastikan apa kehendak rakyat dan membela rakyat, ini tugas BN. Saya berkeyakinan rakyat makin matang dan tahu mana nak pilih dan mana nak tolak," katanya.

Friday, October 1, 2010

UMNO TAK LAYAN SARANAN PAS

Umno tidak akan termakan umpan PAS supaya parti itu tidak menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas yang bakal diadakan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun PAS cadang Umno jangan sertai, tapi kita tidak makan kail yang dihulurkan, kita akan sertai, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini supaya Umno tidak menyertai pilihan raya kecil DUN Galas.

Ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Negara di Kuala Lumpur, Zahid berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) yakin dengan pengundi baru untuk memenangi semula kerusi terbabit yang sebelum ini dipegang PAS.

Takiyuddin dilaporkan berkata cadangan itu atas nama perpaduan Melayu dan Umno seharusnya membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu dengan tidak bertanding di DUN itu nanti.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS kerana barah usus, tiga hari lalu di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.