Showing posts with label pakatan. Show all posts
Showing posts with label pakatan. Show all posts

Tuesday, October 27, 2015

PAS Semakin Dipencilkan...Giliran Takiyuddin Pula Meroyan!


Pada ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup mulut dan terus bisu mengenai kerjasama PAS dengan parti seperti PKR, DAP dan mungkin Parti Amanah Negara (AMANAH),  dua pemimpin PAS membuktikan bahawa parti itu kini memang sedang meroyan – GILA TALAK!

Benarlah kata blog teganuku bahawa PAS kini berada dalam keadaan gila talak dan ‘bagai anjing buruk kepala’.

Menurut teganuku: “...ketara sangat ‘gila talak’ ini ditunjukkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila mengatakan Pakatan Rakyat, gabungan lama pembangkang, masih wujud.

 Malah, kata PAS, Pakatan Rakyat berjalan tanpa DAP – kawan yang kemudian bertukar seteru politik PAS Islam itu. “PAS akan memperkasakan Pakatan Rakyat dengan penyusunan semula kekuatan antara parti PAS dan PKR di samping beberapa buah parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat bersama PKR yang diadakan minggu lepas bersetuju untuk mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan.

“Pakatan Rakyat tanpa DAP adalah satu platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini,” katanya.


Ini baru selepas sebulan Pakatan Harapan diumumkan tanpa PAS atau dengan kata lain, sebulan selepas ‘perkahwinan baru’ antara PKR, DAP dan parti serpihan PAS - Parti Amanah Negara (AMANAH) PADA 22 September 2015.

Gabungan baharu di antara PKR, DAP dan AMANAH, melibatkan pemimpin PAS progresif yang ditewaskan pada pemilihan parti pada Jun lalu, diwujudkan selepas berlaku kelompangan yang perlu diisi segera demi memberikan pilihan alternatif kepada rakyat.

PAS turut dijemput menganggotainya tetapi masih belum bersedia ikut serta. PAS enggan menyertai pakatan baharu itu, mengatakan ia tidak lagi boleh bekerja dengan DAP selepas memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya itu, dan menganggap pemimpin AMANAH adalah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS.”

PAS buat-buat bodoh bagaikan tidak sedar bahawa bukan sahaja DAP dan AMANAH kini sudah menjauhkan diri daripada PAS, tetapi PKR juga perlu menjaga rakannya dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP dan AMANAH.

Apakah PKR sanggup membelakangkan kedua-duanya hanya demi PAS?

Nasib baik PAS ada 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri  (DUN)  Selangor, kalau tidak sudah pasti ia tidak akan dipandang oleh PKR.

Itupun tak sedar diri masih bersikap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Pakatan Rakyat secara rasmi terkubur apabila DAP dan PAS memutuskan hubungan antara satu sama lain.

Keadaan itu dan konfik dalaman PAS kemudian membentu Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kemudian bergabung dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

PAS masih menganggap kerjasama parti itu dengan PKR sebagai membuktikan Pakatan Rakyat masih wujud.

Semalam, selepas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pakatan Rakyat masih wujud, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh wujud bersama-sama.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, keadaan itu pernah wujud suatu ketika dulu apabila PAS bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada era 1990-an PAS berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan pada masa sama Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, Parti Bersatu Sabah dan Parti Rakyat Malaysia melalui Gagasan Rakyat.

"Ia boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan dan satu lagi Pakatan (Rakyat) dengan PAS dan PKR. Kami masih bersama. Tanpa kami (PAS) tiada kerajaan (di Selangor) selepas Tan Sri Khalid Ibrahim memecat semua exco DAP dan PKR," katanya merujuk kepada menteri besar di negeri itu sebelum ini.

Katanya, keadaan sama juga dihadapi DAP yang memerlukan PKR sebagai sekutu politik. "Tengok di Pulau Pinang. Tanpa PKR bolehkah DAP mentadbir negeri?" katanya.
 
Jelas kini PAS seperti tidak sedar diri dan di awing-awangan selepas terpencil kerana keegoannya sendiri, terutamanya oleh sikap Presiden dan pendokong-pendokongnya.

Benar juga kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua kelmarin bahawa untuk tahu sama ada dakwaan PAS benar bahawa Pakatan Rakyat masih wujud, ia boleh cadangkan satu mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat diadakan.

Melalui mesyuarat itu kelak boleh dilihat siapa yang akan hadir.

"Kalau Pakatan  Rakyat masih hidup, mungkin sesiapa boleh mengadakan mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat dan lihat siapa yang akan hadir, “ katanya.

Tony Phua jelas membayangkan, yang datang nanti hanya PAS. DAP dan PKR sudah serik dan tidak akan datang kerana sebelum ini Presiden PAS hanya menghantar wakil.

Untuk rekod, sejauh ini sejauh ini PKR sudah mengadakan empat pertemuan dengan PAS dan di pihak PKR semuanya diketuai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaliknya,  tidak ada satu pun mesyuarat itu yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jadi tidak payahlah bercakap apa-apa lagi mengenai pakatan, khususnya Pakatan Rakyat.


Yang pasti, Pakatan Rakyat sudah mati. Pemimpin PKR dan DAP sudah mengakui perkara ini, cumanya pemimpin PAS sahaja yang masih bernostalgia dan bermimpi di siang hari!

Sunday, October 4, 2015

PAS Terpaksa Melangkah Sendirian di Terengganu, Kelantan – Itu Jalan Terbaik


Azan di tengah bersama Raja Bahrin dan Ng Chai Heng (kiri).
Hakikatnya, di Terengganu dan Kelantan, PAS tidak perlu bekerjasama pun dengan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) apa lagi DAP.

Untuk apa ada kerjasama sedemikian jika tidak menguntungkan PAS?

Sudah nyata, tiada apa yang boleh disumbangkan oleh wakil PKR di Terengganu (DUN Bandar) dan DUN Guchil di Kelantan.

ADUN Bandar, Azan Ismail di Terengganu bukan sahaja sukar untuk ditemui tetapi banyak masa berada di luar. Beliau hanya akan berada di Kuala Terengganu jika ada majlis berkaitan parti.

Yang pasti ialah tiga sidang Dewan Undangan Negeri atau DUN iaitu April, September dan November setiap tahun. Masa lain sukar mencari Azan. Kalau tidak di Kuala Lumpur, beliau mungkin di Kuantan.

Itu dengan PKR. Bagaimana dengan Amanah?

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah tegaskan dengan jelas bahawa PAS "tidak mungkin" dapat menerima kerjasama dengan Amanah.

Malah, PAS juga tidak jelas sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

Di Terengganu, wakil Amanah hanya di Parlimen Kuala Terengganu walaupun ada ura-ura ADUN Batu Burok dan ADUN Ladang akan menyertainya.

Malah, ketika dalam PAS pun, Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini hanya mencipta isu tetapi tidak berkhidmat untuk rakyat.

Untuk sebarang penyelesaian masalah, mereka terpaksa berjumpa dengan Pengarah DUN dan Parlimen Kuala Terengganu dari UMNO.

Lebih menyakitkan hati PAS, gerakan Amanah kini didakwa giat menarik ahli dan meramPAS bangunan milik parti berkenaan.

Semalam Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mencabar  PAS Terengganu untuk menyatakan pendirian sama ada untuk  bersama Barisan Nasional (BN) atau PH.

Raja Bahrin memberi amaran keengganan PAS menyertai PH menyebabkan parti itu ketinggalan di Terengganu berikutan PKR, DAP dan Amanah sudah bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan PH demi kepentingan rakyat.

Dalam satu kenyataannya semalam  beliau berkata sekiranya PAS mahu menyertai PH pada masa akan datang, permintaan itu akan dipertimbangkan melalui perbincangan parti komponen PH yang mana buat masa ini disertai oleh DAP, Amanah dan DAP.


“Penubuhan PH di Terengganu adalah atas permintaan akar umbi untuk terus maju ke hadapan dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14. Tawaran awal telah pun dibuat pada peringkat Pusat oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun mereka (PAS) enggan menerimanya. Jadi PH perlu mengambil langkah seterusnya,” katanya.

Raja Bahrin merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat di mana beliau dipetik sebagai berkata, Pilihan Raya Umum akan datang perlu kekal pertandingan dua penjuru – BN dan pakatan pembangkang.

Berikutan itu, kata Raja Bahrin: “Pesuruhjaya PAS perlu menyatakan pendirian sekiranya beliau benar-benar mahukan pertandingan dua penjuru,” katanya.

Dalam kedudukan PAS yang tidak jelas, semalam dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, apabila PAS bergabung dengan PKR sebahagian besar kerusi parti itu diserahkan kepada rakan kerjasama dalam gabungan pembangkang. Turut 'diserahkan' ialah jentera dan petugas parti.

Namun katanya, sekiranya PAS bergabung pula dengan Pakatan Harapan bermakna mereka sekali lagi perlu menyerahkan kerusi kepada parti baru dan ia "tidak mungkin berlaku".

"Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS. Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada AMANAH.

Tuan Ibrahim sudah memberikan amaran bahawa: "PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya (sebelum ini) kerana itu adalah hak PAS. Jika komponen parti pembangkang lain khususnya AMANAH juga meletakkan calonnya, ia menjadi penyambung tali hayat kepada UMNO atau BN," kata beliau.

Ini bermakna bahawa apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan di Terengganu tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada PAS termasuk tujuan kerjasama.

Tanpa PAS, perjanjian persefahaman telah ditandatangani semalam  yang disertai oleh tiga pengerusi parti negeri iaitu Azam Ismail dari PKR, Raja Bahrin dari Amanah dan Ng Chai Heng bagi pihak DAP.

Persetujuan PKR, Amanah dan DAP di Terengganu menjadikan ia negeri pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk Pakatan Harapan Terengganu, selari dengan gabungan yang telah pun dibentuk di peringkat Pusat.

MoU itu merupakan inisiatif awal untuk mengelak perlawanan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang khususnya melibatkan ketiga-tiga parti.

Ditanya sejauh mana kerjasama PKR dengan PAS, Azan memberitahu pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak sambil memberitahu bahawa keputusan untuk bersama Pakatan Harapan bukan dibuat bersendirian, tetapi ia merupakan dasar di peringkat pimpinan.


Walaupun Tuan Ibrahim bercakap secara umum, menurut beliau tindakan tergesa-gesa DAP, PKR dan Amanah membentuk PH menonjolkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS berharap tidak akan berlaku perpecahan kerjasama dengan PKR walaupun bibit perpecahan itu mula kelihatan.

Sejak Pakatan Rakyat berkubur, PAS hanya bekerjasama dengan PKR dan memutuskan hubungan dengan DAP.

Perselisihan itu berlarutan ekoran beberapa isu - terutama apabila membabitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - dan DAP.

Kata Tuan Ibrahim, ketika ini ada pihak ingin menjadi juara dengan mengawal parti pembangkang lain.

Beliau jelas merujuk kepada DAP.

Dengan adanya DAP dalam pakatan di Terengganu, sedangkan pengaruh parti itu tidak seberapa, amat jelas pada pilihan raya umum akan datang, tidak aka nada pertandingan dua penjuru.

Dengan kedudukan PKR dan DAP yang lemah disamping wakil Amanah yang tidak ke mana, pilihan raya umum akan datang – kerusi DUN dan Parlimen – pastinya akan ditandingi oleh sekurang-kurangnya tiga pihak iaitu BN, PAS dan pakatan pembangkang yang baru.

Dan seperti biasa akan ada pengacau yang meletakkan calon Bebas untuk memeriahkan lagi pilihan raya umum di Terengganu yang dijangka pada 2018.

Daripada teganuku

Monday, June 4, 2012

PAS Jangan Nak Berlagaklah Kalau Sekadar Jadi Penumpang Dalam Pakatan Pembangkang


Layakkan PAS ganti UMNO dalam konteks kepimpinan politik negara?

Dalam pakatan pembangkang, apakah PAS menerajuinya?

Dalam konteks Islam pula, apakah PAS diakui atau diiktiraf sebagai parti yang membela dan menjaga Islam di Malaysia?

Dalam konteks antarabangsa apakah PAS dilihat sebagai parti mewakili orang Islam di Malaysia?

Di mana kedudukan PAS pada forum-forum antarabangsa mengenai Islam dan apakah pemimpinnya dianggap bertaraf antarabangsa?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh bermimpi atau menyorongkan bantal di kepala sendiri untuk berkhayal jauh.

Namun hakikatnya PAS tidak serupa dengan UMNO, Jauh sangat bezanya!

Kerana itu, baik pemimpin PAS duduk merenung 'nasib sendiri' dan jangan nak berlagak konon ia setaraf dengan UMNO.

Dalam pakatan pembangkang, DAP sudah menggantikan PAS sebagai sahabat PKR yang lebih akrab. PAS sudah jatuh taraf...

Berdasarkan kedudukan inilah mungkin Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta PAS membuktikan parti itu mampu menjadi peneraju dalam pakatan sebelum memikirkan untuk menggantikan Umno.

Menurutnya pada masa ini, DAP mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai ketua pembangkang.

“Dalam kalangan tiga parti, PAS mempunyai kerusi paling sedikit, kita tidak nampak bagaimana parti yang mempunyai kerusi paling sikit boleh jadi peneraju,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS,  menyatakan parti itu sedia menggantikan Umno sebagai wadah utama bagi umat Melayu dan Islam.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan berkata, adalah jelas DAP mendapat keuntungan yang paling besar dalam pakatan tersebut sekali gus akan menolak agenda yang wibawa PAS.

Dalam pada itu, veteran Umno Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar menyifatkan PAS masih belum layak untuk menggantikan Umno sebagaimana diidamkan. Abdul Rahman berkata, sokongan parti itu masih jauh di belakang DAP dan PKR dan keadaan itu memberi gambaran jelas keupayaan sebenar PAS.

“PAS juga sentiasa akur dengan tekanan daripada DAP dan PKR, langsung tiada pendirian mereka sendiri sekadar pak turut semata-mata dan ia boleh dibuktikan dengan pelbagai isu yang berlaku sebelum ini.

“Oleh itu, bagaimana PAS mahu ganti Umno? Mereka perlu buktikan keupayaan dulu baru boleh bercakap,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, PAS juga tidak layak menggantikan Umno kerana sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asal mahu menegakkan Islam dan ketuanan Melayu.

Beliau berkata, ia jauh berbeza dengan Umno yang sentiasa konsisten dalam matlamat asal parti biar apa juga keadaan sekalipun selain menjadi juara menjaga kebajikan rakyat dengan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan.

“Malah, kita lihat bilangan kerusi Parlimen Pas lebih kecil dari PKR dan DAP sedangkan kerusi Umno pula banyak dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.

Wednesday, September 1, 2010

PAKATAN PEMBANGKANG TIADA NIAT LAKSANA HUDUD

Pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk PAS terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar bawah) yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk PAS.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi PAS, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang PAS tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi PAS tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," katanya.

(Untuk lebih jelas baca entri bertajuk Mufaraqahlah (berpisahlah) dalam blognya).

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa PAS tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan negara.

Jelas beliau, untuk melaksanakan hukum hudud, PAS perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain.

Kenyataan Zaid itu dikeluarkan ekoran pertelingkahan antara Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Sementara itu, Zulkifli yakin dan percaya kebanyakan ahli-ahli akar umbi PAS memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang mendesak supaya pakatan pembangkang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah apabila memerintah negara kelak.

Tetapi malangnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu ditentang dan disangkal oleh pimpinan pembangkang termasuk daripada kalangan PAS sendiri.

"Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan minggu lePAS memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli menyeru agar ahli-ahli PAS kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam dan seterusnya menolak kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan seperti DAP dan PKR.

Sunday, July 5, 2009

LADANG RAKYAT KELANTAN - ANTARA FAKTA DAN PEMBOHONGAN

Oleh Bicara Manek Urai

Kini Ulu Kelantan kini sedang menjadi fokus pemerhati politik kerana Manek Urai bakal menyaksikan pertembungan besar BN dan PAKATAN. Dua kawasan parlimen yang terletak di Ulu Kelantan iaitu Kuala Krai dan Gua Musang tidak boleh dikategorikan sebagai kubu kuat PAS.

Rata-rata pengundi di Ulu Kelantan merupakan penyokong BN kerana mereka ini adalah golongan yang telah cuba mengubah nasib melalui progam Rancangan Tanah Persekutuan seperti Kesedar dan Felcra.

Kejayaan Kesedar tidak perlu lagi dipertikaikan walaupun terdapat juga cacat cela. Rakyat miskin khususnya dari utara Kelantan telah diberi tanah pertanian untuk diusahakan sebagai punca rezeki harian. Golongan perintis kini telahpun bukan sahaja mengecap hasil usaha mereka tetapi secara amnya telah mengubah status sosio-ekonomi keluarga.

Maka PAS tidak mahu ketinggalan dalam membela nasib rakyat Kelantan. Beberapa tahun yang lepas Kerajaan PAS Kelantan telahpun melancarkan projek yang dinamakan Ladang Rakyat Kelantan. Ulasan mengenai Ladang ini juga boleh dibaca di Harakah Daily.

Persoalan di sini ialah sejauh manakah kejayaan Ladang Rakyat berbanding dengan Rancangan Tanah Persekutuan dan adakah ianya benar-benar boleh membawa rakyat keluar daripada belengu kemiskinan. Apa yang saya perhatikan ialah terdapat beberapa pembohongan yang tidak diketahui ramai mengenai Ladang Rakyat Kelantan.

Pembohongan 1: PAS Mempelopori Rancangan Pembangunan Tanah

Berikut saya petik dari Harakah Daily:
Kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1960-an lagi sudah mendahui kerajaan Pusat dalam aspek Pembangunan iaitu dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri. Konsep pembangunan tanah yang diperkenalkan oleh Kelantan inilah kemudiannya diikuti Kerajaan Pusat dengan memperkenalkan Felda, Felcra dan Kesedar.

Fakta: Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan Telah Bermula Di Kelantan Pada Tahun 1958

Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan telahpun dimulakan di Kelantan setahun selepas merdeka, iaitu pada tahun 1958. Salah satu rancangan tanah tersebut bertempat di Pasir Kelang dalam Jajahan Kuala Krai, yang dinamakan Rancangan Pembangunan Tanah Pasir Kelang (RPTPK). Antara penjawat awam yang terlibat secara langsung dengan RPTPK ialah arwah ayah saya sendiri.

Walaupun tidak diberi nama khusus seperti Felda atau Felcra, RPTPK mempunyai sudahpun mempunyai unsur-unsur badan tersebut seperti bantuan kewangan kerajaan persekutuan. Suka saya ingatkan kembali bahawa ini telahpun dibawa ke Kelantan pada tahun 1958.

Pembohongan 2: Ladang Rakyat Membela Rakyat Miskin

Berbanding dengan program Kesedar yang diumpamakan seperti memberi pancing dan jala kepada rakyat untuk mendapatkan ikan, konsep Ladang Rakyat pula hanya memberi ikan buruk yang sudah tidak laku di pasar. Rakyat miskin hanya diberi dividen RM 200 sebulan tanpa membuat sebarang kerja.
Fakta: Golongan Penerima Dividen Bukannya Benar-Benar Miskin

Pemberian dividen tidak membantu mengurangkan kemiskinan. Keutamaan pengagihan dividen diberi kepada penyokong tegar PAS. Di kampung saya contohnya, penerima dividen ialah individu yang jenis suka melalak dan menyalak siang dan malam di kedai kopi demi mengagungkan parti. Terdapat individu yang lebih layak menerima habuan, contoh yang saya sempat temui ialah ibu tunggal yang mengalami masalah mental dan seorang pesakit leukimia. Tetapi dua individu tersebut tidak terbela dan tanpa mendapat apa-apa, mungkin mereka bukan penyokong PAS agaknya.


Pembohongan 3: Ladang Rakyat Kepunyaan Rakyat

Nama projek tersebut Ladang Rakyat boleh menganburkan mata. Persepsi yang kerajaan negeri cuba wujudkan ialah ianya kepunyaan rakyat. Paling tidak peserta program Kesedar dapat mengenali secara nyata manakah dan apakah hak mereka. Bagi peserta Ladang Rakyat tidak diberi hak ke atas ladang yang diusahakan, cuma elaun bulanan.

Fakta: Kapitalis Cina Sebagai Pemegang Saham Utama

Pernah berlaku dalam 3 atau 4 tahun dahulu bahawa tanah haram yang diterokai oleh penduduk tempatan Ulu Kelantan selama berbelas-belas tahun sebagai punca rezeki akan diambil balik oleh kerajaan negeri. Alasan yang diberi oleh kerajaan negeri ialah tanah tersebut telahpun dipajak oleh syarikat luar. Adakah yang dimaksudkan syarikat luar itu tadi ialah pemodal dan pemegang saham utama Ladang Rakyat.

Siapakah pemegang saham utama di belakang Ladang Rakyat Kelantan. Nama beberapa pemegang saham utama setahu saya tidak pernah didedahkan. Maklumat yang saya dapat dari kenalan rapat yang bertugas di Ulu Kelantan menyatakan bahawa pemegang saham utama adalah tauke-tauke Cina. Oleh itu mungkinkah juga YB yang terlibat dibayar komisyen yang lumayan oleh pemegang saham. Allah hu'alam.


Kesimpulan 1: Penipuan Berselindung Di Sebalik Agama Islam

Sememangnya politik tidak boleh lari daripada penipuan. Akan tetapi amatlah bangsat dan hina jika pembohongan itu berselindung di sebalik agama. Adakah dividen RM 200 sebulan diterima oleh semua rakyat miskin Kelantan? Adakah dengan dividen RM 200 sebulan boleh menbantu rakyat keluar daripada belengu kemiskinan? Ianya lebih kepada "memelihara" penyokong tegar supaya sentiasa setia.

Kesimpulan 2: Harakah Bahan Lacuran Agenda PAS

MSM seperti Berita dan Utusan dikecam teruk dan dituduh sebagai alat penyebaran propaganda kerajaan. Apakah beza pula Harakah yang tidak dapat membezakan antara fakta dan pembohongan. Tambahan pula amat keji sekali jika Harakah memutar-belitkan penipuan yang berselindung di sebalik agama Islam.

Wassalam.

Saturday, June 13, 2009

PEMUDA PAKATAN ADILI PAS?

Apalah Dewan Pemuda pakatan nak sibuk-sibuk debat soal PAS.
Kenapa PAS mesti diadili di khalayak pemuda pakatan pembangkang?

Jangan nak jaga tepi kain orang lain – jaga tepi kain sendiri yang dah mula koyak rabak.
Kijang memang bengang dengan budak dua ekor ini - Ketua Pemuda Sosialis DAP yang juga ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Menyebuk tak habis-habis.
Baguslah sikap yang diambil Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi kerana menolak jemputan tersebut.

Menurut laporan Malaysiakini, Nasrudin berkata, beliau terpaksa menolak jemputan tersebut sebagai menghormati keputusan PAS pusat untuk tidak menyentuh isu kerajaan perpaduan untuk sementara waktu itu.

Seorang lagi panelis ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Betulkah beliau akan datang?
Kalau datang nyatakan yang sebenarnya Dr Asri.
Ini kerana menurut Dr Asri, kemenangan pro-kerajaan perpaduan dalam pemilihan PAS baru-baru ini menjadi petanda ramai perwakilan parti itu memikirkan kepentingan umat Islam dalam kerangka yang lebih luas.

“Dalam ertikata lain banyak pihak yang memikirkan Islam sebagai panduan politik, bukan mempolitikkan Islam,” kata bekas Mufti Perlis itu melalui khidmat pesanan ringkas kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemenangan Nasharudin Mat Isa mempertahankan kerusi Timbalan Presiden yang disandangnya selama tiga penggal berturut-turut.

Nasharudin dilihat sebagai kumpulan yang mendokong kepimpinan pro-muzakarah dengan Umno menang dengan majoriti 199 undi menewaskan dua calon, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dikaitkan dengan kumpulan ‘Erdogan’ dalam PAS.

Keputusan pemilihan itu PAS juga menggambarkan trend kepimpinan golongan ulama dalam PAS menguasai jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan berterusan selaras dengan gagasan kepimpinan ulama yang dibentuk lebih dua dekad lalu.

Menurut laporan, majlis Sembang Kopitiam anjuran Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor dan Shah Alam - membawa tajuk 'Pasca muktamar PAS - kerajaan perpaduan?'

Dalam satu kenyataannya, ia berkata majlis tersebut diadakan mulai jam 8 malam bertempat di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam.

Sibuk sungguh budak dua ekor tu untuk berkongsi pentas 16 Jun ini untuk membincangkan halatuju PAS ekoran isu-isu yang timbul selepas muktamar parti itu minggu lalu.

Takut sangat dengan isu kerajaan perpaduan sehingga mahu debatnya secara terbuka.
memang jelas perangan budak-budak ini macam bos mereka – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh.

Dilaporkan, banyak isu yang kontroversi timbul selepas muktamar PAS minggu lalu, antaranya penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dan usul menggesa pengharaman Sistem in Islam (SIS) yang membawa aliran Islam liberal.

Pekembangan tersebut, kata kenyataan itu, telah menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan orang ramai, termasuk golongan muda yang ingin melihat perubahan tulen selepas tsunami politik yang berlaku tahun lalu.

Menurutnya lagi, empat persoalan utama yang bakal dibincangkan dalam majlis tersebut ialah:

Dengan pimpinan baru yang dipilih, ke manakan PAS ingin menuju selepas muktamar?

Mengapakah Presiden PAS ingin mengutarakan tentang konsep kerajaan perpaduan?

Apakah persediaan untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan telah dijalankan dalam Pakatan Rakyat?

Bagaimana hubungan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat?

"Kesemua persoalan akan dikupas oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda masakini," kata kenyataan tersebut.