Thursday, October 23, 2008

JANGAN BIARKAN KARPAL SEMAKIN KURANG AJAR

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh digantung selama dua hari bermula hari ini kerana menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker Dewan Rakyat.

Beliau menuduh dan mencabar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kononnya beliau `bersikap tidak serius dan main-main’ semasa persidangan.

Karpal juga mempertikaikan semua keputusan yang dibuat Pandikar Amin selama ini dan akhirnya akur dengan keputusan itu dan dibawa keluar oleh Bentara kira-kira pukul 11.35 pagi ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya perkara itu dibincangkan, namun Pandikar Amin tetap dengan keputusannya mengikut Perkara 44 (3) kerana Karpal menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker.

Karpal ini semakin naik minyak sejak kerajaan melewat-lewatkan bentuk tindakan terhadapnya kerana ‘menghina’ Sultan dan perbuatan lain.

Awal Mei lalu, Karpal dilaporkan mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Karpal mempertahankan kenyataannya itu dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak kerana berpendapat bahawa kenyataan tersebut bersabit isu perundangan.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal, namun Peguam Negara pada 5 Jun lalu mengarahkan siasatan lanjut dijalankan.

Buruk sungguh perangai Karpal kerana setahu Kijang dialah orang pertama yang menggelarkan Speaker sebagai’kurang ajar’. Yang lain selalunya dihalau keluar dewan kerana tindakan mereka yang bersifat ‘melawan’ dan ‘tidak mematuhi arahan Speaker’.

Tetapi lain sekali dengan Karpal. Mulutnya kini kurang ajar apabila berani berkata ‘kurang ajar’ kepada Speaker.
Sewajarnya tindakan mengajar Karpal dijalankan segera kerana banyak pihak menyuarakan kekesalan mereka terhadap sikap berlengah pihak-pihak tertentu dalam mengambil tindakan terhadap Karpal.

Pada 23 September lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut tindakan lanjut ke atas Pengerusi DAP itu berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury disegerakan.

Kesemua NGO berkenaan rata-ratanya mahukan kes itu digerakkan dan mempersoalkan kenapa ia didiamkan sedangkan melibatkan maruah raja Melayu yang sangat mulia kedudukannya dalam masyarakat Melayu.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, rakyat perlu mengetahui apakah penghujung kepada siri laporan polis yang dibuat pelbagai pihak ke atas Karpal dan mengapa tiada tindakan diambil sehingga kini.

Sebelum itu pada 18 September lalu, dua buah NGO iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), mempersoalkan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap Karpal berhubung isu tersebut.

Pada 24 September pula, pemimpin politik terus meminta tindakan segera dikenakan terhadap Karpal berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak, Said Anwar Said Ahmad berkata, tindak-tanduk Karpal itu seperti mencabar institusi raja berperlembagaan di negara ini dan dilihat boleh menggugat kestabilan serta keamanan negara.

Said Anwar kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil meskipun isu tersebut sudah berlalu selama empat bulan.

"Bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail turut dikenakan tindakan apabila mengeluarkan kenyataan kontroversi yang dikatakan berbaur perkauman tetapi apa yang berlaku kepada Karpal adalah sebaliknya,'' katanya.

Pada 6 Oktober lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pejabat Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung status siasatan kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau setakat ini tidak memiliki maklumat terkini berhubung kes itu dan akan meminta penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara.

Jadi tunggu apa lagi pejabat Peguam Negera?

Kijang pun turut sama hairan kerana sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut berhubung siasatan berkenaan dan memang patut jika ditimbulkan persoalan mengapa ia mengambil masa yang terlalu lama.

Tuesday, October 21, 2008

DULU PUJI, KINI KEJI

Nasib sikatak besar - Ibrahim Ali!

Ada blog yang sedang hangat berkempen agar Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen (Bebas) Pasir Mas.

Pagi ini buka sahaja blog msomelayu.blogspot.com, tempampang rencana ‘Asah golok, parang dan kelewang’ yang membicarakan agar ahli parlimen berkenaan meletakkan jawatan.

Memetik tulisan seseorang yang digelarkan Ustaz, MSO berkata: “Ustaz itu berani juga, dia mencabar kalau benar ahli Parlimen itu anak jantan letaklah jawatan dan bertanding semula dalam pilihan raya kecil, baru tahu dia ada sokongan ataupun tidak.

Menurut analisa ustaz berkenaan ahli Parlimen itu menang baru-baru ini bukan kerana kehebatannya tetapi kerana simpati para penyokong dan pengundi Pas. Kesimpulannya kalau kita menang kerana orang dan bukan kekuatan peribadi tak usah agahlah.”

Kijang tidak mahu campur hal orang dan persengketaan orang Pas dengan Ibrahim, persoalannya kenapakah Pas bersetuju memberikan kerusi itu kepada ‘katak besar’ ini setelah mengetahui dari awal sikap beliau suka melompat-lompat.

Orang pertama yang patut digerudi ialah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri. Beliaulah dikatakan membuat keputusan ‘menerima’ Ibrahim dan kerana bantuan kewangan Ibrahim pulak tu!

Yang menghairankan mudah sangat Pas berikan kerusi. Pada Kijang mesti ada sebab penting atau mustahak sangat.

Lalu teringatlah Kijang kepada cakap-cakap bahawa di Pasir Mas, Ibrahim taja tiga calon Pas pada pilihan raya berkenaan dan katanya hampir RM1 juta bagi setiap DUN.

Akibatnya bukan sahaja Ibrahim menang. Dua calon BN yang juga bekas wakil rakyat, Hanafi Mamat (Pengkalan Pasir) dan Fauzi Mohd (Tendong) bungkus. Satu lagi kerusi DUN memang milik Pas.

Ai...kalau pun marah, dah lupakah kepada ‘budi’ Ibrahim?

Apakah kerana mulut celupar dan Ibrahim ‘tidak gemar’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan mereka marah denganya?

Susah sangat nanti masuk UMNOlah, selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur nanti.

Untuk mengetahui lebih lanjut, Kijang petik sedikit lagi tulisan MSO:

Kenapa ustaz itu ikut marah lagi ialah kerana keceluparan mulut ahli Parlimen itu yang cakap lepas dan cakap bebas. Seperti juga Murai, ustaz itu sedih kerana dia palu dan godam Pas. Tidak mengenang langsung pada pengorbanan Pas yang memberi bulan kepadanya pada pilihan raya lalu. Kalau ustaz nak tahu perangai begitu orang Kelantan kata; buvi bunga dibalas tahi. Ustaz fikirlah sendiri macam mana perut pedal, hati, limpah dan hempedu orang seperti itu. Selain itu apa yang beliau marah ialah bila ahli Parlimen itu mempertahankan ISA. Katanya sikap itu mengecewakan orang Pas termasuk Tok Guru Nik Aziz sendiri. Tok Guru itu tentu kurang senang tindakan mempertahankan ISA sebab anaknya, Nik Adli pernah menjadi mangsa akta berkenaan. Murai tidak mahu tokok tambah dan cukuplah apa yang Murai katakan sebelum ini. Mengenai cabaran ustaz itu suruh ahli Parlimen itu lepas jawatan, Murai tidak setuju. Sebab kalau bila sudah letak jawatan dia tidak boleh bertanding lagi. Jadi niat untuk ajar ahli Parlimen itu tidak akan kesampaian. Cara paling baik ialah tunggu pilihan raya ke-13 nanti. Murai rasa pilihan raya ke-13 tidak akan sampai empat tahun. Paling lama pun 2010. Najib Razak tentu akan segerakan kerana nak dapatkan mandat baru. Kalau Najib lengah dan panjangkan ia akan menyusahkannya. Masa pilihan raya ke-13 nantilah kalau nak ajar ahli Parlimen itu. Pilihan raya nanti baru dia tahu langit tinggi atau rendah. Apakah pengaruhnya masih tersisa atau tidak! Cuma apa yang Murai harap orang Pas bersiap sedia sahajalah dari sekarang. Asak golok, parang dan kelewang untuk 'takel' ahli Parlimen itu. Jadikan pilihan raya ke-13 nanti sebagai kubur untuk menimbus segala kebobrokan dan kebusukan moral politiknya yang mencemarkan demokrasi negara ini.

Monday, October 20, 2008

UMNO TANAH MERAH BERGOLAK LAGI

Apa dah jadi dengan Jawatankuasa Pemantau Perhubungan UMNO Kelantan?

Juga kenapa Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Tuan Hashim Tuan Yaakub terus menjadi sasaran?

Kijang melihat dengan laporan polis dibuat oleh UMNO Bahagian Tanah Merah semalam, mesti ada sesuatu yang tidak kena sama ada di kedua-dua belah pihak atau sebaliknya.

Semalam UMNO bahagian itu membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di bahagian itu, baru-baru ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah jam 1.20 tengah hari kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan.

Setiausaha UMNO bahagian itu, Amran Abdul Rahman berkata berdasarkan kepada perjanjian, jawatankuasa itu akan menyerahkan laporan mesyuarat selepas dua hari setiap persidangan cawangan diadakan.

"Bagaimanapun sehingga hari ini, laporan yang dijanjikan tidak diserahkan, sebaliknya ia diserahkan kepada pihak lain yang tidak berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Menurut Amran sebelum persidangan cawangan bermula dari 4 Oktober hingga 10 Oktober lalu, jawatankuasa tersebut, yang dipengerusikan oleh pegawai khas kepada pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaakub bersetuju untuk menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada bahagian.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini laporan yang diminta untuk simpanan bahagian, tidak diserahkan.

"Yang peliknya, jawatankuasa terbabit menyerahkan laporan itu kepada pihak lain sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan media pada 11 Oktober lepas," katanya.

Beliau yang mengesyaki ada unsur-unsur penipuan, meminta siasatan dibuat bagi menentukan kesahihan mesyuarat diadakan dan mendapatkan laporan lengkap keputusan persidangan yang diadakan.

Ketua Polis Tanah Merah, Supt Abdul Aziz Mahmud ketika ditemui, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sambil menunggu siasatan, khabar angin bertiup kencang bahawa Tuan Hashim mempunyai peranan secara sembunyi dengan calon yang mahu bertanding sebagai Ketua Bahagian pada bahagian berkenaan.

Kedua-dua mereka sebenarnya mempunyai hubungan istimewa apabila Tuan Hashim adalah Pengerusi MAYC Negeri Kelantan dan calon berkenaan adalah timbalannya.
Apapun, polis sedang menyiasat dan diharapkan tiada ‘permainan kotor’ oleh ‘tangan ghaib’ di bahagian berkenaan!