Tuesday, March 3, 2009

PANDANGAN NIK AZIZ DITOLAK

Nik Aziz sudah tidak kebal. Pandangannya akhir-akhir ini sering ditolak.
Pemimpin kanan PAS memberikan reaksi berbeza berhubung cadangan mengadakan kaedah rundingan untuk memilih barisan pemimpin tertinggi parti pada muktamar, Jun ini.

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu berkata cadangan tersebut sewajarnya dibincangkan dalam mesyuarat PAS terlebih dahulu sebelum diluluskan.

"Perkara tersebut belum dibincangkan lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan syura dalam muktamar kali ini bagi mengelakkan persaingan sengit khususnya antara dua kumpulan besar, pro-muzakarah dengan Umno dan pro-Pakatan Rakyat.

Bagi mengelakkan persaingan sengit khususnya selepas wujud dua kumpulan besar - pro-muzakarah dengan Umno dan pro-Pakatan Rakyat - mursyidul am PAS mencadangkan kaedah berunding untuk memilih barisan pemimpin tertinggi parti.

Nik Aziz berkata PAS bercadang menggunakan kaedah syura pada muktamar ke-55 yang dijadual Jun ini.

Langkah itu disarankan kerana PAS seboleh-bolehnya mahu mengurangkan sebarang perselisihan dalam parti itu, termasuk dalam soal pemilihan pemimpin, lapor Bernama.

Katanya, kaedah syura - iaitu perbincangan bagi mencapai persetujuan bersama - berkemungkinan besar digunakan dalam pemilihan muktamar kali ini.

"Seboleh-bolehnya kita tak mahu ada perselisihan, nak lari daripada
berselisih pun tak boleh kerana manusia ni tak sama, tapi kalau cara syura boleh (kurangkan perselisihan), tak apalah, asalkan syura tu tak bercanggah dengan asas bermesyuarat," Nik Aziz dipetik berkata.

Tambahnya, beliau berharap muktamar tahun ini dapat diadakan di
sebuah negeri tempat PAS baru bertapak.

Sejak kemenangan besar parti itu bersama PKR dan DAP pada pilihanraya umum, PAS berdepan dengan pergeseran dalaman yang besar susulan usaha mengadakan rundingan tertutup dengan Umno pertengahan tahun lepas.

Barisan pemimpin kanan PAS yang menentang rundingan sulit itu kemudian digelar "kumpulan Erdogan" - mereka yang percaya parti itu wajar mengutamakan kerjasama dalam gabungan pembangkang.

Perbezaan terbuka sesama mereka merebak secara lebih terbuka dalam perbahasan-perbahasan di muktamar PAS di Ipoh, waktu itu Perak turut dikuasai parti tersebut, Ogos tahun lalu.

Perselisihan itu terus muncul termasuk sewaktu ura-ura mengambil alih kerajaan persekutuan daripada BN - atau projek 16 September - yang pernah diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang ditandingi PAS, pertengahan Januari lalu, persaingan dua aliran tersebut terus sengit sehingga mendorong presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan saat akhir mengutamakan calon pilihannya.
Mohamad Sabu berkata, seingatnya pemilihan pemimpin tertinggi parti pernah berlaku secara syura tetapi tidak pasti tarikhnya.

Bagaimanapun, tambah bekas tahanan ISA itu, pertandingan dalam pemilihan nanti "tidak memberi masalah besar kepada PAS" kerana ia merupakan amalan biasa.

Seorang lagi naib presiden PAS Ahmad Awang dan ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub bersetuju dengan cadangan mursyidul am PAS itu.

"Saya mengalu-alukan cadangan tersebut dan kita akan memikirkan kemungkinan cadangan tersebut boleh dilaksanakan," kata Ahmad, yang juga pesuruhjaya PAS Perak.

Tambahnya, kaedah syura pernah dicadangkan pada pemilihan 2004 tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana calon-calon yang bertanding tidak bersedia.

"Maka pertandingan berjalan seperti biasa," katanya.

Ditanya mengapa Nik Aziz mencadangkan perkara tersebut kali ini, Ahmad berkata:

"Saya rasa mursyidul am menyedari pada pemilihan 2006, satu dua hari sebelum pemilihan, ada (pemimpin) yang rancak berkempen sehingga suasana (pemilihan) berakhir dengan ada pihak yang tidak berpuas hati.”

Walaupun bersetuju dengan saranan Nik Aziz, Salahudin bagaimanapun menyifatkan idea itu masih "terlalu awal" untuk dibincangkan.

"Amalan ini (syura) adalah cara kita, mengutamakan syura sebagai asas perbincangan dan membuat pemilihan parti," katanya.

"Tetapi jangan salah faham, perundingan adalah satu musyawarah dan pertandingan juga satu syura."

Ahli parlimen Kubang Kerian itu sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tersebut. Tidak pasti sama ada beliau berminat bertanding jawatan lebih tinggi.

Monday, March 2, 2009

NOR YAKCOP? TIDAK HAIRAN

Memanglah Menteri ini pasti tidak akan tahu apa-apa.

Dia hanya tahu mengenai projek. Tugasnya menjadi orang yang merunding dan mengemukakan cadangan untuk projek diluluskan.

Orang lain dia tidak kenal. Yang dia kenal Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin serta kumpulan yang mengelilinginya.

Mengenai UMNO pun dia tidak ambil kisah. Mana ada komen mengenai UMNO keluar daripada mulutnya.

Dia juga tidak tahu cakap Bahasa Melayu.

Kijang tidak terkejut kalau ada mengatakan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop "benar-benar tak tahu" adakah Malaysia boleh mengelak kemelesetan ekonomi dunia sekarang.

Apabila ditanya sama ada Malaysia boleh mengelak kemelesetan, Bernama memetik beliau berkata, "saya benar-benar tak tahu kerana terdapat terlalu banyak keadaan tidak menentu sekarang. Enam bulan lalu, kita tidak menjangka dunia akan berada dalam situasi berlarutan seperti sekarang dan kita tidak tahu daripada sekarang, bagaimana keadaan dunia di masa depan."

Menurut beliau, terdapat keadaan tidak menentu yang ketara yang kita harus akui dari segi senario luar terutamanya dari segi sedalam mana, sejauhmana dan selama mana kegawatan ekonomi antarabangsa akan berlaku.

Hakikatnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kini berkembang hanya 0.1 peratus sahaja pada suku keempat 2008 daripada 4.7 peratus pada suku ketiga, yang jelas mencerminkan kesan limpahan keadaan ekonomi global yang kian buruk.

Pengurangan aktiviti pelaburan mendorong kepada pertumbuhan negatif pembentukan modal tetap kasar (-10.2 peratus; suku3: 3.1 peratus) di dalam suku keempat.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ekonomi yang perlahan dijangka mengekang tekanan bekalan dan permintaan ketara di dalam peningkatan harga domestik.
Trend itu disahkan oleh perangkaan bagi bulan Januari 2009 di mana inflasi berada pada paras 3.9 peratus, kata BNM. - mks._ Isnin 2 Mac 2009 | 5 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah
Jadi tidak hairanlah kerana beliau sendiri pun tidak tahu ke mana dia akan berada selepas Mac ini.

Kijang rasa hanya bakal Perdana Menteri yang tahu di mana mahu ditempatkan Menteri Kewangan yang banyak tidak tahu ini.

Thursday, February 26, 2009

IBRAHIM? TAK PAYAHLAH...

Mudahnya memaafkan.

Kalau beginilah, baik duduk luar UMNO dan hentam UMNOI betul-betul. Nampak memang anti-UMNO habis.

Lepas itu hentam pembangkang habis-habis, nampak hero UMNO.

Kalau diterima UMNO, akan dapat tempat. Setidak-tidaknya kalau tidak jadi Menteri, boleh berceramah dengan orang penting UMNO.

Kita lihat bagaimana orang yang pernah menyumpah dan mencaci UMNO hari ini menjadi Menteri.

Benar pendapat Pemuda Umno Gua Musang apabila menolak cadangan supaya Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, diundang menyertai semula Umno, sebaliknya pergerakan itu mahu beliau kekal sebagai anggota Bebas.

Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata, pengalaman lepas apabila Ibrahim menentang calon Barisan Nasional pada satu pilihan raya kecil pada 2005 menunjukkan beliau sanggup menentang pucuk pimpinan Umno.

"Kalau dia akur dengan keputusan Presiden dan Timbalan Presiden sebelum ini,dia tidak bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN," katanya.

Bazlan berharap pucuk pimpinan Umno tidak mudah tertarik dengan cadangan mana-mana pihak supaya Ibrahim menyertai semula Umno sebaliknya mereka perlu belajar daripada kesilapan lampau.

Kijang hairan kenapa si Alwi – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri – tiba-tiba sahaja berkata UMNO sedia terima Ibrahim.

Pada 23 Februari lalu, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad berkata Umno Kelantan sedia menerima Ibrahim sekiranya Anggota Parlimen Pasir Mas itu mahu kembali kepada parti itu.

Alwi berkata kini terpulang kepada satu-satunya Anggota Parlimen Bebas itu sama ada mahu bersama-sama Barisan Nasional (BN) selepas gesaan PAS supaya Ibrahim meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya seumur hidup dalam UMNO kerana bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-11, Mei 2004.

Beliau bagaimanapun tewas kepada calon Pas, Ismail Noh.

Peranan Ibrahim pada pilihan raya lalu jelas menentang BN kerana di Pasir Mas, calon-calon BN pada kerusi Parlimen Pasir Mas dan tiga kerusi DUN – Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok – kalah kerana peranan Ibrahim.

Malah pada pemilihan UMNO Bahagian pun, Ibrahim dikatakan memainkan peranannya dengan menaja bekas ADUN Tendong, Fauzi Mohamad, yang pada pilihan raya umum lalu adalah calon BN yang kalah di Tendong, untuk menentang Hanafi Mamat.

Ia bukan rahsia kerana Fauzi adalah bekas anak buah Ibrahim. Semua orang Tendong tahu dan semua orang Pasir Mas tahu.

Setidak-tidaknya Alwi tanya dan tinjau pendapat orang Pasir Mas dulu jangan pakai hentam saja.

Perangai Alwi tidak ubah bosnya, Tan Sri Annuar Musa – melakukan perbuatan lebih kurang sama apabila mengumumkan calon Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum 2008. Akhirnya calon diumumkan tidak muncul dan calon yang diketengahkan sebagai ganti tidak sesuai.

Dengan peranan Ibrahim, seluruh Pasir Mas lingkup walaupun Hanafi berusaha memenuhi semua manifesto pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Jelas dalam isu Ibrahim ini, walaupun orang luar melihat Ibrahim kuat tetapi ia ‘naik semula’ kerana PAS.

Tanpa jentera PAS atau dengan mengharapkan jenteranya sahaja, Ibrahim tidak mungkin jadi wakil rakyat.

Dan dengan kenyataan Ibrahim bahawa beliau tidak minat pun masuk UMNO, lupakan Ibrahim kerana kelak ia akan jadi ‘liabiliti’ kepada UMNO Kelantan.