Wednesday, August 25, 2010

LELAKI DISYAKI SEMBELIH ANAK DIREMAN

Nik Suzila Nik Hashim bersama dua anaknya, Siti Aishah Muhaimin dan Shafiqah melihat gambar Allahyarham Mohd. Adam Muszhaffar yang disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia, di rumahnya di Kg Sungai Budor, Kota Bharu, 25 Ogos. Mohd Adam Muszhaffar maut selepas disembelih bapanya sendiri. - Utusan

Seorang lelaki berusia 33 tahun yang sedang menerima rawatan di hospital di Kota Bharu , dikenakan perintah reman berhubung kematian seorang kanak-kanak berumur tiga tahun semalam akibat disembelih.

Pendaftar Kanan Mahkamah di sini, Rashid Mustafa, memaklumkan bahawa mahkamah telah mengeluarkan reman selama lima hari bermula hari ini.

Rashid yang hadir bersama seorang jurubahasa dan seorang kerani jenayah di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 11.05 pagi tadi turut dilihat menemui doktor yang merawat suspek sebelum mengajukan beberapa soalan kepada lelaki itu.

Bagaimanapun, suspek yang kelihatan lemah kerana turut cedera di leher akibat tindakannya cuba mengelar lehernya sendiri, dilihat lebih banyak menggeleng kepala tanpa bercakap.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor dekat sini semalam, Mohd. Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba mengelar dirinya sendiri.

Lelaki terbabit yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu itu dipercayai pernah mendapat rawatan mental.

Difahamkan, Muhaimin bertindak demikian selepas dia gagal mengawal diri apabila dia didakwa telah lama tidak memakan ubat sakit mental.

Dalam kejadiam semalam, ibu kepada Mohd Adam melihat suaminya menyembelih anak lelaki kesayangan mereka di dalam bilik air walaupun merayu berkali-kali supaya si suami tidak meneruskan niatnya.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di Kampung Sungai Budor. Mohd. Adam Muszhaffar Muhaimin, 3, meninggal dunia selepas lehernya hampir putus disembelih oleh bapanya, Muhaimin Sautar, 33, dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu.

Menurut laporan Kosmo dan Harian Metro, selepas menyembelih anaknya yang memakai jersi tertera nama pemain bola sepak Rusia, Andrei Arshavin yang kini mewakili pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Muhaimin cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya tetapi tindakan itu gagal apabila dia diselamatkan penduduk.

Jiran-jirannya kemudian bertindak menghubungi polis sebelum dia dibawa oleh pasukan keselamatan itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

Mangsa merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik. Dia mempunyai seorang kakak, Shafiqah, 8, dan seorang adik, Siti Aishah, 2.

Isteri Muhaimin, Nik Suzila Nik Hashim, 32, berkata, sebelum kejadian, suaminya mengadu panas badan dan dia kemudian duduk di bawah rumah berhampiran dengan bilik air rumah mereka.

Ketika itu kira-kira jam 12 tengah hari, dia dan suaminya sempat berbual-bual sebelum suaminya berjalan ke arah dapur sambil diekori Mohamad Adam Muszahffar.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan kuat Mohamad Adam Muszahffar dan pada mulanya menyangka anak kedua daripada tiga beradik itu terjatuh di dapur.

“Saya segera ke dapur dan terkejut melihat anak saya terkulai berlumuran darah disembelih suami. Saya tak sangka dia sanggup berbuat begitu. Saya mampu menjerit dan makin terkejut apabila suami cuba mengelar lehernya sendiri,” katanya.

“Luluh hati saya tatkala melihat suami saya bersungguh-sungguh menyembelih Mohd. Adam. Ketika itu suami berada di atas Mohd. Adam tanpa bersuara walaupun saya memintanya supaya berhenti.

“Saya hanya mampu melihat darah membuak-buak mengalir ke lantai sehinggalah Mohd. Adam terkulai kaku dan tidak lagi bernyawa,” ceritanya semalam.

Menurut Nik Suzila, turut berada di rumah ketika kejadian, anak bongsunya, Siti Aisyah, 2, manakala anak sulung, Nur Syafikah, 8, berada di sekolah.
Muhaimin kemudian ditahan polis.

PERKASA, IBRAHIM ALI, PRU 13: SATU MITOS

Oleh Zaini Hassan (Utusan Malaysia)

SAHABAT blogger saya, Rocky‘s Bru menulis dalam entri terbarunya mengenai kemungkinan kemunculan kuasa ketiga dalam PRU ke-13, yang bakal berlaku sekitar setahun setengah ke dua tahun lagi.

Kuasa itu ialah Parti Peribumi Perkasa Negara atau istilah yang sering kita dengar sekarang iaitu Perkasa. Persoalannya, benarkah Perkasa akan menjadi sebuah parti politik?

Apakah benar-benar ia akan menjadi satu kuasa - selepas kuasa BN, kuasa pakatan pembangkang dan Perkasa? Siapakah yang akan memimpinnya kelak? Ibrahim Alikah?

Namun, seperti kata Rocky kita tidak boleh menolak kemungkinan itu. Dengan keahlian seramai 200,000 sekarang -- ia besar, gedebe (bahasa orang Kelantan bererti ganas) dan bagi sesetengah pihak, ia jahat.

Orang Cina amat membenci Perkasa ini. Pemuda UMNO, melalui ketuanya pun dikatakan membencinya. Hakikatnya, orang Melayu, terutamanya yang tidak meminati UMNO, Pas dan PKR, sekarang sedikit demi sedikit menyertai dan menyokong pertubuhan itu.

Bermula sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama memperjuangkan hak-hak bangsa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu, sedikit demi sedikit nafsunya boleh menjadi lebih besar. Ia, akhirnya mungkin mahu terbabit secara langsung dalam aktiviti siasah.

Benarkah orang Melayu berminat dengan Perkasa. Dalam Cuit yang terdahulu saya ada menulis ‘NGO semakin garang, parti Melayu semakin...’ yang memperlihatkan orang Melayu mahukan suara yang lebih lantang dalam menyuarakan hak mereka. Mungkin kerana itulah dalam setahun jagung penubuhannya, Perkasa telah berjaya mengumpulkan seramai itu keahliannya.

Dalam tulisan itu (Cuit 11 Ogos) saya menulis sebab-sebab orang muda mulai berubah angin kepada NGO: ‘‘NGO - Pertubuhan Bukan Kerajaan atau ada yang menyebut No Gaji Organisation mula mengambil alih peranan sayap muda yang lesu.

Pertumbuhan mereka kini merata. Rata-ratanya atas nama orang Melayu, mereka mula mengambil alih peranan parti politik tertentu.

‘‘NGO kini sedang diperhatikan oleh banyak pihak. Orang-orang Melayu pun mula tertarik dengan mereka. Yang tidak suka PKR masuk NGO, yang tidak suka Pas dan DAP pun masuk NGO dan yang keluar dari UMNO dan pemudanya yang berhemah pun khabarnya menyertai NGO.

‘‘Mereka ini bukan tidak suka parti pemerintah, tapi tidak sukakan parti pembangkang. Mereka ini mahukan suara yang lebih lantang, dan gerak- geri yang lebih kelihatan.”

Menurut Rocky pula, kebanyakan ahli-ahli Perkasa terdiri daripada ahli UMNO dan banyak juga terdiri daripada Melayu cerdik-cerdik, berasal dari bandar, yang tidak berhasrat menyertai UMNO (dan sudah tentu tidak percayakah Anwar Ibrahim dan PKR/Pas yang diterajuinya). Tambah lagi, penglibatan Dr. Mahathir Mohamad dengan Perkasa telah menarik penyertaan yang banyak, terutamanya dari kaum muda Melayu.

Seperti juga pendapat Rocky, Perkasa sepatutnya hanya wujud sebagai satu kumpulan pendesak tetapi dalam suasana politik Malaysia yang memuncak sekarang, Perkasa boleh menjadi satu kuasa yang tidak boleh diketepikan peranannya dalam pilihan raya umum kelak.

Persoalannya dengan siapa Perkasa akan bertaut? Dengan UMNOkah, atau dengan Paskah? Inilah persoalannya yang akan wujud sekiranya benar ia akan menjadi parti politik.

Perlu diingat kuasa 200,000 (dan semakin meningkat) tidak boleh dipandang enteng sama sekali oleh gergasi UMNO, Pas, malah pakatan pembangkang lain.

Bijak sungguh Ibrahim Ali. Kini beliau sudah mempunyai bargaining power (kuasa tawar menawar) di dalam tangan beliau. Tidak sia-sia Tok Him menjerit sana, menjerit sini. Kini Perkasa bakal menjadi kuasa ketiga terpenting dalam persaingan politik negara ini.

Apakah Tok Him juga bercita-cita menjadi Perdana Menteri? Hahaha, janganlah gelojoh macam Pak Sheikh kita tu, nanti tersungkur cepat.

Apakah Ibrahim Ali diletakkan situ hanya sementara sahaja? Seorang tokoh lain yang lebih kredibel, berketrampilan akan dibawa masuk? Mungkinkah Tun Dr. Mahathir akan kembali? Ku Li? Atau, Musa Hitam? Mungkinkah perancangan awalnya begitu. Allahualam.

Namun, tidak mustahil itu semua boleh berlaku. Semua orang tahu Ibrahim juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Ku Li, putera raja Kelantan yang dalam hati kecilnya masih menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri satu masa nanti.

Mungkin juga itu perancangan awalnya, satu `grand design’ yang dibentuk bagi menyelamatkan parti Melayu sekiranya sesuatu berlaku kepada UMNO kelak? Ini semua ialah satu andaian yang dalam suasana masa kini - tidak boleh ditolak ke tepi sama sekali.

Saintis politik dan penganalisis politik pun membuat kajian dan ramalan seumpama ini. Orang Melayu harus mempunyai plan B bagi menyelamatkan bangsa itu daripada terus hanyut sekiranya sesuatu terjadi kepada UMNO kelak.

Menurut Rocky, walaupun rancangan itu akan memecahkan lagi kuasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya mereka akan sedar mengenai keperluan untuk bersatu kembali demi survival bangsa itu.

Kini kuasa penentu di tangan penerajunya. Seorang bekas exco Pemuda UMNO - seorang doktor perubatan -- yang meninggalkan sayap itu pernah memberitahu saya dengan bangganya: ‘‘Saya kini bergerak aktif dalam Perkasa.”

Benar kata Rocky, apa yang kita katakan ini hanyalah satu mimpi. Tetapi kata beliau lagi: ‘‘Saya memikirkannya hari ini, jika Perkasa menjadi parti politik dan tidak semena-mena bergabung dengan PKR, DAP dan Pas dalam Pakatan Rakyat, maka kemungkinan - berakhirnya BN - akan menjadi, begitu real.

‘‘Najib Razak UMNO/BN harus mempunyai rancangan strategi semula yang serius untuk difikirkan, sebelum Perkasa membuat keputusan BESAR itu.”

Sekali lagi Tok Him, kini kuasa di tangan anda. Anda (mungkin) bakal survive buat kesekian kalinya. Hebat-hebat...

JP KELANTAN SAMPAIKAN WANG ZAKAT

Shukri Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada wakil keluarga miskin di Kota Bharu, semalam.

Majlis Jaksa Pendamai (JP) negeri menyampaikan wang zakat berjumlah RM34,000 kepada 340 orang fakir miskin terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan warga emas.

Penyerahan wang zakat itu disampaikan oleh Presiden JP negeri, Datuk Shukri Mohamad dalam satu majlis di Berek 12 di Kota Bharu, semalam.

Shukri ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan program tahunan JP setiap kali Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengumpulkan wang zakat di kalangan ahli-ahli untuk diagihkan kepada penerima yang telah dikenal pasti oleh wakil-wakil JP di seluruh negeri.

"Pihak kami merasakan turut bertanggungjawab meringankan perbelanjaan mereka sepanjang bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya ini," katanya di sini, semalam.

Shukri berkata, selain anak yatim, ibu tunggal dan warga emas, turut menerima bantuan wang zakat itu ialah pelajar tahfiz.

Beliau mengakui, ada sesetengah individu yang berasa malu untuk menerima bantuan wang zakat sungguhpun mereka hidup dalam kemiskinan.

Justeru katanya, pihaknya terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan bagi membolehkan golongan tersebut dapat disenaraikan sebagai antara penerima bantuan.

"Kita berharap sumbangan ini membolehkan mereka membuat persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dan sama-sama meraikannya dengan rasa gembira," katanya.