Friday, August 27, 2010

PROGRAM BASMI KEMISKINAN KADA DATANGKAN IMPAK TINGGI

Ilias Hussein (dua kiri) menyampaikan benih ikan keli kepada salah seorang peserta projek ternakan keli di Kota Bharu, baru-baru ini.

Utusan Malaysia

Program basmi kemiskinan yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) telah memberi impak yang tinggi dalam memajukan ekonomi petani dan penternak di negeri ini.

Program itu juga membuktikan bahawa sektor pertanian dan ternakan sememangnya berpotensi sebagai sumber penting untuk menjana ekonomi masyarakat luar bandar.

Inisiatif melaksanakan program itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan hingga ke paras 2.8 peratus menjelang akhir tahun 2010.

Justeru dengan segala kemudahan dan bantuan yang diperuntukkan melalui program ini, tidak ada sebab atau alasan untuk mengatakan golongan miskin tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini telah memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta melalui KADA bagi membangunkan pelbagai program membasmi kemiskinan di beberapa kawasan Parlimen di negeri ini.

Antara Parlimen terlibat adalah Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Ketereh yang membabitkan seramai 400 petani yang dipilih melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen berdasarkan senarai e-Kasih.

Jumlah peserta terlibat hampir sekali ganda berbanding pada tahun lalu yang hanya seramai 250 orang, membabitkan hanya dua kawasan Parlimen iaitu Tumpat dan Ketereh.

Menurut Pengerusi KADA, Tan Sri Annuar Musa, program tersebut merupakan projek bersepadu kerajaan bagi membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan para petani melalui bidang pertanian dan industri asas tani.

“Ia bermatlamat meningkatkan pendapatan peserta e-Kasih, mengurangkan kadar kemiskinan dan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kelompok miskin tegar dan miskin.

“Di samping itu, ia juga untuk membantu meningkatkan jati diri peserta melalui program pembangunan modal insan dan motivasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif tersebut, KADA menumpukan pada 10 projek yang dikenal pasti berpotensi untuk meningkatkan pendapatan peserta antaranya projek ternakan ikan keli, tanaman cendawan dan ternakan itik dengan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap peserta.

Setiap peserta akan diberikan bantuan dalam bentuk kelengkapan dan input projek selain kursus teknikal sebelum memulakan projek.

Selain itu, KADA juga memberikan khidmat nasihat dan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan berdaya maju dan mencapai matlamatnya.

Bagi memantapkan pelaksanaan sistem projek berkenaan, KADA baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan empat syarikat yang akan mengurus dan memasarkan hasil pertanian yang dikeluarkan.

Syarikat terbabit adalah Belia Bela Diri Jajahan Bachok dan Koperasi Bela Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat yang akan menguruskan pemasaran cendawan.

Sementara dua syarikat lagi iaitu Perniagaan RZ Maju Jaya untuk ternakan ikan keli dan syarikat Itik Maju Trading yang berpejabat di Kuala Lumpur pula terlibat dalam ternakan itik.

Annuar berkata, melalui perjanjian tersebut petani adalah pemilik projek, KADA pula merupakan agensi pelaksana dan pemantau manakala empat syarikat terbabit akan mengendalikan projek termasuk membekalkan benih, khidmat bimbingan dan memasarkan hasil.

Jelasnya, keuntungan projek akan diberikan kepada petani dan sebahagiannya akan disalurkan ke dalam tabung projek sebagai modal pusingan untuk menjalankan projek pusingan kedua dan seterusnya.

“Kita sasarkan pendapatan mereka melepasi graf kemiskinan tegar golongan itu sekarang,” tambahnya.

Annuar berkata, bagi memperkasakan lagi usaha membasmi kemiskinan di kalangan petani, KADA juga telah memperuntukkan hampir RM100,000 bagi membantu meningkatkan pendapatan 93 petani di Kampung Cherang Hangus, Bachok melalui projek ternakan ikan keli.

Jumlah tersebut merangkumi segala bentuk keperluan berkaitan bagi membolehkan peserta terlibat menjalankan projek berkenaan tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah projek itu, Datuk Dr. Ilias Hussein memberitahu, setiap peserta dianggarkan menerima peruntukan sebanyak RM2,000 selain bantuan 200 ekor anak ikan keli dan sangkar.

Menurut Ilias, peserta terpilih akan menjalankan projek ternakan di tali air KADA yang terdapat di kampung mereka.

Langkah tersebut katanya, dianggap praktikal dari segi penjimatan kos memandangkan peserta tidak perlu menggali kolam atau menyediakan kolah untuk menjayakan projek tersebut.

Justeru beliau berharap, setiap peserta dapat mengusahakan projek tersebut dengan jayanya kerana mereka hanya diberikan bantuan sekali sahaja.

“Lakukan, gunakan peluang ini sebaik mungkin agar dapat mengumpul modal sendiri bagi menjayakan projek berkenaan untuk kali yang seterusnya,” katanya.

HUDUD – PAS TIDAK BOLEH SENDIRIAN

Hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak akan tercapai kerana parti itu secara sendirian tidak mampu menguasai majoriti kerusi Parlimen untuk meminda Perlembagaan, kata penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim.

"Saya tidak nampak hudud boleh dilaksanakan oleh satu parti sahaja. Ia memerlukan sokongan besar di dalam Dewan (Rakyat)," katanya.

Zaid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, berkata impian melaksanakan hukum hudud tidak mungkin tercapai berdasarkan kedudukan kerusi PAS dalam Dewan Rakyat yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud biarpun rakan pakatan pembangkang, DAP, membantah hasrat itu dengan menyifatkan Malaysia adalah negara sekular.

Zaid yang sebelum itu menyampaikan sumbangan hari raya kepada orang kurang upaya di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu, semalam berkata perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan hukum hudud di antara PAS dan DAP hanyalah berasaskan perbezaan impian politik masing-masing.

"Ketiga-tiga parti (PAS, DAP, PKR) telah bersetuju segala undang-undang yang kita buat atau kita gubal mestilah mengikut perlembagaan negara," katanya sambil menambah dasar bersama itu ditandatangani pada Disember 2009.

FELDA DIARAH BAYAR PENEROKA KEMAHANG 3 RM11j

Daripada Malaysiakini

Setelah lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang Tiga dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar mereka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain, mahkamah itu yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.

Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.

Dengan penghakiman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Menurut Alauddin, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

"Justeru, rayuan itu ditolak."

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.

Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.

"Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Zaki dalam penghakiman lisannya.

Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.

Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.