Saturday, October 30, 2010

DATARAN SIREH TAPAK KEKAL PESTA AIR ANTARABANGSA

Suasana perlumbaan F3 Powerboat Malaysia dan perlumbaan perahu panjang di Sukan Air Antarabangsa Kelantan 2010 di Sungai Kelantan Dataran Sireh, Kota Bharu.

Kerajaan Kelantan bercadang mewartakan Dataran Lembah Sireh sebagai tapak kekal Pesta Air Antarabangsa Kelantan yang akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tempat yang dicadangkan itu sesuai kerana terletak di pinggir sungai Sungai Kelantan yang sekali gus boleh dijadikan taman bagi penduduk tempatan.

"Kita bercadang menjadikan Dataran Lembah Sireh di sini sebagai tapak kekal Pesta Air Antarabangsa Kelantan dan akan dikemukan kepada Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Pesta Air di dataran itu, di Kota Bharu, semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan hadiah kepada peserta pelbagai acara di pesta itu.

Johan pertandingan Perahu Panjang bagi kategori Jemputan Antarabangsa dimenangi oleh pasukan dari Thailand, naib johan Kelantan dan ketiga Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi pelumbaan bot laju F3000 perseorangan johan dimenangi oleh Maarop Mahari dari Brunei, naib johan, Robert Fernandez dari Kumpulan Mofaz Sdn Bhd dan Awang Bara dari Brunei.

Takiyuddin berkata, selain itu kerajaan negeri juga akan menjadikan Pesta Air ditapak itu sebagai acara tahunan untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kelantan sama ada sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan atau Tahun Melawat Kelantan.

"Acara ini sekurang-kurang dapat menjadi produk baru pelancongan dalam usaha menarik pelancong asing melawat negeri ini,"katanya.

FAJARBARU BIDA TENDER KERAJAAN BERNILAI RM2b

Fajarbaru Builder Group Bhd, kini sedang membida projek-projek pembinaan bangunan dan infrastruktur berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM2 bilion.

Kumpulan itu baru-baru ini berjaya memperoleh projek bernilai RM36.5 juta untuk mengendalikan fasa satu Taman Halal Pasir Mas di Kelantan dan RM62.377 juta kerja-kerja tanah dan infrastruktur untuk fasa 2 Taman Perindustrian Automotif di Pekan, Pahang.

Projek itu diberikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

"Kami berada dalam kedudukan baik untuk membida dan mengendalikan lebih banyak projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kami akan membincangkan dan meneruskan beberapa tender," kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Datuk Ir Low Keng Kok kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata pada masa ini, Fajarbaru akan memberi fokus yang lebih kepada projek domestik memandangkan projek-projek di dalam negara mencukupi untuk tempoh dua tahun ini, terutamanya dengan kerajaan giat mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Low menambah, dengan rekod syarikat yang baik berserta dengan kemahiran dan pengetahuannya dalam sektor pembinaan, syarikat telah bersedia untuk mengendalikan lebih banyak projek kerajaan.

Kumpulan mencapai pendapatan yang rendah iaitu RM165.94 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2010 berbanding RM184.63 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Walaupun pendapatan berkurangan, keuntungan selepas cukai lebih tinggi pada RM24.62 juta berbanding RM14.36 juta sebelumnya.

'GENCATAN SENJATA' DI GALAS SEMPENA PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim mencadangkan "gencatan senjata" selama 90 minit pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dengan Kelantan, Sabtu malam.

Beliau berkata, jentera kempen parti yang bertanding perlu bertenang seketika dan memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding.

"Malam ini perlu ada "gencatan senjata" untuk tengok perlawanan akhir, lepas itu kita sambung kembali berkempen," katanya selepas melepaskan 17 bas yang membawa lebih 700 penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Bukit Jalil di Gua Musang, hari ini.

Turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN itu, Abdul Aziz Yusoff.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan meminta para penyokong agar tidak mempamerkan kain rentang atau bendera parti politik pada perlawanan akhir itu.

Beliau berkata, elemen politik tidak sepatutnya dicampur aduk dengan sukan.

"Amat menyedihkan kalau dimasuki elemen politik dalam perlawanan akhir ini, yang lebih penting penyokong memberikan sokongan kepada pasukan negeri," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para penyokong agar tidak mengabaikan keselamatan dan menjaga disiplin ketika menyaksikan pertandingan itu.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui berkata, beliau akan bersama-sama penyokong di sekitar DUN Galas bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

Beliau meramalkan kemenangan 2-0 pasukan Red Warrior ke atas Negeri Sembilan.

"Malahan bagi mereka yang tidak berpeluang ke Kuala Lumpur, peminat di Galas boleh menyaksikan perlawanan itu di skrin besar yang disediakan BN di dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) 8.30 malam ini," katanya.