Showing posts with label DUN Kelantan. Show all posts
Showing posts with label DUN Kelantan. Show all posts

Sunday, March 18, 2012

750 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia Akan Dibina Di Kelantan

Projek SPNB di Kok Lanas, Taman Merbau Utama.

Selepas Ayam Berkokok, Selepas Burung Keluar Sarang atau Selepas Fajar Menyinsing Pun, PAS Tak Tidak Boleh Laksanakan dan Tidak Akan Melaksanakan!

Semuanya janji kosong dan pembohongan semata-mata. Yang MENGOTAKAN JANJI Hanyalah BARISAN NASIONAL!

Sebanyak 750 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) akan dibina di Kelantan tahun ini, kata Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Idris Haron.

Beliau berkata ia menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) yang memendekkan tempoh pembinaan kepada maksimum 20 hari berbanding 45 hari secara konvensional.
Menurutnya, rumah-rumah itu akan dibina di semua kawasan Parlimen di Kelantan dengan peruntukan RM35 juta.

"Enam puluh dua pemohon dari Parlimen Kota Baharu bertuah kerana menjadi pemilik pertama RMR1M yang bakal dibina itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran kepada pemohon Parlimen Kota Baharu dan sesi penutup Seminar IBS 2012-Program RMR1M di Kota Bharu, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam lawatan kerja sehari ke Melaka bulan lepas, menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada SPNB yang dikehendaki membina 10,000 unit RMR1M tahun ini.

Idris berkata syarat kelayakan permohonan RMR1M telah dilonggarkan daripada pendapatan maksimum isi rumah RM1,500 kepada RM3,000 bermula 1 Mac lepas.

"Sebuah rumah berharga RM65,000 dengan RM20,000 daripadanya adalah subsidi yang ditanggung kerajaan persekutuan. Pemohon hanya perlu membayar RM150 sebulan selama 25 tahun tanpa sebarang faedah.

"Malah, semua RMR1M akan dibina menggunakan teknologi IBS dengan keluasan binaan lebih besar tanpa membabitkan sebarang tambahan kos kepada pemohon," katanya.

Idris berkata SPNB telah meluluskan lapan rekaan RMR1M dan sedang menimbang tiga rekaan lain.

Katanya 6,000 kontraktor kelas F dan 11 pembekal bahan binaan IBS diberi tanggungjawab menyiapkan rumah berkenaan di seluruh negara.

Wednesday, January 25, 2012

Najib Yakin BN Akan Kembali Memerintah Kelantan Selepas PRU13

Datuk Seri Najib Razak, menepung tawar van Skuad Sayang Wanita UMNO di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini sambil diperhatikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin (kiri) yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Kelantan daripada Pas pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Najib, yang juga Presiden Umno, melahirkan keyakinan tersebut semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa semalam, sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini.

Katanya, Perdana Menteri menyatakan walaupun pertandingan antara BN dan Pas amat sengit, Kelantan merupakan 'winnable state' bagi BN pada pilihan raya umum itu.

"Apabila keyakinan itu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri, ia menjadi suntikan semangat kepada kita untuk bekerja kuat," katanya.

Bagi mencapai kemenangan tersebut, Awang Adek berkata Perdana Menteri mahu anggota dan pemimpin semua parti komponen BN bekerja kuat, termasuk menggerakkan lebih banyak program mendekati rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan kita supaya berjumpa dengan seberapa banyak kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, nelayan, petani, guru, bloggers dan golongan profesional, bagi mengenal pasti masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mahukan Umno dan parti komponen BN yang lain, mendampingi 'pengundi atas pagar' yang terdiri daripada mereka yang berpendirian bebas.

"Dalam perjumpaan itu, Perdana Menteri akui Wanita Umno adalah penggerak utama kita sebab Wanita ini dia banyak masuk ke akar umbi bertemu rakyat melalui Skuad Sayang, jadi Perdana Menteri kata dia nak bantu Wanita kerana dia tahu Wanita kerja kuat dan dengan adanya van Skuad Sayang, ia akan memberi kesan yang lebih kepada Wanita untuk mendampingi pengundi," katanya.

Sempena lawatan tersebut, Perdana Menteri turut menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Friday, October 7, 2011

Ketua Hakim Syarie Dakwa Kelantan Tidak Pernah Serius Laksana Hudud

Siapa Bersandiwara Mengenai Pelaksanaan Hudud di Kelantan?

Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad menegur kerajaan PAS Kelantan kerana tidak pernah serius memberi penerangan kepada masyarakat mengenai hukum hudud sekalipun sudah meluluskan peruntukannya hampir 20 tahun lalu.

Daud berkata, kempen dan pendidikan berterusan kepada rakyat mengenai hudud sepatutnya dilakukan tanpa henti sejak Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan diluluskan pada tahun 1993 lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya lantang bercakap mengenainya pada waktu-waktu tertentu sahaja kerana ia boleh menimbulkan keraguan niat sebenar kerajaan dalam melaksanakan hudud.

“Kerajaan mungkin mengambil masa pada peringkat awal. Namun supaya benda ini tidak berlaku pertikaian atau pertentangan, eloklah beri penerangan dan penjelasan, tapi ini pun satu hal kerana dari 1993 sampai sekarang kita tidak dakwah betul-betul pun pasal hudud ini, tidak ada.

“Padahal kita boleh dakwah dengan pelbagai cara, dengan risalah dan macam-macam. Pegawai dakwah kita ramai, ia sepatutnya berterusan, jangan hanya tunggu masa-masa tertentu sahaja, orang akan pandang lain pula,” kata beliau pada Wacana Pelaksanaan Hudud di Dewan Teratai, Kota Baru semalam.

Wacana khusus kepada pegawai kerajaan negeri dan persekutuan itu turut dihadiri pakar perlembagaan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohamed Daud sebagai ahli panel.

Daud yang merupakan salah seorang yang terbabit dalam merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan juga berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak takut untuk melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan dan ugutan daripada banyak pihak.

Dipetik Utusan Malaysia, kata beliau, kerajaan negeri seharusnya berani melaksanakan hukum yang mereka sendiri luluskan dan tidak membiarkan batasan bidang kuasa dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1985) dan lain-lain akta sebagai halangan.

Daud berpandangan, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud dan sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai.

“Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri akur dengan saranan yang diberi dan akan mula mengambil langkah lebih serius ke arah pelaksanaan hukum hudud.

Katanya, ini termasuklah menubuhkan dua mahkamah baru iaitu Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas yang akan menjadi tempat kes berkaitan kesalahan hudud dibicarakan.

“Selama ini, kita fikirkan akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi dari perbincangan wacana tadi nampaknya tidak banyak halangan untuk kita laksanakan hudud.

“Kami akan maklumkan tindakan selanjutnya secara terperinci selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi,” katanya.

Tuesday, January 4, 2011

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang tengah hari semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Roslee Mamat berkata dua pusat pemindahan di daerah Rantau Panjang ditutup pada 1 tengah hari.

"Cuaca di Kelantan hari ini cerah tanpa hujan menyebabkan air di beberapa kawasan perkampungan mulai surut dan mangsa dibenarkan pulang tengah hari semalam.

"Kesemua 406 mangsa dari 124 keluarga yang berada di pusat pemindahan pada sebelah pagi tadi dibenarkan pulang secara berperingkat," katanya/

Beliau berkata sehingga petang semalam, kesemua laluan di daerah Rantau Panjang dan Tumpat dibuka semua kepada semua kenderaan.

Sunday, December 26, 2010

Hujan, Ribut Petir Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang serta Kulai Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman) mulai malam esok (Isnin)hingga Khamis pagi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan terletak berhampiran tebing sungai.

Selain Kelantan dan Terengganu, Pahang (Kuantan, Maran, Temerloh, Pekan serta Rompin) dan Johor (Mersing) juga dijangka mengalami keadaan cuaca yang serupa.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter yang dijangka berlaku di perairan Codore Reef North, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Sarawak (Miri), Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman serta Kudat), selatan Samui, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang dan Palawan mulai Ahad ini hingga Jumaat.

Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil, kegiatan rekreasi dan sukan laut.

Saturday, November 27, 2010

PENGANGGURAN DI KELANTAN MENINGKAT

Jumlah penganggur di Kelantan meningkat kepada 25,733 orang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 24,336 orang untuk tempoh sama tahun lalu.

Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kelantan, Mohamad Yaacob, berkata antara penyumbang utama kepada pertambahan itu ialah kurangnya pekerjaan di negeri itu.

Beliau berkata, faktor lain ialah sikap rakyat Kelantan yang memilih pekerjaan atau enggan berhijrah ke tempat lain kerana mahu bekerja di negeri itu.

Mohamad berkata jabatan itu sedang meningkatkan kesedaran dalam kalangan penganggur dan lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi menerusi Program Penempatan Pekerjaan (3P) Azam Kerja Peringkat Negeri 2010 yang akan diadakan di Kota Bharu hari ini dan esok.

Katanya, melalui program itu sebanyak 2,124 peluang pekerjaan akan ditawarkan yang merangkumi dalam bidang profesional dan teknikal (107); pengurusan (398); perkeranian (20); tenaga mahir dan separuh mahir (440) serta am/buruh/operator pengeluaran (1,159).

Mohamad berkata, peserta program akan diberi elaun RM100 dan tambang percuma sepanjang dua hari itu.

Saturday, November 13, 2010

BAJET DEFISIT BUKTIKAN KERAJAAN PAS GAGAL

Bajet defisit sebanyak RM53.24 juta yang dibentangkan oleh Kerajaan Pas Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini membuktikan kegagalan parti tersebut membangunkan negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sewajarnya ekonomi di negeri ini tidak terus menguncup biarpun diperintah oleh Pas sejak 20 tahun lalu.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Pusat telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk geran pembangunan, bantuan per kapita dan peruntukan menaik taraf jalan.

Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya berusaha mencari sumber pendapatan baru untuk menambah hasil dalam negeri memandangkan negeri ini kaya dengan pelbagai sumber alam, kesenian dan tenaga mahir.

"Salah satu bidang berpotensi untuk dimajukan adalah membangunkan Sungai Kelantan bagi agro-pelancongan untuk menarik pelancong asing menikmati keindahan sepanjang sungai itu sehingga ke muara dan terus ke Laut China Selatan.

"Rakyat Kelantan juga yang rugi kerana tidak mendapat pembangunan dan menerima kesan kemerosotan ekonomi impak kegagalan itu," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen pencegahan denggi peringkat Senok Barat di Sekolah Kebangsaan Pantai Senok di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2011 yang mengalami defisit RM53.24 juta dengan perbelanjaan dianggar berjumlah RM464.13 juta berbanding anggaran hasil RM410.89 juta pada persidangan DUN berakhir semalam.

Belanjawan itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dan ia merupakan defisit tertinggi dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan berbanding RM29.5 juta pada tahun ini dan RM20.2 juta tahun lalu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, negeri ini sewajarnya mencontohi kerajaan Melaka yang berjaya membangunkan negeri itu dengan pelbagai sumber.

Katanya, Melaka walaupun sebuah negeri yang kecil dan tiada kekayaan hasil bumi telah berjaya menyumbang kutipan hasil kepada Kerajaan Pusat antara yang tertinggi iaitu sebanyak RM1.3 bilion berbanding Kelantan RM34 juta setahun.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan Kelantan tidak boleh lepas tangan dalam soal ini dengan memberi pelbagai alasan termasuk meminta tempoh yang lama untuk diselesaikan daripada rakyat.

"Ini termasuk isu bekalan air bersih yang mana pemimpin Pas meminta tempoh 17 tahun lagi untuk menyelesaikannya sedangkan tempoh 20 tahun yang dimandatkan oleh rakyat adalah lebih daripada mencukupi untuk tujuan itu.

"Saya cukup dukacita dengan masalah air yang kian meruncing ini. Adalah lebih baik rakyat menukar kerajaan baru yang mampu menyelesaikan masalah sebegini dalam tempoh segera kerana air adalah keperluan utama dalam kehidupan," tegasnya.

Thursday, November 11, 2010

TUNGGULAH BEKALAN AIR BERSIH 17 TAHUN LAGI

Kesian dengan rakyat Kelantan!

Mereka perlu menunggu sehingga 2027 atau 17 tahun lagi untuk membolehkan seluruh kawasan negeri itu dapat menikmati bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti Dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata kerajaan negeri melalui Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd sehingga tempoh itu akan berusaha meningkatkan kualiti bekalan air bersih secara berperingkat.

"InsyaAllah pada 2027 seluruh Kelantan akan mendapat bekalan air bersih sepenuhnya," katanya ketika menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim di Kota Bharu semalam.

Abdul Halim dalam soalannya bertanyakan bila kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih tersebut.

Ketika menjawab soalan Muhamad Mustafa (PAS-Demit), Md Anizam berkata pihaknya memperuntukkan RM10 juta pada setiap tahun untuk membaiki prasarana seperti pembaikan jalan kampung di Kelantan.

Beliau berkata wakil pembangkang di DUN itu juga berhak membuat permohonan dari kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Saturday, October 30, 2010

FAJARBARU BIDA TENDER KERAJAAN BERNILAI RM2b

Fajarbaru Builder Group Bhd, kini sedang membida projek-projek pembinaan bangunan dan infrastruktur berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM2 bilion.

Kumpulan itu baru-baru ini berjaya memperoleh projek bernilai RM36.5 juta untuk mengendalikan fasa satu Taman Halal Pasir Mas di Kelantan dan RM62.377 juta kerja-kerja tanah dan infrastruktur untuk fasa 2 Taman Perindustrian Automotif di Pekan, Pahang.

Projek itu diberikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

"Kami berada dalam kedudukan baik untuk membida dan mengendalikan lebih banyak projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kami akan membincangkan dan meneruskan beberapa tender," kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Datuk Ir Low Keng Kok kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata pada masa ini, Fajarbaru akan memberi fokus yang lebih kepada projek domestik memandangkan projek-projek di dalam negara mencukupi untuk tempoh dua tahun ini, terutamanya dengan kerajaan giat mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Low menambah, dengan rekod syarikat yang baik berserta dengan kemahiran dan pengetahuannya dalam sektor pembinaan, syarikat telah bersedia untuk mengendalikan lebih banyak projek kerajaan.

Kumpulan mencapai pendapatan yang rendah iaitu RM165.94 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2010 berbanding RM184.63 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Walaupun pendapatan berkurangan, keuntungan selepas cukai lebih tinggi pada RM24.62 juta berbanding RM14.36 juta sebelumnya.

Sunday, October 24, 2010

HANYA KEGANASAN MAMPU MENANGKAN KELANTAN?

Ada orang marah kat pasukan bolasepak Kelantan dan Annuar Musa. Benarkah pen dapat ini?

Baca ini:

NASIB LAGI
Kelantan sekali lagi ke FINAL...
Habislah stadium Bukit Jalil lak...
Aku cadangkan FINAL lawan kat OLD Trafford
amacam??
baru adil
kalau tak Kelantan akan guna KEKERASAN untuk menang
Tan Sri Anuar Musa Sengaja tak mahu bertanggungjawab terrhadap segala kebiadapan penyokong Kelantan kerana Anuar Musa tau hanya Keganasan mampu membawa kejayaan kepada Pasukan Kelantan walaupun dengan cara kotor sebegitu....

Bayangkan kalau penjaga Gol Kedah malam semalam menahan bola itu,pasti beliau tidak akan selamat pulang ke pangkuan keluarga....
Kerana apa???
Tuan-tuan sendiri faham maksudnya..

FAM wajar denda kelantan dengan menghukum kelantan beraksi digelanggang berkecuali selama satu musim sebagai satu pengajaran kepada Penyokong Kelantan...
itu pun kalau Tan Sri Anuar Musa berani lah....

Friday, October 22, 2010

SIDANG DUN KELANTAN DITANGGUH KEPADA 7 NOVEMBER

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual bermula pada 1 Nov ini ditangguh kepada 7 Nov, kata Speaker DUN Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Jumaat.

Beliau berkata penangguhan bagi membolehkan semua anggota dewan dapat memberi perhatian penuh kepada persidangan DUN memandangkan proses pilihan raya kecil DUN Galas telah selesai ketika itu.

"Keputusan penangguhan itu diputuskan semalam dan keputusan ini bagi membolehkan semua dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada persidangan DUN yang akan memfokuskan kepada pembentangan bajet 2011.

"Ini adil kepada semua pihak yang mungkin tidak dapat beri tumpuan kerana ketika itu pilihan raya kecil Galas sedang berlangsung," katanya di Kota Bharu.

Beliau berkata persidangan akan berlangsung sehingga 11 Nov.

Persidangan DUN sebelum ini dijadual berlangsung dari 1 Nov hingga 10 Nov.

Baru-baru ini Mohd Nassuruddin dilapor berkata persidangan itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan dan hanya ditangguh sehari iaitu pada 4 Nov yang merupakan hari pengundian DUN Galas.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan selepas wakilnya Chek Hashim Sulaima dari PAS meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lepas.