Saturday, November 13, 2010

TANGANI HAKISAN PANTAI BISIKAN BAYU SECARA SERIUS


Balik-balik peruntukan kerajaan Pusat.

Apa usaha Kerajaan Pas Kelantan bagi mengatasi hakisan Pantai Bisikan Bayu?

Minggu lalu ADUN PAS menggesa diambil mengambil tindakan segera dan serius untuk menyelamatkan Pantai Bisikan Bayu Semerak di Pasir Puteh yang kini mengalami hakisan amat kritikal.

Wakil rakyat Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan minggu lalu dengan menjangkakan Kelantan akan kehilangan pantai itu dalam tempoh kurang lima tahun sekiranya tiada usaha konkrit dilakukan untuk menyelamatkan pantai tersebut.

"Memandangkan hakisan Pantai Bisikan Bayu amat kritikal, saya rasa tak sampai lima tahun lagi kita akan kehilangan pantai yang indah itu, kalau sekiranya kita tidak ambil tindakan segera.

"Jadi, sebab itu saya mohon pihak kerajaan dapat mengambil inisiatif yang lebih untuk menghalang hakisan itu daripada terus berlaku, jika tidak Pantai Bisikan Bayu akan hanya tinggal kenangan," katanya pada sidang itu.

Beliau sebelum itu dalam soalan asalnya bertanyakan kepada kerajaan langkah-langkah yang diambil bagi menghalang hakisan yang semakin kritikal di pantai berkenaan.

Ketika menjawab soalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM400,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Kelantan mempunyai pantai sepanjang 71 kilometer dan tidak mempunyai sebarang pulau yang boleh menjadi penampan angin bertiup kencang terus ke kawasan pantai.

"Bagaimanapun, kita berdoalah kepada Allah mudah-mudahan semenjak merdeka 1957 dan 20tahun kita perintah, Pantai Bisikan Bayu masih berada di situ dan Insya-Allah 50 tahun akan datang Pantai Bisikan Bayu masih berada di Semerak," katanya

BAJET DEFISIT BUKTIKAN KERAJAAN PAS GAGAL

Bajet defisit sebanyak RM53.24 juta yang dibentangkan oleh Kerajaan Pas Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini membuktikan kegagalan parti tersebut membangunkan negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sewajarnya ekonomi di negeri ini tidak terus menguncup biarpun diperintah oleh Pas sejak 20 tahun lalu.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Pusat telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk geran pembangunan, bantuan per kapita dan peruntukan menaik taraf jalan.

Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya berusaha mencari sumber pendapatan baru untuk menambah hasil dalam negeri memandangkan negeri ini kaya dengan pelbagai sumber alam, kesenian dan tenaga mahir.

"Salah satu bidang berpotensi untuk dimajukan adalah membangunkan Sungai Kelantan bagi agro-pelancongan untuk menarik pelancong asing menikmati keindahan sepanjang sungai itu sehingga ke muara dan terus ke Laut China Selatan.

"Rakyat Kelantan juga yang rugi kerana tidak mendapat pembangunan dan menerima kesan kemerosotan ekonomi impak kegagalan itu," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen pencegahan denggi peringkat Senok Barat di Sekolah Kebangsaan Pantai Senok di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2011 yang mengalami defisit RM53.24 juta dengan perbelanjaan dianggar berjumlah RM464.13 juta berbanding anggaran hasil RM410.89 juta pada persidangan DUN berakhir semalam.

Belanjawan itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dan ia merupakan defisit tertinggi dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan berbanding RM29.5 juta pada tahun ini dan RM20.2 juta tahun lalu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, negeri ini sewajarnya mencontohi kerajaan Melaka yang berjaya membangunkan negeri itu dengan pelbagai sumber.

Katanya, Melaka walaupun sebuah negeri yang kecil dan tiada kekayaan hasil bumi telah berjaya menyumbang kutipan hasil kepada Kerajaan Pusat antara yang tertinggi iaitu sebanyak RM1.3 bilion berbanding Kelantan RM34 juta setahun.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan Kelantan tidak boleh lepas tangan dalam soal ini dengan memberi pelbagai alasan termasuk meminta tempoh yang lama untuk diselesaikan daripada rakyat.

"Ini termasuk isu bekalan air bersih yang mana pemimpin Pas meminta tempoh 17 tahun lagi untuk menyelesaikannya sedangkan tempoh 20 tahun yang dimandatkan oleh rakyat adalah lebih daripada mencukupi untuk tujuan itu.

"Saya cukup dukacita dengan masalah air yang kian meruncing ini. Adalah lebih baik rakyat menukar kerajaan baru yang mampu menyelesaikan masalah sebegini dalam tempoh segera kerana air adalah keperluan utama dalam kehidupan," tegasnya.

HAIRUDIN OMAR KE NEGERI SEMBILAN

Bekas penyerang kebangsaan, Hairudin Omar dikatakan hampir pasti untuk meninggalkan skuad juara Piala Malaysia, Kelantan dan akan berhijrah ke Negeri Sembilan musim depan.

Utusan Malaysia difahamkan, penjaring gol perlawanan akhir itu mendapat tawaran yang lumayan dari Negeri Sembilan.

Namun, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dikatakan memberikan masa kepada Hairudin untuk membuat keputusan, sehingga majlis menandatangani kontrak baru, esok.

Menurut sumber, Kelantan masih memerlukan khidmat Hairudin untuk membantu mereka mempertahankan Piala Malaysia, biarpun dia dilihat berada pda penghujung karier.

"Kita telah menawarkan kontrak baru kepada kepada Hairudin selepas kontraknya tamat sebaik sahaja saingan musim 2010 berakhir.

"Bagaimanapun kita tidak mampu menahannya untuk berhijrah kerana Negeri Sembilan dipercayai menawarkan kontrak yang lumayan,'' katanya kepada Utusan Malaysia.