Saturday, November 13, 2010

BAJET DEFISIT BUKTIKAN KERAJAAN PAS GAGAL

Bajet defisit sebanyak RM53.24 juta yang dibentangkan oleh Kerajaan Pas Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini membuktikan kegagalan parti tersebut membangunkan negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sewajarnya ekonomi di negeri ini tidak terus menguncup biarpun diperintah oleh Pas sejak 20 tahun lalu.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Pusat telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk geran pembangunan, bantuan per kapita dan peruntukan menaik taraf jalan.

Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya berusaha mencari sumber pendapatan baru untuk menambah hasil dalam negeri memandangkan negeri ini kaya dengan pelbagai sumber alam, kesenian dan tenaga mahir.

"Salah satu bidang berpotensi untuk dimajukan adalah membangunkan Sungai Kelantan bagi agro-pelancongan untuk menarik pelancong asing menikmati keindahan sepanjang sungai itu sehingga ke muara dan terus ke Laut China Selatan.

"Rakyat Kelantan juga yang rugi kerana tidak mendapat pembangunan dan menerima kesan kemerosotan ekonomi impak kegagalan itu," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen pencegahan denggi peringkat Senok Barat di Sekolah Kebangsaan Pantai Senok di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2011 yang mengalami defisit RM53.24 juta dengan perbelanjaan dianggar berjumlah RM464.13 juta berbanding anggaran hasil RM410.89 juta pada persidangan DUN berakhir semalam.

Belanjawan itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dan ia merupakan defisit tertinggi dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan berbanding RM29.5 juta pada tahun ini dan RM20.2 juta tahun lalu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, negeri ini sewajarnya mencontohi kerajaan Melaka yang berjaya membangunkan negeri itu dengan pelbagai sumber.

Katanya, Melaka walaupun sebuah negeri yang kecil dan tiada kekayaan hasil bumi telah berjaya menyumbang kutipan hasil kepada Kerajaan Pusat antara yang tertinggi iaitu sebanyak RM1.3 bilion berbanding Kelantan RM34 juta setahun.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan Kelantan tidak boleh lepas tangan dalam soal ini dengan memberi pelbagai alasan termasuk meminta tempoh yang lama untuk diselesaikan daripada rakyat.

"Ini termasuk isu bekalan air bersih yang mana pemimpin Pas meminta tempoh 17 tahun lagi untuk menyelesaikannya sedangkan tempoh 20 tahun yang dimandatkan oleh rakyat adalah lebih daripada mencukupi untuk tujuan itu.

"Saya cukup dukacita dengan masalah air yang kian meruncing ini. Adalah lebih baik rakyat menukar kerajaan baru yang mampu menyelesaikan masalah sebegini dalam tempoh segera kerana air adalah keperluan utama dalam kehidupan," tegasnya.

No comments: