Friday, November 19, 2010

AIDILADHA DISAMBUT SEDERHANA DI KELANTAN

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin bersama penduduk kampung melapah lembu korban di Kampung Perupuk, Bachok, kelmarin.

Seperti tradisinya, Hari Raya Aidiladha di negeri ini disambut secara sederhana namun meriah biarpun keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Di Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fai-iz Petra kelmarin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama dengan lebih 3,000 umat Islam.

Selepas itu, Tengku Muhammad Fa-iz berangkat ke majlis penghadapan di Istana Balai Besar untuk rakyat berhari raya dengan baginda.

Salah seorang petugas melapah lembu korban anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, semalam.

Tengku Mahkota Kelantan juga berkenan menyempurnakan majlis korban anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di Kota Bharu semalam.

Baginda yang mengenakan persalinan baju Melayu berwarna biru muda tiba di majlis berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Turut mengiringi baginda ialah kerabat-kerabat diraja Kelantan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Sebanyak 41 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak termasuk kerabat diraja, pegawai kerajaan dan orang perseorangan dikorbankan pada majlis sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Tengku Muhammad Fai-iz turut berkenan menyumbangkan masing-masing seekor lembu untuk dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada golongan miskin.

Setiausaha Maik, Che Hamat Che Muda berkata, daging korban tersebut akan diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin sekitar bandar Kota Bharu di Masjid Muhammadi petang semalam.

"Dianggarkan seramai 1,000 fakir miskin menerima daging korban ini. Turut menerima ialah 200 petugas yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut, di sini hari ini.

Lazimnya, majlis korban itu disempurnakan Sultan Muhammad V yang turut berkenan untuk menyembelih sendiri lembu korban.

Bagaimanapun, Sultan Muhammad V ketika ini berada di tanah suci bagi mengerjakan ibadat haji bersama-sama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebanyak 15 ekor lembu sumbangan Mustapa telah diagihkan di seluruh jajahan Jeli ni untuk ibadah korban.

PEMAIN KELANTAN KONGSI GANJARAN RM1 JUTA

Annuar Musa (kiri) bersalam dengan wartawan Utusan Malaysia Biro Kota Bharu, Rodelio Junjun Taucan pada majlis Hari Raya Aidiladha bersama media di Kota Bharu, semalam.

Kejayaan Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali pada 30 september lalu mendapat ganjaran amat lumayan, apabila semua pemain skuad itu akan berkongsi wang tunai sekurang- kurangnya RM1 juta.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, ganjaran itu terbahagi kepada tiga bentuk iaitu wang tunai oleh kerajaan negeri dianggarkan berjumlah lebih RM300,000, wang tunai daripada KAFA sebanyak RM250,000 dan bonus kenaikan gaji sepanjang musim berjumlah RM451,000.

Menurutnya, jumlah itu akan bertambah sekiranya ada pihak swasta turut menghulur sumbangan.

Katanya, kerajaan negeri memberikan hadiah lebih RM300,000, iaitu jumlah yang diterima pemain Kelantan ketika muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

"Mengambil kira kejayaan kita menjuarai Piala Malaysia iaitu yang paling berprestij, maka KAFA membuat keputusan kita akan berikan wang ini melalui cara yang sebaik mungkin.

"Selepas menilai jangkaan sumbangan yang diberi oleh kerajaan negeri dan menimbangkan akaun persatuan, maka saya maklumkan skuad Red Warriors akan berkongsi wang ganjaran sebanyak lebih RM1 juta atas kejayaan ini," jelasnya ketika ditemui di sini, semalam.

Annuar berkata, sumbangan daripada kerajaan negeri dan wang tunai RM250,000 daripada KAFA, akan diberikan sebagai hadiah kepada setiap anggota pasukan di atas kejayaan mereka.

Katanya, wang RM451,000 pula akan diberikan melalui kenaikan gaji pemain yang akan beraksi musim hadapan dan mereka akan memperolehinya setiap kali pembayaran gaji.

"Kalau mengikut peraturan, pemain perlu memberikan surat bertulis kepada KAFA jika inginkan kenaikan gaji, bagaimanapun sebagai menghargai kejayaan itu, kita berikan semua pemain kenaikan tanpa perlu mengikut prosedur," jelas Annuar.

Beliau menjelaskan, jumlah wang itu sememangnya sangat banyak dan tidak pernah diumumkan oleh mana-mana pasukan lain tetapi ia diputuskan mengikut kemampuan KAFA.

Tambahnya, ia juga sebagai bonus awal musim kepada setiap pemain, terutama dengan sasaran pengurusan KAFA untuk pasukan itu menjuarai Piala FA dan Liga Super tahun depan dan secara automatik layak ke pertandingan Piala AFC.

Annuar turut mengesahkan Kelantan telah mendapatkan tiga pemain baru iaitu Nurul Azwan Roya daripada skuad Johor FC, K. Sholey (Perlis) dan Mohamad Abdul Aziz Ismail, yang bermain untuk KL Plus musim lalu.

Dalam pada itu beliau turut mengesahkan tiga pemain sedang dalam proses perbincangan untuk meninggalkan Red Warriors iaitu Hairuddin Omar; Akhmal Rizal Ahmad Rakhli dan Syed Adney Syed Hussin.

TANAH RUNTUH ANCAM 10 KELUARGA DI LOGING

Seorang penduduk melihat tebing yang runtuh mengancam kediaman Orang Asli di Pos Sendrop, semalam.

Seramai 10 keluarga Orang Asli di Pos Sendrop, dekat Lojing, terselamat apabila bertindak pantas menyelamatkan diri setelah berlaku kejadian tebing runtuh berhampiran dengan kediaman mereka malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam ketika hujan lebat itu, tiada kemalangan jiwa berlaku dan penduduk yang keluar rumah untuk menyelamatkan diri, kembali semula setengah jam kemudian setelah mendapati kediaman selamat diduduki.

Kejadian dipercayai akibat pembukaan tanah tidak terkawal oleh syarikat tertentu bagi kegiatan menanam sayur di kawasan tinggi itu dan penduduk Orang Asli kesal dengan sikap pengusaha kebun sayur yang bertindak mengalihkan aliran anak sungai ke kawasan berhampiran penempatan mereka sehingga menyebabkan berlaku hakisan tebing.

Penduduk, Rokiah Angah, 52, berkata ketika kejadian, beliau bersama lima beranak sedang bersiap untuk tidur sebelum kejadian itu dan dikejutkan dengan satu gegaran kuat menyebabkan mereka semua bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Beliau berkata, tidak sampai 10 minit selepas keluar dari rumah, tebing berhadapan rumahnya runtuh dan aliran air sungai melimpahi tebing sebelum mengalir ke kampung berkenaan.

“Walaupun kediaman selamat dalam kejadian malam tadi, namun saya tetap merasa bimbang sekiranya kejadian tebing runtuh itu menjadi lebih serius akan menyebabkan berlaku kemalangan jiwa nanti.

“Apabila sebuah syarikat pengusaha kebun sayur menimbus anak sungai asal dan membina aliran baru berhampiran rumah, saya sudah menjangkakan kejadian ini akan berlaku,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pos Sendrop, Rashid Akoh, berkata, penduduk di sekitar Lojing kini berhadapan dengan pelbagai masalah hakisan apabila pembukaan tanah tinggi di sini semakin tidak terkawal.

Beliau berkata, walaupun sehingga kini belum lagi berlaku kemalangan jiwa, namun pihak berkuasa terbabit seharusnya memandang serius terhadap kemusnahan di penempatan Orang Asli sekarang.

"Saya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pelbagai peringkat pemimpin sama ada kerajaan negeri atau pusat mengenai masalah ini, namun belum mendapat sebarang jawapan terbaik untuk mengatasinya,” katanya.