Thursday, April 4, 2013

Tuntutan Royalti Petroleum RM12 Bilion Oleh Kerajaan Kelantan Tidak Bersandarkan Asas-asas Munasabah



"Mengikut undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroleum yang dikeluarkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun pesisiran pantai negeri."
 - Pejabat Perdana Menteri
 
  
Tuntutan royalti petroleum RM12 bilion oleh kerajaan negeri Kelantan tidak bersandarkan kepada asas-asas munasabah, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri (PMO). Menurut PMO, tuntutan itu bukan sahaja tidak munasabah dari segi perundangan, tetapi juga dari tatacara teknikal berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran gas dan minyak di kawasan yang terlibat.

"Mengikut undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroleum yang dikeluarkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun pesisiran pantai negeri," menurut PMO.

Menurut PMO, kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil petroleum di luar perairan negeri Kelantan adalah Blok PM301, Blok PM2, Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) dan Kawasan Pengaturan Komersil di antara Malaysia and Vietnam (PM3 CAA).

"Blok PM301 dan Blok PM2 melebihi tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai Negeri Kelantan tetapi berada dalam kawasan perairan Malaysia.


MTJDA pula merupakan kawasan yang dituntut Thailand dan PM3 CAA merupakan kawasan yang dituntut Vietnam," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan semalam.

Menurut PMO, kawasan yang dituntut Thailand iaitu MTJDA adalah di bawah pihak berkuasa bersama Malaysia-Thailand (MTJA) yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ini dan bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sahaja.

"Ini adalah kerana isu sempadan laut di antara kerajaan Malaysia dan Thailand sehingga kini masih belum diselesaikan secara muktamad," kata PMO.


Oleh itu, Malaysia dan Thailand telah memeterai Memorandum Persefahaman yang perlu dipatuhi kedua-dua negara selagi isu sempadan laut tidak dapat diselesaikan, menurut PMO.

"Ini adalah untuk mengelakkan pertelingkahan di antara Malaysia dan Thailand. Kedua-dua negara telah bersetuju supaya bayaran lima peratus daripada nilai pengeluaran petroleum dibuat kepada Malaysia, dan Thailand juga menerima lima peratus daripada nilai pengeluaran petroleum," menurut PMO.

Menurut PMO, kawasan ini telah mengeluarkan hasil semenjak tahun 2005 dan sehingga tahun 2012, kerajaan Persekutuan telah menerima bayaran berjumlah US$600.27 juta ataupun RM2.1 bilion daripada kawasan tersebut.

Menurut PMO, berdasarkan perjanjian di antara Malaysia dan Vietnam bagi kawasan tuntutan Vietnam iaitu PM3 CAA, Kerajaan Persekutuan menerima bayaran lima peratus iaitu sejumlah RM2.2 bilion daripada hasil yang dikeluarkan di kawasan tersebut semenjak tahun 2005.

"Kerajaan Persekutuan telah menerima sejumlah RM285.1 juta hasil daripada pengeluaran petroleum di kawasan Blok PM301 dan Blok PM2 yang bermula pada tahun 2009," menurut PMO. 

Memandangkan Blok PM301 dan Blok PM2 terletak di luar perairan Negeri Kelantan kerana melangkaui tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai negeri itu, kerajaan Kelantan tidak layak dari segi undang-undang untuk mendapat bayaran daripada hasil pengeluaran kedua-dua blok itu," menurut PMO.


Menurut PMO, kerajaan Persekutuan tetap membuat bayaran kepada negeri Kelantan dalam bentuk wang ehsan daripada hasil pengeluaran kedua-dua blok itu di mana sehingga Februari tahun ini, bayaran tunai yang dikreditkan ke Akaun Amanah Wang Ehsan Negeri Kelantan adalah berjumlah RM142.6 juta.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak RM100.8 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan untuk membiayai program wang ehsan seperti bantuan bagi pelajar IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam), khairat kematian, membaiki rumah bagi golongan miskin, bantuan bencana, bantuan persekolahan dan bantuan anak yatim," menurut PMO.

Selain itu, tuntutan RM12 bilion kerajaan negeri Kelantan adalah tidak munasabah kerana jumlah bayaran yang diterima oleh kerajaan Persekutuan daripada kesemua empat kawasan, iaitu MTJDA (Malaysia-Thailand), PM CAA (Malaysia-Vietnam), Blok PM301 dan Blok PM2 yang mengeluarkan hasil petroleum sehingga kini adalah RM4.58 bilion.

"Kerajaan Negeri Kelantan bukan sekadar menuntut apa yang tidak termaktub dalam undang-undang bahkan tuntutan mereka itu berkali-kali ganda lebih daripada apa yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan. 

"Memandangkan tuntutan ini tidak ada asasnya, maka tindakan pihak-pihak tertentu dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti untuk mengelirukan rakyat Kelantan adalah amat dikesali," kata PMO.

Menurut PMO, kerajaan Persekutuan sebenarnya berbelanja dalam jumlah yang lebih besar melebihi jumlah hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan.

Menurut PMO, umpamanya bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2012, perbelanjaan kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM26.37 bilion berbanding hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan bagi tempoh yang sama berjumlah RM2.07 bilion.

Kartun Harakah kononnya Perdana Menteri takut kepada tuntutan Kelantan.
Bernama

Monday, January 21, 2013

Mustapa - Tujuh janji Najib Bukti Kerajaan Pusat Tidak Pinggir Kelantan

Najib meluangkan masa melawat Pasar Khadijah semalam.
Tujuh projek besar yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan ke Kelantan semalam adalah bukti jelas kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan Kelantan.

Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata janji itu yang bakal dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, menunjukkan Perdana Menteri prihatin akan nasib penduduk Kelantan yang masih ketinggalan pada pelbagai aspek pembangunan.

"Ini juga jawapan tepat kepada tohmahan dan juga tuduhan-tuduhan yang kata kita diskriminasikan Kelantan.

Ini terbukti bahawa apa yang difitnahkan pembangkang itu tidak benar," katanya kepada Bernama, di Kota Bharu malam tadi.



Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kesemua perkara yang dijanjikan Perdana Menteri itu adalah suatu yang sangat dinantikan masyarakat Kelantan selama ini.

Di Kelantan semalam, Najib mengumumkan tujuh projek besar yang akan dilaksanakan bagi memajukan Kelantan.

Projek berkenaan ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, pembinaan stadium baru, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan membabitkan 3,000 unit.

Selain itu mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 penuntut dan projek mengatasi masalah air. Hari ini ambo (saya) hendak bayangkan janji ditepati Kerajaan BN.

Stadium baru kita akan bina sebab ambo tahu (pasukan bola sepak Kelantan) Red Warriors cukup hebat. Stadium Kota Bharu score board ditukar oleh ore (orang) (secara manual). Ore yang naikkan score. Orang lain pakai butang saja.

Kita hendak Kelantan masuk abad 21, score board (papan markah elektronik) sudah buat, stadium baru akan kita bina, katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati (JJD), di padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini yang disambut tepukan kira-kira 50,000 orang yang hadir.

Kerajaan BN turut berjanji mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri ini yang sering terganggu akibat pentadbiran kerajaan PAS Kelantan yang tidak cekap uruskan pembekalan air bersih, terutama di luar bandar.


Walaupun merancang membina 3,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), Kerajaan BN juga membina rumah mampu milik mengikut projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Najib berkata, 1,000 unit PPR sudah dibina di Gua Musang dan tambahan 3,000 unit lagi akan dibina di seluruh negeri ini bagi memastikan masyarakat berpendapatan rendah memiliki rumah.

Beliau berkata, kampus UiTM Cawangan Kota Bharu dibina di kawasan 5.6 hektar bagi menggantikan Kampus Satelit UiTM sedia ada. Kerajaan Persekutuan jika dapat perkenan Sultan Kelantan, kita hendak bina masjid terbesar di Kelantan sekurang-kurangnya RM50 juta sebagai masjid ikon di negeri ini.

"Ambo tengok jalan di Kota Bharu ini sesak. Kita sudah buat perkhidmatan bas Rapid KL dan Rapid Kuantan. Kita akan buat Rapid Kota Bharu. Ambo sebut tujuh perkara ini dan sebahagian saja daripada manifesto. Tidak lengkap lagi. Ambo hendak simpan. Nanti ambo datang lagi, ambo umum yang lain. Ambo simpan modal," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kelantan berfikir secara rasional dan bersedia melakukan perubahan pada PRU-13 dengan menukar pentadbiran kerajaan negeri kerana hanya BN mampu menjanjikan pembangunan berterusan sambil tidak mengetepikan aspek pembangunan Islam.

Sunday, January 20, 2013

Nazri Deraman, Jangan Angkuh! Ukur Baju Dibadan Sendiri...

 "Siapa dia (Kickdefella) dalam isu ini...tak ada kena-mengena. Saya tak pernah tengok dia berdebat dengan sesiapa. Integritinya dipersoal. "Saya ada pengikut 30,000 orang, kalau dia ada lebih kurang saya (pengikut) mungkin boleh ajak debat."
- Nazri Deraman, Pengerusi NGO R

Angkuh sangat Nazri Deraman iaitu Pengurus Bandar Baru Tunjung anak syarikat Kerajaan PAS Kelantan dan Pengerusi (Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan) atau NGO R ini.

Orang baru kenal politik memang angkuh apalagi menduduki jawatan penting dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan. Dia bukan sahaja berkeras mahu berdebat dengan Menteri dan Timbalan Menteri, sebaliknya memperlekehkan blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz.


Sepatutnya Nazri tahu meletakkan dirinya apabila Kickdefella apabila mengatakan beliau (Kickdefella) adalah antara orang yang pertama diarah untuk membuat kajian dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan iaitu yang pertama pada Pilihan Raya Umum 2008 dan kedua sewaktu Pilihan Raya Kecil Manek Urai...”

“Pada masa itu Nazri Deraman dan NGO 'R' masih tak tahu apa-apa tentang royalti minyak," kata Kickdefella dalam sidang media itu kelmarin.

Tambahnya, debat dibuat bukan untuk mengangkat ego sesiapa atau untuk dibanggakan sebaliknya menjadi program ilmu dan menjernihkan pengetahuan rakyat Kelantan.Apapun kita tidak hairan kerana memang pemimpin pakatan jenis ‘keras keng’.

Dari Datuk Seri Abdul Hadi Awang hingga Mohamad Sabu, dari Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga Azmin Ali atau dari Karpal Singh hinggalah Lim Guan Eng, sepsis itu tidak reti mengalah walaupun tahu apa yang diperkatakan mereka tidak benar.

Jadi kalau Nazri mengatakan hari ini akan meneruskan hasrat berdebat dengan Datuk Seri Mustapha Mohamad atau Datuk Dr Awang Adek Hussin mengenai isu royalti minyak Kelantan walau dianggap tidak setanding dengan menteri untuk berbuat demikian oleh blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz, ia hanya menyerlahkan lagi sikap orang muda dalam PAS dan pakatan pembangkang.

Nazri dicabar oleh blogger yang lebih dikenali sebagai 'Kickdefella' itu berdebat dengannya mengenai isu sama. Nazri tidak mahu melayan atau menyahut cabaran pihak lain untuk berdebat mengenai isu tersebut berkata surat rasmi untuk berdebat dengan kedua-dua menteri akan dihantar dalam masa terdekat.


"Perkara (royalti) ini timbul daripada saya. Saya yang buat buat tawaran (debat), dia (Kickdefella) tak perlu cabar saya. Dia tak ada kaitan dengan saya atau isu ini.

"Saya akan menghantar surat rasmi kepada kedua-dua menteri berkenaan pada masa yang difikirkan sesuai...dalam masa terdekat sebelum pilihan raya umum," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini (Ahad).

Sedangkan melalui blognya Kickdefella berkata: “Kita debat untuk ilmu dan untuk menjernihkan pengetahuan rakyat Kelantan terhadap isu sebenar.”

Beliau merujuk kepada berita di dalam Sinar Harian bertarikh 17 Januari 2013 yang melaporkan Pengerusi NGO R Saudara Nazri Deraman mencabar Mustapa dan Dr Awang untuk berdebat isu royalti petroleum. “Bukan taraf Nazri untuk berdebat dengan Menteri, debat dengan saya sudahlah,” kata Syed Azidi yang ditemui media di sebuah hotel di Kota Bharu selepas majlis perasmian Jentera Siber Barisan Nasional oleh Mustapa.

Bagaimanapun Syed Azidi nyatakan beliau mahu debat itu bukan bertujuan untuk ‘mengangkat ekor’ mana-mana pihak atau untuk tujuan bermegah-megah. Sebaliknya ia mesti untuk kedua-dua pihak meletakkan hujah masing-masing berdasarkan fakta supaya rakyat Kelantan boleh memahami dan membuat penilaian sebenar.

“Nazri boleh hantar wakilnya menemui saya untuk menetapkan masa dan tempat yang sesuai,” kata Syed Azidi lagi sambil menjelaskan bahawa pihak beliau sendiri bersedia untuk mengambil inisiatif sekiranya Nazri berhadapan kesukaran.

Mengulas kenyataan Kickdefella itu, Nazri berkata dia hanya akan berdebat dengan individu-individu berintegriti dan mempunyai kaitan dengan isu yang dibangkitkan.

Dia turut mempertikai integriti Kickdefella yang membuat cabaran tersebut.

"Siapa dia dalam isu ini...tak ada kena-mengena. Saya tak pernah tengok dia berdebat dengan sesiapa. Integritinya dipersoal. "Saya ada pengikut 30,000 orang, kalau dia ada lebih kurang saya (pengikut) mungkin boleh ajak debat," katanya.

Nazri berkata dia hanya mengenali blogger berkenaan melalui kontoversi yang dicetuskan. "Saya pun tak kenal dia, kenal setakat blogger yang cetuskan kontroversi dan saman orang di mahkamah," katanya. 

Mengulas tanggapan dia bukan calon yang setanding untuk berdebat dengan menteri, Nazri berkata beliau bertindak mewakili rakyat.

"Saya yang hantar memo kepada Petronas. Kedua-dua menteri telah beli respons. "Saya NGO mewakili rakyat ada hujah saya dan menteri ada hujahnya sendiri...jadi saya ajak mereka berdebat," katanya.

Bukankah benar seperti kata Kickdefella bahawa Nazri tidak setaraf dengan menteri untuk berbuat demikian. Kerana itu beliau 'menyahut' cabaran itu untuk tidak mengecewakan Nazari.

Kepada Nazri Deraman, ukur baju di badan sendiri sebelum mencabar Tok Pa dan Dr Awang.