Monday, March 3, 2014

Pembinaan Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai Diteruskan April Depan

Kerja-Kerja pembinaan Fasa 1B Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai sejauh 7 kilometer di Kelantan membabitkan kos RM168.5 juta dijangka bermula April depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan pusat telahpun mengeluarkan surat melaksanakan projek fasa 1B dari Pasir Hor ke Kadok  kepada sebuah syarikat tempatan.

"Masih terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan dan saya dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan akan memasuki tapak pada 7 April ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Wisma Persekutuan Bebas Asap Rokok (Wisbar) di Kota Bharu, semalam.

Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, berkata projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha mempercepat proses fasa 2A iaitu pembinaan lebuh raya dari Kadok ke Ketereh, sejauh 6.4 kilometer.

"Kita tengah berusaha supaya tender dapat dikeluarkan lebih awal kerana kita tahu yang walaupun tender dikeluarkan awal, tetapi keputusan mungkin tahun depan," katanya.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata pihaknya akan mencari jalan bagi membina lebuh raya itu, keseluruhannya sepanjang 74 kilometer, yang menghubungkan negeri Terengganu.

"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh kerana kita tahu yang lebuh raya ini merupakan projek yang penting dan setakat ini ada dua fasa, projek ini tidak berakhir di sini sahaja," katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Datuk Makhtar Mustapha, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Saturday, March 1, 2014

Kelantan Dalam Bahaya...Ahmad Yakub Gagal Satukan PAS Kelantan



Kerajaan PAS Kelantan dikatakan mempunyai masalah perpecahan, sembilan bulan selepas ikon parti itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan sebagai menteri besar selepas 23 tahun berkuasa.

Penggantinya, Datuk Ahmad Yakub mula menerima kritikan daripada rakan dan lawannya ekoran kegagalan menyatukan rakyat dan penyokong PAS.

Sesetengah pemimpin negeri memberi amaran bahawa Kelantan mampu mengulangi apa yang berlaku kepada Kedah sebelum ini.

Dua fraksi utama dalam PAS Kelantan adalah mereka yang bersama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah dan golongan menyokong bekas exco kanan, Datuk Husam Musa yang dilihat mewakili golongan progresif dalam parti.

Ekoran itu, pelbagai pihak mahu PAS Pusat campur tangan menyelesaikan perkara itu bagi menyelamatkan pentadbiran negeri.

Veteran politik Kelantan menyifatkan kerajaan yang ada masih selamat kerana Umno negeri berpecah dengan lebih teruk, memberikan kelebihan kepada PAS negeri.

Bagaimanapun mereka berkata, jika dibiarkan terlalu lama, pergaduhan dalaman ini akan menyebabkan kekuatan akar umbi PAS di Kelantan hilang.

Sebelum ini memang sudah terdapat beberapa fraksi dalam pimpinan negeri, termasuk ketika Nik Aziz memimpin namun Mursyidul Am PAS itu mempunyai aura dan sifat rendah diri yang menyebabkan beliau mendapat sokongan daripada semua kumpulan.

Nik Aziz mempunyai aura tersendiri yang mampu menyatukan semua pemimpin dan ahli PAS.

Pengganti Nik Aziz, Ahmad bagaimanapun tidak mempunyai ciri-ciri ini dan menyebabkan kumpulan yang berpecah bergaduh secara terbuka.

Ia bermula selepas kerajaan PAS negeri ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Husam digugurkan daripada senarai exco.

Menurut Mohamad Amar, nama Husam ditolak oleh Istana Kelantan.

Hujah itu tidak dapat diterima oleh penyokong Husam yang kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional muda dalam penjawat awam, syarikat berkait negeri dan sektor awam.

Tidak lama selepas itu, penyokong Husam turut kehilangan jawatan, terbaru adalah bekas Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Che Ibrahim Mohamad.

Che Ibrahim dan Husam belajar bersama-sama di Universiti Malaya.

Surat pemecatan Che Ibrahim ditandatangani Mohamad Amar yang juga adalah pengerusi Kias, kata seorang pemimpin PAS Kelantan kepada The Malaysian Insider.

Ekoran itu, Che Ibrahim bersama rakan-rakannya berhimpun dan membuat tunjuk perasaan di hadapan Kias.

Sebelum ini beberapa penyokong Husam lain turut dipecat, Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga bekas pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali) dan Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit).

Sejak dilantik menjadi exco pada 2004, Husam mempunyai pengaruh besar dalam pembuatan polisi negeri dengan sebahagian daripadanya berjaya menangkap imiginasi rakyat Kelantan, kedua-dua di dalam negeri dan golongan yang berhijrah kerana pekerjaan.

Dikatakan pengundi luar Kelantan adalah yang terbesar dan akan pulang membuang undi setiap kali pilihan raya.

Kempen menuntut kerajaan pusat agar membayar royalti minyak adalah idea Husam.

Ia berjaya mendapatkan sokongan majoriti rakyat Kelantan dan pelekat “R” berwarna merah boleh dilihat di seluruh negara.

Cadangan pembinaan lebuh raya Kota Bharu–Gua Musang yang dicadangkan Husam juga menyebabkannya mendapat sokongan lebih besar.

Projek yang sedang berjalan itu dibuat hasil sumbangan orang ramai mensasarkan pembinaan lebuh raya empat jalur yang menghubungkan Kelantan dan Kuala Lumpur.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap Husam menyebabkan penyokongnya berasa kepimpinan sedia ada perlu berundur.

Tindakan Husam mengkritik kerajaan negeri secara terbuka tidak disenangi beberapa pihak.

Bekas speaker DUN Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah menggesa PAS Pusat campur tangan dalam krisis di Kelantan sebelum terlambat.

Wan Rahim mengatakan, apabila Husam mengkritik kerajaan negeri Oktober lalu, lawatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mampu menenagkan semua pihak.

"Pentadbiran Kelantan ini dari dahulu sangat menghormati PAS Pusat berdasarkan hierarki parti. Jadi saya rasa PAS Pusat perlu berbuat sesuatu," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kota Baru.

Wan Rahim meminta PAS Pusat mengaktifkan kembali Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan pada 2012 untuk menyelesaikan krisis kerajaan negeri Kedah.

Salah seorang bekas ahli Jawatankuasa Pemandu itu, Datuk Kamarudin Jaffar berkata Kelantan perlukan perhatian PAS Pusat sebelum menjadi lebih parah.

Seorang lagi veteran PAS Kelantan Hashim Omar mengatakan pimpinan pusat tidak boleh beranggapan sokongan rakyat Kelantan merupakan anugerah tanpa mengira kualiti kerajaan negeri.

"Kalau mereka melihat dalam Pakatan pun berpecah, macamana mereka hendak sokong?” soal beliau.

The Malaysian Insider

Sunday, February 16, 2014

Kerajaan Kelantan Abai Pesawah Hadapi Musim Kemarau Di Kelantan?


"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka kira-kira 8,000 pesawah di Kelantan akan mengalami kerugian RM90 juta jika masalah penyaluran air ke kawasan sawah mereka tidak diselesaikan segera."

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kerajaan negeri Kelantan diminta supaya bersama-sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membantu pesawah yang dilihat bakal terjejas teruk akibat musim kemarau sekarang.

Katanya, kemarau yang berlaku sejak tiga bulan lepas akan menjejaskan musim penanaman padi berikutan bekalan air yang tidak mencukupi.

"Kita harap suatu tindakan diambil untuk menyelamatkan suatu hasil besar yang terancam akibat daripada kekurangan air," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pemberita semasa menziarah Rezamawati Che Mat Bidin, 37, yang cedera parah sementara anak lelakinya yang berusia tiga tahun meninggal akibat diserang gajah di Ayer Lanas, Sabtu.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka kira-kira 8,000 pesawah di Kelantan akan mengalami kerugian RM90 juta jika masalah penyaluran air ke kawasan sawah mereka tidak diselesaikan segera.

Sementara itu Kerajaan Negeri disaran tubuh Zon Penanaman Padi di Kelantan apabila kawasan padi semakin mengecut di negeri itu.

Ketika ini keluasan tanaman padi di negeri itu ialah kira-kira 29,000 hektar berbanding 37,000 pada tahun 1972.

Pada tahun 2020 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyasarkan kira-kira 350,000 tan metrik pengeluaran padi dapat dihasilkan di Kelantan.

Berikutan itu, Pengerusinya Datuk Md Alwi Che Ahmad (kiri) menyarankan kerajaan Kelantan supaya menyediakan zon khas bagi penanaman padi di negeri ini untuk mengelakkan berlaku pengurangan hasil pada setiap tahun.

Ini ekoran pertukaran status tanah sawah padi kepada tanah perumahan yang tidak terkawal.

"Kerajaan Kelantan perlu membuat kajian mendalam dan mengehadkan kelulusan untuk membina perumahan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Kok Lanas, kelmarin.

"Seandainya kerajaan Kelantan boleh buat apa yang saya cadangkan ini, kita boleh capai sasaran tersebut," katanya. Sementara itu, beliau berkata paras air sungai yang rendah berikutan aktiviti menyedut pasir dan penerokaan tanah di pedalaman Kelantan merupakan punca Kada tidak dapat menyalurkan air ke sawah.

"Tahun lepas sahaja kita mengalami kerugian kira-kira 72,336 tan metrik padi akibat masalah tersebut dan ia telah menjejaskan pengeluaran padi serta beras untuk negara," katanya.

Katanya, Kada menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.

Beliau berkata selain kerugian kira-kira RM90 juta oleh 8,000 petani di bawah Kada, ia juga telah menjejaskan sejumlah 4.4 peratus pengeluaran padi pada tahun 2013.