Showing posts with label MB. Show all posts
Showing posts with label MB. Show all posts

Saturday, March 1, 2014

Kelantan Dalam Bahaya...Ahmad Yakub Gagal Satukan PAS Kelantan



Kerajaan PAS Kelantan dikatakan mempunyai masalah perpecahan, sembilan bulan selepas ikon parti itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan sebagai menteri besar selepas 23 tahun berkuasa.

Penggantinya, Datuk Ahmad Yakub mula menerima kritikan daripada rakan dan lawannya ekoran kegagalan menyatukan rakyat dan penyokong PAS.

Sesetengah pemimpin negeri memberi amaran bahawa Kelantan mampu mengulangi apa yang berlaku kepada Kedah sebelum ini.

Dua fraksi utama dalam PAS Kelantan adalah mereka yang bersama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah dan golongan menyokong bekas exco kanan, Datuk Husam Musa yang dilihat mewakili golongan progresif dalam parti.

Ekoran itu, pelbagai pihak mahu PAS Pusat campur tangan menyelesaikan perkara itu bagi menyelamatkan pentadbiran negeri.

Veteran politik Kelantan menyifatkan kerajaan yang ada masih selamat kerana Umno negeri berpecah dengan lebih teruk, memberikan kelebihan kepada PAS negeri.

Bagaimanapun mereka berkata, jika dibiarkan terlalu lama, pergaduhan dalaman ini akan menyebabkan kekuatan akar umbi PAS di Kelantan hilang.

Sebelum ini memang sudah terdapat beberapa fraksi dalam pimpinan negeri, termasuk ketika Nik Aziz memimpin namun Mursyidul Am PAS itu mempunyai aura dan sifat rendah diri yang menyebabkan beliau mendapat sokongan daripada semua kumpulan.

Nik Aziz mempunyai aura tersendiri yang mampu menyatukan semua pemimpin dan ahli PAS.

Pengganti Nik Aziz, Ahmad bagaimanapun tidak mempunyai ciri-ciri ini dan menyebabkan kumpulan yang berpecah bergaduh secara terbuka.

Ia bermula selepas kerajaan PAS negeri ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Husam digugurkan daripada senarai exco.

Menurut Mohamad Amar, nama Husam ditolak oleh Istana Kelantan.

Hujah itu tidak dapat diterima oleh penyokong Husam yang kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional muda dalam penjawat awam, syarikat berkait negeri dan sektor awam.

Tidak lama selepas itu, penyokong Husam turut kehilangan jawatan, terbaru adalah bekas Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Che Ibrahim Mohamad.

Che Ibrahim dan Husam belajar bersama-sama di Universiti Malaya.

Surat pemecatan Che Ibrahim ditandatangani Mohamad Amar yang juga adalah pengerusi Kias, kata seorang pemimpin PAS Kelantan kepada The Malaysian Insider.

Ekoran itu, Che Ibrahim bersama rakan-rakannya berhimpun dan membuat tunjuk perasaan di hadapan Kias.

Sebelum ini beberapa penyokong Husam lain turut dipecat, Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga bekas pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali) dan Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit).

Sejak dilantik menjadi exco pada 2004, Husam mempunyai pengaruh besar dalam pembuatan polisi negeri dengan sebahagian daripadanya berjaya menangkap imiginasi rakyat Kelantan, kedua-dua di dalam negeri dan golongan yang berhijrah kerana pekerjaan.

Dikatakan pengundi luar Kelantan adalah yang terbesar dan akan pulang membuang undi setiap kali pilihan raya.

Kempen menuntut kerajaan pusat agar membayar royalti minyak adalah idea Husam.

Ia berjaya mendapatkan sokongan majoriti rakyat Kelantan dan pelekat “R” berwarna merah boleh dilihat di seluruh negara.

Cadangan pembinaan lebuh raya Kota Bharu–Gua Musang yang dicadangkan Husam juga menyebabkannya mendapat sokongan lebih besar.

Projek yang sedang berjalan itu dibuat hasil sumbangan orang ramai mensasarkan pembinaan lebuh raya empat jalur yang menghubungkan Kelantan dan Kuala Lumpur.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap Husam menyebabkan penyokongnya berasa kepimpinan sedia ada perlu berundur.

Tindakan Husam mengkritik kerajaan negeri secara terbuka tidak disenangi beberapa pihak.

Bekas speaker DUN Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah menggesa PAS Pusat campur tangan dalam krisis di Kelantan sebelum terlambat.

Wan Rahim mengatakan, apabila Husam mengkritik kerajaan negeri Oktober lalu, lawatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mampu menenagkan semua pihak.

"Pentadbiran Kelantan ini dari dahulu sangat menghormati PAS Pusat berdasarkan hierarki parti. Jadi saya rasa PAS Pusat perlu berbuat sesuatu," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kota Baru.

Wan Rahim meminta PAS Pusat mengaktifkan kembali Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan pada 2012 untuk menyelesaikan krisis kerajaan negeri Kedah.

Salah seorang bekas ahli Jawatankuasa Pemandu itu, Datuk Kamarudin Jaffar berkata Kelantan perlukan perhatian PAS Pusat sebelum menjadi lebih parah.

Seorang lagi veteran PAS Kelantan Hashim Omar mengatakan pimpinan pusat tidak boleh beranggapan sokongan rakyat Kelantan merupakan anugerah tanpa mengira kualiti kerajaan negeri.

"Kalau mereka melihat dalam Pakatan pun berpecah, macamana mereka hendak sokong?” soal beliau.

The Malaysian Insider

Sunday, March 4, 2012

Tok Pa Tidak Harap Jadi Menteri Besar Kelantan

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau tidak pernah mengharap dilantik sebagai Menteri Besar (MB) jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan Kelantan pada pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) nanti.

“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, saya hanya membantu melancarkan segala permasalahan yang berlaku di negeri ini. Saya tidak pernah letakkan harapan untuk dijadikan calon MB, lagipun saya sudah lama memegang jawatan dalam politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri (PM) yang memuji Mustapa kerana memastikan kelancaran tugas dalam pimpinan Umno di negeri ini dalam kunjungan beliau di Kelantan semalam.

“Saya hanya ikut arahan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi. Lagipun saya dah lama dalam Umno dan pegang jawatan, apa pun saya serahkan kepada pihak terbabit,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan peruntukkan yang diberikan kepada bas henti-henti Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran Perdana Menteri kelmarin, BN Kelantan mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergilir-gilir datang ke negeri ini pada setiap bulan bagi menyuntik semangat kepada jentera di peringkat bawah.

Mustapa berkata, cadangan tersebut dibuat ketika perjumpaan tertutup di antara Najib dengan kepemimpinan BN negeri di sini malam kelmarin.

Beliau berkata, selain itu, rakyat di negeri ini juga menunjukkan semangat yang tinggi untuk bersama-sama pemimpin utama negara pada setiap kali perjumpaan diadakan.

“Saya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat di negeri ini pada lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Kelantan semalam. Ini jelas menunjukkan pada saya bahawa Gelombang Merah yang kita mulakan pada Februari 2011 semakin mendapat penghargaan dan sokongan,” katanya.

Mustapa berkata, rakyat di negeri ini inginkan perubahan dan lawatan ini cukup bermakna dan beliau minta agar pada setiap bulan PM atau TPM datang Kelantan bagi menyuntik semangat rakyat dan jentera parti agar bekerja lebih keras.

“Kita cadangkan April nanti TPM pula datang dan begitulah seterusnya,” katanya.

Sinar Online

Wednesday, March 3, 2010

GANTI AHMAD SAID - SURATAN ATAU KEBETULAN?

Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)

Jika sudah tersurat Datuk Ahmad Said akan digantikan 18 Mac ini. Ia bukan kebetulan.
Segalanya dirancang, dan siapa yang mengaturnya tidak sukar untuk dikenali.

Cuma apa yang menarik ketika ini ialah ia mungkin berlaku (saya kata mungkin kerana pada waktu kecederaan, apa-apa sahaja boleh berlaku).

Kenapa waktu kecederaan? Ini kerana kebetulan sebuah blog ada melaporkan mengenai kemungkinan akan timbulnya suatu kuasa baru di Putrajaya pada Mac 2010.

Entah betul entah tidak. Tapi itu perkhabaran yang diterima. Boleh jadi suatu khabar angin, boleh jadi tak jadi dan juga boleh jadi sekadar illusi.

Menurut blog berkenaan, kalau benar pastinya ianya memeranjatkan dan semua orang akan terlopong mulut. Kuasa apa tu ye..Benda belum tentu jadi..kita tengok sama ada ia akan jadi ke tidak. Tapi yang meramalkannya pun rasa macam mustahil. Politik adalah seni untuk merealisasikan benda-benda mustahil.

Siapa yang akan berkuasa tu ye? Ada orang kata Ku Li. Tapi dia nafi. Takkan dia nak ganti Anwar yang masih mahu kekal Ketua Pembangkang.

Ada kata tarikh 15 March. Dah hampir ribut tak ada, sepoi-sepoi bahasa pun tak rasa.

Begitulah juga di Terengganu, sebuah blog pro-pembangkang melaporkan ada sumber rapat dengan seorang Datuk yang baik dengan YDPA Tuanku Mizan Zainal Abidin memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menghadap Baginda Tuanku dalam masa yang terdekat untuk memohon agar Menteri Besar Terengganu ditukar.

Betul ke? Bagaimana kalau kuasa di Putrajaya bertukar?

Isu ini bertambah sensasi lagi apabila seorang Datuk pergi ke Makkah menunaikan Umrah yang kebetulan SPB Yang Dipertuan Agong berada di sana.

Yang pasti dan sudah disahkan Datuk ini tiada dalam senarai rombongan DiRaja yang dikeluarkan oleh Istana Negara. Ini bermakna, kalau ada pertemuan pun ia secara kebetulan, bukan dirancang!

Sejak akhir minggu lalu, di kalangan pegawai ada menerima sms kononnya Ahmad Said telah melepaskan jawatan Menteri Besar atas desakan daripada Najib yang mendapat perkenan SPB YDP Agong.

Kalau tidak jadi 1 Mac bermakna 18 Mac 2010 inilah. Ada 17 hari lagi Ahmad Said duduk di kerusi berkenaan!

Satu lagi versi, kalangan pegawai yang pernah bekerja dengan bekas Menteri Besar mengeluarkan pertanyaan kepada rakannya dengan soalan “Dengar kata pada 1 Mac 2010 ini Ahmad Said akan diganti ?”

Di Marang Terengganu – dilaporkan dua orang ADUN bakal menjadi Menteri Besar menggantikan Ahmad Said pada bulan Mac ini.

ADUN yang menggegar pagar istana dan ADUN yang mendakwa dirinya ‘bukan cap ayam’ dikatakan calon yang bakal dilantik MB. Nampaknya isu perlantikan Menteri Besar Terengganu telah bertambah rumit dan tidak ada penyelesaian kerana semua mahu jadi pengganti MB.

Semua yang berjuang untuk menyingkirkan Ahmad Said adalah calon-calon yang ‘layak’ dan berhasrat menjadi Menteri Besar. Mereka langsung tidak mempunyai persefahaman untuk melantik salah seorang daripada mereka.

Jika salah seorang dilantik sebagai Menteri Besar, semua daripadanya akan menentang dan akan berlaku penentangan yang lebih dahsyat tanpa penyelesaian sehingga lah ke pilihanraya umum nanti. UMNO mungkin berkubur.

Persoalannya, jika Ahmad Said diganti, tidakkah Sultan bagaikan mengakui baginda telah membuat kesilapan melantik Menteri Besar berkenaan?

Sejarah akan mencatat Sultan telah membuat kesilapan dan pasti akan menjadi catatan sejarah dan rujukan sampai bila-bila.

Satu lagi isu yang dimainkan oleh pegawai yang rapat dengan bekas Menteri Besar, kononnya di Jerman baru-baru ini Ahmad Said telah tidak diperkenan mengadap oleh SPB YDP Agong.

Saya difahamkan, Ahmad Said mengunjungi SPB YDP Agong yang mendapat rawatan di Jerman adalah mengikut tuntutan adat negeri. Menurut adat negeri, Menteri Besar perlu menemani atau menjaga keadaan Tuanku sekiranya ada masalah kesihatan.

Menteri Besar ke Makkah pula kerana mengiringi DYMM Pemangku Raja menunaikan Umrah.

Beliau seterusnya mengiringi Baginda dalam perjalanan pulang pada 26 Febuari 2010. Menurut adat Terengganu, Menteri Besar merupakan ‘memanda’ kepada Raja.

Mungkin saya salah, maafkan saya jika tidak benar fakta berkenaan.

Sinar Harian minggu ini melaporkan, isu terbaru yang disifatkan sebagai serangan politik

melibatkan Menteri Besar tersebut ialah kiriman khidmat pesanan ringkas (sms) yang mengaitkan kedudukan Ahmad Said selepas pertengahan Mac depan.

Antara lain sms yang cuba disebarkan oleh pihak-pihak tertentu itu turut mendakwa bahawa Ahmad kini telah dinasihatkan supaya melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Puak penentang Ahmad Said memang “Raja SMS”. Ini kerana pada April tahun lalu mantan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar difitnah menghantar SMS ugutan bunuh ADUN yang mana kes tersebut sedang dalam perbicaraan di Mahkamah dan seorang Datuk telah ditahan polis.

Kenyataan dalam, Sinar Harian di atas bertentangan dengan kenyataan sebelumnya apabila mantan Setiausaha UMNO Negeri Datuk Rosli Mat Hasan dilaporkan berkata bahawa dakwaan mengatakan UMNO Terengganu masih bermasalah tidak harus dipercayai.

“Kita berada dalam keadaan cukup baik, tidak ada apa-apa masalah, malah UMNO juga sudah menjadi juara rakyat sekarang dan itu adalah perkembangan positif, ” kata beliau.

Yang nyata, sambutan kepulangan Ahmad Said dari Jerman dan Makkah di lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 26 Febuari 2010 jam 3.45 petang sangat hebat.

Menteri Besar ternyata riang dan ceria dan sempat berucap ringkas.

Ditanya wartawan mengenai SMS terbaru yang mengatakan beliau diminta meletak jawatan, Ahmad Said tidak mengulas panjang, sebaliknya meminta wartawan bertanya kepada pihak terbabit.

“Kena tanya orang itulah. Saya tidak mahu ulas benda ini, ia (serangan politik) biasalah. Ada dengar dalam SMS, anda (wartawan) baca sebab tu anda tanya. Tidak mengapalah, saya masih seperti ini,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kelmarin.

Keseluruhan hampir 1,000 orang hadir termasuk Exco, wakil rakyat, Ketua Jabatan dan rakyat.

Keluar sahaja dari pesawat, Menteri Besar disambut oleh pegawai nombor satu (SUK) dan pegawai nombor dua (PKN) dan hanya segelintir pegawai tinggi tidak kelihatan.

Yang pasti, Ahmad Said terus mendapat sokongan pegawai tinggi kerajaan, pemimpin parti dan rakyat.

Kini terpulanglah kepada Perdana Menteri sama ada benar atau tidak beliau mahu meminta Ajhmad Said berhenti apabila namanya dikaitkan sama ada melalui SMS dan cakap-cakap kedai kopi di Terengganu.

Hanya Najib yang boleh memberhentikan cerita-cerita seperti ini.

Yang pasti perkhabaran yang dibawa oleh penentang Ahmad Said bukan suratan atau kebetutan tetapi dirancang.

Apakah Najib ‘gemar dan suka’ ganggu-gugat seperti ini?

Bagaimana pun rasa beliau apabila ganggu-gugat sudah bermula terhadapnya akhir-akhir ini?

Wednesday, January 6, 2010

ROSOL YANG DITIMBA BALA!

Membaca surat terbuka melalui blogspot penawarrinduku, mengejutkan saya mengenai belang sebenar YB Datuk Rosol Wahid.

Ingatkan dia seorang yang baik dan murni dalam perjuangan tetapi dia memang seorang yang menyalahgunakan kuasa, tamak kuasa dan ‘jahat’dalam politik.

Saya malas menceritakan mengenai peribadinya tetapi bacalah apa yang ditulis seseorang melalui blog berkenaan.
Bacalah olehmu mengenai ‘kebejatan’ manusia bernama YB ROSOL WAHID!

Surat terbuka untuk YB Dato' Rosol Wahid
(Disalin daripada : PENAWARINDU, http://penawarrinduku.blogspot.com/)
Apr 24, 2008

Assalamualaikum,
YB Dato', semoga YB dato' didalam kesejahteraan dan berada dalam suasana ketenangan yang memuncak hendaknya.

Maafkan saya kerana menjenguk Dato' dengan surat ini.Bukan lah niat saya untuk menyerabutkan dato' dengan peristiwa-peristiwa lepas yang semestinya dato' sendiri tidak selesa untuk memperingatinya kembali.

Dato' tentu masih ingat semasa seawal zaman reformasi ditahun 1998. Ketika itu Dato' bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, selepas sebelum itu dato' bertugas di Sek Men Matang, Hulu Terengganu.

Dato' semasa itu adalah penyokong dan pendokong Dato' Seri Anwar Ibrahim,mati-mati Dato' pertahankan DSAI.Tak sudah sudah Dato' mengutuk Tun Mahathir ketika itu.Sementara Dato' membuat salinan bahan reformasi di laman web, salinan itu pula di bawa oleh isteri Dato' ke Pejabat Pertanian Kuala Berang untuk edaran teman-teman sepejabat beliau.Saya amat yakin tentu sekali Dato' Masih Ingat....Masihkah Kau Ingat....

Dato' YB,

Tapi reformasi Dato' telah dihidu oleh Dato' Tg Putera yang ketika itu telah menjadi ketua umno Hulu Terengganu.Kebetulan semasa hampir PRU 10 Nov 1999 Di Dun Ajil itu sendiri memerlukan BN menonjolkan satu muka baru selepas YB Othman Daud ketika itu dilihat tidak berfungsi dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat.Lalu ketika itu Dato' Tg Putera telah mencadangkan Dato' sebagai calon untuk Dewan Undangan Negeri Ajil.Maka jadilah Dato' sebagai ADUN Ajil,yang ketika itu menjadi pembangkang di Terengganu bersama 3 yang lain termasuk Dato' Tg Putera itu sendiri.

Dato' sangat lantang bersuara, dato' menjadi jaguh, sebagai Adun baru yang berkebetulan dato'lah satu-satunya Adun BN yang boleh membaca Quraan dan hadith( walaupun lintang pukang dan seringkali ditegur oleh speaker ketika itu)Dato' sanggup menyewa helikopter melalui KETENGAH dan menggunkan duit dana khas untuk mengajak beberapa pemberita akhbar mengambil gambar udara kawasan balak di Tasik Kenyir yang gondol akibat pembalakan ketika itu.Dato' samggup berbohong, sedangkan dato' sendiri tahu, pulau di Tasik kenyir yang berhampiran muara sungai Kerbat itu gondol akibat dari telah dilaksana perlombongan yang diluluskan lesenya dizaman Wan Mokhtar Ahmad, sanggup dato' jadi penipu dan pembohong.

Pilihanraya ke-11 2004 nasib dato' agak baik selepas dato' berjaya mempengaruhi DS IdrisJusoh supaya menukarkan Tg Putera ke Parlimen, maka dengan itu Dato'lah calon BN dari Hulu Terengganu yang layak menjadi exco.Ketika itu DUN Telemung dan Kuala Berang adalah muka baru iaitu cikgu Rozi dan dan Cik gu Komaroddin.Selepas hampir 4 bulan sebagai YB cik gu Komaruddin meninggal di Genting Highland, sekali lagi dato' berjaya mempengaruhi Idris jusoh supaya mencalonkan Cik gu Zawawi sebagai calon BN.Ketika itu dato' sudah menjadi SU Perhubungan Umno Terengganu. Kini 3 wakil Rakyat di Hulu Terengganu adalah cik gu-cikgu termasuk dato' sendiri.

Selepas itu suara dato' mula berbisik-bisik untuk merampas jawatan Ketua bahagian Hulu Terengganu.Dato' tidak sabar, dato' gelojoh dalam politik, kerana dato' naik dengan cepat lalu dato' merasakan dato' sangat hebat.Itu lah kesilapan dato' dan juga kesilapan tokoh-tokoh yang berjiwa besar dalam umno.

Apabila dato' telah menjadi exco dan selaku SU umno negeri sudah tentu dato' sangat rapat dengan MB yang juga ketua perhubungan berbanding Tg Putera yang cuma timbalan Ketua Perhubungan .Dato' telah menggunakan kesempatan ini dengan menguasai dan membelakangi Dato' Tg Putera Awang didalam majlis Parti dan Kerajaan di daerah dan Parlimen Hulu Terengganu.

Akhirnya kemuncak pengkhianatan Dato' terhadap YM dato' Tg Putera Awang ialah apabila dato' merancang bersama-sama Idris Jusoh untuk menggugurkan YM Tg Putera Awang sebagai calon dalam PRU Ke-12, dan sekali lagi Dato' mencadangkan seorang guru Pencen Mohd Nor Otman sebagai calon MP Hulu Terengganu.

Tujuan Dato berbuat demikian suapaya nanti senang dato' untuk menang merebuat jawatan Ketua Umno Hulu Terengganu,kerana dato' ketika itu turun sebagai calon Ketua Bahagian dengan tittle Exco kanan, sedangkan YM Tg Putera hanya sebagai bekas Ahli Parlimen.Cik gu Zawawi dan cik gu Mohd Nor sudah sah bersama dato', tapi cikgu Rozi masih dibayangi oleh YM Tg Putera,( Ruzi dok derake raje).

Semasa kemelut perlantikkan MB Terengganu, dato' juga lah yang merancang supaya seseorang menawarkan rasuah kepada cikgu Zawawi untuk bersama Dato' Ahmad Said, nak kata licik dato' ni tapi ramai orang tahu.Dengan dakwaan itu kononya tawaran tersebut datang dari puak puak Ahmad Said, Dato' mengharapkan agar Ahmad Said di benci oleh rakyat dan di siasat BPR.

Ketika itu Dato' menjadi jaguh dan jurucakap kepada Idris Jusoh, dan disatu pihak yang lagi satu YM Tg Putera pula dilihat sebagai mewakili 6 Ketua bahagian yang menyokong perlantikan Ahmad Said.Dato' sangat lantang dan sudah berpatah arang dengan istana,setiap hari wajah dan kenyataan dato' keluar di berita utama stesen TV.


Lihat petikan berita internet dibawah :

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, setiausaha Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata Ahmad terlucut keahlian dalam Umno kerana menerima watikah pelantikan tersebut pagi tadi.Menurut Rosol lagi, surat rasmi pemecatan Ahmad akan dikeluarkan oleh pihak Umno Malaysia.Tambahnya, pagi tadi, beliau mewakili 22 Adun BN - tidak termasuk Idris - telah menyerahkan memorandum kepada MPPR, membantah pelantikan Ahmad sebagai menteri besar.

Rosol berkata, beliau juga turut menyerahkan surat daripada badan perhubungan Umno Terengganu kepada Ahmad, mengingatkan bahawa beliau akan dipecat daripada Umno jika menerima pelantikan menteri besar.Katanya, surat peringatan tersebut dikeluarkan dengan restu presiden Umno.Kedua-dua memorandum dan surat tersebut diserahkan melalui setiausaha MPPR, Shafie Ali pada kira-kira jam 7.55 pagi.

Ditanya mengenai bagaimana sekiranya pihak istana meneruskan upacara mengangkat sumpah Ahmad sebagai menteri besar, Rosol menjawab: "Itu anda kena rujuk kepada pegawai undang-undang negeri".

Dan lagi petikan akhbar

KUALA LUMPUR: Kesemua 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan masing-masing sekiranya Adun Kijal, Datuk Ahmad Said tetap memegang jawatan Menteri Besar negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Rosol Wahid dalam satu sidang akhbar di ibu negara malam ini, berkata tidak mustahil perkara seumpama itu berlaku memandangkan pelantikan tersebut tidak mendapat sokongan kesemua Adun berkenaan.

Katanya kesemua mereka telah berikrar untuk berdiri teguh di belakang bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bagi memberikan sokongan padu terhadap beliau.

"Kami menyatakan sokongan penuh semua wakil rakyat kecuali Kijal (Ahmad Said) atas keputusan presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Maksudnya tidak ada calon lain yang dicadangkan untuk jawatan tersebut," katanya.

Menurut beliau, tidak ada sebab untuk Idris tidak dipilih berdasarkan kepada reputasi dan pencapaian cemerlang beliau dalam mentadbir negeri berkenaan sejak empat tahun lepas."Apa yang berlaku pagi tadi di Istana Tetamu sebenarnya tidak mendapat persetujuan kami semua dan ini berbeza dengan apa yang berlaku di Perlis. Ertinya Adun Kijal berseorangan dalam perkara ini," katanya.


Petikan bernama pula:

KUALA TERENGGANU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang mendakwa semua Ketua Umno Bahagian di Terengganu, kecuali Besut, menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar.

Tengku Putera berkata, mereka sebulat suara menyokong pemilihan Ahmad kerana percaya beliau mampu menerajui kepemimpinan negeri itu.

Selain Tengku Putera selaku Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, turut menyokong pelantikan Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman, ialah Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun), Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu).

“Saya tidak dapat menghubungi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (Datuk Wan Farid Wan Salleh), tetapi saya percaya beliau juga menyokong pelantikan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar.

“Kami Ketua Umno Bahagian memberi jaminan untuk memastikan beliau (Ahmad) mendapat sokongan daripada anggota Umno dan berharap rakyat turut memberi sokongan,” katanya kepada Bernama.

Itulah Dato' kerana terlalu yakin dengan perancangan dan pelan yang disusun bersama DS Idris Jusoh.dato' menerima padah.

Rata-rata sekarang rakyat Terengganu sedang menunggu apa tindakan Dato', kemana arahtuju Dato' selepas ini. Walaupun Dato' menganggap kemelut itu sebagai carik-carik bulu ayam, namum rakyat mengatakan Dato' sebagai hangat-hangat tahi ayam.

Keegoan Mengudang Padah (Gambar ini dirakam didalam DUN Dato' Sendiri, ketika perjalanan saya dari Pekan Ajil ke Bukit Besi)

Akhirnya pada kesempatan ini ,saya ingin mengingatkan Dato' yang "Langit tidak selalu Cerah" Semoga Dato' belajarlah bagaimana untuk menghormati orang lain sama ada kawan ataupun lawan dalam politik.

Sekian Terima Kasih

CtKay's

Saturday, August 1, 2009

MB SELANGOR KURANG AJAR ! SULTAN MURKA

http://ruangbicarafaisal.blogspot.com/




















Kurang ajar ! Biadab !


Itulah perkataan yang patut dihemburkan ke atas muka Si MB gagap ini.

Manusia yang tak pandai membeza yang mana minyak dan yang mana air.

Seperti yang diketahui umum,sekarang sedang berlangsung Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Kuching,Sarawak.

Seperti kebiasaan,semua Raja-Raja atau Wakil Baginda akan hadir bersama Menteri Besar masing-masing.

Tetapi amat malang bagi Selangor,kerana MB nya tidak hadir mengringi KDYMM Sultan Selangor ke Majlis Santapan Di Raja pada hari Selasa (malam). Semua MB lain hadir mengiringi Raja masing-masing,kecuali Selangor.

Si gagap ini tiba di Kuching Selasa petang dan terus menghilangkan diri sehingga tidak mengiringi KDYMM Tuanku ke Majlis tersebut.

Satu penyiasatan rapi telah dilakukan oleh kakitangan Istana Selangor,dan akhirnya mereka mengetahui bahawa si gagap ini telah pergi ke satu majlis ceramah politik anjuran PKR di Kuching. Beliau telah memperlekeh Sultan. Ceramah politik lebih penting daripada Sultan.

Dalam ceramah tersebut,si gagap ini telah berucap menghentam Kerajaan BN Sarawak dan menawarkan air percuma sekiranya PKR berjaya memerintah Sarawak.

Di sini kita boleh lihat betapa bodohnya seorang MB. Tidak pandai membezakan majlis dan kehadiran beliau ke Sarawak. Beliau hadir ke Sarawak atas kapasiti beliau sebagai seorang MB yang mengiringi Tuanku ke Mesyuarat Raja-Raja Melayu. Dan dalam masa yang sama beliau juga menjadi tetamu kepada Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh BN. Kos pemergian beliau ke sana juga ditanggung oleh Kerajaan bukannya ditanggung oleh PKR.

Sebagai tetamu sepatutnya beliau menghormati Tuan Rumah iaitu Kerajaan Sarawak,bukannya menghentam Tuan Rumah. Inilah yang dinamakan kurang ajar. Kalau nak berpolitik pun sabar-sabarlah sedikit.

Tetapi sikap kurang ajar ini memang sudah sebati dengan PKR. Kerana mereka telah diajar untuk kurang ajar oleh Amerika.

Masih ingatkah anda kepada kisah Al-Gore,Naib Presiden Amerika yang datang ke KL sebagai tetamu Kerajaan Malaysia untuk menghadiri Persidangan APEC pada 1998. Semasa berucap di satu majlis makan malam sempena Persidangan tersebut di PWTC,Al Gore juga telah menghentam Kerajaan Malaysia. Selesai ucapan , Al Gore terus pulang ke Hotel walaupun majlis tersebut belum berakhir.

Budaya inilah yang ditiru oleh PKR sekarang. Maklumlah mereka ini dari spesis yang sama.

Adakah orang seperti ini masih boleh diangkat sebagai MB ? Kalau dibiarkan berterusan ,tidak mustahil orang seperti ini akan menggadaikan maruah Agama,Bangsa dan Negara.

Sunday, November 9, 2008

BONGKAR SALAH LAKU BEKAS MB JOHOR LEBIH BAIK

Betul kata MSO, PAS Johor sengaja cari penyakit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohd Sebot mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis daripada kumpulan lapan orang yang dikaitkan dengan politik wang di Bahagian UMNO Kota Tinggi.

Tiga hari lalu, Ketua Penerangan PAS Johor , Mazlan Aliman, yang dipertua PAS Kota Tinggi Kamaldin Tahir dan timbalannya Monaim Hassan membuat laporan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) negeri mengenai dokumen yang mendakwa berlaku gejala politik wang termasuk oleh Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kamaldin mendakwa, beliau menemui dokumen terbabit yang ditinggalkan di hadapan rumahnya ketika sedang menuju ke surau berhampiran untuk menunaikan solat Subuh pada hari Selasa.

Menurut MSO: “Apa yang dilakukan oleh Pas Johor yang diketuai oleh Ketua Peneranganya, Mazlan Aliman membuat laporan kononnya berlaku rasuah dalam mesyuarat Umno Bahagian Kota Tinggi adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan tidak kena pada tempatnya. Ia dilakukan untuk mencari publisiti murahan bersifat semasa.”

MSO bertanya: “Kenapa Ketua Penerangan Pas itu menganggu urusan parti orang lain?”
Kata MSO, apakah Umno Kota Tinggi, khususnya Syed Hamid Albar turut sama menganggui urusan parti Pas. Menganggu urusan rumah tangga orang lain hanya dilakukan oleh mereka yang tidak tahu etika atau tahu adab saja. Semisalnya kambing yang termasuk dalam kandang babi, adalah kambing yang buta ilmu dan tidak jahil tatasusila!

Semalam, Bernama melaporkan, lapan ahli Umno Bahagian Kota Tinggi membuat laporan polis berhubung tindakan PAS Johor mengemukakan aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Johor dua hari lalu, tentang dakwaan politik wang di bahagian tersebut.

Muszaide Makmor yang mengetui kumpulan lapan orang itu berkata, kesemua mereka membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 5 petang kelmarin.

"Kelapan-lapan orang, termasuk saya yang namanya terkandung di dalam dokumen yang diserahkan oleh PAS Johor kepada BPR negeri dua hari lepas itu, menafikan mempunyai sebarang pembabitan di sebalik tindakan PAS itu".

"Kami tidak tahu bagaimana dokumen itu boleh diperolehi oleh PAS Johor itu," kata bekas calon ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi itu.
Muszaide, yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini dan digantung keahliannya selama satu penggal berkata, mereka berharap polis dapat menjalankan siasatan tentang bagaimana dokumen terbabit boleh jatuh ke tangan PAS Johor.

Katanya, dokumen yang diperolehi Pas Johor itu dan diserahkan kepada BPR negeri itu merupakan dokumen yang sama diserahkan oleh pihaknya kepada Lembaga Disiplin Ibu Pejabat Umno Malaysia.

"Kami hanya mengemukakan dokumen terbabit kepada pihak Lembaga Disiplin Umno...dan tidak menyerahkannya kepada PAS Johor.
Dalam konteks parti politik (organisasi), sesebuah parti lain tidak wajar kalau ia cuba menegur dan memperbaiki parti lain, termasuk soal-soal rasuah.

Bukan tidak boleh, tetapi ia dilihat tidak beretika. Beretika menurut pengertian harafiahnya ialah tidak ikut peraturan dan kelazimannya. Dalam bahasa keras, tidak beradab dan tahu adab. Biasanya mereka tidak beretika mereka yang belum tamadun!

Kata MSO lagi: “Rasuah perbuatan haram dan keji dalam Islam. Tanggungjawab mencegahnya milik sesiapa juga yang membencinya. Tetapi dalam membuat teguran ia ada batas dan susilanya. Rasanya masih banyak lagi kalau Mazlan Aliman atau sesiapa orang Pas yang ingin mempopularkan diri. Masih banyak isu dan bukannya mencampuri hal ehwal orang lain secara langsung.

Seharusnya Mazlan mengetahui tata etika ini. Perbuatan beliau itu menampakkan sangat beliau dan Pas Johor sendiri tidak tahu etika atau tatacara berpolitik. Secara tidak langsung apa yang dilakukan oleh Mazlan ia menunjukkan tahap profesional dalam Pas boleh dipertikaikan. Elok kalau Pas Pusat memberi nasihat dan tunjuk ajar sewajarnya kepada orang-orang seperti Mazlan Aliman itu. Kalaupun perlu adakan kursus mengenai tatacara beretika.”

MSO turut mendedahkan, sering berlaku ada pemimpin-pemimpin Pas yang gatal mulut dan tidak cukup isu dengan memcampuri urusan peribadi Umno. Tindakan ini tidak wajar kerana Umno jarang sekali berbuat demikian. Misalnya semasa Umno riuh randah mengadakan mesyuarat, ada pemimpin Pas yang memberi komen agak melampau dan peribadi dan seolah-olah mereka menjadi pemantau kepada perjalanan mesyuarat Umno pula.

MSO menganggap Mazlan masih belum cukup ilmu politik. Dan apa yang dilakukan semalam melaporkan rasuah dalam politik Umno menjelaskan kedangkalan beliau dalam berorganisasi.
Bagi MSO, daripada membuat laporan rasuah ke atas Umno Kota Tinggi, ia lebih baik kalau beliau mengorekkan segala macam rasuah yang berlaku dalam kerajaan Johor itu termasuk membongkar apa yang pernah dilakukan bekas Menteri Besar Johor yang menjual tanah untuk rakyat Singapura.