Wednesday, June 15, 2016

Kes Aabar BVI - Husam Kata Najib Pondan, Tidak Berbisa


(Bekas Naib Presiden PAS,  ADUN Salor)

Bumi untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpijak semakin mengecil.

Jika tuntutan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi melalui Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London berjaya, Malaysia akan dihempap oleh beban kewangan sebesar RM 26.7 bilion atau AS$6.5 bilion!

Seawal 2014, Gabenor Bank Negara Malaysia melalui dua memorandum telah memberikan amaran kepada kerajaan pimpinan Najib risiko gegaran kewangan besar yang akan ditanggung oleh negara dari 'aktiviti' 1MDB.

Kini, pra gegaran itu sahaja sudah menggegarkan!


Antara isu dalam hubungan 1MDB dan rakan niaganya IPIC ialah salah pembayaran oleh 1MDB.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seperti dalam laporannya, mengesahkan - sejumlah AS$1.3 bilion atau RM 4.51 bilion telah dibayar kepada Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB.

Selain itu, dokumen 1MDB menunjukkan satu lagi pembayaran kepada 1MDB berjumlah AS$2.1 bilion turut dibuat.

PAC mendapati, pembayaran dibuat kepada Aabar BVI tanpa kelulusan tembaga pengarah 1MDB!
Bukan jumlah wang yang kecil. Bahkan, sudah tersangat besar.

Bagaimana 1MDB telah tersalah bayar wang sebesar itu?

Wang itu sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC bernama Aabar Investments PJS tetapi telah dibayar kepada Aabar yang lain - iaitu Aabar BVI!

Beza  Muhyidin dan Mahyidin

Namanya seakan sama, ejaan sahaja berbeza. Tetapi, si bodoh dari kutub pun tahu, ia dua entiti yang berbeza.

Seperti kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, 1MDB gagal membezakan antara Muhyidin dan Mahyidin.

Inilah yang menyebabkan IPIC dan Aabar meneruskan tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri komitmen seperti perjanjian. Aabar yang sebenar tidak dibayar.

Hasilnya, wang sejumlah AS$3.47 bilion atau bersamaan RM14.2 bilion dikebas orang!

Soalnya, siapakah 'orang' itu?
  

Mengikut kenyataan Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada akhir April tahun ini, ada kemungkinan 1MDB telah 'ditipu secara besar-besaran (massive fraud)' atau 'kerjasama tali barut dari dalam' 1MDB sendiri (collaboration from our side).

Bukankah kenyataan Arul itu berat? 1MDB ditipu!

Bersekali dengan perdana menteri ditipu kerana beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam 1MDB.
Tidak begitu bagi Najib yang cukup tenang.

Dalam jawapannya di Parlimen pada April tahun ini - hanya berbeza hari dengan kenyatan Arul Kanda - 'terlalu awal untuk menyimpulkan adanya unsur penipuan'.

Kenapa terdapat kesimpulan yang begitu ketara perbezaan antara dua kenyataan ini?

Satu, 1MDB ada kemungkinan ditipu kerana membuat pembayaran yang salah.

Satu lagi, cuba menolak adanya unsur penipuan.

Jika bukan kerana ditipu dan niat buruk melarikan wang itu, kenapa pembayaran itu dibuat?

Bukan sekali, tetapi empat pembayaran.

Tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Seperti kura-kura

Jika sedikit sahaja semakan dibuat oleh 1MDB sebelum pembayaran dibuat, tidak ada nama Aabar BVI dalam senarai anak syarikat IPIC seperti laporan tahunannya bagi tahun 2011 sampai 2014 dan dalam laporan interim bagi tahun 2015.

Jika Arul Kanda mengatakan ada kemungkinan unsur jenayah dalam salah pembayaran sebesar ini, apa tindakan yang telah Arul Kanda lakukan?
  
Laporan polis?
Laporan kepada PM?

Apa pula tindak balas PM?

Mengarahkan polis menyiasat?

Adakah PDRM akan bergerak seperti kura-kura jika PM telah mengarahkan mereka memberkas siapa jua yang terlibat?

Adakah polis Malaysia begitu tidak cekap sehingga tiada apa dilakukan ke atas jenayah sebesar ini?
Apa langkah menteri kewangan atau PM untuk menuntut semula wang itu?

Kenapa perdana menteri tidak mengguna pakai Laporan PAC dan bertindak ke atas pengurusan yang telah melanggar arahan Lembaga Pengarah?

Apa pun, mengikut Artikel 117, MNA 1MDB, kuasa pemutus dalam 1MDB tidak lain dan tidak bukan adalah perdana menteri sendiri.

Kenapa beliau tidak bertindak?

Kerana dari awal lagi salah pembayaran itu telah dirancang?

Perlindungan kuasa tertinggi

Tanpa perlindungan kuasa tertinggi, tidak mungkin bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berani melakukan jenayah sebesar itu.

Jika ia memang dirancang, adakah wang sebesar RM14 bilion tidak pulang semula ke pangkuan perancangnya?
  
Sudah tentu dua figur dalam IPIC dan Aabar PJS yang telah dipecat, iaitu Khadem al Qubaisi dan Mohamed al Husseiny mempunyai jawapannya ke mana wang itu telah diagih-agihkan.

Tetapi kerana perdana menteri kita tidak berminat untuk tahu ke mana wang yang telah dibayar oleh rakyat Malaysia dan negara ini dilarikan oleh Aabar BVI atas sebab yang ia sendiri tahu, pihak berkuasa kita tidak diarahkan untuk menyoal siasat kedua-dua mereka.

Najib tidak kelihatan agresif mempertahankan kepentingan negara.

Kita telah kehilangan tempat pergantungan untuk negara kita dibela oleh kita sendiri.

Kita hanya bernasib kerana dunia di luar kita meneruskan dinamika dan perputaran. IPIC dengan tuntutannya, telah banyak membantu kita rakyat Malaysia dalam memahami isu 1MDB.

Bagi yang berdosa ke atas rakyat dan negara ini, akhirnya mereka akan membilang hari hanya dengan jari.

Dosa anda akan tetap terserlah jua.

Monday, June 13, 2016

Mustapa Alu-Alukan Perubahan Ingin Dibawa Oleh PAS

MUSTAPA MOHAMED sambil diperhatikan Dr. Mortaza Mohamed (kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada seorang mahasiswa sempena majlis berbuka puasa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Kelantan, kelmarin.
Pendekatan baharu PAS yang memilih budaya politik matang dan sejahtera mampu menyatukan umat Islam dan menamatkan perpecahan rakyat sekali gus membersihkan tanggapan negatif terhadap Islam dan orang Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, umat Islam di negara ini, khususnya di Kelantan sejak sekian lama bertelagah sesama sendiri hanya kerana tidak sehaluan dalam parti politik.

Sehubungan itu katanya, UMNO mengalu-alukan perubahan yang ingin dibawa PAS dan berharap gagasan tersebut yang diperkenalkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat diterima baik untuk diamalkan di setiap lapisan pemimpin serta pengikut parti itu.

“Kita bersyukur kerana PAS mengambil pendekatan ini demi perpaduan umat Islam. Seperti mana yang sering saya seru, kita boleh berbeza politik namun dalam hal-hal melibatkan Melayu dan Islam, kita tidak harus berpecah.

“Saya juga berharap pendekatan ini dapat membina jambatan antara dua pihak yang bertelagah di Kelantan. Amalan memulau kenduri, memutuskan persaudaraan, sembahyang dua imam dan sebagainya perlu dinyahkan dari bumi Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selePAS menghadiri majlis berbuka puasa serta pe­nyampaian zakat anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di Jeli kelmarin.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah; Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed serta Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Cawangan Kelantan, Azran Derahman.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Kota Bharu, baru-baru ini, Abdul Hadi menggariskan hala tuju baharu parti itu yang berteraskan ‘budaya politik matang dan sejahtera’.

Beliau menyeru ahli parti itu menerapkan elemen dakwah dan tarbiah dalam berpolitik serta meninggalkan amalan warisan penjajah Barat yang jauh daripada prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu serta halal dan haram.

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, sejak mula beroperasi sekitar 2012, UMK Kampus Jeli bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, sebaliknya turut menabur bakti kepada rak­yat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Adalah menjadi harapan kita supaya UMK terus menjadi pelopor kepada pembangunan berkaitan bidang keusahawanan dan asas tani di negeri ini, khususnya di Jeli yang rata-rata penduduknya mencari rezeki sebagai petani,” katanya.

sumber -Utusan

Thursday, June 9, 2016

Sempena Ramadan - Operasi Tidak Berpuasa & Aurat Datang Lagi Di Kelantan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh (kanan) bersama anggota penguatkuasa yang akan menyertai operasi pada majlis pelancaran operasi puasa dan aurat di pejabat JAHEAIK, Balai Islam, Lundang, Kota Bharu. 
Istilah tidak menutup aurat di Kelantan bermaksud tidak memakai tudung dan berpakaian ketat serta menyolok mata.

Semalam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melakukan 'Ops Ramadan dan Aurat' sekali lagi. Ini bukanlah kali pertama operasi seperti itu di negeri ‘Serambi Mekah’ berkenaan.

Sesiapa yang ditangkap menerusi operasi tersebut akan dikenakan tindakan dibawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5(1) perbuatan tidak sopan dan Seksyen 26 (KJS 2/85) makan di bulan Ramadan.

Anggota jabatan itu  akan melakukan pemantauan di pasar raya utama di negeri ini bagi mengesan mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan berpakaian tidak seno­noh.

Mereka yang sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam konteks operasi menutup aurat, operasi sebegini turut diadakan di peringat majlis daerah melalui Operasi Gempur Aurat bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita tanggungjawab menutup aurat.

Sebelum operasi, Kempen Menutup Aurat dilakukan di berbagai Pihakj Berkuasa Tempatan bagi memberi kesedaran mengenai tanggungjawab menutup aurat dalam kalangan wanita.


Kempen dilakukan secara berterusan, termasuk melalui khutbah Jumaat di mana melaluinya  dikupas tanggungjawab menutup aurat itu.


Usaha seperti ini dilakukan sebagai  usaha berterusan kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan dan juga pimpinan setempat melaksanakan peraturan menutup aurat tersebut.

Setiap program kerajaan negeri itu akan diselitkan tazkirah yang turut menyentuh isu menutup aurat dengan menyediakan banting ‘Aurat Dijaga’ yang diedarkan ke masjid-masjid bertujuan meningkatkan kesedaran menutup aurat tersebut.


Turut diadakan ialah ceramah agama  bertajuk ‘Aurat Saya Maruah Saya’.

Dalam konteks operasi pula, ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di Kelantan  mengenai kewajipan menutup aurat mengikut Syariat Islam.


Untuk permulaan Ramadan, fasa pertama bagi operasi cegah aurat serta perbuatan tidak sopan adalah peringkat didikan serta nasihat manakala untuk operasi puasa, kita lebih ke arah fasa penguatkuasaan.

Semalam, seramai 24 wanita diberi amaran manakala tujuh lagi dikaunseling berikutan mendedahkan aurat. Untuk permulaan, jabatan itu mengeluarkan amaran dan kaunseling kepada wanita yang tidak menutup aurat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata pihaknya hanya memberikan kaunseling serta amaran kepada mereka kerana tujuan kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati bulan Ramadan.

Mohd. Rahim Jusoh menunjukkan risalah berkenaan berpuasa dan menutup aurat dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Dari segi operasi terhadap mereka yang tidak berpuasa pula, Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, operasi yang diadakan setiap hari bermula pukul 11 pagi sehingga 5 petang itu turut melibatkan kerjasama seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Operasi tersebut diadakan bagi memberi pendedahan dan ke­sedaran kepada masyarakat di negeri ini supaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan selain perlu menjaga aurat mengikut syariat Islam.

Seramai 89 anggota di seluruh negeri itu  dikerahkan dan jabatan mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan operasi ini berjalan lancar.

Berikutan itu, seluruh umat Islam juga diseru agar dapat mengha­yati bulan Ramadan dan mema­s­­tikan diri tidak terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah.

Anggota pe­nguat kuasa akan dibahagikan tugas melakukan operasi menangkap mereka yang tidak berpuasa dan mengenakan tindakan kepada golongan wanita khususnya yang berpakaian tidak menutup aurat di kawasan tumpuan ramai.

Bagi kesalahan makan di bulan Ramadan, mereka boleh dikenakan denda RM500 atau penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara enam bulan bagi kesalahan berikutnya.

“Tahun lepas tidak banyak kes yang direkodkan mengenai ke­salahan tidak berpuasa dan tahun ini, kita ambil langkah awal bagi memberi peringatan kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya.