Wednesday, February 8, 2017

Kelantan DiTadbir Baik, Tidak ‘Gagal Dan Muflis’ – Pemuda PAS


Pemuda PAS hari ini menepis keras dakwaan Kelantan sebagai negeri “gagal dan muflis”, yang dilontarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Selain berhujah daripada aspek pemilikan rumah, kadar kemiskinan dan hasil negeri, dewan itu turut mengambil kesempatan menyindir Lim, yang juga setiausaha agung DAP.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata 'kegagalan' pemimpin mereka hanya kerana gagal membeli banglo yang dilengkapi dengan kolam renang.

“...ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bankrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam.

“Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan,” katanya sambil menyifatkan kenyataan Lim itu sebagai bahasa “kesat”.

BH Online melaporkan Lim menyifatkan Kelantan sebagai negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, “sebuah parti yang gagal”.

"Di mana mangsa banjir (selepas) tiga tahun masih belum dapat rumah, di mana 100,000 hektar hutan ditebang dan ditarah kerana (kerajaan negeri) tiada sumber wang, " beliau dipetik sebagai berkata semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fadhli juga “mengesyorkan” Lim menikmati “hari-hari terakhir sebagai manusia bebas”.

“Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan,” katanya.

Ia dipercayai merujuk kepada tuduhan berkaitan pembelian bawah banglo bawah harga pasaran yang dibawa ke mahkamah.

Baca kenyataan Ahmad Fadhli seterusnya:

 Dakwa Kelantan Muflis : Guan Eng Mahu Alih Perhatian
  

Oleh AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Saya membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini 8 Februari 2017 yang menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal.

Saya sifatkan kenyataan Guan Eng tersebut hanyalah untuk mengalih tumpuan daripada kontroversi campur tangan terhadap fatwa yang berlaku di Pulau Pinang pada hari ini.

Di dalam usaha mengalih perhatian tersebut, Guan Eng menyerang Kelantan. Barangkali pada tanggapannya, dengan menjadikan Kelantan sebagai sasaran, seluruh perhatian ke Pulau Pinang ekoran keceluparannya sendiri akan terhenti seketika.

Namun, meletakkan Kelantan sebagai sasaran hanya akan menjadikan Guan Eng sebagai bahan ketawa.

Guan Eng memfintah Kelantan sebagai sebuah negeri yang muflis pada saat Negeri Kelantan berada pada kedudukan ke-3 tertinggi di Malaysia dari sudut pemilikan kediaman iaitu sebanyak 83.9%.

Saya mencabar Guan Eng untuk mendatangkan statistik berapakah peratus pemilikan kediaman di Pulau Pinang bersama perbandingan di antara kekuatan ekonomi Bumiputera di negeri yang ‘sangat kaya’ itu.

Saya barangkali boleh sedikit membantu Guan Eng mengingatkan beliau terhadap fakta bahawa mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2014), populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.663 juta orang iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), bangsa-bangsa lain termasuk warga asing (6.7 peratus).

Bagaimanapun dari sudut pemilikan tanah, Pejabat Tanah dan Galian pada 2010 telah mengeluarkan statistik bahawa pemilikan tanah oleh kaum Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak 8 peratus.

Ini bukan isu perkauman, ini adalah fakta dan timbanglah sendiri mengikut neraca yang sihat dan adil.

Tepatkah peratus pemilikan tersebut jika dibandingkan peratus bilangan penduduk?

Adalah lebih baik Kelantan yang dikatakan muflis ini jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dari sudut menjaga hak pribumi bumiputera dan keadilan untuk rakyat.


Untuk makluman Guan Eng juga, sumber dari Khazanah Research Institute pada tahun 2016 juga menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi dari sudut ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah.

Sekalpun gaji bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang berada di angka RM4,702.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri tersebut ialah RM295,000.00 berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini ialah RM2.716.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri ini hanyalah sekitar RM157,740.00.

Ia sekaligus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaiti sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya di tangga indeks 4.8.

Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda melabelkan kami sebagai negeri hampir bangkrap?

Suka untuk saya nyatakan kepada Guan Eng, Kelantan telah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan sebanyak 1.8% daripada 2.7% pada 2012 kepada 0.9% pada tahun 2014.

Pencapaian ‘negeri bangkrap’ ini juga dari sudut anggaran tahunan hasil negeri meningkat dari tahun ke setahun di mana pada tahun 2017, Kelantan mengunjurkanmemperolehi hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM308.02 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM149.29 juta.

Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta ataupun sebanyak 7.27% berbanding dengan anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta.

Adapun kegagalan pemimpin kami membeli rumah banglo yang dilengkapi dengan kolam renang, ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bangkrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam.

Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan.

Hakikatnya, membuat perbandingan ‘apple to apple’ di antara dua buah kerajaan negeri ini adalah tidak adil kerana banyak lagi faktor perlu ditimbangkan, namun menuduh dengan bahasa kesat bahawa Kelantan ialah sebuah negeri yang bangkrap dan muflis ialah satu tuduhan yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Kelantan terus ditadbir dengan baik oleh kerajaan PAS.

Projek-projek persekutuan sekalipun ada yang mengalami diskriminasi, namun sebahagiannya berjalan sekalipun pemimpin negeri tidak berpegangan tangan mesra dengan pemimpin UMNO di atas lantai kaca.

Cukup hanya sekadar bergambar bersama pun sudah dilambakkan dengan tuduhan ‘UG’ oleh lidah-lidah pengikut Guan Eng.

Saya hanya memilih menjawab beberapa serangan sahaja sebelum menjawab beberapa isu lain. Samalah seperti seperti kata Guan Eng sewaktu ditanya kenapa tidak menyaman Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, jawabnya “Kenapa perlu membuang masa..?”

Saya syorkan kepada Guan Eng, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai seorang manusia yang bebas dengan sebaik mungkin.

Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan.

Sekian, wassalam.
8 Februari 2017

Wednesday, February 1, 2017

Sandiwara Apa Yang Sedang DiMainkan Oleh 'Tok Pa' Di Kelantan?


UMNO memang mahu serang PAS menggunakan faktor kegagalan pentadbiran di Kelantan sejak 1990?

Betul ker tu 'Tok Pa'?

Jadi mana yang kata ada kerjasama UMNO-PAS dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ?

Atau pemimpin UMNO memang sedang ‘main wayang atau sandiwara’ dengan menyerang PAS di depan tetapi ‘bersekongkol’ di belakang.

PAS-UMNO mungkin akan bekerjasama untuk menjamin semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu dipertandingkan tiga penjuru yang akan memberikan kelebihan sama ada kepada PAS atau UMNO sahaja.

Mungkin pembangkang - AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - akan menang beberapa kerusi tetapi tidak akan mampu menjadi satu force yang boleh memerintah Kelantan.

Walaupun pada 30 Januari lalu, UMNO Kelantan menegaskan pihaknya akan menggiatkan sesi penerangan mengenai kelemahan pentadbiran PAS, masih diragui apakah Mustapa bercakap benar atau sedang ‘berdailog dalam sebuah sandiwara’ untuk menutup kerajasama PAS-UMNO yang sedang dirangka.

UMNO Kelantan menegaskan usaha menggiatkan sesi penerangan kepada rakyat negeri itu mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri PAS yang memerintah negeri itu sejak tahun 1990 akan dipertingkatkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed (Tok Pa) berkata antara isu yang akan dibangkitkan kepada pengundi termasuklah masalah pemilikan tanah, setinggan dan kurangnya peluang ekonomi.

Rakyat telah beri peluang kepada PAS untuk majukan Kelantan sejak 27 tahun lepas, namun masih tiada perubahan.

“...kalau ada pun (pembangunan) ia jasa kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita.

Husam....kebimbangan PAS memuncak terhadapnya.
Daripada apa yang dicakapkan oleh Mustapa ini menimbulkan banyak pertanyaan, benarkah ini sebagai wadah perjuangan UMNO Kelantan atau ‘wayang’ semata-mata di mana apabila berlangsungnya pilihan raya nanti, UMNO dan PAS akan bergabung membentuk kerajaan.

PAS berusaha mengelak kekalahan dengan kemunculan AMANAH dan PPBM di mana jelas  UMNO boleh menjadi penyelamat untuk PAS terus memerintah.

 Ketika ini di Kelantan, PAS menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setelah Datuk Husam Musa keluar menyertai AMANAH, PKR pula memegang 1 kerusi DUN manakala UMNO dengan kawalan dalam 12 kerusi DUN.

Mustapa menyatakan  akan menjadikan faktor kegagalan PAS sebagai bahan bahan kempen UMNO Kelantan selePAS majlis perjumpaan bersama anggota jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Gris, Dabong di Kuala Krai

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Sebagai mempertingkatkan serangannya terhadap PAS, menurut Mustapa, dalam menghadapi PRU14,  UMNO Kelantan akan memperkukuhkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terutama di luar Kelantan.

Ia  bagi mendekati pengundi muda yang tinggal di luar negeri itu.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata UMNO turut merancakkan program mendekati golongan mahasiswa.


Tujuannya ialah mengelakkan mereka daripada mudah dikelirukan dengan fitnah pembangkang.

Saturday, January 28, 2017

Tugu Banjir - Bazirkan RM300,000 Wang Yayasan Amanah Tok Kenali

Kerajaan negeri Kelantan melalui Yayasan Amanah Tok Kenali (YATK) h membazirkan wang berjumlah RM300ribu  kerana kecuaian membina atas tanah milik persendirian dalam membina Tugu Banjir di Kuala Krai setahun lalu.

Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Datuk Husam Musa yang mendedahkan perkara itu berkata, beliau terkejut dengan berita ini kerana sepanjang beliau bersama dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri perkara seumpama ini tidak pernah berlaku.

"Setiap projek kerajaan yang dibawa ke mesyuarat exco; perkara pertama yang dibincangkan status tanah.

"Jika tanah berkenaan bukan milik kerajaan, pertimbangan pertama ialah berkenaan jumlah pampasan yang diperlukan," katanya di majlis dialog di pejabat Ahli Parlime Kuala Krai baru-baru ini

Dalam pembinaan kes tugu banjir ini, amat memeranjatkan apabila selepas setahun didapati tuan tanah telah meminta perjelasan.

"Kononnya, untuk mengelakk dari menjawab soalan berkaitan penggunaan dana kerajaan maka Yayasan Amanah Tok Kenali digunakan untuk membuat bayaran ini," katanya.

Menurutnya, terdapat dua persoalan yang timbul dari tindakan ini.

"Pertama, mengapa wang dari YATK digunakan sedangkan arwah Tok guru dengan jelas mahu penubuhan yayasan ini ditumpuhkan sepenuhnya untuk pendidikan dan pembinaan insan.

"Ini penyelewangan besar yang harus tidak dimaafkan oleh rakyat Kelantan," katanya.

Tugu Banjir yang dibina di Kuala Kerai, KelantanPerkara kedua yang semua pihak maklum katanya, ialah bantuan kepada mangsa banjir 2014 yang sehingga kini tidak selesai.

"RM300 ribu bukan nilai yang kecil, kalau kita bina rumah mangsa banjir hampir sepuluh buah rumah boleh disiapkan," katanya.

Beliau turut membangkitkan tindakan kerajaan menaikkan pelbagai cukai terutama berkaitan pentadbiran tanah.

"Baru-baru ini mereka menafikan menaikkan harga pasir, sedangkan semua orang yang pembeli membeli pasir dengan harga tinggi hingga dikatakan bertambah sekali ganda," katanya.

Menurutnya, sekarang orang ramai mengadu semua caj berkaitan urusan pejabat tanah dinaikkan.

"Urusan membeli cabutan (mendapat salinan geran tanah) dinaikkan daripada RM30 kepada RM80.

"Lain-lain bayaran juga dikatakan mengalami kenaikkan serupa," katanya.

Sebelum ini, Husam membangkitkan kenaikkan bayaran pecah lot dan tukar syarat tanah.
"Sekarang caj ini diberi peluang untuk merayu melalui wakil-wakil rakyat.

"Tindakan seperti ini membawa diskriminasi besar kerana dikalangan rakyat ada yang rapat dengan wakil rakyat dan ada yang tidak.

"Bagi mereka yang tidak ada akses dengan wakil rakyat, ini satu penindasan dan penganiayaan," katanya.

Kalau rakyat ingin perkara ini selesai, pilihlah Amanah, kalau kita jadi kerajaan semua balik kepada harga asal, tak perlu rayu-rayu, katanya.