Thursday, September 3, 2009

AKIBAT BANTAHAN MASYARAKAT ISLAM DIABAIKAN

Oleh HALI HARON (Shah Alam, Selangor), Forum Utusan Malaysia

MINGGU ini masalah kepala lembu menjadi tajuk utama dan isu negara. Maka ramailah yang membuat komen tanpa mengetahui secara khusus kenapa ia berlaku. Memang mudah menyalahkan orang. Tanpa sebab besar tidak akan berlaku tindakan sedemikian.

Artikel yang ditulis oleh Abdullah Bukahri Abdul Rahim, meminta langkah drastik diambil oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan yang membawa kepala lembu.

Saya ingin menyatakan, tindakan penduduk Seksyen 23 Shah Alam adalah kerana bantahan mereka tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa. Kami yang tinggal di Seksyen 19 juga menghadapi masalah yang sama berhubung kuil yang telah berlarutan begitu lama.

Masalah di Seksyen 19 sudah memakan masa 21 tahun masih belum selesai hingga ke hari ini. Aduan, bantahan, perjumpaan telah dibuat oleh persatuan penduduk dan individu tetapi tidak mendapat tindakan yang sewajarnya.

Setiap kali kuil itu diarahkan berpindah pasti ada campur tangan pemimpin politik yang akan melewatkan proses itu. Campur tangan inilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Kuil itu yang pada mulanya kecil makin lama makin membesar tanpa pelan dan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selepas bekalan air dan elektrik dimasukkan, aktiviti mereka semakin hebat. Kuil itu hanya di seberang jalan rumah penduduk Islam Seksyen 19. Apa perasaan pembaca apabila setiap hari kami terpaksa mendengar lagu-lagu Hindu yang membingitkan telinga?

Bila mereka mengadakan keramaian mereka buat perarakan di hadapan rumah penduduk Islam. Gangguan bergendang keramaian berjam-jam lamanya. Terlalu banyak masalah sampingan yang terpaksa kami hadapi jika hendak disenaraikan di sini.

Aduan terpaksa dihantar dari semasa ke semasa kepada pihak-pihak atasan. Namun bila ada campur tangan politik perkara ini sering terbantut. Gangguan bising yang dihadapi semakin teruk apabila Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Sikap toleransi pemimpin Selangor telah menyebabkan gangguan yang dihadapi semakin teruk. Mereka bergendang hingga ke tengah malam mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.

Mereka hampir semuanya datang dari luar kawasan kami. Mereka berani mengugut jika ada penduduk yang menegur mereka. Botol-botol arak bersepah di merata-rata kawasan berhampiran Jalan 19/28. Gangguan bising pemuda India mengganggu kehidupan kami.

Kami merayu bantuan dan membuat aduan kepada pelbagai pihak tetapi tiada tindak balas. Ketika keadaan sudah menjadi kronik penduduk merayu bantuan NGO Islam. Tindakan drastik yang diambil oleh NGO Islam untuk membantu penduduk menyebabkan ada sedikit perubahan apabila gangguan bising berkurangan.

Pada 29 Disember 2007 maklumat yang diterima daripada Jabatan Perancang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kuil akan dipindahkan ke Seksyen 22.

Apabila Pakatan Rakyat berkuasa selepas Mac 2008, kuil itu hendak dipindahkan pula ke Seksyen 23, kawasan majoriti penduduk Islam. Penduduk Seksyen 23 sudah maklum apa yang dialami oleh penduduk Islam Seksyen 19, sebab itu mereka membantah. Malangnya bantahan mereka tidak diambil berat oleh kerajaan negeri dan diminta bertolak ansur. Jadi siapakah yang bersalah?

Apabila kepala lembu diusung sebagai tanda protes semua buka mata. Pelbagai bantahan kita dengar. Tetapi apabila masalah gangguan berlaku kepada orang Islam, SABARLAH!

Monday, August 31, 2009

Isyarat buruk dari Permatang Pasir

(Tajuk asal ialah Angin apa landa Permatang Pasir?)
Daripada Sinar Harian

Timbalan Presiden UMNO, mengepalai kempen BN di Permatang Pasir mengisytiharkan angin perubahan sedang melanda kawasan itu. Beliau menjangka calon BN boleh memenangi pilihan raya kecil Selasa lalu berdasarkan adanya bertiupnya angin itu.

Pengundi Permatang Pasir sendiri dalam tempoh setahun lebih ini telah keluar mengundi berkali-kali. Kali pertama pada Mac 2008 di mana terpilihnya Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Parlimen. Kali kedua apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menawar diri sebagai calon mengganti isterinya.

Kali ketiga ialah awal minggu ini apabila satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia. Sebelum itu, April lalu, jirannya, Penanti juga melihat berlakunya satu PRK. Permatang Pasir terletak dalam Parlimen Permatang Pauh.

Barisan Nasional (BN) memangnya terpukul teruk di Permatang Pauh. Wan Azizah dan Anwar menang besar. Di Penanti pula, BN mengangkat bendera putih, enggan bertanding. Menentang calon-calon bebas, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang mudah di situ. Permatang Pasir menjanjikan sesuatu yang lain. Semua tukang kempen BN mencanangkan BN mempunyai peluang besar merampas kawasan itu dari Pas.

Angin perubahan yang mula melanda Manek Urai dijangka sekali lagi akan bertiup kencang di Permatang Pasir. Muhyiddin mendakwa melihat sekali lagi pangkal angin itu semasa proses pengundian sedang berlangsung. Ramai terpengaruh dengan telahan dibuat bahawa sukar bagi Pas untuk mempertahankan majoriti. Pemerhati politik, rata-rata menganggarkan majoriti Pas kali ini tidak akan melebihi 2,000 undi.

Namun, keputusan yang dibuat oleh para pengundi pada Selasa lepas mengejutkan. Pas hampir mempertahankan majoriti yang dimenangi. Benar Pas kehilangan 900 undi tetapi calon BN kehilangan 500 undi, secara relatifnya, kehilangan dirasai Pas adalah sedikit lebih kecil dalam bentuk peratusan berbanding BN.

Jika dilihat dari jumlah undi dimenangi oleh calon BN, nyata kriteria pemilihan calon BN tidak menjejas peluang parti itu untuk menang. Imej calon tidak penting. Integriti calon tidak penting. Pernah terjadi calon yang dikenakan hukuman oleh mahkamah kerana menyahgunakan duit koperasi masih berupaya memenangi pilihan raya.

Juga terdapat beberapa orang yang terlibat dalam rasuah di mana kertas pertuduhan sudah pun disediakan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), sekarang dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi dikekalkan sebagai calon parlimen oleh BN, masih berjaya menangi pilihan raya dengan jumlah majoriti yang besar. Pokoknya, mereka mestilah bertanding di atas tiket BN. Tetapi itu cerita pra 2008, Mac.

Maka, saya tidak menganggap ‘tragedi’ yang menimpa calon BN di Permatang Pauh ini telah menjejaskan bilangan undinya. Kalangan penyokong ‘hardcore’ tetap menyokong calon pilihan parti mereka. Bagaimanapun, saya kira sikap yang diambil oleh rakan kongsi calon berkenaan itulah yang menjejaskan teruk bilangan undi diraih calon BN. Rakan itu, suatu hari muncul meminta calon turut sama memikul beban dan malah berkempen di atas pentas Pas berkaitan soal itu.

Tiba-tiba, pada suatu hari lain dia muncul dengan versi lain menyalahkan Pas mengambil kesempatan dari musibah dihadapi oleh mantan rakan kongsinya. Dia membela BN pula. Sikap ‘turnover’ inilah yang menjadikan undi BN hilang kerana integriti perayu, calon BN dan BN terpalit kotor. Sekonyong-konyong ingatan segera mengimbasi Detektif P Balasubramaniam. Kemudian Bala hilang sampai hari ini. 'Turnover'?

Entah mengapa, orang BN dikaitkan dengan kehilangan Bala ini dan taktik ‘turnover’ ini dikaitkan disangkut dengan BN. Orang menuduh Yusri ‘diturnover’. Simpati beralih kepada calon Pas. Terbaik dilakukan oleh BN sebaik sahaja menyedari bahawa ia telah membuat kesilapan dalam pemilihan calon ialah mengundur diri dan mengakui bahawa calon itu bermasalah. Masa ‘cooling off’ yang diperuntukkan oleh SPR bagi membolehkan calon mengundur diri sepatutnya digunakan sebaik oleh BN.

Kalaulah BN lakukan itu, imej BN selepas ini, iaitu selepas penarikan diri itu akan melonjak naik dan ramai orang akan ‘salute’ sikap terbaharu BN sesuai dengan resolusi Najib. Najib pasti disangka serius dengan kata-katanya bersikap lebih telus.

Sebaliknya, kita lihat para pemimpin BN bertindak lain. Mereka bertindak menegak ‘benang basah’ sedangkan pihak berkaitan, Bar Council telah menghuraikan keadaan sebenarnya. Maka, jika ada pegawai tinggi UMNO menganggap calon pilihan mereka sebagai ‘hero’, itu adalah satu perbuatan memperbodohkan orang cerdik.

Terpengaruh dengan keyakinan bahawa orang Melayu mula kembali menyokong UMNO, pemimpinnya bertindak lebih ghairah memujuk Melayu lain kembali bersama mereka. Keyakinan ini diperoleh selepas UMNO hampir berjaya merampas kembali Manek Urai.

Akhbar-akhbar milik UMNO menjalan tugas menanam jarum menghasut Melayu membenci Anwar. Anwar lantang dituduh sebagai pengkhianat Melayu. Dengan berbuat demikian, para pemimpin UMNO mengimpikan ribuan Melayu meninggalkan PKR dan Pas kembali menyokong UMNO.

Hujah diutarakan bahawa Pas hanyalah budak suruhan DAP sebuah parti didominasi oleh kaum Cina yang anti-Islam. Kegagalan Pas mendapat peruntukan kerusi Exco dalam kerajaan Pulau Pinang digambarkan sebagai bukti DAP tidak mempedulik kehadiran Pas.

BN menyanyikan lagu yang berbeza di kawasan bermajoriti Cina. Pas tidak digambarkan sebagai budak suruhan DAP tetapi DAP pula dituduh sebagai ‘terbeliak mata’ tanpa kuasa melihat kerakusan Pas yang dikata sebagai parti ekstremis Islam. Contoh perobohan kandang babi di Alor Star dan pengharaman jualan arak di Selangor sebagai bukti.

Gambaran yang bercanggah ini lebih membuka mata para pengundi. Tuduhan terhadap Anwar, seorang jagoan kelahiran tempatan tentunya dipandang sinis. Tuduhan terhadap Pas dan DAP dikatakan melucukan. Tuduhan mirip ini dulu pernah dikenakan kepada seorang tokoh UMNO sendiri. Dia dituduh komunis dan pada masa yang sama dikatakan kapitalis. Tuduhan-tuduhan BN dianggap tidak berpihak kepada kenyataan.

Akhirnya, taktik kempen BN tidak mengena. Pas menang di semua kawasan bermajoriti Cina dengan majoriti besar. Di Sama Gagah, di mana BN terutamanya Gerakan dan MCA memberi tumpuan, Pas mendapat 1,397 undi berbanding BN hanya 594 dan di Permatang Pauh, Pas memperolehi 875 undi mengatasi undi BN, 354 sahaja.

Kempen berbentuk perkauman ini tidak membawa calon BN ke mana-mana. Mereka kalah dengan teruk di kawasan Cina dan tidak juga berjaya menambat hati sebilangan besar Melayu. Akhirnya, Pas menang semua peti undi, bermajoriti Melayu dan bukan Melayu, iaitu Sama Gagah, Permatang Pauh, Permatang Ara, Bukit Indera Muda, Kampung Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat, Kampung Cross Street dan Permatang Tengah.

Lebih manis bagi Pas dan PR ialah hakikat bahawa kecuali tiga saluran warga emas dan pesara dan undi pos, Mohd Salleh calon Pas menang kesemua baki 36 saluran mengundi di semua peti pos. Trend ini sudah terpamer dalam tujuh PRK dalam masa setahun ini, di mana golongan muda dan bukan Melayu kekal tidak memilih BN dan undi Melayu berpecah di antara BN dan PR dan berulang kali ini.

Polar pengundian Melayu kali ini kekal di mana BN berjaya mendapat tambahan undi di beberapa kawasan Melayu miskin atau di mana ‘habuan’ lebih ketara dan Pas menambah undi Melayu di mana integriti calon BN dianggap tidak sesuai sebagai wakil rakyat.

Perubahan-perubahan ini tidak ketara sehingga untuk kita merumuskan bahawa terjadinya peralihan sokongan. Ia adalah jauh dari sebuah angin perubahan yang didakwa terjadi oleh Timbalan presiden UMNO itu.

Keputusan yang dibuat oleh pengundi Permatang Pasir ini sepatutnya dikaji dengan mendalam oleh pihak berkuasa dalam BN dan UMNO. Ia tidak boleh mengatakan itu terjadi kerana kesilapan memilih calon atau terdapatnya krisis dalaman dalam parti. Krisis dalaman dan pertikaian memilih calon adalah cerita lapuk.

Sesungguhnya, di kalangan orang Melayu, ironisnya integriti tidak diutamakannya. Taat setia kepada parti itu adalah lebih penting. Apa pun pendapat orang tentang Mahathir, Abdullah atau Najib, Nik Aziz, Haji Hadi atau Anwar, sokongan kepada mereka tetap diberikan selagi mereka memimpin UMNO atau Pas atau PKR. Sebutlah apa skandal sekalipun, ini tidak menjejas. Keluar sahaja UMNO atau Pas, terimalah nasibnya.

Namun, masa berubah, seperti ditunjukkan di Permatang Pasir, saluran-saluran satu yang terdiri dari warga emas dan pesara di kawasan Melayu, sokongan kepada UMNO tetap padu tetapi di kesemua saluran yang lain, di kawasan Melayu dan bukan Melayu, BN kalah. Trend ini pastinya mencemaskan UMNO.

Sikap UMNO bermain dengan isu perkauman dalam usaha mewujudkan suasana takut dan bimbang membuka cabaran yang lebih besar bagi UMNO. UMNO bertindak menentang arus dengan konsep yang diketengahkan oleh pemimpinnya sendiri, iaitu satu Malaysia. Ia dianggap talam dua muka oleh generasi baru.

Sesetengah daripada logik yang diutarakan oleh UMNO dan mesin propagandanya, membingungkan seperti mengkritik SPRM dianggap sebagai mencabar kekuasaan Melayu sedangkan badan itu mahu melihat ia bertindak sebagai sebuah Suruhanjaya dibentuk Agong untuk rakyat Malaysia. Mereka melihat ini logik songsang.

Maka, tidak salahlah kalau lebih ramai pengundi bukan Melayu di Permatang Pauh kali ini memilih Pas hanya semata-mata kerana berlakunya kematian ke atas Teoh Beng Hock, seorang berketurunan Cina dan mereka sanggup lupa kandang babi dirobohkan Pas.

Kegembiraan yang disambut selepas berjaya merapatkan jurang di antara undi di Manek Urai, sangkaan angin perubahan sama akan melanda Permatang Pasir nyata meleset. Manek Urai tidak boleh dijadikan ukuran kerana kemenangan BN di sana tidak menjejaskan kerajaan Pas dan masyarakat yang berdikari dan canggih seperti rakyat Kelantan mampu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan sebagai strategi politik mereka. Ia tidak kena mengena dengan angin perubahan.

Angin perubahan di Permatang Pasir nyata tidak berlaku tetapi angin apakah yang bertiup membawa isyarat buruk kepada BN itu? Pastinya angin itu tidak berbau harum.

4 JENIS MANUSIA HARAM DILANTIK PEMIMPIN

Daripada Malaysia HariIni

SEBAGAI suatu keperluan kepada kehidupan makhluk bernyawa yang tidak dapat memisahkan diri dari hidup bermasyarakat ialah kena ada pemimpin. Untuk menjadi pemimpin mahu tidak mahu mereka yang dipilih kenalah dari yang paling terbaik dari yang terbaik dan yang paling terpilih dari yang boleh dipilih.

Orang Islam kena berhati-hati dalam soal kepimpinan kerana ia adalah persoalan yang ada kaitan dengan soal iman dan akidah, bahkah ia merupakan intisari daripada kalimah tauhid yakni al-wala wal-bara'.

Jika silap silap membuat pemilihan dalam soal kepimpinan boleh mendatangkan mala petaka sepanjang masa, malah apabila ianya ada kemungkinan akan mati dalam keadaan kafir dan murtad.

Jika dipilih seorang pemimpin yang ingkar kepada hukum dan syariat Allah s.w.t. sedangkan kita dalam keadaan sedar, maka pada saat itu kita menjadi orang yang munafik dan zalim, maka murka Allah amat besar kepada kita sebagaimana firmannya yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditepatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka" - An-Nisa': 145.

Menyedari peri pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, maka Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh, yang haram diangkat menjadi pemimpin, yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori pastilah diboleh. Yang diharamkan ialah;

PERTAMA: Orang Yahudi dan Nasrani

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian dari mereka. Barangsiapa di antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim" - Al-Maidah:51

KEDUA: Orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa-bapa, saudara-saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir dari iman. Barangsiapa mengangkatnya menjadi pemimpin dari kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim". - At-Taubah:23.

KETIGA: Orang yang diluar kalangamu termasuk di dalamnya orang munafik
Allah berfirman, mafhumnya: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain dari golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesunugguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir.

Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui: kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/hatimu". - Ali-'Imran:118-119.

KEEMPAT: Orang yang mengingkari Al-Quran dan hukumnya
Berhubung perkara ini adalah berfirman "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang-orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan dari kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?" - An-Nisa':144.

Rasulullah s.a.w. pula mengingatkan supaya kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin hendaklah jangan dilantik kerana ianya akan mendatangkan banyak masalah kepada pemimpin yang berkendekkan mennjadi pemimpin dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih dari kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin.

Iman Bukhari diriwayakan berkata bahawa Abu Zar mencerikatakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah s.a.w "Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan".

Lalu Rasulullah s.a.w. menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: "Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia di hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul"

Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperolehi melalui apa jua cara bermaksud penjawatnya berkehendakkan jawatan itu seperti melalui sogokkan, bodekkan dan sebagainya. Sebaliknya jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasululah s.a.w. tidak memberikan sesuatu jawatan/kepimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan/memimpin tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

Imam Al-Hakam meriwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya".

Ada riwayat yang mengatakan bahawa Umar Al-Khattab berkata: "Sesiapa yang melantik bagi urusan kaum muslimin akan seseorang kerana hubungan persahabatan atau hubungan keluarga dengannya, maka ia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Islam seluruhnya".