Showing posts with label ISLAM. Show all posts
Showing posts with label ISLAM. Show all posts

Tuesday, February 9, 2010

HALAL BUKAN ISU REMEH

SESEKALI masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya, dan mereka akan menjadi begitu cemas serta menjadi berhati-hati dalam membuat pembelian makanan atau produk berkaitan.

Tidak kurang juga yang menjadi jaguh debat, pantas menuding jari kepada pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan dengan penguatkuasaan halal.

Pihak ini bagaimanapun gagal menuding jari kepada diri sendiri, gagal melihat kepada kelemahan dalam membuat penilaian dan pemilihan sebelum membuat transaksi pembelian.

Daripada roti kepada sosej, ubat gigi dan pinggan mangkuk, itu ialah antara produk yang dikaitkan dengan isu halal beberapa ketika dulu.

Terdapat juga laporan mengenai beberapa produk kesihatan yang diuji dan didapati tidak halal kerana mengunakan kapsul gelatin daripada babi.

Cuma apabila 'ribut' berakhir, sesetengah pengguna Islam kembali ke takuk lama. Soal keliru atau terpedaya tidak lagi menjadi polemik menghiasai ruangan berita atau surat pembaca.

Keprihatinan mereka tentang halal tidak ubah seperti 'ribut di dalam cangkir'!

TIDAK PERSOAL

Mereka tidak lagi memberatkan status halal haram dan kembali makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal.

Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

"Masa belajar di luar negara, saya memang teliti kalau nak membeli barang makanan. Balik ke Malaysia, saya beli apa sahaja, lagi pun produk buatan Malaysia tak mungkin tak halal," Nor, seorang pekerja swasta memberitahu penulis apabila ditanya pandangannya tentang isu halal.

"Ada tulis halal, mesti halalkan?" soal seorang makcik peniaga yang rata-rata barang yang dijualnya makanan ringan dan pembelinya kebanyakan kanak-kanak sekolah.

Satu daripada produk yang begitu laris dijual ialah serbuk pelbagai warna perasa yoghurt yang diisi di dalam sampul plastik panjang. Produk dari Filipina ini mempunyai perkataan 'halal'.

Sikap Nor dan peniaga ini mungkin juga dikongsi sebahagian besar masyarakat pengguna Muslim di negara ini. Antara tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, ramai yang akhirnya dikhuatiri terpedaya dan tertipu!

PANDANG REMEH

Menurut Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meskipun perkataan halal itu sendiri tidak wajar dipandang remeh tetapi keadaan itulah yang banyak berlaku sekarang.

"Di premis makanan bukan Islam, letak sahaja perkataan halal atau lihat juruwang atau pelayan bertudung, ramai orang Islam yang masuk makan.

"Begitu juga jika penjual itu pakai kopiah putih, terus buat andaian orang Muslim dan beli apa yang dijualnya.

"Inilah sikap sesetengah orang Islam kita yang pandang ringan soal halal," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian kepada sesetengah pengguna Islam yang sanggup berkunjung ke sesebuah premis makanan bukan Islam hanya kerana ia mempamerkan perkataan "bebas babi" atau "bebas alkohol".

"Ini amat mengelirukan. Tak ada babi atau tak ada alkohol tak bermakna halal," tegas Saimah.
Beliau menegaskan sesetengah pengguna Islam juga tidak memberatkan aspek 'thoyiban' yang boleh dikaitkan dengan semua aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Dalam sesetengah kes, ada juga orang Islam yang sanggup berkunjung ke premis makanan bukan Islam meskipun tiada jaminan halal hanya kerana makanan yang dijual sedap.

Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal Jakim memberitahu Bernama, beliau pernah mengajukan soalan kepada pelanggan Islam ketika membuat operasi di sebuah premis makanan.

Pelanggan berkenaan, katanya dengan wajah yang selamba menjawab "makanan sedap ustaz" meskipun beliau maklum pengusaha restoran tersebut bukan orang Islam.

DALIL HALAL

Di samping gaya hidup yang sihat, makanan sering dikaitkan sebagai faktor penting yang menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan minda serta tubuh badan seseorang individu.
Bagi masyarakat Islam, pemilihan makanan sewajarnya bukan sahaja mengutamakan kandungan khasiat atau zat.

Ini kerana Islam mempunyai piawaian atau standard tersendiri iaitu 'halalan thoyiban' (halal, baik dan selamat) dalam soal makanan dan pemakanan.

Perkara ini banyak ditekankan melalui firman-firman Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW.
Antara firman Allah SWT ialah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang bermaksud "Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
Di dalam surah al-Nahl ayat 114-115 pula Allah berfirman, antaranya bermaksud "Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka sesiapa yang di dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja di dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

PENGARUH HALAL KEPADA PERIBADI

Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.

Seperti yang disabdakan Rasulullah (Hadis riwayat at-Tarmizi)yang bermaksud "Setiap daging yang tumbuh daripada benda atau makanan yang haram maka nerakalah yang lebih utama baginya."

Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.

Justeru, mulia atau buruknya peribadi serta pekerti seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya. Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka sebagaimana sabda Rasululullah di atas.

Rasululullah juga bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang dan jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga terang dan jelas dan antara kedua-duanya ada perkara-perkara syubhat (sesuatu yang hukumnya tidak diketahui dengan jelas hukum halal haramnya). "Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesunggunya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya."

MAKSUD HALAL

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh Hukum Syarak. Jakim menggariskan 'Hukum Syarak' bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafie atau dalam mana-mana Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Undang-undang itu juga telah dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana Negeri dikuatkuasakan di dalam Negeri berkenaan.

Konsep Halalan Thoyiban juga bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan.

Antaranya halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak atau rasuah dan piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan. Bermula dari ladang sampai ke meja.

TAKRIF DI BAWAH AKTA PERIHAL DAGANGAN

Di samping itu, takrif 'Halal' juga diperjelas di dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975, takrif 'Halal' bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.

Ia juga bermaksud tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Ia juga tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengkut Hukum Syarak.

IMPAK PERBAHASAAN

Perintah tersebut juga menggariskan peraturan membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak di atas atau apa-apa benda yang dihukum najis mengikut Hukum Syarak.

Takrif 'Halal' di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan)mempunyai implikasi yang mungkin tidak disedari pengguna lebih-lebih lagi pengilang. Menurut Saimah, ia mempunyai kesan yang cukup besar meskipun tidak ada akta setakat ini yang mewajibkan produk atau industri menggunakan perkataan halal sama ada dalam bentuk logo atau perkataan.

Beliau memberi contoh 'perbahasaan' termasuk perkataan halal (Rumi atau Jawi), ayat Quran, perkataan Allah, Muhammad atau Bismillah, gambar Kaabah, perempuan bertudung, lelaki bersongkok yang boleh ditafsirkan sebagai halal.

"Apabila pihak industri atau premis atau apa mana-mana pihak menggunakan perbahasaan itu, terbukti tidak halal, atau sebaliknya, tindakan boleh di ambil di mana denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

"Peranan Jakim ialah sebagai badan pensijilan yang memberi pengesahan halal melalui sijil logo, sementara tindakan boleh diambil sama ada oleh KPDNKK atau Kementerian Dalam Negeri," jelas Saimah.

Rencana BERNAMA

Tuesday, September 15, 2009

PERJUANGAN PAS POLITIK ATAU ISLAM?

Daripada: House PK

Persoalan inilah yang sepatutnya perlu difahami umat Islam, kerana ia merupakan kunci untuk memahami arah dan matlamat perjuangan PAS. Dari segi zahir ianya bukanlah menggambarkan sebuah jemaah Islam atau parti Islam, tetapi ia lebih cenderung bersifat sebagai sebuah parti politik. Lebih-lebih lagi bila ia diluluskan pendaftarannya oleh kerajaan British selepas ditubuhkan pada 16 september 1951. Ertinya kewujudan parti PAS turut direstui Penjajah British atau dalam kata lain turut diredhai penjajah. Kemudiannya PAS telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb Mei 1955 dengan nombor pendaftarannya 733 (Pulau Pinang).

PAS satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948. Kenapa Hizbul Muslimin diharamkan dan PAS diizinkan bergerak?

Jawapannya adalah seperti mana kita faham bahawa pendokong para penjajah adalah terdiri daripada Yahudi dan Nasrani. Dalam al-Quran Allah telah menegaskan, maksudnya; "Selama-lamanya orang Yahudi dan nasrani itu tidak akan redha (senang hati) kepada kamu hinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka" (Surah al-Baqarah ayat 120)

Ertinya bahawa orang yahudi dan nasrani (Kristian) selama-lamanya tidak senang hati terhadap mana-mana umat Islam, sama ada secara individu atau kumpulan (jemaah atau parti), selagi tidak mengikuti jejak langkah mereka.

Jadi, bila mana-mana organisasi yang kononnya hendak memperjuangkan Islam, tetapi mendapat restu Yahudi dan Nasrani dan diberi permit untuk bergerak, tandanya perjuangan mereka tidak membawa cara hidup Islam tulin dan tidak mengancam Yahudi dan Nasrani (Kristian)....

Jadi, bila British dengan senang hati meluluskan pendaftaran PAS, ertinya ia redha untuk PAS bergerak sebagai sebuah parti politik dan bukan sebagai agama atau jemaah Islam. Kerana dengan cara itu mereka akan mudah memperalatkan PAS untuk memecah-belahkan umat Islam. Kenyataannya telah berlaku sehingga ke hari ini.

Bermulanya perpecahan dalam pucuk pimpinan Melayu ialah apabila Tuan Haji Ahmad Fuad telah keluar UMNO dan menubuhkan PAS. Di situ bermulanya detik perpecahan umat Melayu dan Islam. British amat arif hal itu, lalu meluluskan pendaftaran PAS untuk dijadikan sebagai sebuah parti pembangkang agar mereka (PAS) memain isu-isu agama untuk melemahkan perpaduan umat Islam.

Jadi kewujudan PAS bukan asasnya dari Allah, tetapi diasaskan oleh Tuan Haji Ahmad Fuad dan diiktiraf oleh penjajah British waktu itu. Oleh itu, fahamlah kita bahawa PAS tidak ada kena mengena dengan Islam sebagai "Ad-Din". PAS tidak ada dalam al-Quran atau hadis atau tidak ada diijmakkan oleh ulama Islam sebagai agama. PAS cuma sebagai sebuah parti politik sahaja.

Dalam "Dokumen Negara Islam" keluaran PAS, pada halaman 16, nombor 5, PAS sendiri tidak mengakui bahawa parti itu sebagai parti Islam, cuma sebagai sebuah parti politik.

Oleh itu siapa pun tidak boleh mendakwa "PAS itu Islam dan Islam itu PAS". Kerana masih banyak badan-badan lain yang melakukan aktiviti-aktiviti Islam dan ramai orang Islam lain yang tidak menyertai PAS atau mana-mana parti politik atau mana-mana badan, apakah mereka itu tidak tergolong dalam Islam? Apakah yang mereka usahakan untuk Islam dianggap tidak Islamik?

Mengikut perspektif Islam PAS bukanlah Parti Islam atau Hizbullah (Parti Allah) tetapi ianya hanya sebagai sebuah parti politik lain yang ada di Malaysia dan perjuangannya tidak global, hanya sah di Malaysia. Islam merupakan Ad-Din yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W., secara beransur-ansur selama 22 tahun 2 bulan 22 hari melalui malaikat Jibrail a.s. yang termaktub di dalam al-Quran atau hadis.

Dari segi lain pula, bahawa sifat-sifat PAS jelaslah bahawa ia hanya sebagai Parti Politik dalam negara yang menggunakan sistem politik demokrasi berparlimen seperti juga UMNO, Berjasa, Hamim dan lain-lain parti yang dipelopori oleh orang Islam.

Oleh itu sebarang parti politik tetaplah ia sebagai parti politik dan ia bukan agama. Jika hendak disandarkan kepada agama atas alasan memperjuangkan Islam, maka tidak semestinya PAS sahaja yang bercakap memperjuangkan Islam. Badan-badan lain banyak juga memperjuangkan Islam bahkan mereka berjaya juga menegakkan syi'ar islam dalam bidang-bidang tertentu, yang kadang-kadang PAS pun tidak mampu menegakkannya.

Ditegaskan lagi, "PAS bukanlah sahaja yang dianggap Islam dan Islam itu bukanlah PAS sahaja". PAS hanya sebuah parti politik rekaan manusia sama seperti parti-parti politik lain. Nyawa dan nasib masa depan PAS terletak di bawah kuasa Pendaftar Pertubuhan malaysia (ROS), iaitu Kerajaan Malaysia di bawah Pimpinan Barisan Nasional, yang terasnya ialah UMNO. Apa yang kita hendak banggakan dengan PAS?

Besar lagi bidang kuasa UMNO yang menjadi teras pemerintahan Kerajaan Malaysia daripada PAS. Ia berkuasa untuk memansuh dan mengharamkan PAS, melalui kerajaan (Pendaftar Pertubuhan Malaysia).

Ciri-Ciri Parti Islam sebenar!

Oleh sebab itu kita berani mendakwa bahawa PAS bukan Parti Islam, lebih-lebih lagi kerana parti itu tidak memenuhi ciri-ciri parti Islam atau parti Allah atau hizabullah sebenar seperti mana disebut dalam al-Quran serta sejarah perjuangan para pejuang Islam lampau.

Anatar intisari yang disebutkan oleh Allah di alam al-Quran surah al-Maidah ayat 55-56 dan surah al-Mujadalah ayat 22 bahawa ciri-ciri parti Allah dan sifat-sifat anggotanya adalah seperti berikut;

1. Benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul, menjadikan kedua-duanya sebagai pemimpin.

2. Menjadikan orang yang benar-benar beriman sebagai pemimpin (Pemimpin bertaraf takwa)

3. Beriman kepada Hari Akhirat.

4. Mendirikan Sembahyang.

5. Mengeluarkan Zakat.

6. Benar-benar patuh kepada perintah dan hukum Allah.

7. Tidak berkasih sayang dan berkerjasama dengan orang yang menentang agama (ingkar hukum) Allah. hakikat sebenar parti komponen dalam Pakatan Rakyat menentang Allah kerana peribadi pemimpin mereka dan dasar parti mereka bukan berlandaskan Islam, buktinya ialah DAP dan PKR! Mereka bukan sebenar menyokong Islam, cuma mengambil kesempatan di sebalik isu penentangan terhadap UMNO dan BN.

8. Tidak bersikap asobiah qaumiah, yakni tidak bertolak ansur walau pun dengan ibu bapa, anak-anak, saudara mara, kerabat dan keluarga sendiri, sekiranya mereka anti-Islam atau melakukan maksiat dan kemungkaran.

Selain Parti Allah, di dalam al-Quran surah al-Mukminun ayat 53 menyebut juga hizbussyaitan atau Parti Syaitan sebagai perbandingan kepada Parti Allah. Antara ciri-cirinya ialah:

1. Memperalatkan agama untuk menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat.

2. Meninggalkan agama Tauhid, sebaliknya menjadikan ideologi bikinan manusia sebagai pegangan dan peraturan politik.

3. Bersikap sombong dan berbangga dengan parti masing-masing.

4. Lupa kepada Allah. Yakni apabila timbul masalah umat, mereka tidak merujuk hukum Allah. tetapi merujuk teori manusia.

Demikian perbandingan antara ciri-ciri Parti Allah (Parti Islam) dengan Parti Syaitan di dalam al-Quran. Bolehlah kita jadikan panduan untuk menilai diri dan parti masing-masing.

Pernah suatu ketika timbul isu dari Kelantan, bahawa PAS mempunyai unsur-unsur Syiah dan Khawarij. Hal itu patut diambil perhatian oleh umat Islam di Malaysia yang umumnya berpegang kepada mazhab dan aqidah Ahlusunnnah Wal Jamaah.

Mazhab Ahulusunnah Wal Jamaah ialah mazhab yang dibayangkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai mazhab yang hanya sah dan diterima Allah, di antara 73 mazhab yang akan muncul di akhir zaman. Untuk pengetahuan bahawa rujukan atau lantasan Ahlussunnah Wal Jamaah ialah Al-Quran, Al-Hadis, Ijmak dan Qias, dalam semua perkara, sama ada di bidang aqidah, ibadah, mua'amalah, siasah dan lain-lain, bukan merujuk kepada teori bikinan manusia, termasuk di bidang politik.

Walaupun PAS atau para pemimpin mereka mendakwa mereka mengikut Ahlusunnah Wal Jamaah, tetapi di segi lisanul hal (praktis) khusunya dalam hal perjuangan dan politik, PAS sebenarnya dilihat lebih banyak membuat rujukan kepada ulama-ulama penganut fahaman Wahabi dan Syiah.

Dan kadang-kadang lantaran terlalu bersemangat, tanpa panduan lengkap mereka sering terjebak dan terbawa-bawa cara fahaman Khawarij. Buktinya bacalah kenyataan di bawah ini dan kaji realiti sikap dan tindak tanduk pemimpin PAS serta para penggerak mereka sendiri.

BETULKAH PAS LEBIH BERSIKAP ALA WAHABI, SYI'AH DAN KHAWARIJ DARI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?

Di bawah ini diterangkan sifat dan sikap mazhab-mazhab tersebut, bagi membuktikan bahawa PAS lebih dekat dengan menggunakan pendekatan mazhab Wahabi, Muktazilah Syi'ah dan Khawarij dan bukan Ahlussunnah Wal Jamaah.

Secara terperincinya dirumus di bawah ini yang dikutip daripada pelbagai kitab aqidah dan tauhid.

1. Sikap Wahab dan Muktazilah; mudah mengutuk dan menghukum kafir, sesat dan syirik kepada orang Islam yang melakukan bid'ah dan dosa besar. Menurut Wahabi setiap bid'ah semua sesat. Sesiapa yang membuat perkara bid'ah, dianggap oleh mereka jika mati kekal dalam neraka.

2. Sikap Khawarij; Orang yang menentang politik atau perjuangan mereka dihukum kafir. Ibadah termasuk termasuk rukun iman. Oleh itu sesiapa yang meninggalkan ibadah seperti sembahyang, puasa dan sebagainya dihukumkan sebagai kafir. Semua dosa dianggap besar. Bagi mereka tidak ada dosa kecil.

Tetapi bagi Ahlussunnah Wal Jamaah tidak pernah cepat-cepat menghukum kafir kepada orang tidak mahu menegak hukum Allah, selagi ia mengakui Islam dan melakukan sembahyang dan mengamalkan lain-lain ajaran Islam secara serpihan (tidak syumul). Ibadah bukan rukun iman, meninggalkan ibadah walau pun yang pokok belum menjejas iman. Menurut Ahlussunnah Wal Jamaah, dosa ada kecil dan ada dosa besar.

3. Sikap Syi'ah; Suka mengutuk musuh politik mereka di hadapan umum, termasuk menghukum toghut kepada orang Islam lain. Siapa sahaja menentang mazhab politik mereka adalah dianggap halal darahnya, boleh ditentang habis-habisan, dikutuk, dicaci dan sebagainya, bahkan jika mereka mati dalam pertelagahan itu dianggap syahid.

Demikian rumusan ringkas di antara sikap dan pendirian mazhab-mazhab berkenaan di atas yang ada persamaan dengan sikap perjuangan PAS.

Wallahu'alam

Thursday, September 3, 2009

AKIBAT BANTAHAN MASYARAKAT ISLAM DIABAIKAN

Oleh HALI HARON (Shah Alam, Selangor), Forum Utusan Malaysia

MINGGU ini masalah kepala lembu menjadi tajuk utama dan isu negara. Maka ramailah yang membuat komen tanpa mengetahui secara khusus kenapa ia berlaku. Memang mudah menyalahkan orang. Tanpa sebab besar tidak akan berlaku tindakan sedemikian.

Artikel yang ditulis oleh Abdullah Bukahri Abdul Rahim, meminta langkah drastik diambil oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan yang membawa kepala lembu.

Saya ingin menyatakan, tindakan penduduk Seksyen 23 Shah Alam adalah kerana bantahan mereka tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa. Kami yang tinggal di Seksyen 19 juga menghadapi masalah yang sama berhubung kuil yang telah berlarutan begitu lama.

Masalah di Seksyen 19 sudah memakan masa 21 tahun masih belum selesai hingga ke hari ini. Aduan, bantahan, perjumpaan telah dibuat oleh persatuan penduduk dan individu tetapi tidak mendapat tindakan yang sewajarnya.

Setiap kali kuil itu diarahkan berpindah pasti ada campur tangan pemimpin politik yang akan melewatkan proses itu. Campur tangan inilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Kuil itu yang pada mulanya kecil makin lama makin membesar tanpa pelan dan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selepas bekalan air dan elektrik dimasukkan, aktiviti mereka semakin hebat. Kuil itu hanya di seberang jalan rumah penduduk Islam Seksyen 19. Apa perasaan pembaca apabila setiap hari kami terpaksa mendengar lagu-lagu Hindu yang membingitkan telinga?

Bila mereka mengadakan keramaian mereka buat perarakan di hadapan rumah penduduk Islam. Gangguan bergendang keramaian berjam-jam lamanya. Terlalu banyak masalah sampingan yang terpaksa kami hadapi jika hendak disenaraikan di sini.

Aduan terpaksa dihantar dari semasa ke semasa kepada pihak-pihak atasan. Namun bila ada campur tangan politik perkara ini sering terbantut. Gangguan bising yang dihadapi semakin teruk apabila Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Sikap toleransi pemimpin Selangor telah menyebabkan gangguan yang dihadapi semakin teruk. Mereka bergendang hingga ke tengah malam mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.

Mereka hampir semuanya datang dari luar kawasan kami. Mereka berani mengugut jika ada penduduk yang menegur mereka. Botol-botol arak bersepah di merata-rata kawasan berhampiran Jalan 19/28. Gangguan bising pemuda India mengganggu kehidupan kami.

Kami merayu bantuan dan membuat aduan kepada pelbagai pihak tetapi tiada tindak balas. Ketika keadaan sudah menjadi kronik penduduk merayu bantuan NGO Islam. Tindakan drastik yang diambil oleh NGO Islam untuk membantu penduduk menyebabkan ada sedikit perubahan apabila gangguan bising berkurangan.

Pada 29 Disember 2007 maklumat yang diterima daripada Jabatan Perancang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kuil akan dipindahkan ke Seksyen 22.

Apabila Pakatan Rakyat berkuasa selepas Mac 2008, kuil itu hendak dipindahkan pula ke Seksyen 23, kawasan majoriti penduduk Islam. Penduduk Seksyen 23 sudah maklum apa yang dialami oleh penduduk Islam Seksyen 19, sebab itu mereka membantah. Malangnya bantahan mereka tidak diambil berat oleh kerajaan negeri dan diminta bertolak ansur. Jadi siapakah yang bersalah?

Apabila kepala lembu diusung sebagai tanda protes semua buka mata. Pelbagai bantahan kita dengar. Tetapi apabila masalah gangguan berlaku kepada orang Islam, SABARLAH!

Tuesday, August 4, 2009

JANGAN PIJAK INSTITUSI YANG DIPERTUAN AGONG

DARIPADA hambali1.blogspot.com

Pakatan pembangkang kononnya meletakkan rakyat sebagai yang diutamakan. “Go to hell” dengan UMNO.

Pedulikan Barisan Nasional (BN). 1Malaysia hanya gimik.

Menggerakan 100,000 rakyat supaya turut membantah lebih penting. Rakyat harus diyakinkan bahawa ISA itu kejam. Destinasinya Istana Negara.

Persoalannya, bukankah Istana Negara itu lambang institusi Yang DiPertuan Agong? Siapa memilih Yang DiPertuan Agong? Bukankah Sultan-Sultan (Melayu)?

Siapa mengatakan ISA kejam?. Bukan saya kata tetapi Pembangkang dan GMI. Kenyataan Pengerusi Sekretariat Himpunan MANSUH,Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI, Syed Ibrahim Syed Noh pada 22 Jun 2009 lepas jelas menganggap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai zalim.

Kerana itu diadakan seruan dan bantahan terhadap ISA semalam. Rakyat tidak bodoh. Polis anggarkan 5,000 orang sahaja yang menurut seruan gila itu.

Cara baik dan bersopan boleh dilakukan. Memohon perkenan Yang DiPertuan Agong tidak penting. Persetankan!

Bagi mereka, “apa Yang DiPertuan Agong boleh buat” kalau melalui cara aman dan bersopan.

Mereka merasakan Yang DiPertuan Agong perlu ‘diajar’ supaya menerima cara kekerasan, tidak bersopan dan kurang ajar.

Bagi mereka, mengamalkan cara berhemah dan bersopan dengan memohon perkenan menghadap dan menyerahkan memorandum atau cadangan meminda atau menghapuskan ISA sudah tidak ada ‘glamour’ lagi.

Cara membantah dengan berhimpun secara haram lebih mulia dan berkesan.

Kata mereka, baik dibuat perhimpunan haram terlebih dahulu. Berucap membakar semangat rakyat menentang kerajaan, kemudian berarak ke Istana Negara.

Cara ini lebih baik. Rakyat boleh ditunjukkan dengan semangat bantahan. Dunia boleh merakamkan peristiwa itu kononnya 10,000 rakyat daripada 20 juta rakyat turun padang menentang ISA.

Muka-muka mereka akan terpampang di kaca televisyen, laman web, blogspot atau juga facebook bahawa merekalah juara – walaupun sebenarnya juara tidak sopan dan beradab menyuarakan bantahan kepada kerajaan melalui istitusi Yang DiPertuan Agong.

Persoalannya, apakah Yang DiPertuan Agong wajar diperlakukan demikian?

Apakah Yang DiPertuan Agong boleh ‘diredah’ begitu sahaja?

Siapa mengajar cara kurang ajar ini?

Siapa mengajar orang Melayu dengan budaya perhimpunan haram dan kemudian ke istana?Anwar, Hadi atau Kit Siang?

Siapa dalang-dalang itu. Siasat GMI, siasat Siapa Suaram? Suaram ialah pertubuhan NGO dan Pengarah Eksekutif Suaram ialah Yap Swee Seng. Yang lain ialah Dr. Kua Kia Soong (bekas Ahli Parliamen); Fan Yew Teng (bekas Ahli Parlimen); Sivarasa Rasiah ( Ahli Parlimen); Julian Jayaseelan; Charles Hector; Lee Siew Hwa; Irene Fernandez (Tenaganita dan Caram Asia); Bruno Gentil Pereira; Dr Syed Husin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat) ; Tian Chua (Ahli Parlimen); S. Arutchelvan (Setiausaha Parti Sosialis Malaysia); Elizabeth Wong (ADUN); Cynthia Gabriel (aktivis); Premesh Chandran (Malaysiakini) ; Irene Xavier (Sahabat Wanita) dan Dr. Nasir Hashim (Presiden Parti Sosialis Malaysia dan ADUN).

Bezakan dengan perhimpunan orang Melayu menentang penjajahan. Mereka direstui istana dan kemudian baru berarak ke istana.

Apakah GMI ini direstui istana. Apakah GMI yang didalangi pembangkang dengan kehadiran pemimpinnya – Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang – direstui istana?

Hari ini Anwar kata Memorandum 10 Deklarasi ISA akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Beliau berkata, halangan yang dilakukan polis di beberapa lokasi di sekitar ibu negara menyebabkan GMI dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) gagal menyerahkan memorandum itu ke Istana Negara.

Pelik dan aneh, selepas membuat kerja gila yang mencabar kerajaan dan Yang DiPertuan Agong, baru menyatakan akan menghantarnya dengan cara lebih sopan.

Memang muka tidak malu. Inikah sikap dan perangai pemimpin pembangkang? Hadi tidak boleh nasihatkah mereka ini? Carilah cara yang lebih Islamik!

Institusi raja jangan dipermainkan sewenang-wenangnya. Kalaupun mahu menetang kerjaan, jangan babitkan istana.

Jangan cuba bermain api dengan memijak-mijak institusi ini kerana kelak, jika berkuasa, institusi ini juga harus dijunjung.

Ingatlah, ia perlindung agama Islam, orang Melayu dan kerajaan yang ada. Tanpa restu dan sokongannya, semuanya akan luput dan rebah.

Lagipun bukan semua rakyat sukakan cara haram ini.

Pengusaha pengangkutan awam menyelar tindakan kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram itu kerana menyusahkan orang ramai.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah, berkata kemerosotan jumlah penumpang sejak kelmarin dan semalam berbanding hari biasa menyebabkan ramai pengusaha teksi mengeluh kerugian.

“Kawasan paling teruk terjejas ialah yang terletak berdekatan perhimpunan haram iaitu di Jalan Ipoh dan sekitar Masjid India. Ini memberikan kesan buruk kepada pengusaha bas dan teksi, lebih-lebih lagi kawasan berkenaan sebelum ini diakui lubuk rezeki,” katanya semalam.

Tuesday, May 26, 2009

MOGOK LAPAR BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Sumber: Utusan Malaysia

Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kempen mogok lapar kerana ia tidak wujud dalam Islam dan bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak Islamiah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.
Jelasnya, sebarang perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada nyawa, akal, minda, harta dan keluarga adalah haram di sisi Islam.

"Andai kata seseorang yang mogok lapar itu meninggal dunia, maka ia seolah-olah membunuh diri sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula esok selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor berkata, mogok lapar ditunjangi oleh kehendak perasaan dan hawa nafsu serta sama sekali bertentangan dengan konsep kemanusiaan dalam Islam.

Tambahnya, orang yang mogok lapar sama seperti golongan yang berputus asa dalam perjuangannya sedangkan Islam melarang umatnya berbuat demikian.

"Mogok lapar berbeza dengan puasa. Dalam Islam, puasa bertujuan menahan diri hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ini termasuk puasa wajib, sunat dan nazar,'' katanya.
Beliau juga menasihatkan orang Islam di negara ini supaya bertenang dan percaya kepada qada dan qadar Allah kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

"Percaya kepada qada dan qadar merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Dalam Rukun Iman, sekiranya kita menolak salah satu daripadanya, maka terbatallah kesemuanya.

"Dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan. Maka sesungguhnya seseorang itu tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada dirinya dan juga orang lain kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,'' ujar beliau.

Sebelum ini Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.

Kelamrin, dua mufti menyifatkan mogok lapar sebagai haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

"Justeru saya ingatkan para penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut," tegasnya.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

"Jika ia dilakukan oleh orang Kristian tidak mengapa kerana memang ada amalan sebegitu dalam agama mereka.

"Tetapi suka diingatkan, orang Islam dilarang meniru amalan agama lain yang memudaratkan diri, menimbulkan fitnah kepada pihak lain dan melanggar undang-undang.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

"Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

"Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan," katanya.

Kita mahu dengar juga apa kata Dewan Ulama PAS mengenai perkara ini. Halal atau haram? Atau dibolehkan?

Saturday, October 25, 2008

TIDAK WAJAR ZUL DIHENTAM KERANA TEGAKKAN ISLAM

Oleh Lawyer Baru

Saya tidak faham kenapa Ahli Parlimen pembangkang, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim/Bandar Baharu) dimarahi dan dihentam kerana memperkatakan soal Islam.

Apakah kerana beliau menghentam Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu partinya sendiri dan Majlis Peguam menyebabkan ramai yang muka mereka merah padam dan menghentamnya balik?

Yang menariknya, Zulkifli bukan sahaja ‘menghentam’ kera jaan Barisan Nasional (BN) tetapi juga pem bangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat tidak mempertahankan agama Islam.

Apakah kerana kritikan Zulkifli itu , ia turut tempias kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Bukankah benar kata-kata Zulkifli bahawa Anwar yang mendakawa beliau pemimpin Islam sebenarnya tidak menegakkan Islam.
Dan penyokong-penyokong Anwar termasuklah penulis blog secara membuta tuli ‘membedal’ Zulkifli.

Yang mana penting antara Islam atau Anwar?

Zulkifli mengatakan yang benar dan jika Anwar memang tidak menegakkan Islam, perbetulkan pemimpin berkenaan. Anwar hanya manusia biasa, bukannya Nabi atau Rasul.
Jika Rasul pun boleh ditegur, inikan manusia seperti Anwar yang banyak kelemahannya!
Benar kata Zulkifli bahawa kekuatan orang Melayu terletak pada agamanya tetapi hari ini orang Melayu serta Islam telah diserang oleh pelbagai pihak.

‘‘Tindakan itu seolah-olah menunjukkan Islam tidak wujud langsung, mereka mem pertikaikan adab, hal ehwal agama Islam, mempertikaikan soal azan serta tulisan jawi dan menghantar memorandum supaya tulisan jawi tidak dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga pihak yang mempertikaikan tentang kuliah-kuliah di masjid yang kononnya mengganggu mereka.

Beliau menegaskan, PKR menyoal ketua nan Islam dan parti-parti komponen BN pula menuntut dibenarkan orang Islam keluar daripada agama Islam dan mahu agama Islam mengikut anjakan dengan agama-agama lain.

Zulkifli turut membidas Majlis Peguam yang mewakili kes permohonan murtad Aza lina Jailani tanpa memikirkan bahawa ki ra-kira 40 peratus anggota majlis itu terdiri daripada peguam beragama Islam.

Beliau menambah, ada juga pihak yang mencabar penggunaan nama Allah dengan menegaskan mereka juga berhak serta mem bawa kes itu ke mahkamah dan perkara tersebut telah mencabar kestabilan politik serta keharmonian rakyat.

‘‘Agama Islam merupakan tonggak ke stabilan politik, oleh itu perlu dimartabatkan dan saya mencadangkan agar Perkara 3 dan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda kerana ia banyak digunakan untuk menyerang agama Islam.

Kerana itu beliau mencadangkan Perkara 11(1) dipinda de ngan memperjelaskan perkara berhubung de ngan kebebasan beragama dan bagi orang Islam tertakluk pada undang-undang Islam itu sendiri serta ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Pindaan ini menurutn ya, perlu dilakukan kerana saya tidak mahu perkara seperti Azalina berlaku apabila sebuah gereja memberi baptis kepa danya. Saya syorkan Bahagian Jenayah Sya riah kerajaan Persekutuan ditubuhkan untuk menguatkuasakan pindaan itu.”

Beliau turut mencadangkan Perkara 3 Per lembagaan Persekutuan mengenai Islam se bagai agama rasmi dipinda supaya ia dapat ditegaskan dalam bentuk syariah dan undang-undang.
Katanya, Majlis Peguam Muslim juga per lu ditubuhkan bagi menaungi peguam-peguam Islam agar mereka tidak perlu merujuk kepada Majlis Peguam bagi mendapat kela yakan untuk menjadi peguam.