Wednesday, August 31, 2016

Husam Mahu AMANAH Ambil Alih Pemerintahan PAS Di Kelantan


“Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh UMNO yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir."

Sah sudah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kini menyertai Parti AMANAH Negara (Amanha). Beliau kini memakai ‘jersi oren’.

Apakah yang menyebabkan beliau memilih AMANAH?

Apakah antara matlamat beliau menyertai AMANAH?

Husam mahu AMANAH mengambil alih pemerintahan PAS di Kelantan.

Ia kerana katanya PAS dilihat gagal menyelesaikan masalah yang berlaku di negeri itu, malah isu berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB, parti Islam itu dilihat hanya "goyang kaki" tanpa mengambil apa-apa tindakan.

“(Rakyat Kelantan) nak minta izin AMANAH ambil alih pemerintahan Kelantan. Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh UMNO yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB.

“Dan PAS pula goyang kaki. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir.

“Kita tidak marah bina tugu tetapi lebih baik siapkan dulu rumah mangsa banjir,” katanya.

Baginya, AMANAH adalah parti yang meneruskan perjuangan asal PAS.

Kenapa pula dengan PAS? “PAS telah dikhianati oleh orang PAS sendiri," kata Husam berucap mengumumkan ‘perpindahannya yang sebelum ini tanpa kelab’ selama beberapa bulan.


Husam menyatakannya pada majlis Makan Malam Ambang Merdeka bersama YB Datuk Husam Musa di Cyberjaya di Cyberjaya.

ADUN Salor itu membuat keputusan menyertai AMANAH juga selepas mendapat pandangan ramai orang yang ditemui yang menyarankannya menyertai AMANAH.

Mereka termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang. Maknanya Husam mendengar pendapat termasuk mereka yang di bawah atau kalangan rakyat biasa.

Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti berkenaan.

Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas, Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.

Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dipecat keanggotaannya dalam PAS April lalu, susulan lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno.

AMANAH bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam Pakatan Harapan.

Walaupun tidak begitu mengejutkan pengumuman rasmi penyertaan Husam dalam AMANAH dinanti kerana sebelum ini pembabitannya dengan parti serpihan PAS itu sekadar khabar angin saja.

Selepas membuat sedikit alu-aluan Husam dengan tenang dan bersahaja mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH.

Katanya selepas dipecat daripada PAS beliau tidak berasa gelisah atau resah.


“Kita semua tenang dengan Islam, kita senang dengan perjuangan Islam oleh itu kita masuk PAS. (Kemudian selepas dipecat) sekarang ada AMANAH, ia menenteramkan hati saya.

"Ia bertepatan dengan apa yang al-Quran beritahu - "jangan kamu bimbang dan takut (jika bersama Islam". Sekarang saya masuk AMANAH supaya hati saya tenteram.

"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang hadir di majlis makan malam Di Ambang Merdeka itu.
Kemunculan di atas pentas AMANAH malam tadi bukanlah kali pertama buat Husam.

Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya.

Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.

Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.

"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.

Mohamad Sabu menyifatkan penyertaan Husam tepat padanya kerana parti itu memerlukan individu yang mahir mengenai ekonomi.

“Dari segi angka, saya jauh kalah dengan Husam. Orang seperti dia (boleh) banyak mainkan peranan,” katanya.

Mohamad turut menyeru supaya Husam membawa lebih ramai lagi rakan-rakannya ke dalam AMANAH dalam usaha parti baru itu menuju ke Putrajaya dan selaras dengan prinsip parti itu, Islam rahmat kepada semua.

“Husam, jangan datang seorang, ajak ramai-ramai. (Kita kena) bekerjasama dengan semua pihak untuk betul-betul realisasikan Islamrahmatan lil amin,” katanya.

Sementara itu pada sidang media selepasnya Mohamad berkata AMANAH akan bermesyuarat untuk membincangkan posisi yang sesuai untuk diberikan kepada Husam.


"Kami akan bincang termasuk (dalam) mesyuarat bagi mencari posisi sesuai bagi orang berpengalaman dan berpengaruh seperti Husam ini," katanya.

Tuesday, August 30, 2016

UMNO Bela Melayu? Yang Kaya Terus Kaya, Yang Miskin Papa Kedana...


Oleh Datuk Mohd Ariff Sabri
Ahli Parlimen RAUB

Satu masa dahulu ada seorang bekas menteri mengisytiharkan bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia ialah RM5,900 sebulan.

Semua orang, terutama pemimpin UMNO bersorak gembira. Inilah hasil perjuangan UMNO kata mereka. Setiap biji beras yang kita makan, adalah hasil perjuangan UMNO, jerit seorang pemimpinnya.

Saya faham konsep purata. Saya percaya ramai lagi yang faham konsep purata. Antara persepsi dan realiti, ada perbezaan besar.

Tapi angka yang disebut itu terlalu luar biasa. Ianya tidak dapat diterima sebahagian besar rakyat Malaysia.

Jika seorang Syed Mokhtar masuk ke dalam kumpulan yang hendak dihitung, tentulah pendapatan purata semua orang akan meningkat. Pendapatan Syed Mokhtar seorang akan menaikkan pendapatan semua orang lain.

Sebenarnya, kesenjangan pendapatan antara yang terkaya dan yang termiskin makin melebar.

Ertinya dalam bahasa mudah, yang kaya semakin kaya, yang miskin bertambah miskin.

Saya ke pasar minggu Raub, timbul satu soalan, bolehkah saya mendapat RM5,900 sebulan dengan menjual buah?

Perkara ini terjadi bukan sebab ianya kejadian dan peraturan masyarakat yang semula jadi. Ianya bukan ketentuan Tuhan. Tidak juga ia terjadi sebab rezeki secupak tidak jadi segantang. Kenapa orang kampung yang rajin berkerja masih mendapat pendapatan yang rendah?

Ia terjadi akibat dari institusi politik dan ekonomi. Institusi politik mengagihkan kuasa antara kumpulan-kumpulan dalam negara kita. Institusi ekonomi pula menentukan bagaimana sumber pengkayaan diagihkan dalam negara kita.

Kuasa terus berpusat dalam tangan orang atasan dan bangsawan- yakni golongan terpilih. Faedah ekonomi terus berpusat dikalangan yang berkuasa dan yang sedia kaya.


Pemimpin UMNO akan pergi ke merata kampung dan berkata; lihat dari segi purata, orang termiskin, yakni yang 40 peratus terbawah sudah bertambah pendapatan. Dasar kerajaan baik. Pilih dan sokonglah kerajaan. Kerajaan Najib jaga kebajikan rakyat. Najib jaga 30 juta rakyat Malaysia.

Angka purata dan angka peratusan tidak membawa kegembiraan pun kepada golongan Melayu termiskin. Memang benar, jika kita banding tahun 2012 dengan 2014, pendapatan kasar purata Melayu 40 peratus terbawah meningkat sebanyak 40 peratus! Wow, itu besar!

Tapi dari segi pertambahan mutlak, pendapatan kasar purata untuk melayu 40 peratus terbawah hanya RM681 berbanding dengan pertambahan mutlak Melayu 20 peratus teratas sebanyak RM1,964.

Bagi kaum Melayu; meski dari segi peratusan, golongan Melayu yang 20 peratus teratas hanya bertambah 18 peratus pendapatan, realitinya, itu lebih baik untuk mereka. Melayu 40 peratus yang terbawah pula bertambah 40 peratus pendapatan. Namun, pertambahan 18 peratus lebih baik dari pertambaan 40 peratus. RM1,964 tentulah lebih baik dari RM681.

Saya yakin kalangan kaum Melayu yang membentuk 40 peratus terbawah mahukan pertambahan sebanyak RM1,964. Tentu, jika diberi pilihan, Melayu miskin mahukan pertambahan RM,1964 biarpun peratusannya kecil.

Demikianlah angka purata mengelirukan kita dan menyembunyikan realiti. Kesenjangan pendapatan antara yang miskin dan yang kaya terus melebar.

Apa peniaga pasar minggu dan pekan sehari di Bandar Raub, di Pekan Dong, di Sungai Ruan, di Bukit Koman, di Batu Malim, Felda Sungai Klau; semua mereka mahukan pertambahan mutlak.


Angka purata tidak bererti apa-apa kepada mereka. Adakah kerajaan mahu dengar rintihan rakyat?

Monday, August 29, 2016

Kes Seleweng RM15 Juta - SPRM Soal Siasat Jeneral Bersara


Seorang jeneral bersara yang juga pengerusi sebuah bank berkaitan kerajaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat berkaitan kes penyelewengan bernilai RM15 juta.

Lelaki berusia 65 tahun itu akan menjadi individu kedua dari institusi kewangan yang sama dipanggil oleh SPRM berhubung kontrak penerbitan buku bernilai jutaan ringgit dan projek menaik taraf sistem perbankan itu.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, SPRM mengenal pasti seorang Tan Sri menerajui sebuah bank yang dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan penyelewengan projek penerbitan buku berkenaan.
  
Menurut sumber, siasatan awal mendapati, suspek menggunakan akaun dua buah firma guaman bagi menyimpan wang yang diperoleh hasil kegiatan tersebut.

Ujarnya, individu terbabit te­lah bersekongkol dengan peguam membuka dua firma guaman bagi mendapatkan tender melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

“Sebaik sahaja wang diperoleh, wang terbabit akan dima­sukkan ke dalam dua akaun firma guaman yang terlibat sebelum wang itu dipindahkan ke beberapa akaun yang lain.

“Difahamkan, ketika firma guaman itu ditubuhkan, di dalam akaun firma terbabit hanya mempunyai wang bernilai RM2,000.


Namun semakan terkini mendapati akaun terbabit mempunyai wang berjumlah ratusan ribu ringgit,” katanya.

MStar turut melaporkan bahawa Pengarah Urusan bank berkaitan kes ini yang berusia 48 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama bersama empat yang lain pada Khamis.

Difahamkan kontrak bernilai RM15 juta diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan sebuah biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Antara perjanjian itu adalah penerbit perlu mencetak kira-kira 20,000 salinan penerbitan itu tetapi jumlah yang dicetak jauh lebih rendah.

Sumber berkata beberapa bank akaun berjumlah kira-kira RM10 juta dibekukan SPRM berhubung kes itu.

Seorang lagi sumber memberitahu The Star, SPRM mengesyaki beberapa individu bekerjasama untuk menggelapkan wang tersebut.

"SPRM juga sedang mengesan dalang kes ini," kata sumber itu.

Empat  individu berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM15 juta dibawa keluar oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas Mahkamah Majistret Putrajaya kelmarin.

Seorang jurucakap SPRM berkata perintah reman terhadap lima suspek termasuk pengarah urusan itu dilanjutkan selama dua hari sehingga Selasa ini.
SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 40-an pada Sabtu untuk membantu siasatan kes ini.

Dia turut direman sehingga 2 September ini.

Kelmarin, , lapan individu termasuk seorang Pengarah Urusan sebuah bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan ra­suah melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemim­pin negara.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di ibu negara sejak kelmarin.

Turut dirampas iaitu enam buah jam ta­ngan yang setiap satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Datuk terbabit.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan pegawai institusi awam.

Sementara itu, pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mencari bukti kes berkenaan.