Wednesday, October 15, 2008

ANNUAR TERSISIH ATAU MENYISIH?

Tidak faham dengan tindak-tanduk Tan Sri Annuar Musa!

Mulanya menyatakan hasrat bertanding Naib Presiden dengan alasan mewakili negeri-negeri Pantai Timur dan negeri yang kalah dalam pilihan raya umum lalu dan kini menarik diri.

Beliau juga enggan dicalonkan untuk Ahli Majlis Tertinggi. Berkerat rotan nampaknya Annuar!

Entah apalah gelagat dan tindak tanduk Panglima UMNO Kelantan ini sehingga belum bertarung sudah menyerahkan kerisnya!

Atau beliau sedar, kini beliau hanya bersenjatakan parang kontot!
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata semalam (14 Oktober), beliau mengekalkan pendirian untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden UMNO walaupun telah menerima satu pencalonan serta pertanyaan daripada lebih 34 bahagian UMNO.

“Setelah menimbang dengan semasak-masaknya dan mengambil kira semua aspek, sukalah saya memaklumkan pendirian muktamad saya bahawa saya mengekalkan pendirian tidak bertanding jawatan Naib Presiden.

“Saya juga tidak akan mempertahankan jawatan saya sebagai ahli Majlis Tertinggi yang saya sandang sejak 1991,” katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Utusan Malaysia.

Annuar berkata, keputusannya itu bertujuan bagi memberi laluan kepada bakat-bakat baru dalam parti.

Kijang tidak yakin dengan sebab-sebab diberikan!
Pasti ada sebab tersendiri – daripada dimalukan baik berundur lebih awal.
Persoalannya, apakah Annuar sendiri kini mengisytiharkan bahawa karier politiknya sudah di penghujung?

Mana perginya keberanian dan semangat berkobar-kobar Annuar selama ini dan apakah dia merasakan ‘pemergian Pak Lah’ juga adalah pemergiannya dalam jawatan penting UMNO?

Sebelum ini, beliau dikatakan menghantar sms kepada Bahagian-Bahagian UMNO meminta sokongan untuk dicalonkan dan menggunakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan untuk melontarkan ‘tali hayat’.

Beliau menggunakan Dali Husin, Ketua Pemuda UMNO Negeri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa untuk bercakap bagi pihaknya.

Laporan Utusan Malaysia 9 Oktober lalu mengatakan Annuar sedang menimbangkan kemungkinan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Namun, beliau menegaskan, lebih banyak masa diperlukan sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya dengan turut mengambil kira beberapa perkembangan politik semasa.
Menurutnya, beliau harus menilai keupayaan dirinya, selain persepsi dan tahap sokongan di samping pandangan rakan-rakan di negeri-negeri kerana ia melibatkan tuntutan tugas serta tanggungjawab begitu berat dalam menempuh era yang cukup mencabar.

''Saya menghargai pandangan Pemuda UMNO Kelantan, namun berilah saya masa beberapa hari untuk memikirkannya. Untuk menawarkan diri tidak susah, namun kita perlu menimbangkan dengan jujur kerana dalam situasi sekarang, tugas sebagai Naib Presiden tidak mudah," ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang mahukan beliau bertanding bagi jawatan itu berdasarkan pengalamannya yang lama dalam barisan kepimpinan.

Amat malang bagi Dali kerana dengan penarikan diri itu, Dali seolah-olah menaja calon yang penakut masuk gelanggang.

Sehingga kini, Annuar hanya mendapat satu pencalonan sahaja iaitu daripada Bahagian Machang.

Malah, Machang pun dikatakan ‘terpaksa’ kerana Pemangku Ketua Bahagiannya, Nur Jazlan Yaakob dikatakan ‘malu mata’ dengan Annuar kepada beberapa sebab, termasuk kepentingan politik dan kedudukan beliau dalam Persatuan Bolasepak Kelantan.

Apa yang Kijang tahu, Annuar sebenarnya tiada team untuk membantunya kerana ramai yang sudah lari kerana gelagatnya sendiri.

Bak kata beberapa pemimpin UMNO Kelantan, ‘belang Annuar susah terserlah”. Dia hanya pentingkan diri dan mengaut kekayaan untuk dirinya.

Malah, di Kelantan, Annuar hanya buat musuh dengan ramai pemimpin Bahagian UMNO di negeri berkenaan.

Orang kuatnya kini hanya Tuan Hashim Tuan Yaakob yang sebelum ini adalah Pengarah Jentera Pilihanraya Kelantan yang menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional lingkup pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, banyak pihak melihat Tuan Hashimlah yang memporak-perandakan politik Annuar di Kelantan.

Sementara di negeri-negeri lain, sokongan dan tanda hormatnya semakin luntur, khususnya di Terengganu yang kini bukan lagi dikuasai Datuk Seri Idris Jusoh.

Di Kelantan pula beliau melihat masa depannya tergugat dengan pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pastinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan menggantikan beliau dengan orang lain – sama ada Datuk Dr Awang Adek Hussin atau Datuk Fatmi Salleh.

Annuar, Annuar! Cara pengundurannya begitu memilukan sekali walaupun ura-ura beliau akan dilantik menjadi Duta (mengikut apa yang isterinya beritahu kepada beberapa orang isteri Ketua Bahagian di Kelantan).

Apapun,Annuar mungkin mengalami kekalahan politik tetapi dalam konteks lain – mengumpul harta dan mengawal beberapa projek Kerajaan Pusat di Kelantan – Annuar tidak pernah kalah!

Khabarnya Badan Pencegah Rasuah sudah memasuki KADA di mana beliau Pengerusinya dan juga Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang diberitakan mendapat peruntukan lebih RM3 juta tahun lepas tetapi penggunaan wangnya diragui.

Kijang tunggu apa akan terjadi kepadanya selepas ini kerana Isu PPRT masih diratip terhadapnya dan kini berdepan dengan beberapa “fitnah” dan “tuduhan liar” lain yang mungkin akan terserlah selepas Mac 2009 nanti.

No comments: