Monday, November 10, 2008

TAK ADA PERPECAHANLAH...

Berlaku perpecahan di kalangan penyokong UMNO ketika ini?

Kijang tidak nampak sedemikian.

Kijang tidak melihat pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Majlis Tertinggi UMNO akan menyebabkan penyokong calon berpecah-belah.

Itu andaian Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sahaja. Dan andaiannya itu salah dan mengelirukan!

Kenyataan beliau berharap penyokong tiga calon timbalan presiden akan bersatu dan kembali bekerjasama selepas pemilihan pucuk pimpinan parti itu selesai pada Mac depan, sebagai tidak tepat.

Memanglah pertandingan dalam parti mewujudkan tiga kumpulan penyokong tetapi ia tidak boleh menyebabkan perpecahan.

Lagipun ia bersifat sementara dan penyokong calon-calon tertentu akan kembali bersatu selepas pemilihan itu nanti.

Tiga calon yang layak bertanding jawatan timbalan presiden parti ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Perdana Menteri mengakui bahawa pertandingan tiga penjuru ini sebagai kehendak ahli Umno dan ini bermakna ketiga-tiga calon itu perlu bertanding.

Yang Kijang bimbang Presiden UMNO yang akan bersara itu terlepas pandang bahawa perpecahan di bawah, iaitu di Bahagian-Bahagian kerana wujudnya peranan ‘double-standard’ Ibu Pejabat UMNO dan Setiausaha Agung UMNO akan mendatangkan masalah kepada parti khususnya masa pilihan raya.

Masalah ini perlu diselesaikan segera.

Kerana itu ahli UMNO sangat berharap Presiden yang sedang dalam pembikinan, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan dapat melihat masalah ini dan membersihkan Ibu Pejabat UMNO daripada kumpulan yang mementingkan ‘mereka yang berduit’, rakan serta kenalan dan membelakangkan Bahagian-Bahagian UMNO yang diterajui oleh mereka yang bukan ‘kenalan’ mereka.

Berkaitan dengan perpecahan di bahagian ini, Kijang mahu mengajak pembaca menilai sebuah tulisan dari http://hambali1.blogspot.com





TOLONG TOK, MASALAH BAHAGIAN BOLEH RANAPKAN UMNO


Tuesday, Nov 4,2008

Ketika sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian UMNO sedang bergembira dan mengucapkan tahniah kerana Datuk Seri Mohd Najib Razak memenangi pemilihan untuk jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding, banyak juga pemimpin bahagian yang sedang ‘bertembung sesama sendiri’ kerana masalah di bahagian-bahagian belum dapat diatasi oleh Ibu Pejabat UMNO.

Ada bahagian yang sudah sanggup untuk membawa kes ke mahkamah setelah Perhubungan UMNO negeri-negeri dan Ibua Pejabat UMNO gagal mengatasi masalah dihadapi mereka. Ada pemimpin Bahagian UMNO di Sabah yang memberi amaran akan membakar Perlembagaan UMNO jika masalah di bahagiannya berlarutan akibat permainan kotor Perhubungan Negeri.

Mereka dikatakan kecewa dan putus asa apabila Ibu Pejabat UMNO Malaysia dilihat memihak kepada orang tertentu serta tuduhan bahawa ‘ada pemimpin tertentu cuba diselamatkan oleh pihak-pihak tertentu di Ibu Pejabat UMNO Malaysia’.

Sementara mereka mendakwa beberapa arahan Ibu Pajabat UMNO Malaysia pula banyak yang bercanggah dan bersifat ‘sekali boleh’ dan ‘sekali lagi tidak boleh’.
Perkembangan ini sebenarnya merunsingkan kerana jika Ibu Pejabat UMNO gagal mengatasinya segera ia akan membawa kepada perpecahan di peringkat bahagian. Sewajarnya Ibu Pejabat UMNO memberikan tumpuan kepada penyelesaian kes-kes ini secara sebaik-baiknya kerana masalah di akar umbi juga penting seperti pentingnya pemilihan pemimpin penting UMNO yang berlaku ketika ini.

Janganlah membiarkan ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian merasa mereka dipinggirkan pada ketika UMNO memerlukan sokongan padu bagi menjamin Najib menerajui kerajaan dengan memenangi pilihan raya akan datang dengan cemerlang.
Dan Najib sendiri, selepas terjamin sudah kemenangan untuk kerusi Presiden, minta tolong intai dan bantu selesaikanlah masalah yang berkecamuk di bawah.

Mereka ini sebenarnya penting buat UMNO kerana merekalah pengundi pilihan raya! Jika dibiarkan bergolak dan penyelesaian yang kurang bijak, kesannya bukan sekarang. Akan ada pelbagai perbuatan tidak menyenangkan akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang atau pilihan raya kecil yang mungkin diadakan sekiranya berlaku sesuatu perkara seperti perletakan jawatan Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak berpuas hati.

Sesetengah pihak mungkin menganggapnya kecil tetapi perhatikan bagaimana kesannya apabila ahli UMNO tidak menyokong Bendahari UMNO sendiri dalam pilihan raya umum lalu di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan pada pilihan raya 1999, Menteri Pusat ditumbangkan di Parlimen Parit. Untuk pilihan raya umum akan datang, masalah seperti sabotaj dan sanggup menyokong pembangkang akan menjadi lebih kritikal jika daripada sekarang masalah di bahagian-bahagian tidak diselesaikan.

Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan Perhubungan UMNO Negeri jangan melihat masalah ini remeh kerana kelak ia akan menyebabkan perpecahan serius peringkat bahagian. Perlu diingat, Bahagian bermakna kerusi Parlimen dan kebanyakannya mempunyai tiga kerusi negeri. Kemenangan menjadi Ketua Bahagian atau jawatan penting parti tidak ada gunanya jika dalam pilihan raya UMNO kecundang.

Apabila UMNO tidak lagi menjadi majoriti Barisan Nasional di Parlimen, Presiden UMNO pun tidak layak menjadi Perdana Menteri. Begitulah juga Timbalan, Naib-Naib atau ahli Majlis Tertinggi yang lain, usahlah berharap menjadi Menteri, Menteri Besar atau Timbalan Menteri. Ketua-Ketua Bahagian pula hanya layak jadi pembangkang sahaja seperti di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sekarang.

Difahamkan antara bahagian yang bergolak serius kini ialah Larut, Tanah Merah, Pengkalan Chepa, Ampang, Tenom dan beberapa yang lain hingga menyebabkan bahagian-bahagian berkenaan dijangka akan bermesyuarat selepas 9 November ini. Antara kes menarik ialah Larut apabila pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak, semalam, selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti.

Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas semalam, sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat. ‘‘Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Ekoran masalah tersebut, mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.
Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007. Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu. Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu.

"Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Dalam kes Bahagian Tanah Merah pula dikatakan calon Ketua Bahagian iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz yang dikatakan menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut selepas tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi, tidak sah.

Pada mesyuarat cawangan yang berakhir 11 Oktober lalu, Ikmal dilaporkan mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).


Cawangan UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu.
Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat.

Beberapa pemimpin UMNO Bahagian termasuk Nik Kemaruzaman mempertikaikan kesahihan Ikmal untuk bertanding kerana masalah pembayaran yuran cawangan yang beliau wakili. Difahamkan, selepas tidak berpuashati dengan penggendalian isu ini oleh Ibu Pejabat UMNO, pihaknya akan membawa kes ini ke mahkamah dan satu sidang media akan diadakan dalam masa sehari dua ini. Sekali lagi “Tolong Tok (Datuk Seri Najib), masalah sesetengah bahagian amat berkecamuk”!

No comments: