Tuesday, July 27, 2010

85 PENDATANG ASING TANPA IZIN DITAHAN DI JELI

Seramai 85 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kelantan dalam operasi di sebuah kilang kayu dan tapak pembinaan di daerah Jeli yang berakhir 7 pagi, hari ini.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Amran Abd Aziz berkata 62 daripada mereka terdiri daripada warganegara Indonesia, 18 warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan masing-masing seorang warga Thailand dan India.

Dalam operasi yang bermula 2 pagi itu, 28 daripada mereka ditahan di kilang kayu itu dan selebihnya di tapak pembinaan itu, katanya pada sidang akhbar di Kota Bharu, hari ini.

Katanya dalam operasi di tapak pembinaan itu, seorang daripada pendatang asing tanpa izin itu cedera di kepala dan kaki kerana terjun dari tingkat atas rumah penginapan mereka dalam cubaan meloloskan diri, katanya.

Berlaku juga sedikit pergelutan antara pendatang dan anggota penguatkuasa ketika mereka cuba melarikan diri tetapi kesemua mereka berjaya ditahan, katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas lawatan tamat tempoh. Mereka dihantar ke depot tahanan sementara di Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

No comments: