Thursday, July 29, 2010

SERAH SAHAJA KEPADA PUSAT JIKA TIDAK MAMPU LAKSANA

Serah sahajalah kepada Kerajaan Pusat jika tidak mampu.

Itulah saranan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin kepada kerajaan PAS Kelantan.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan boleh menyerahkan projek-projek yang sesuai kepada kerajaan pusat jika tidak mampu melaksanakan projek berkenaan.

"Kita tidak paksa, tetapi kerajaan negeri boleh menyerahkan projek-projek yang sesuai untuk dilaksanakan oleh agensi di bawah kerajaan pusat jika tidak mampu (melaksanakannya)," katanya di Kuala Krai, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan yang dikatakan boleh menjejaskan sistem ekologi dan alam sekitar berikutan pembukaan kawasan hutan bagi projek itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, kerajaan negeri sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menjalankan siasatan berhubung pencemaran alam ekoran daripada aktiviti penerokaan tanah baru untuk pembukaan ladang dan pembalakan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pencemaran di kawasan tadahan air dan memusnahkan hutan di Hulu Kelantan kini semakin serius ekoran daripada aktiviti yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Penduduk Orang Asli di Pos Pasik, dan Aring di Gua Musang serta penduduk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dabong dikatakan mengalami masalah bekalan air bersih akibat aktiviti tersebut.

Pada 21 Okt tahun lepas, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan negeri meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta.

Kawasan itu sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.

Hamzah berkata kementeriannya memastikan setiap projek yang dijalankan di kawasan hutan mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan dan JAS untuk mengelakkan ia menjejaskan penduduk dan alam sekitar.

"Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik rakyat dalam melaksanakan sesuatu
projek yang melibatkan kebajikan dan kepentingan kepada mereka," katanya.

No comments: