Tuesday, August 31, 2010

JUMLAH KEMATIAN AKIBAT AIDS BERKURANGAN

Jumlah kematian disebabkan AIDS di seluruh negara mencatatkan penurunan daripada 900 kes pada tahun 2008 kepada 805 kes pada tahun lalu, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Mohd Zaman Khan.

Beliau berkata, pemberian jarum suntikan secara percuma kepada penagih adalah satu daripada penyumbang terbesar ke arah penurunan itu.

"Ini menunjukkan dakwaan sesetengah pihak pemberian itu akan mendorong peningkatan bilangan penagih dadah dan kematian disebabkan AIDS adalah tidak benar," katanya pada majlis taklimat pencegahan jangkitan kemudaratan HIV dan AIDS, di Bachok semalam.

Kerajaan sehingga ini sudah membekalkan sejumlah 15,000 hingga 28,000 jarum kepada penagih menerusi 13 pusat yang ditubuhkan.

Katanya, berdasarkan kejayaan itu, sebanyak enam lagi pusat bekalan jarum akan dibuka termasuk tiga di Kelantan iaitu di Rantau Panjang, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Beliau berkata, ini disebabkan Kelantan mencatatkan jumlah kematian tertinggi disebabkan AIDS iaitu 107 kes dalam tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu.

Katanya kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM8.4 juta bagi tujuan pembekalan jarum secara percuma bagi tahun ini.

Ketika berucap pada majlis itu, kata Majlis AIDS akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, sektor korporat dan sektor komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan prejudis terhadap pesakit HIV dan AIDS.

Katanya, dianggarkan sebanyak 67,000 rakyat negara ini dikenal pasti terbabit dengan jangkitan HIV dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Ini bermakna 10 daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia dijangkiti wabak itu setiap hari," katanya.

No comments: