Pemberian dividen RM200 sebulan kepada kira-kira 400 Orang Asli yang terlibat dengan Ladang Rakyat dibuat oleh Pas Kelantan untuk mengaburi mata kaum itu daripada berterusan menuntut hak pemilikan tanah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Norzula Mat Diah berkata, Orang Asli itu pada mulanya mengecam pengambilan tanah yang telah mereka usahakan sejak berpuluh tahun lalu menyebabkan kerajaan negeri meluluskan pembayaran dividen tersebut.
Bagaimanapun katanya, tidak semua masyarakat Orang Asli dapat ditipu malah usaha untuk mendapatkan hak milik itu tetap diteruskan sehingga hari ini termasuk kaum lain yang turut menerima nasib serupa.
"Seluas kira-kira 9,200 hektar tanah milik Orang Asli telah diambil untuk diusahakan dalam Ladang Rakyat menyebabkan mereka marah dan bangkit untuk menebus hak mereka.
"Atas sebab itulah kerajaan negeri mengambil mereka sebagai peserta dan meluluskan pembayaran RM200 sebulan sebagai dividen untuk menjadikan kaum ini 'kelabu mata' tetapi tidak semua macam itu," katanya semalam.
Norzula berkata, tanah-tanah tersebut telah diambil kerajaan negeri dan diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebelum diberikan kepada beberapa syarikat untuk diusahakan namun sehingga hari ini masih belum ada hasil yang dituai.
Jelas beliau, apa yang berlaku sebaliknya adalah balak yang ada di tanah-tanah berkenaan ditebang begitu juga dengan hasil hutan yang dijual untuk mendapatkan keuntungan segera.
Katanya, kebanyakan kaum Orang Asli yang terlibat adalah dari Pos Brooke, Pos Sendrop dan Pos Blau serta beberapa penempatan kaum Melayu di sekitar Gua Musang.
Menurut beliau, ramai rakyat yang mengusahakan tanah tersebut sejak berpuluh tahun lalu telah menghantar borang di Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mendapatkan hak milik di tanah-tanah berkenaan tetapi gagal.
"Ladang Rakyat ini tidak seperti program yang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di mana tanah rakyat dimajukan dengan membina infrastruktur serta memberi rumah kepada mereka.
"Memang ini tanah kerajaan tetapi kalau mereka sudah terlebih dahulu mengusahakannya sejak berpuluh tahun lalu maka kaum ini wajar mendapat pampasan atau setidak-tidaknya hak ke atas tanah itu," katanya.
No comments:
Post a Comment