Thursday, October 14, 2010

UMNO AKAN YAKIKAN SEMULA ORANG ASLI SOKONG BN

Umno akan menyusun strategi bagi menarik semula sokongan kira-kira 2,000 pengundi masyarakat Orang Asli pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 4 November ini.

Naib Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah berkata, antara pendekatan yang akan diambil adalah menerangkan kesilapan besar masyarakat itu menyertai projek Ladang Rakyat anjuran kerajaan negeri Kelantan.

"Kita akan dekati mereka dan menerangkan isu Ladang Rakyat yang sebenarnya tidak menguntungkan mereka apabila tanah yang diusahakan mereka sejak sekian lama telah diambil kerajaan negeri bagi tujuan itu.

"Masyarakat Orang Asli ini sebenarnya telah terpedaya kerana mereka tidak akan dapat hak milik tanah dan ini yang perlu mereka fahami," katanya di Gua Musang hari ini.

Lebih 400 masyarakat Orang Asli dalam DUN Galas yang tinggal berhampiran Lojing di sini telah menyertai projek Ladang Rakyat yang didakwa hanya menguntungkan syarikat swasta terbabit.

Peserta diberikan dividen sebanyak RM200 sebulan sejak menyertai projek itu sejak beberapa tahun itu.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lalu.

Penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian diadakan pada 4 November.

No comments: