Thursday, October 14, 2010

MATIKAH TANPA GELARAN KEBESARAN KELANTAN?

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud kehilangan kesemua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya sebelum ini termasuk Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan (SPSK).

Sementara Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hilang Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan (DJMK) membawa gelaran Datuk Paduka.

Apakah Ibrahim dan Wan Hashim akan jadi meracau dan merana kerana gelaran ditarik balik?

Atau apakah mereka akan rasa terhina dina kerana kedua-duanya tidak ada lagi gelaran Datuk Kelantan?

Juga apakah mereka akan menderhaka kerana penarikan anugerah kebesaran itu?

Tidak sama sekali!

Wan Hashim secara peribadi menyifatkan penarikan balik darjah kebesaran tersebut sebagai takdir Allah Taala dan menerimanya dengan hati terbuka.

"Ini takdir Allah Taala, tak ada apa. Saya terima dengan hati terbuka dan reda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Istana Mahkota di Kota Bharu semalam.

Baginya: "Saya rasa saya tidak bersalah, saya tidak menjangka perkara ini akan berlaku."

Bagi Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), beliau akur dengan keputusan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah berkenaan.

"Saya tidak tahu sebab apa gelaran Datuk Paduka yang dianugerahkan oleh Sultan Kelantan sebelum ini, Sultan Ismail Petra ditarik balik tetapi ia mungkin disebabkan saya menziarahi baginda Jumaat lepas.

"Saya menziarahi baginda atas persahabatan kami yang sekian lama terjalin, lagi pun baginda sedang gering," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ahli Parlimen Pasir Mas bagaimanapun menegaskan, kesetiaannya kepada Sultan Muhammad V tidak berbelah-bahagi biar pun darjah kebesaran tersebut ditarik balik.

Katanya, ia selaras dengan perjuangannya yang konsisten untuk mempertahankan institusi diraja di negara ini.

Ibrahim berkata, beliau mengetahui mengenai penarikan balik darjah kebesaran itu selepas dihubungi pihak media.

"Saya belum menerima sebarang surat dan saya menerima penarikan balik gelaran ini tetapi kesetiaan saya kepada Sultan Muhammad V atau siapa sahaja yang menjadi sultan tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, beliau turut dianugerahkan gelaran Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Mulia Seri Mahkota dari Melaka.

''Saya ada lagi anugerah negeri-negeri lain. Kalau tak ada pun, saya lebih suka orang panggil saudara Ibrahim Ali," katanya.

Wan Hashim mendakwa, beliau sepatutnya diberi penghargaan yang lebih tinggi berbanding ditarik balik semua anugerah dan darjah kebesaran yang dikurniakan kepadanya sebelum ini.

Beliau mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan, malah tugas yang dilakukannya kini iaitu membantu Sultan Ismail Petra yang masih mendapat rawatan susulan dan ia merupakan kesinambungan daripada tugas-tugas yang pernah dilakukannya sewaktu masih bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dahulu.

Beliau turut mengakui tidak terkejut dengan penarikan balik darjah dan pingat kebesaran tersebut tetapi menegaskan beliau memang tidak menjangka ia akan berlaku.

"Banyak tugas yang saya lakukan ketika menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri dahulu masih saya teruskan sehinggalah sekarang ini," katanya yang turut mengaku menerima banyak darjah kebesaran dari negeri lain termasuk Kerajaan Persekutuan.

Ditanya kemungkinan ada pihak tertentu di sebalik penarikan darjah dan pingat kebesaran tersebut, Wan Hashim berkata: "Saya tak tahulah."

Ketika ditanya sama ada penarikan balik pingat dan darjah kebesaran itu merupakan 'penafian' terhadap sumbangan beliau selama ini, Wan Hashim sebaliknya berkata: "Saya tak nak komen, itu perkara subjektif."

Penarikan kesemua darjah kebesaran Wan Hashim yang bersara pada 2001 oleh Sultan Muhammad diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias pada satu sidang media di pejabatnya di Kota Bharu, semalam.

Sultan Muhammad turut menarik balik anugerah Seri Mahkota Kelantan (SMK) daripada Tengku Mohamed Shafiei Tengku Ibrahim, sementara Pingat Bakti (PB) dan Jaksa Pendamai (JP) daripada Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

No comments: