Tuesday, November 2, 2010

KU LI - DAKWAAN KHIANATI ORANG ASLI TIDAK BENAR!

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menafikan dakwaan PAS yang mengatakan beliau mengkhianati Orang Asli di negeri ini.

Tengku Razaleigh berkata, dakwaan bahawa beliau melarikan fail mengandungi permohonan tanah golongan itu semasa membawa Semangat 46 keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan menyertai UMNO adalah tidak benar sama sekali.

Malah fail yang dikatakan itu juga sebenarnya tidak wujud.

"Benda ni tak betul... saya pun hairan mengapa orang yang mewakili parti Islam membuat pembohongan semacam itu," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi Cina di Kampung Sungai Buru, Tanah Putih di Gua Musang malam tadi.

Beliau berkata, ketika itu terdapat ramai Orang Asli di Gua Musang dan beliau dipertanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat itu oleh Angkatan Perpaduan Ummah yang ketika itu disertai PAS dan Semangat 46.

Tengku Razaleigh bersalaman dengan masyarakat Orang Asli di Pos Hau ketika membantu calon BN berkempen, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, soal kebajikan Orang Asli termasuk soal pemberian tanah tidak pernah dibincangkan oleh jawatankuasa tertinggi gabungan parti itu yang turut disertai beliau dan Presiden PAS ketika itu Datuk Fadzil Noor.

Tengku Razaleigh berkata, walaupun jentera PAS dilihat mula menyerang peribadinya, beliau tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang.

"Jika PAS nak serang (peribadi) itu mereka punya hal...dia tanggunglah (dosa)...kita hanya akan tetap menerangkan mengenai dasar kerajaan dan apa yang akan kita lakukan untuk kebajikan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menghadapi masalah untuk menyelesaikan isu hak milik tanah khususnya membabitkan Orang Asli.

Sebaliknya, kata beliau, dakwaan ketiadaan fail atau dokumen berkaitan Orang Asli sehingga menyukarkan kerajaan negeri menyelesaikan isu berkenaan adalah tidak benar.

"Kita tak ada masalah seperti itu, tak timbul masalah yang mengatakan kita tak ada fail-fail yang berkaitan.

"Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke perkampungan masyarakat Orang Asli Kampung Sendrod, Lojing di semalam.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Wan Abdul Rahim turut menegaskan Tengku Razaleigh 'menghilangkan' semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya selepas membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996 hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.

Dakwaan berkenaan juga merupakan serangan peribadi yang pertama daripada PAS terhadap Tengku Razaleigh walaupun terdapatnya arahan dan persetujuan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang tidak 'disentuh' sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Ahmad berkata semua pihak perlu mengamalkan budaya politik yang lebih matang tanpa menyerang peribadi pihak lawan.

"Setiap parti boleh kemukakan dasar masing-masing, biar rakyat lihat dasar mana yang mereka mahukan, (serang) peribadi saya tak setuju.

"Kita perlu profesional dan matang dalam politik," katanya.

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, 44, dan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusof, 49.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, daripada PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.

1 comment:

udanggalah said...

Salam perkenalan Bro..
Pesan buat PAS..jangan anggap orang asli bodoh..