Tuesday, January 4, 2011

SPN Negeri Melayu Bersekutu tiada hak lantik SUK?

Bekas Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi memulakan tugas barunya sebagai Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS). 3 Jan. 2011 semalam.

Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi, kerana kuasa eksekutif itu tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kata seorang penganalisis politik tempatan.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein (gambar kanan) dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), berkata ia berlainan bagi SPN di bawah negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah) pula, kerana badan tersebut mempunyai kuasa untuk melantik tiga jawatan tinggi iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

"Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seharusnya lebih peka mengenai perkara ini dan berhenti mempersoalkan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini.

"Cubaan beliau untuk mempersoalkan pelantikan tersebut dilihat satu usaha yang sia-sia kerana hak eksekutif untuk melantik pegawai divisyen tinggi masih tertakluk kepada kerajaan Persekutuan sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya hari ini.

Mengulas hasrat Abdul Khalid untuk mengadakan sidang tergempar bagi meminda perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, bagi membolehkan kerajaan PKR negeri mempunyai kuasa untuk melantik jawatan tersebut, Ahmad Atory menegaskan pemindaan tersebut hanya akan mengakibatkan krisis undang-undang yang lebih teruk.

Ahmad Atory berkata, mengikut perkara Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri, sebarang usaha untuk meminda perlembagaan negeri akan terbatal dengan sendirinya jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan: "Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu."

Sementara itu, pakar perundangan terkenal, Profesor Salleh Buang, berkata adalah mustahil bagi kerajaan Selangor untuk meminda perlembagaan negeri kerana mereka memerlukan majoriti dua pertiga bagi membolehkan proses tersebut berlaku.

"Dalam Perlembagaan Selangor, memang dah tertulis setiap pemindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga...dan mereka memerlukan sekurang-kurangnya 37 kerusi sebelum boleh meminda perlembagaan," katanya.

Ketika ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai 14 kerusi, DAP (13), PAS (8), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 21 kerusi, daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Menurut Salleh, sekalipun pindaan tersebut berjaya, ia masih tidak akan memberi kesan terhadap pelantikan Mohamad Khusrin kerana sebarang pemindaan Perlembagaan tidak bersifat "retrospective" (ke belakang).

Menurut Salleh lagi, sikap Abdul Khalid yang tidak membenarkan SUK sendiri masuk mesyuarat Exco, seolah-olah cuba menafikan hak Mohamad Khusrin, serta menunjukkan pemimpin itu sendiri cuba membelakangi perlembagaan.

No comments: