Tuesday, January 4, 2011

UPP Kelantan Rampas Beras Siam Bermutu Tinggi


Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 5,800 kilogram beras Siam bermutu tinggi dilonggokkan berhampiran sebuah setor di Kampung Banggol Stol, Rantau Panjang dipercayai oleh kumpulan penyeludup terancang dalam dua rampasan pada Jumaat lepas.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata sebuah kereta digunakan untuk memunggah guni-guni berisi beras ke lokasi itu turut ditahan bersama 16 kampit beras yang tertera perkataan "Beras Malaysia" pada guni bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Seorang lelaki yang memandu kereta Proton jenis Gen-2 melarikan diri sebaik menyedari diekori anggota UPP di Kampung Banggol Stol," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu, semalam.

Mazlan berkata rampasan pertama dibuat pada pukul 11 malam 31 Disember lepas oleh sepasukan anggota yang menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan longgokkan guni-guni berisi beras Siam berdekatan sebuah setor di Kampung Banggol Stol.

Beliau berkata sejumlah 100 kampit beras Siam dengan setiap satu beratnya 50 kilogram bernilai kira-kira RM15,000, dipercayai diletakkan penyeludup bagi dimuatkan ke dalam treler ke Kuala Lumpur untuk pasaran, dirampas.

"Berdasarkan maklumat awam juga, tiga jam kemudian pasukannya menahan sebuah kereta jenis Gen-2 yang membawa 16 guni beras Siam bernilai RM2,400 di lokasi yang sama," katanya.

Mazlan berkata kedua-dua rampasan termasuk kereta itu dianggarkan bernilai RM37,400 dan semua rampasan diserahkan kepada Bahagian Pencegahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut

No comments: