Tuesday, January 4, 2011

Kegagalan Kerajaan PAS Bekalkan Air Bersih Berlanjutan

Kerisauan mengenai sumber air terjejas dan kegagalan membekalkan air bersih terutamanya di kawasan Hulu Kelantan mempunyai asas yang kuat kerana ia bukan mendatangkan masalah kepada penduduk setempat tetapi juga menjadi punca tersebarnya penyakit berjangkit.

Berikutan itu Kerajaan Pas Kelantan didesak supaya merangka satu pelan tindakan untuk memulihara bukit-bukit di negeri ini bagi memastikan sumber air dan mata pencarian penduduk kampung terutama Orang Asli tidak terjejas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, masalah bekalan air di negeri ini semakin memuncak malah menurut laporan Jabatan Kesihatan, masalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada air semakin meningkat dan antara tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, semua ini berpunca daripada kelemahan Kerajaan Pas Kelantan untuk menguruskan sumber air biar pun telah memerintah negeri ini selama 20 tahun.

"Sebagai contoh, di Jeli masalah yang dihadapi ialah penerokaan bukit-bukit. Sebahagian besar penduduk Jeli bergantung kepada bukit untuk bekalan air bersih, air kesihatan sudah berdekad-dekad.

“Bukit adalah sumber air paling utama tetapi dalam tempoh lima tahun sumber air dari bukit berkurangan dan kualitinya terjejas teruk.

Selain itu Mustapa juga menyeru Kerajaan Kelantan mengawal aktiviti penerokaan hutan kerana bimbang sumber air bukit yang kini dinikmati sebahagian besar penduduk di pedalaman terjejas dan menyukarkan kehidupan mereka.

Mustapa berkata penduduk di pedalaman itu banyak membuat aduan bekalan air bukit atau air tandak itu kini sudah terjejas seperti semakin kekurangan air dan kualiti airnya yang rendah.

"Kerajaan Kelantan perlu berhati-hati dalam setiap aktiviti penerokaan seperti penebangan hutan kerana kesannya akan merosakkan sistem pengaliran air bukit ke kampung-kampung.

"Kini keadaan sudah mula dirasai terutama penduduk di Jeli dan kita bimbang ia bukan sahaja menyukarkan kehidupan penduduk tetapi juga penyakit yang datangnya daripada air tercemar itu," katanya.

Beliau menyatakannya pada Majlis Penyampaian Anak Benih (Tanaman Tutup Bumi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan di Kampung Bendang Keladi di Jeli semalam. Turut hadir Pengarah JAS Kelantan, Khairuddin Mohd Idris.

Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli, berkata kadar penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan taun di Kelantan kini antara yang tertinggi di negara ini dan menuntut agar kerajaan negeri menangani segera keadaan itu.

"Sedihnya Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut gagal memberikan perkhidmatan air bersih kepada penduduk di situ yang mahu tidak mahu terpaksa bergantung hidup kepada air bukit itu," katanya.

Beliau berkata kegagalan AKSB itu membuktikan kegagalan ketara kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk memberikan perkhidmatan asas yang sempurna kepada rakyat meskipun sudah memerintah lebih 20 tahun.

“Kalau 20 tahun tidak dapat diselesaikan ini kelemahan yang ketara, kita sebagai rakyat Kelantan berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

No comments: