Tuesday, February 22, 2011

Kerajaan Bina 479 Buah Rumah Bagi Orang Asli Tahun Ini - Shafie Apdal

Kerajaan akan membina 479 buah rumah bagi masyarakat Orang Asli tahun ini sebagai usaha menaik taraf kehidupan masyarakat berkenaan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata rumah-rumah itu akan dibina dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di bawah program Bantuan Rumah Untuk Masyarakat Orang Asli dengan kos RM33,000 seunit.

Pembinaannya akan dilaksanakan di negeri-negeri Semenanjung dengan harapan dapat mengatasi masalah perumahan di kalangan masyarakat Orang Asli dan peruntukan untuk tujuan itu telah pun disalurkan kepada Kementerian Pertahanan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli di Putrajaya semalam.

Di bawah program tersebut, sebanyak 87 buah rumah akan dibina di Perak, 85 di Pahang, 76 di Kelantan dan bakinya di negeri-negeri lain.

Sementara itu, Shafie berkata bilangan anak-anak Orang Asli yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta bagi kursus diploma terus meningkat setiap tahun, misalnya seramai 67 pelajar memasuki ke IPTA pada 2010 berbanding 43 pelajar pada tahun 2009.

"Pada tahun ini, kita juga akan menghantar tujuh pelajar Orang Asli ke luar negara seperti United Kingdom, Australia, Jepun untuk mengikuti pelbagai jurusan profesional," katanya.

Beliau berkata kerajaan terus merangka pelbagai program sosio-ekonomi dan kebudayaan bagi menaik taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di negara ini.

No comments: