Friday, May 13, 2016

Amanah Jangan Lebih Gebang, Buktikan 10 Wakil Rakyat PAS Lompat


Mana janji Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan untuk mengumumkan 10 wakil rakyat PAS yang bakal lompat parti selepas Datuk Husam Musa dipecat?

Malah, siapa kata PAS Kelantan tergugat selepas bekas naib presidennya yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kubang Kerian Datuk Husam Musa, dipecat oleh PAS minggu lalu.

Amanah jangan gebang (cakap besar) berlebih-lebih...

Jika Amanah gagal untuk membuktikan akan ada Adun PAS yang lompat kepadanya, ini akan menghakis keyakinan rakyat Kelantan terhadap Amanah.

Malah, kegagalan itu juga akan membuktikan kebenaran bahawa isu ADUN PAS lompat hanya propaganda Amanah.

PAS Kelantan semalam menafikan wujudnya perpecahan akibat pemecatan Husam, tegas Setiausaha PAS negeri itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau menolak dakwaan yang dilemparkan segelintir pihak, malah menegaskan parti itu masih menerima sokongan kuat di peringkat akar umbi.

"Setakat ini, perkembangan adalah positif walaupun sebelum ini dikatakan akan ada 10 wakil rakyat PAS akan keluar parti namun sehingga kini masih tiada apa-apa.

"Apa yang saya lihat sokongan di seluruh negeri masih kuat dan kita juga membuat tindakan memperkukuhkan jemaah," katanya ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival Bio Kelantan 2016 di Kota Bharu semalam.

Pada 7 Mei lalu Pengerusi Amanah,  Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berjanji untuk mengisytiharkan 10 wakil rakyat PAS yang akan menyertai Amanah sehari selepas Husam bukan lagi menjadi ahli parti Islam itu.

Mempertahankan kredibiliti Amanah, Wan Rahim secara jelasnya memberitahu perkara tersebut bukan cakap-cakap kosong dan juga bukan gimik politik semata-mata.

Lima nama Yang Berhormat atau Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang bakal bersama parti progresif itu sudah disebut oleh Wan Rahim.

 Namun perkara itu hanya akan diumumkan hanya selepas bekas Naib Presiden PAS itu menerima surat pemecatan ahli secara rasminya.

Sementara pada 10 Mei lalu, Wan Rahim berkata Amanah masih  menunggu pendirian Husam yang dipecat daripada parti, sama ada mahu menyertai parti serpihan PAS itu atau tidak.

Wan Rahim berkata pihaknya enggan membuat sebarang kenyataan lagi sehingga Husam membuat kenyataan selepas menerima surat rasmi pemecatan.

“Kita masih lagi menunggu kenyataan rasmi daripada Datuk Husam selepas beliau mendapat surat pemecatan.

“Masa pun panjang lagi dan segala kemungkinan boleh berlaku tetapi pada masa ini tidak ada ADUN PAS Kelantan menyertai Amanah,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini turut menyangkal dakwaan 10 Adun parti itu akan menyertai Amanah selepas Husa dipecat.

Mohd Amar menyifatkan ia hanya sebagai propaganda Pengerusi Amanah Kelantan, itu bagi mewujudkan suasana kelam kabut dalam PAS.

"Saya percaya tiada ahli PAS yang akan lompat parti," katanya.

Husam, yang juga Adun Salor dipecat berkuatkuasa 23 April lalu selePAS Jawatankuasa Tataterib PAS mendapati beliau melanggar perlembagaan parti.

Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Sebelum ini, Husam lantang menyerang parti dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, Husam masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

"Dari segi perlembagaan, mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, boleh merayu kepada Jawatankuasa PAS Pusat dalam tempoh sebulan. Kalau rayuan tidak diterima oleh PAS pusat, dia boleh bawa lagi rayuan ke Majlis Syura," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan,  Datuk Hassan Mahmood memberi amaran bahawa Parti Amanah tidak akan bertahan lama memandangkan ia berjuang atas dasar ‘tidak sebulu’ (selisih pendapat) antara pimpinan PAS dan bukan atas tiket perjuangan.

Katanya,  penubuhan parti itu adalah hasil daripada serpihan pimpinan Pas terdahulu yang tidak berpuas hati menyebabkan wujudnya Amanah.

“Banyak pengalaman menunjukkan jika sesebuah parti ditubuhkan kerana selisih pendapat dan bukan perjuangan, maka akan berlaku perpecahan dan kembali kepada parti asal atau sebaliknya.


“Namun ia bukan perkara pelik dan saya yakin parti Amanah tidak akan bertahan lama kerana ia wujud bukan berdasarkan perjuangan, tetapi lahir akibat perasaan tidak puas hati terhadap Pas itu sendiri,” katanya.

No comments: