Monday, July 25, 2016

Umno Kelantan Beli Tanah 2.27 Hektar Bina 50 Rumah Kekal


Badan Perhubungan UMNO Kelantan membeli tanah seluas 2.27 hektar di Mukim Manjor, Kuala Krai bernilai RM420,550 bagi membina kira-kira 50 Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir di jajahan tersebut.

Pengerusinya,  Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia bagi menyelesaikan pembinaan rumah kepada mangsa banjir yang masih belum mendapat kediaman yang dijanjikan kerajaan Persekutuan selepas rumah mereka musnah dalam kejadian banjir besar pada 2014.

"Ini merupakan fasa akhir pembinaan rumah (yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan Persekutuan). Pembinaannya akan dilaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan sebuah rumah dianggarkan bernilai RM65,000.

"Setakat ini, kerja-kerja tapak sedang giat dilaksanakan di kawasan itu manakala kerja pembinaan rumah dijangka dimulakan pada hujung Oktober," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di Kota Bharu,  Ahad malam.

Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kunci rumah kekal kepada 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai.

Susulan banjir besar itu, kerajaan pusat memikul tanggungjawab membina 1,141 rumah untuk penduduk terjejas dengan lebih 800 daripadanya telah siap.

No comments: