Showing posts with label Ku Li. Show all posts
Showing posts with label Ku Li. Show all posts

Friday, April 19, 2013

Ku Li Tak Makan Pujukan Pembangkang, Terus Dalam UMNO Bela Rakyat

"Rakyat sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat."
- Tengku Razaleigh Hamzah

Daripada www.teganukini.blogspot.com

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan terus berjuang dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan janjinya untuk membela rakyat tercapai.

Beliau menolak spekulasi yang menuduh beliau akan menyertai pembangkang khususnya Pas menjelang pilihan raya umum Ke-13, pada 5 Mei depan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai parti pembangkang khususnya Pas dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya

 "Perjuangan saya dalam parti ini bukan baru, malah sejak saya muda lagi sampai ke tua hari ini masih tetap bersama Umno," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di Gua Musang hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof.

Tengku Razaleigh yang diumumkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang berkata, niatnya berjuang dalam Umno dan BN adalah ikhlas untuk membela nasib hidup rakyat tanpa mengejar jawatan.

"Saya menerima untuk dicalonkan semula bertanding kerusi BN Parlimen Gua Musang kerana saya masih mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat serta keadaan diri saya masih sihat," katanya.

Semalam. beliau menyatakan yakin dapat mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Gua Musang berikutan rakyat masih menyokongnya serta kepercayaan yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri mahu saya terus kekal menjadi calon di Parlimen Gua Musang, dengan harapan saya menggunakan pengaruh saya bagi memastikan kemenangan BN di Kelantan," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Star di Gua Musang semalam.

Tengku Razaleigh, 76, yang juga Pengerusi BN Gua Musang berkata pada mulanya beliau merasa mahu menarik diri daripada menjadi calon kerana menganggap usianya sudah tua dan hanya beliau seorang sahaja pemimpin veteran Umno yang bertanding.

Bagaimanapun disebabkan permintaan Perdana Menteri, beliau akan terus memikul tanggungjawab dengan harapan rakyat di Gua Musang terus memberi sokongan kuat kepadanya, katanya.

"Bukan saya sahaja, tetapi juga untuk tiga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Paloh dan Galas.

"Mereka (rakyat) sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat," katanya.

Pada majlis hari ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di kawasan itu masih memberi sokongan kuat kepadanya untuk terus memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ini dan berjanji akan memberi khidmat lebih terbaik bagi kemajuan rakyat.

"Terserahlah kepada penduduk sendiri untuk membuat penilaian mengenai segala khidmat yang dicurahkan selama ini dan mungkin selepas ini akan banyak lagi perubahan akan dilakukan untuk mencapai hasrat menjadikan Gua Musang bandar maju," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh menang dengan majoriti 4,394 undi mengalahkan calon Pas Zulkefli Mohamed.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya kini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau turut menjangkakan yang positif terhadap tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gua Musang untuk membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengenai kempen pada PRU-13, beliau seperti biasa akan menggunakan pendekatan sama yang digunakannya dalam pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

"Saya akan bertemu dengan rakyat berdasarkan pemahaman dan keperluan," katanya ketika ditemui di sini, Khamis. Tengku Razaleigh berkata, beliau mempunyai jentera parti BN yang kuat dalam bersama-sama mengadakan kempen pada PRU-13.

"Orang-orang saya (jentera parti) akan turut sama menyertai mereka," katanya mengenai corak kempen beliau yang memperlihat kekuatan sepasukan bagi memenangi hati pengundi sekali gus membantu menyumbang kepada kemenangan BN.

Nyata fokus dan cara berhemah dalam berkempen oleh Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat mulai 1969 menerima sokongan kuat rakyat terhadap corak kepimpinan di Parlimen Gua Musang.

Malah ketokohan Tengku Razaleigh sebagai pencetus pembangunan Gua Musang merupakan antara faktor utama kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Friday, April 5, 2013

Ku Li Minta Rakyat Bijak Pilih Kerajaan Baru, Nik Aziz Tolak Calon Perokok


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan rakyat supaya membuat pilihan bijak bagi memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, ini kerana rakyat mempunyai kuasa penuh untuk menentukan kerajaan selepas Dewan Rakyat dan Dun dibubarkan bagi membolehkan PRU13 diadakan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengumumkan pembubaran Parlimen (Dewan Rakyat) kelmarin bagi membolehkan PRU13 diadakan dan ia memberi kuasa penuh kepada rakyat memilih kerajaan baru bagi menentukan masa depan.

"Negara kita masih mengamalkan demokrasi untuk tujuan itu, tetapi rakyat harus menilai secara bijak sebelum membuat keputusan untuk mengundi siapa pemimpin yang layak bagi mereka," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek, di Gua Musang semalam.

Hadir sama anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani dan Adun Galas, Ab Aziz Yusof. Tengku Razaleigh percaya rakyat di mana-mana kawasan seluruh negara sudah menyimpan kenyakinan mereka untuk memilih kerajaan yang benar-benar boleh membawa kemajuan untuk kesenangan masa depan.

"Apapun keadaan yang dihadapi, kita juga tidak boleh lari daripada mengekalkan perpaduan sedia ada untuk menjaga keharmonian hidup dan mengejar segala kemajuan yang diidamkan selama ini," katanya.

Beliau berkata, daripada negara mula mencapai kemerdekaan tahun 1957 sehingga sekarang, sudah banyak kemajuan dapat dinikmati seluruh rakyat termasuk kemajuan pendidikan bagi membolehkan pelajar mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaaan.

"Kini pelajar boleh dikatakan rata-rata bijak apabila mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan dan sekali gus mereka boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk mereka yang tinggal di kampung luar bandar," katanya

Sementara itu setiap calon Pas yang bertanding sama ada di peringkat Dun atau Parlimen di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) mesti bebas rokok.

Ini ditegaskan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas. "Kalau hisap rokok, tak boleh jadi calon," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, semalam.

Nik Abdul Aziz sebelum ini dilapor pernah menegur sesetengah pemimpin dan penyokong Pas di Kelantan yang merokok di khalayak ramai dan pernah melarang tabiat itu.

Mesyuarat itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU13.

Thursday, May 31, 2012

CadanganSupaya PAS Bincang Dengan Kerajaan Pusat Bina Lebuh Raya Tidak Akan Ke Mana-Mana

Nak harapkan Kerajaan Kelantan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan? Jauh panggang dari api!

Saranan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya  kerajaan Kelantan pimpinan PAS dan kerajaan persekutuan berbincang bagi pembinaan lebuh raya antara Kota Baharu ke Kuala Krai pasti tidak akan sampai ke mana-mana.

Kalau Ku Li nak bawa duit atau bincangkan isu petroleum, mungkin laju je langkah pemimpin PAS Kelantan.

Memang benar kebimbangan Ku Li bahawa tujuan perbincangan ialah untuk mengelak pertindihan dalam pelaksanaan projek itu.

Namun bagi pemimpin PAS khususnya Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa, tak usah haraplah.

Mereka bina lebuh raya berkenaan dengan niat untuk dapatkan kredit dan kebanggaan.

Mereka mengambil contoh Jambatan Sultan Yahya Petra bagaimana Kerajaan Kelantan tanpa bantuan kerajaan Pusat bina jambatan itu.

Ku Li timbulkan perkara ini kerana terdapat cadangan supaya kerajaan persekutuan membina lebuh raya yang menghubungkan Kota Baharu, Kuala Krai, Gua Musang di Kelantan hingga ke Bentong di Pahang.

Menurut Ku Li: "Semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gua Musang pada 4 Mei lepas, saya mencadangkan supaya kerajaan persekutuan membina lebuh raya itu dan mendapat respon baik daripada perdana menteri,”

Ku Li timbulkan perkara ini selepas majis perjumpaan dengan Anggota Jawatankuasa MCA bahagian Gua Musang di Gua Musang semalam.

Beliau mengulas mengenai Menteri Besar Kelantan yang merasmikan majlis pecah tanah pembinaan lebuh raya rakyat tanpa tol dari Kota Baharu ke Kuala Krai dua hari lepas.

Lebuh raya dua lorong sehala itu yang melibatkan kos kira-kira RM1.8 bilion dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dan kos bagi projek itu turut melibatkan kutipan sumbangan daripada orang ramai.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata memang jika tidak ada wang yang mencukupi amat susah untuk membina lebuh raya yang membabitkan perbelanjaan besar.

Apapun beliau akui pembinaan lebuh raya itu amat penting bagi kemudahan penduduk terutama rakyat Kelantan yang berulang alik ke Kuala Lumpur, yang kerap menghadapi kesesakan teruk lalu lintas.

Saturday, February 4, 2012

Umno Akan Minta Pandangan Ku Li Untuk Rampas Kelantan



Umno bukan parti 'kacang lupakan kulit'. Ia tetap menagih pandangan mereka yang lebih berpengalaman.

Kerana itu Umno Kelantan akan meminta pandangan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam usaha memastikan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam politik negara dan Kelantan dan sebab itu pandangan tokoh Umno itu diperlukan dalam usaha menawan kembali negeri itu daripada PAS.

"Kita akan meminta nasihat Ku Li (Tengku Razaleigh) bagaimana untuk menjalankan gerak kerja Umno dengan lebih mantap dan berkesan dalam usaha merampas Kelantan daripada tangan PAS," katanya selepas menutup Ekspo Usahawan Mara di Tok Bali di Pasir Puteh, hari ini.

Mengulas kehadiran Tengku Razaleigh pada mesyuarat badan perhubungan itu dua hari lalu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ia memberi impak dan semangat kepada anggota Umno untuk bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

Beliau berkata Umno Kelantan akan menjadikan amanat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kelantan dua hari lalu sebagai perangsang untuk terus melipatgandakan usaha menawan Kelantan.

"Saya ada berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri tentang beberapa perkara seperti sokongan golongan muda yang perlu diberi perhatian termasuk kawasan-kawasan tertentu," kata Mustapa.

Beliau berkata Umno Kelantan akan bekerja lebih keras dan tidak akan mudah berpuas hati dengan sokongan yang dikatakan begitu meningkat terhadap Umno ketika ini.

"Saya memang gembira dengan peningkatan sokongan yang begitu meningkat tetapi saranan Timbalan Perdana Menteri untuk terus bekerja kuat akan dijadikan azimat kepada anggota Umno di Kelantan," katanya.

Mengulas desakan agar Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Mustapa berkata Umno Kelantan sama sekali tidak akan mencampuri urusan parti lain.

"Terpulanglah kepada Nik Abdul Aziz membuat pendirian berdasarkan tahap kesihatannya yang pastinya akan dinilai rakyat," katanya.

Sementara itu, Mustapa berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara)yang telah banyak berjasa kepada rakyat dalam usaha membantu golongan Bumiputera berjaya dalam pelbagai bidang termasuk melahirkan usahawan baru.

Friday, November 11, 2011

Ramai Masih Kabur Tentang Angkatan Amanah Merdeka Pimpinan Ku Li

"...ahli-ahli politik di belakang Amanah, yang juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan minoriti, mungkin berhasrat menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil "kuasa ketiga" dalam BN...mereka memerlukan sebuah platform untuk mengulas isu-isu semasa oleh kerana kebanyakan pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan pada masa lalu. -Dr Sivamurugan Pandian (USM)

Oleh Alan Ting (Rencana Bernama 8 Nov 2011 )

Keputusan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menjadi presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat sivil, Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, mencetuskan teka-teki di kalangan ramai ahli politik dan penganalisis politik.

Mengapa beliau harus menyertai sebuah NGO? Apakah agenda beliau terutama ketika beliau masih dianggap seorang pemimpin veteran UMNO dan Anggota Parlimen (MP) bagi Barisan Nasional (BN) yang memerintah?

"Apakah tujuan sebuah NGO sedemikian? Apakah langkah mereka seterusnya? Tiada MP mahu membentuk sebuah NGO tanpa sebarang agenda. Beliau punya sesuatu yang tersembunyi," kata ahli politik veteran MCA Datuk Yap Pian Hon, yang juga ketua publisiti BN Selangor.

Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) percaya ahli-ahli politik di belakang Amanah, yang juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan minoriti, mungkin berhasrat menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil "kuasa ketiga" dalam BN.

Beliau berkata mungkin mereka memerlukan sebuah platform untuk mengulas isu-isu semasa oleh kerana kebanyakan pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan pada masa lalu.

Tengku Razaleigh pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan sementara timbalan presiden Amanah Datuk Seri Ong Tee Keat, pernah menjadi presiden MCA dan menteri pengangkutan sementara Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menteri pelancongan dan penerangan; dan Datuk S.Subramanian, timbalan menteri.

Ahli akademik itu berkata kita menunggu untuk melihat sama ada Amanah dapat mempengaruhi corak undian dalam pilihan raya umum akan datang.

Secara peribadi, beliau tidak fikir mereka boleh, tetapi jika mereka dapat menentukan tindakan mereka dengan betul, mereka boleh menjadi sebuah kuasa yang perlu diambil kira.

Beberapa orang peramal politik percaya Ku Li mungkin cuba meletakkan dirinya pada kedudukan yang membolehkannya membuat tawaran: dengan berada dalam Amanah beliau mendapat kedudukan terbaik bagi mendapatkan tawaran terbaik dari kedua-dua puak politik bertentangan.

Misalnya, kata mereka, ini terutama berlandaskan latar belakang kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, disabitkan kesalahan terhadap tuduhan sodomi dan dimasukkan penjara.

Dan isteri beliau yang juga presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun selepas beliau meletak jawatan sebagai MP Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil.

Beberapa orang penganalisis berpendapat Tengku Razaleigh mungkin muncul sebagai calon untuk memimpin Pembangkang jika Anwar terpinggir.

Namun Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng pula menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tetap menjadi calon pilihan tiga pihak dalam Pembangkang untuk jawatan perdana menteri sekalipun beliau diheret ke penjara.

"Tidak ada rundingan langsung (untuk Tengku Razaleigh menjadi pilihan Pembangkang untuk jawatan perdana menteri). Kami tidak tahu pendirian politik Ku Li," kata anggota CEC DAP Jeff Ooi.

"Beliau tidak boleh menaiki helikopter (pantas) (untuk ke atas). Kami (Pakatan Pembangkang PKR-DAP-PAS) telah bertungkus lumus membentuk sebuah fron alternatif. Jika beliau ingin menyertai kami, kami tidak akan terus menolaknya tetapi hakikatanya bagi kami, beliau setakat mempunyai taraf putera raja".

Ooi tidak fikir pemimpin-pemimpin Amanah boleh memberi sebarang cabaran langsung terhadap Pembangkang kerana beliau percaya kebanyakan mereka adalah dari "era sudah berlalu" dan kurang daya tarikan kini.

"Ambil Tengku Razaleigh sebagai contoh. Beliau orang luar kepada UMNO dan orang luar kepada PR (Pakatan Rakyat). Beliau hanya berada dalam kumpulannya sendiri.

Tidak membawa sebarang kerosakan kepada kami," kata beliau, dan menambah langkah putera Kelantan itu mengetuai Amanah hanya menarik sedikit perhatian.

Jadi apakah percaturan Amanah? Tengku Razaleigh masih "non-commital" dan samar-samar tentang rancangan.

Pada sidang akhbar hari ini untuk mengumumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan meluluskan penubuhan Amanah, Tengku Razaleigh berkata walaupun Amanah akan kekal sebagai sebuah NGO dalam masa terdekat, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan bergerak aktif dalam politik.

"Terpulang kepada anggota...Saya tidak kata ya atau kata tidak kerana ia bergantung pada anggota. Anda tidak boleh menolak apa jua perkara kerana kemungkinannya ada," kata beliau.

Bila ditanya mengenai peranan beliau dalam pilihan raya umum akan datang, Ku Li menimbulkan teka teki kepada setiap orang bila beliau berkata adalah amat sukar untuk menyatakan apa beliau akan lakukan seterusnya.

Saturday, October 9, 2010

KU LI TERIMA PERLANTIKAN PENGARAH P'RAYA DUN GALAS

Spin puak yang mahu melihat Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah 'bergaduh' dengan UMNO tak menjadi.

Meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.

Ku Li hari ini secara rasmi mengumumkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, persoalan sama ada dilantik sebagai calon tidak timbul kerana beliau perlu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta bermesyuarat mengenai perkara itu Isnin depan.

"Kita belum mengadakan mesyuarat pun. Kita bincang tadi, mungkin saya akan jumpa Perdana Menteri pada hari Isnin depan.

"Selepas itu, kita akan mengadakan mesyuarat, dan selepas mesyuarat, kita akan mengadakan sidang media, memaklumkan apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat itu," katanya kepada pemberita sebaik tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Pelantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lepas, kerana yakin dengan kepimpinan beliau yang amat berpengalaman, berpengaruh serta dihormati pengundi di kawasan itu.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Ku Li merupakan calon paling layak bertanding di DUN Galas berdasarkan kewibawaan beliau, khususnya di Gua Musang, selain dalam arena politik di peringkat nasional.

Mengenai dakwaan Pas bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Ku Li berkata beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.

Bagaimanapun, katanya, pandangan Umno juga perlu dihormati parti pembangkang berkenaan.

Berhubung cubaan PAS memutarbelitkan isu royalti minyak, Ku Li berkata ia adalah isu nasional dan perkara itu tidak boleh ditimbulkan kerana kerajaan Pas telah membawanya ke mahkamah.

Katanya, tindakan membincangkan perkara itu adalah "sub judice" kerana kes tersebut belum didengar oleh mahkamah.

Berhubung keyakinan Pas bahawa mereka akan terus menguasai kerusi DUN Galas itu, Ku Li berkata, "Kita tengoklah pada 4 November nanti".