Showing posts with label Bahaya. Show all posts
Showing posts with label Bahaya. Show all posts

Thursday, May 12, 2016

Sindiket Seludup PATI Semakin Agresif, Baling Objek Berbahaya - AKSEM

Air Sungai Golok cetek ketika ini.
Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini bertindak lebih agresif termasuk membaling objek berbahaya kepada kenderaan penguat kuasa bagi menggelakkan daripada ditahan.

Dalam kejadian kelmarin (10 Mei), seorang anggota sindiket dalam sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang membawa lapan PATI warga Myanmar bertindak membaling peralatan membaiki kenderaan termasuk spanar ke arah kenderaan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan yang mengejar mereka.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki empat anggota AKSEM Cawangan Bukit Bunga, Tanah Merah nyaris terbabas akibat dibaling objek berbahaya ketika mengejar kenderaan sindiket yang dilaporkan membawa PATI.

"Dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, anggota sindiket terbabit akhirnya memberhentikan kenderaan di tepi jalan berdekatan Kampung Kubang Kuar, Pasir Mas sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin.

Mohd Asri berkata pemeriksaan yang dilakukan mendapati lapan PATI warga Myanmar berada dalam kenderaan itu yang dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di tebing Sungai Golok, iaitu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Beliau berkata kesemua lima lelaki dan tiga wanita warga Myanmar yang berusia antara 23 dan 55 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Hasil maklumat yang diperoleh, kumpulan PATI itu kemungkinan dari negeri Pantai Barat Semenanjung dan mahu kembali negara mereka.

"Kemungkinan mereka sudah berpakat dengan sindiket untuk membawa mereka ke pangkalan haram di sempadan sebelum menyeberang ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata kumpulan PATI itu kemungkinan juga mengambil kesempatan menyeberangi Sungai Golok di kawasan yang paras airnya cetek berikutan fenomena El-Nino ketika ini.

"Sebelum menyeberang sempadan, mereka ini kemungkinan ditempatkan di rumah yang dijadikan transit sementara menunggu waktu yang sesuai menyeberangi sempadan," katanya.

Sementara itu, AKSEM Kelantan mahu anggotanya yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sentiasa berhubung dengan penduduk di kawasan sempadan itu bagi mendapatkan maklumat dalam misi membanteras kegiatan penyeludupan.

Komandernya, Asri Yahya berkata anggota yang ditempatkan di sempadan biasanya akan membuat rondaan menggunakan motosikal dan mereka akan berjumpa dengan penduduk untuk mendapatkan maklumat terbaharu berkaitan kegiatan di sempadan.

"AKSEM sentiasa berhubung dengan penduduk tempatan khususnya di Rantau Panjang (Pasir Mas), Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Bukit Bunga (Tanah Merah).

"Melalui kaedah ini kita dapat mengetahui di mana biasanya berlaku kegiatan penyeludupan serta kewujudan lorong-lorong tikus," katanya ketika ditemui di sini, Selasa.

Asri berkata ekoran air Sungai Golok yang kian cetek akibat fenomena El Nino, anggota AKSEM tidak ketinggalan dalam melakukan pemantauan lebih kerap bagi mengelakkan kawasan sempadan terlibat dibolosi penjenayah.

Beliau berkata terdapat beberapa kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di tebing Sungai Golok untuk bermain air dan AKSEM turut melakukan rondaan kerana bimbang ada penyeludup mengambil kesempatan.

"Buat masa ini kawasan tebing sungai itu iaitu di antara Kampung Bagus, Rantau Panjang dan Kampung Burin, Thailand kini diawasi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagaimana pun, AKSEM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan kawasan di sempadan tidak bolos," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asri berkata AKSEM Kelantan berjaya merampas sebanyak lapan tan metrik beras Siam serta sebuah lori, bernilai RM118,000 semalam.

Katanya rampasan itu dilakukan selepas sepasukan anggotanya yang menerima maklumat berjaya memintas dan menahan sebuah lori di Kampung Bechah, Pasir Mas.

"Dalam kejadian pukul 7 malam itu, pemandu dan kelindan lori berkenaan berjaya melarikan diri sambil meninggalkan lori di tepi jalan.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada 160 guni beras yang kesemuanya seberat 8,000 kilogram. Kita percaya beras itu diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan di sini," katanya.

Katanya kes diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Cawangan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Monday, January 3, 2011

Teh Timbang Berbahaya Kepada Kesihatan - Jabatan Kesihatan

Teh timbang atau teh sukat yang amat digemari oleh penduduk di negeri Kelantan sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Ahmad Nadzri Sulaiman berkata teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna sintetik (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan.

"Teh berkenaan tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di rata-rata kedai runcit di negeri ini. Ia berbahaya kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa yang lama," katanya di Jeli, kelmarin.

Katanya penjualan teh perlu mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 iaitu tidak membenarkan serbuk teh ditambah bahan pewarna.

Sesiapa yang didapati menjual, mengimport, mengguna dan menyimpan teh timbang ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod JKK dari Januari hingga Oktober 2010, sebanyak 1,858kilogram serbuk teh timbang bernilai RM22,296 dirampas dalam operasi yang dijalankan JKK.

Peniaga restoran, Meriyam Sholah, 45, berkata beliau tidak mengetahui bahaya penggunaan teh itu dan telah menggunakannya sejak sepuluh tahun lalu.

"Makcik memang suka guna teh timbang ni, pekat molek untuk buat air teh terutama teh susu, kalau guna yang uncang tu nampak pucat dan tak sedap, pelanggan pun bising," katanya.

Katanya harga teh timbang juga lebih murah berbanding teh uncang dan perkara itu penting bagi perniagaannya.

Puad Zainudin, 50, pula berkata beliau pernah mendengar mengenai bahaya penggunaan teh timbang bagaimanapun tetap menggunakannya.

"Saya beli yang harga RM12 sekilo, yang murah RM7 sekilo...yang murah aroma teh tak kuat," katanya.

Thursday, August 5, 2010

Ubat Kuat Lelaki Memudaratkan - Liow

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat kuat lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.

Beliau berkata rata-rata ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang merupakan bahan aktif perangsang seks lelaki.

Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan "erectile dysfunction" yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di sini, hari ini, beliau berkata kesan sampingan ubat itu adalah sangat merbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.

"Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan," katanya.

Antara kemudaratan ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Beliau berkata produk-produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki itu juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan 'ice lemon tea'.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menghentikan semua perkara mengarut dan penyalahgunaan (ubat) ini di negara ini. Saya memandang serius perkara ini. Jangan suka membeli produk-produk sedemikian.

"Kementerian Kesihatan akan perangi habis-habisan ubat-ubatan, makanan dan minuman kesihatan dan kosmetik yang tidak berdaftar," katanya.