Showing posts with label Bantu. Show all posts
Showing posts with label Bantu. Show all posts

Monday, June 20, 2016

Kerajaan Persekutuan Sanggup Ubah Dasar Demi Bantu Rakyat Kelantan - Najib



Kerajaan Persekutuan sanggup mengubah dasarnya demi membantu rakyat Kelantan yang mengalami penderitaan dalam kejadian banjir 2014 lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang, kerajaan persekutuan sanggup membina rumah kekal berharga RM65,000 sebuah untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam bencana alam tersebut.

Berucap pada pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong di Kuala Krai semalam,  Najib berkata oleh kerana tanah menjadi masalah untuk pembinaan rumah tersebut, kerajaan persekutuan sanggup membeli tanah milik individu dan swasta.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi BN Kelantan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

melihatPerdana Menteri berkata kerajaan memberi komitmen tinggi untuk membina baki rumah yang belum dibina supaya ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Kelewatan dalam menyiapkan rumah kekal kepada mangsa banjir adalah berpunca daripada masalah pemilikan tanah untuk dijadikan tapak rumah tersebut sehingga kerajaan terpaksa membeli tanah individu dan swasta," katanya.

Najib berkata, tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan BN menganaktirikan Kelantan adalah tidak benar berdasarkan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada negeri itu.

Pada majlis itu, seramai 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai menerima rumah kekal masing-masing.

Seorang penerima, Mazuin Mohd Zin, 31, berkata keluarganya telah lama menunggu untuk mendiami rumah baharu selepas kejadian banjir 2014 dan hari ini berasa gembira hasrat itu tercapai.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang tampil menyerahkan kunci rumah kepada kami pada hari ini," katanya yang akan mendiami rumah itu bersama suami dan empat orang anak.

Rokiah Yaakob, 63, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pelbagai pihak yang membantu keluarganya yang ditimpa kesusahan akibat bencana alam tersebut.

"Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal dalam khemah dan kemudian dalam rumah kontena tetapi sekarang saya gembira kerana sudah memiliki rumah kekal," katanya.

Najib melawat tapak hospital baharu Kuala Krai.
Perdana Menteri turut melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu bernilai keseluruhan RM286 juta di Mukim Kuala Pahi, semalam

Beliau  juga mendengar taklimat berkaitan projek itu yang disampaikan oleh Wakil Pengarah Projek Utama Jabatan Kerja Raya (JKR), Alias Adam.

Yang turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Selain itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher dan Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mohd Jusoh. 

Projek itu yang sudah siap 55 peratus dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mei 2017

Hospital baharu berkeluasan 100 hektar itu terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi dan hanya lima kilometer dari hospital sedia ada.

Pembinaan hospital itu adalah satu projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan belanjawan 2012.

Fasa 1 bagi penyediaan tapak yang bermula pada 15 julai 2012 - 1 Mac 2014 membabitkan kos RM10 juta.

Hospital Kuala Krai itu yang mula dibina pada 20 Mei 2014 akan berkonsepkan hospital dalam taman.

Ia bakal dilengkapi dengan peralatan perubatan, perkhidmatan sokongan klinikal yang terkini, selain bangunan pentadbiran, tempat letak kereta dan kemudahan untuk kakitangan, orang kelainan upaya serta pelawat.

Bergambar selepas melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu.

Sunday, December 26, 2010

KADA TERUS BANTU PETANI MISKIN MENERUSI PELBAGAI PROJEK

Petani miskin di kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus mendapat pembelaan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program ekonomi dan keusahawanan menerusi pelaksanaan agenda membasmi kemiskinan tegar.

Anggota Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Ilias Hussin berkata, bermula September lepas peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan bagi membangunkan projek ekonomi berasaskan industri kecil dan sederhana di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Ketereh dan Bachok.

Menurutnya, matlamat utama ialah melahirkan 100 usahawan pertanian yang berdaya maju dan mampu berdikari bagi setiap kawasan yang dipilih dengan melaksanakan tiga tanaman iaitu cendawan, cili fertigasi dan itik telur.

"Usaha yang dijalankan ini membolehkan mereka (petani) memperoleh hasil pendapatan di antara RM750 sehingga RM1,000 sebulan untuk melepasi garis pendapatan miskin tegar," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah di Sekolah Kebangsaan Keting kelmarin.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM273,000 untuk membekalkan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,826 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan ini.

Kelmarin, 670 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, SMK Seri Gunung, SMK Jelawat, SMK Kubang Telaga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Kuchelong, SK Kubang Telaga, SK Bakong, SK Alor Bakat, SK Telaga Ara dan SK Keting menerima bantuan berkenaan.

Ilias yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, sebelum ini kebanyakan petani KADA yang dipilih menyertai program berkenaan hanya berpendapatan di antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Katanya, projek menanam cendawan di daerah itu diberi fokus utama kerana hasil tanaman itu dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh Koperasi Bela Rakyat DUN Jelawat untuk dipasarkan ke beberapa pasar raya besar di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, koperasi itu memerlukan sebanyak lapan tan metrik cendawan sehari bernilai RM8,000 yang turut dilanggan secara tetap oleh 100 pemborong bagi pasaran dalam negeri.

Selain itu jelasnya, seramai 24 petani KADA di daerah ini turut terpilih sebagai peserta Program Satu Azam Akhiri Zaman Kemiskinan yang mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 setiap orang untuk melaksanakan projek pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian dan perniagaan yang berkaitan dengan industri asas tani.

Sunday, October 3, 2010

MCA SIAP SEDIA BANTU BN DI GALAS

MCA telah bersiap sedia untuk membantu Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan, kata naib presiden parti itu Datuk Wira Chor Chee Heung.

Katanya MCA akan menumpukan kempennya di kawasan majoriti kaum Cina terutama di kampung baru.

"Saya difahamkan MCA negeri Kelantan telah mula menggerakkan jentera pilihan rayanya. Saya sendiri akan turun ke DUN Galas untuk berkempen. Terdapat tiga buah kampung baru Cina di DUN Galas.

"Kami akan membantu calon BN, kami akan memberitahu pengundi Cina mengapa mereka perlu mengundi BN. Masyarakat Cina terutamanya di peringkat akar umbi perlu diberitahu mengapa mereka perlu menolak Pas," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pemulihan projek perumahan Taman Anggerik, Teluk Kemang Port Dickson semalam.

Chor yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata MCA akan berusaha memastikan calon BN dapat merampas kembali kerusi DUN Galas daripada Pas.

Katanya terdapat 22 peratus pengundi Cina di DUN Galas dan ini merupakan peratusan yang besar.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas kerana barah usus di Kuala Lumpur pada Isnin lepas.