Showing posts with label Kuala Krai. Show all posts
Showing posts with label Kuala Krai. Show all posts

Monday, June 20, 2016

Kerajaan Persekutuan Sanggup Ubah Dasar Demi Bantu Rakyat Kelantan - Najib



Kerajaan Persekutuan sanggup mengubah dasarnya demi membantu rakyat Kelantan yang mengalami penderitaan dalam kejadian banjir 2014 lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang, kerajaan persekutuan sanggup membina rumah kekal berharga RM65,000 sebuah untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam bencana alam tersebut.

Berucap pada pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong di Kuala Krai semalam,  Najib berkata oleh kerana tanah menjadi masalah untuk pembinaan rumah tersebut, kerajaan persekutuan sanggup membeli tanah milik individu dan swasta.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi BN Kelantan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

melihatPerdana Menteri berkata kerajaan memberi komitmen tinggi untuk membina baki rumah yang belum dibina supaya ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Kelewatan dalam menyiapkan rumah kekal kepada mangsa banjir adalah berpunca daripada masalah pemilikan tanah untuk dijadikan tapak rumah tersebut sehingga kerajaan terpaksa membeli tanah individu dan swasta," katanya.

Najib berkata, tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan BN menganaktirikan Kelantan adalah tidak benar berdasarkan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada negeri itu.

Pada majlis itu, seramai 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai menerima rumah kekal masing-masing.

Seorang penerima, Mazuin Mohd Zin, 31, berkata keluarganya telah lama menunggu untuk mendiami rumah baharu selepas kejadian banjir 2014 dan hari ini berasa gembira hasrat itu tercapai.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang tampil menyerahkan kunci rumah kepada kami pada hari ini," katanya yang akan mendiami rumah itu bersama suami dan empat orang anak.

Rokiah Yaakob, 63, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pelbagai pihak yang membantu keluarganya yang ditimpa kesusahan akibat bencana alam tersebut.

"Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal dalam khemah dan kemudian dalam rumah kontena tetapi sekarang saya gembira kerana sudah memiliki rumah kekal," katanya.

Najib melawat tapak hospital baharu Kuala Krai.
Perdana Menteri turut melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu bernilai keseluruhan RM286 juta di Mukim Kuala Pahi, semalam

Beliau  juga mendengar taklimat berkaitan projek itu yang disampaikan oleh Wakil Pengarah Projek Utama Jabatan Kerja Raya (JKR), Alias Adam.

Yang turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Selain itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher dan Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mohd Jusoh. 

Projek itu yang sudah siap 55 peratus dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mei 2017

Hospital baharu berkeluasan 100 hektar itu terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi dan hanya lima kilometer dari hospital sedia ada.

Pembinaan hospital itu adalah satu projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan belanjawan 2012.

Fasa 1 bagi penyediaan tapak yang bermula pada 15 julai 2012 - 1 Mac 2014 membabitkan kos RM10 juta.

Hospital Kuala Krai itu yang mula dibina pada 20 Mei 2014 akan berkonsepkan hospital dalam taman.

Ia bakal dilengkapi dengan peralatan perubatan, perkhidmatan sokongan klinikal yang terkini, selain bangunan pentadbiran, tempat letak kereta dan kemudahan untuk kakitangan, orang kelainan upaya serta pelawat.

Bergambar selepas melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu.

Saturday, October 9, 2010

KAMPUNG MAMBONG DI KUALA KRAI TAPAK PRODUK TANAH LIAT

Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan akan mengkaji kemungkinan menjadikan Kampung Mambong di Kuala Krai sebagai tapak kekal warisan kraftangan berasaskan tanah liat.

Pengarahnya Khamis Yasim berkata ini kerana sumber tanah liat di kawasan itu mengandungi bahan logam istimewa seperti partikel halus yang bersinar-sinar keemasan.

"Kawasan itu dikenali sebagai lokasi pengeluaran kraftangan yang diusahakan secara turun temurun sejak beratus tahun lepas," katanya di Kota Bharu, semalam.

Pada masa ini, 200 orang penduduk di situ mengusahakan industri itu secara tradisi.

Khamis berkata kraf seramik mempunyai ruang untuk terus dipromosi secara lebih meluas di seluruh negara.

Katanya ia akan mencerahkan peluang masa depan perusahaan kraf seramik Mambong terutama dalam kalangan anak muda yang ramai berhijrah ke luar daerah dan negeri untuk mencari pekerjaan.

Kementerian Pelancongan melalui agensinya serta Pejabat Daerah Kuala Krai dan beberapa agensi lain pernah mengadakan program jualan hasil kraf kampung berkenaan.

Sunday, October 3, 2010

MAGISTRET MUDA DIJATUHI HUKUMAN PENJARA 6 TAHUN, DENDA RM40,000

Majistret yang dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah. Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang. - Foto Berita Harian

Seorang Majistret dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah.

Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperoleh rasuah berupa wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu. Wang suapan itu dikatakan diperoleh sebagai dorongan baginya melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan jenayah yang dilakukan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, pada 6 Oktober tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, dan Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Shukri Mohammed.

Bagi tuduhan pertama Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000, dan jika tidak dibayar denda, beliau boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua beliau dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM25,000, dan jika denda tidak dibayar beliau boleh dihukum penjara 18 bulan.

Hakim Sabariah Othman mengarahkan agar perintah penjara ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan.

Hukuman denda pula ditangguh tiga bulan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tuesday, July 20, 2010

HARGAILAH SUMBANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN - RAMZI

Rakyat Kelantan harus berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana terus menerus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan projek pembangunan untuk kebaikan mereka walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, peranan membangun dan memajukan Kelantan sepanjang negeri itu berada di bawah pemerintahan parti pembangkang dilaksanakan dengan baik oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Rakyat Kelantan kena berterima kasih kerana walaupun diperintah orang lain (pembangkang), Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang diterajui UMNO tidak putus-putus menghulurkan bantuan.

“Kalau tak ada agensi kerajaan BN (Barisan Nasional) seperti JPP, saya tak tahu apa akan jadi pada negeri ini kerana sekarang pun kita (Kelantan) sudah jauh ketinggalan terutama dari segi pembangunan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada penduduk Mukim Bedal, kelmarin.

Pada majlis itu, lebih 40 orang terdiri dalam kalangan warga emas, orang kurang upaya (OKU), guru al-Quran, bekas pemimpin masyarakat dan veteran UMNO dari beberapa kampung dalam Mukim Bedal menerima sumbangan berkenaan.

Ramzi berkata, usaha membangun dan memajukan Kelantan bagaimana pun akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik jika BN mempunyai kuasa politik atau dengan kata lain, memerintah negeri ini.

Menurutnya, jika BN diberi peluang memerintah, beliau yakin dan percaya Kelantan mampu menjadi sebuah negeri maju dan setanding dengan negeri-negeri lain terutama dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Pusat.

Justeru katanya, dia berharap rakyat Kelantan dapat memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mereka ingin melihat perubahan besar yang bakal dinikmati negeri ini.

“Untuk kebaikan bersama, saya merayu tolonglah beri peluang dan kepercayaan, walaupun satu kali kepada BN pada pilihan raya umum nanti dan kita pakat-pakat tengok sejauh mana BN boleh lakukan untuk rakyat Kelantan.

“Ini bukan ‘cakap kosong’ kerana kita (BN) sudah ada sejarah dari 1978 hingga 1990 dan juga ‘trek-rekod’ dalam membangunkan Kelantan, walaupun pada waktu ketika kita tidak ada wakil rakyat,” kata Ramzi.