Showing posts with label Bantuan. Show all posts
Showing posts with label Bantuan. Show all posts

Sunday, January 9, 2011

RM1,500 Bagi Setiap Keluarga Mangsa Banjir Di Kelantan

Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang masih digenangi air selepas pusat perniagaan itu mula banjir sejak minggu lepas.

Kerajaan Pas Kelantan akan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir sebanyak RM1,500 bagi setiap keluarga dari Tabung Serambi Makkah.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yaakub, berkata mangsa banjir akan diberi RM700 buat permulaan manakala bakinya sebanyak RM800
akan diberikan kemudian.

Beliau semalam menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di mana seramai
50 keluarga yang mendiami kawasan setinggan di Jalan Sungai Chinda di sini
kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran awal pagi kelmarin.

Mereka kini ditempatkan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang.

"Tabung Serambi Makkah mendapat sambutan penderma sepanjang masa," katanya.

Wednesday, December 29, 2010

Sultan Kelantan Sampai Bantuan Kepada 137 Penduduk Miskin Di Gua Musang

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Tuanku Faris Petra (kiri), berkenan menyampaikan replika kunci rumah kepada penduduk miskin pada majlis Pengurniaan Zakat dan Bantuan Tanah Jajahan Gua Musang, di Masjid Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Sungai Asap B, di Gua Musang, hari ini.

Seramai 137 penduduk miskin termasuk 29 daripada kalangan Orang Asli di Gua Musang menerima bantuan zakat dan rumah yang disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini.

Daripada jumlah itu, 129 menerima bantuan zakat manakala bakinya menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam Kelantan dalam satu majlis di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B.

Selepas penyampaian itu, Sultan Muhammad V turut berkenan melawat seorang peneroka, Sudin Che Ya, 59, yang menghidap asma kronik di RKT itu.

Sudin ketika ditemui Bernama selepas itu meluahkan rasa terharu dengan kunjungan Sultan Kelantan tersebut.

Kunjungan baginda adalah bukti Sultan Muhammad V amat prihatin terhadap rakyat pedalaman, katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan rumah, Asiah Ahmad, 57, berkata dengan adanya rumah baru itu dia sekeluarga tidak perlu lagi tinggal dalam keadaan daif.

Friday, August 27, 2010

MANFAATKAN SUMBANGAN HARI RAYA SECARA BERHEMAH

Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memperuntukkan RM30,000 bagi sumbangan duit raya kepada anak yatim negeri ini melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Sumbangan tersebut disampaikan kepada 300 anak yatim negeri ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, petang semalam.

Ia diadakan di khemah Qariyah Ramadan bersama dengan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Ahmad Mahmood serta pegawai dan kakitangan kerajaan.

Berucap pada majlis tersebut Takiyuddin berkata, meskipun hanya satu sumbangan kecil namun ia cukup bermakna sebagai tanda pemberian ikhlas kepada mereka yang memerlukan.

''Sebenarnya kita masih tergolong sebagai rakyat yang bertuah kerana dapat meneruskan kehidupan dalam sebuah negara yang aman jika dibanding dengan kesusahan rakyat di beberapa buah negara di luar sana.

"Walaupun kita tidak kaya, tidak mewah, tetapi rezeki Allah tiada siapa yang tahu. Yang pasti kita mampu membuat sesuatu untuk membantu golongan yang memerlukan agar mereka juga dapat merasai nikmat seperti orang lain meskipun dalam jumlah yang sedikit," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar sumbangan tersebut diguna secara berhemah bagi mengelakkan daripada sifat pembaziran yang membawa kerugian kepada diri sendiri.

Beliau berkata, sebarang bentuk sumbangan merupakan rezeki diturunkan Allah kepada hambanya dan seharusnya dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang berfaedah.

"Lebih-lebih di bulan yang penuh dengan keberkatan ini dan sambutan hari raya yang bakal disambut dua minggu lagi. Sebaiknya gunakan sumbangan tersebut mengikut keperluan sewajarnya

"Jangan hanya seronok untuk membeli mercun, kerana kita mesti ingat kelekaan bermain mercun boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri," katanya.

Takiyuddin juga mengingatkan para ibu bapa supaya mengambil pengajaran dari beberapa tragedi ngeri akibat permainan mercun untuk bertindak lebih tegas berhubung keselamatan anak-anak.

"Kata orang, mencegah itu adalah lebih baik dari merawat, maka kita mesti berwaspada. Tiada gunanya kita menyesal di kemudian hari.

"Kanak-kanak ini kadang-kadang bukan tahu sangat kemungkinan musibah dari permainannya. Kalau boleh kita tidak mahu melihat kemeriahan hari raya disambut dalam suasana hiba," ujarnya.