Showing posts with label Bebas. Show all posts
Showing posts with label Bebas. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

Bekas Pengarah Perikanan Beas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengarah Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar, 58, menerima ‘hadiah hari jadi’ paling bermakna dalam hidupnya apabila kekal bebas tuduhan berhubung rasuah dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah pihak pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tuduhan rayuan berkaitan.

Abdullah ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa bersyukur bebas daripada tuduhan rasuah berkaitan dan menganggapnya sebagai hadiah hari jadinya yang jatuh pada 31 Disember hadapan juga merupakan tarikh persaraannya.

“Keputusan ini amat bermakna kerana terbukti saya tidak melakukan kesalahan terbabit sekali gus membersihkan semula nama yang dikaitkan dengan kes tersebut sejak dua tahun lalu dan kini saya betuk-betul bebas,” katanya.

Hakim Azman Abdullah membebaskan Abdullah berdasarkan notis menarik balik rayuan yang dikemukakan oleh SPRM pada 21 Jun lalu iaitu pada tarikh dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan yang sama.

Peguam belanya, Datuk Shukri Mohamed berkata, tuduhan rayuan tersebut sepatutnya didengar pada kelmarin, namun pihaknya ada menerima “Notis Menarik Balik Rayuan’’ bertarikh 13 Disember 2010 yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

“Sebelum kes rayuan tersebut didengar hari ini (semalam), SPRM telah menghantar notis menarik balik rayuan berkaitan dan hari ini (semalam) ia didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Abdullah telah bebas daripada pertuduhan rayuan tersebut dan dianggap semuanya telah selesai,’’ katanya.

Berdasarkan kepada pertuduhan sebelum ini, Abdullah yang kini ditukarkan ke Putrajaya dituduh bersama Muhammad Fadzil Md. Sulong, 53, di Jabatan Perikanan negeri pada Ogos 2006, mengemukakan satu Pesanan Kerajaan sebanyak RM13,000.15 kepada pegawai tadbir jabatan itu, Marini Mohamed.

Tuntutan palsu itu didakwa bertujuan memperakui pakej bagi kerja mencuci dan memasukkan air ke dalam kanvas serta makan minum satu gotong-royong di Pejabat Perikanan Machang oleh sebuah syarikat yang telah selesai dilakukan.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Monday, August 16, 2010

BEKAS PEGAWAI KEWANGAN KELANTAN BEBAS TUDUHAN

Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam membebas dan melepaskan bekas Pegawai Kewangan Kelantan Shkori Mohamed atas tuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu membabitkan projek Istana bernilai RM267,960.

Hakim Zainal L. Salleh ketika membacakan penghakimannya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi dan pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Shkori, 57.

"Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, saya mendapati tiada keterangan jelas yang membuktikan sabitan bersubahat dan dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.

Selepas keputusan itu, Shkori dilihat mengalirkan air mata sambil dipeluk keluarganya yang memenuhi galeri awam itu.

Mengikut pertuduhan, Shkori didakwa menerima invois palsu 'Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol' bertarikh 3 Dis 2008 daripada seorang kontraktor Yusri Che Noh, 37.

Projek dengan keluasan 7,656 kaki persegi itu bernilai RM267,960.

Shkori didakwa bersubahat kerana ketika dokumen tuntutan itu diserahkan kepadanya di Pejabat Perbendaharaan Negeri di sini pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.

Atas pertuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Shkori diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal, Zainal Abidin Mustaffa dan T. Kumar manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahsan Abdul Latiff.

Friday, July 9, 2010

KETUA UMNO KUBANG KERIAN BEBAS TUDUHAN PENGUBAHAN WANG HARAM

KETUA UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail, 47, yang dibebaskan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram empat tahun lalu, menunjukkan rasa gembira dengan mendakap ibunya selepas mendengar keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.

Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian Datuk Mohd Fauzi Ismail boleh bernafas lega.
Ini kerana Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, semalam melepas dan membebaskan daripada tuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM138,210 pada tahun 2005.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin memutuskan demikian setelah menolak rayuan pihak pendakwaan setelah meneliti penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Mohd Fauzi didakwa menerima RM91,650 hasil aktiviti haram daripada Mohd Syahbuddin Hashim, 26, di hadapan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di sini antara 12.30 tengah hari dan 7 malam 6 Januari 2005.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima RM46,560 hasil aktiviti haram daripada Wan Ibrahim Wan Setapa, 43, di Pejabat Umno Bahagian Kubang Kerian dekat sini antara 1 tengah hari dan 2 petang 10 Jan 2005.

Pada 22 Jan 2008, Mahkamah Sesyen di sini mendapati Mohd Fauzi tidak perlu membela diri berikutan kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi dua pertuduhan itu.

Namun, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dan kes itu didengar semula sehingga Hakim Mohd Azman pada Khamis memutuskan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan.

Mohd Fauzi diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Mohd Fauzi ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu.