Showing posts with label Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Abdullah. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

Jangan Sokong Kepimpinan PAS

Sebanyak 20 buah pusat pengajian pondok tradisional di Kelantan diminta supaya tidak menyokong kepimpinan Pas bagi menyelamatkan perpaduan Islam dan kepentingan Melayu di negara ini.

Pengasas Pondok Geting di Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, pendirian Pas yang reda menyerahkan teraju kepimpinan negara yang selama ini dipegang oleh orang Islam kepada bukan Islam iaitu DAP jika pembangkang berkuasa cukup mencabar kedaulatan Islam dan kewibawaan Melayu.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini termasuk pengasas pengajian pondok di Kelantan perlu bangkit menentang perkara itu sebelum terlambat.

"Kejatuhan kerajaan Melayu Singapura dan kini di Pulau Pinang cukup memberi iktibar untuk kita tidak melakukan kesilapan. Tidak mustahil Pas sendiri akan berputih mata sekiranya mereka membenarkan pucuk pimpinan negara dipegang oleh orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Muzakarah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Aman, dekat Ahad lalu (26 Disember 2010).

Seramai 500 peserta terdiri daripada guru agama dan guru kelas fardu ain serta anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program itu.

Abdullah adalah salah seorang ahli panel pada muzakarah itu.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini kenyataan dan tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada DAP jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti memang tidak boleh dimaafkan.

Beliau berkata, Pas perlu bertanggungjawab terhadap isu yang pernah dibangkitkan dan dianggap fatwa oleh mereka termasuk mengkafirkan orang UMNO yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga memberi ruang kepada orang bukan Islam mengambil alih dan meraih sokongan untuk menerajui pemerintahan negara ini.

"Semua ini bukan berlandaskan perjuangan Islam yang hakiki tetapi lebih kepada kepentingan diri untuk terus berada dalam arena politik walaupun hak umat Islam akan tergugat.

"Guru-guru pondok pernah menyerahkan satu resolusi kepada Nik Abdul Aziz supaya berhenti mengeluarkan kenyataan termasuk mengkafirkan orang UMNO tetapi sehingga sekarang dia tidak pernah melayan teguran kami," katanya.

Utusan Malaysia

Bekas Pengarah Perikanan Beas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengarah Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar, 58, menerima ‘hadiah hari jadi’ paling bermakna dalam hidupnya apabila kekal bebas tuduhan berhubung rasuah dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah pihak pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tuduhan rayuan berkaitan.

Abdullah ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa bersyukur bebas daripada tuduhan rasuah berkaitan dan menganggapnya sebagai hadiah hari jadinya yang jatuh pada 31 Disember hadapan juga merupakan tarikh persaraannya.

“Keputusan ini amat bermakna kerana terbukti saya tidak melakukan kesalahan terbabit sekali gus membersihkan semula nama yang dikaitkan dengan kes tersebut sejak dua tahun lalu dan kini saya betuk-betul bebas,” katanya.

Hakim Azman Abdullah membebaskan Abdullah berdasarkan notis menarik balik rayuan yang dikemukakan oleh SPRM pada 21 Jun lalu iaitu pada tarikh dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan yang sama.

Peguam belanya, Datuk Shukri Mohamed berkata, tuduhan rayuan tersebut sepatutnya didengar pada kelmarin, namun pihaknya ada menerima “Notis Menarik Balik Rayuan’’ bertarikh 13 Disember 2010 yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

“Sebelum kes rayuan tersebut didengar hari ini (semalam), SPRM telah menghantar notis menarik balik rayuan berkaitan dan hari ini (semalam) ia didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Abdullah telah bebas daripada pertuduhan rayuan tersebut dan dianggap semuanya telah selesai,’’ katanya.

Berdasarkan kepada pertuduhan sebelum ini, Abdullah yang kini ditukarkan ke Putrajaya dituduh bersama Muhammad Fadzil Md. Sulong, 53, di Jabatan Perikanan negeri pada Ogos 2006, mengemukakan satu Pesanan Kerajaan sebanyak RM13,000.15 kepada pegawai tadbir jabatan itu, Marini Mohamed.

Tuntutan palsu itu didakwa bertujuan memperakui pakej bagi kerja mencuci dan memasukkan air ke dalam kanvas serta makan minum satu gotong-royong di Pejabat Perikanan Machang oleh sebuah syarikat yang telah selesai dilakukan.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.