Showing posts with label Bukan Mata Wang. Show all posts
Showing posts with label Bukan Mata Wang. Show all posts

Sunday, September 5, 2010

DINAR - KALAU SEKADAR 'SUKARELA', APA SANGAT ISTIMEWANYA?

Sebelum ini 'geger' satu Malaysia.

Dinar dan dirham kononnya nak dijadikan mata wang alternatif. Boleh digunakan untuk perdagangan dan bayar gaji.

Tetapi semalam Kelantan Golden Trade Sdn Bhd, agensi kerajaan negeri Kelantan yang bertanggung jawab terhadap penjualan dinar emas dan dirham perak, menegaskan bahawa syiling berkenaan bukan satu wang sah.

Kalau sudah demikian halnya, kenapa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco kanannya, Datuk Husam Musa begitu beria-ia mengatakan ia sebagai pengganti (alternatif) kepada mata wang sedia ada?

Dalam soal seperti ini pun mahu dijadikan isu politik? Jika awal-awal mengatakan ia hanya sebagai sesuatu yang 'sukarela', keadaan menjadi lebih mudah.

Atau Nik Aziz sendiri tidak tahu dinar dan dirham ini boleh dijadikan mata wang pilihan? Atau Nik Aziz dibekalkan maklumat salah?

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Golden Trade, Umar Ibrahim Vadillo berkata penggunaan dinar dan dirham Kelantan semata-mata berdasarkan sukarela.

"Tiada siapapun dipaksa menggunakan atau membeli syiling itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak media. Orang ramai membeli syiling itu secara sukarela dan kedai-kedai yang menyertai jaringan itu juga dilakukannya secara sukarela," katanya pada satu taklimat media mengenai perkembangan terbaharu dinar emas dan dirham perak di sini.

Katanya Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Kelantan Golden Trade dan agensi kerajaan yang lain juga bersetuju membenarkan warga kerja masing-masing yang mahu sebahagian gaji mereka dibayar menggunakan dinar dan dirham, diberikan syiling berkenaan atas permintaan mereka sendiri dan berasaskan sukarela.

Katanya beliau kecewa dengan sesetengah media, mengenai cara ia dilaporkan.

Media lagi yang silap?

Bagi saya yang silap ialah apabila pemimpin PAS merasakan perkara ini sebagai pencapaian yang terlalu besar untuk Kelantan selain menguji Kerajaan Pusat sama ada ia boleh digantikan ringgit.

Nawaitu sudah tidak betul. Jangan salahkan media dalam soal ini. Media tidaklah sebodoh atau bebal mengenai dinar dan dirham.

"Isu wang sah jelas tiada kena mengena dengan kami," katanya semasa ditanya sama ada beliau kecewa dengan laporan media yang menyatakan bahawa negeri itu cuba menggunakan syiling itu sebagai wang sah.

Umar berkata syarikat itu memahami sepenuhnya bahawa hanya Bank Negara Malaysia berhak di bawah undang-undang untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia dan ringgit adalah satu-satunya mata wang yang merupakan wang sah bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Umar menjelaskan bahawa pengenalan dinar emas dan dirham perak di Kelantan bukan idea baharu atau satu eksperimen tetapi ia adalah pertama kali dalam sejarah bahawa rakyat diberi pilihan untuk menggunakan syiling bagi pembayaran zakat dan perkhidmatan.

Kerajaan negeri Kelantan telah memperkenalkan dinar emas dan dirham perak bernilai RM2.0 juta bagi rakyat di negeri itu pada 12 Ogos tahun ini.

Sehingga ini, dinar emas bernilai kira-kira RM1.5 juta telah terjual. Nilai dinar emas dan dirham itu adalah berasaskan harga pasaran.

Sehingga semalam. harga satu dinar ialah kira-kira RM592 dan RM13 bagi dirham.

Umar berkata kerajaan negeri merancang menggandakan operasi modal syarikat itu daripada RM2.0 juta kepada RM4.0 juta bagi membolehkan pengeluaran lebih besar syiling itu.

Kelantan Golden Trade turut merancang menambah pengeluaran syiling itu pada kemudahan menempa kedua di Pulau Pinang bersama-sama dengan Public Gold Sdn Bhd.

Pengeluaran pertama dilakukan oleh Emirates Gold di Dubai.

WABAK DEMAM DENGGI MAKIN SERIUS DI KELANTAN

Wabak demam denggi di Kelantan semakin serius dengan peningkatan 136 peratus, dengan purata tujuh kes dilaporkan setiap hari, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata, sehingga akhir minggu ini, sebanyak 852 kes dikesan dengan sembilan kematian, dan antara jajahan paling serius ialah Kota Baharu (677 kes), Pasir Mas (604) serta Tanah Merah (168).

"Peningkatan ini membimbangkan dan langkah-langkah segera diambil bagi mengatasi masalah itu daripada berterusan,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr,i Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melawat mangsa demam denggi di Hospital Pasir Mas, Lati semalam.

Dr. Wan Mansor berkata antara langkah pencegahan dan kawalan yang dilakukan ialah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kawasan air bertakung, memutuskan kitaran hidup nyamuk dengan semburan kabus, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan kebersihan.

"Pihak kami juga sudah membentangkan wabak kes demam denggi ini kepada Jawatankuasa Bencara dan Wabak Negeri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias pada 18 Ogos lepas.

"Selain itu, kita juga mengatur program pendidikan dengan mengadakan 776 ceramah, 231pameran, 147 gotong royong di samping mengenakan 1,188 kompaun terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkaitan kes (pembiakan nyamuk aedes) itu,” katanya

Thursday, August 19, 2010

AKHIRNYA DINAR, DIRHAM DIJADIKAN HIASAN DIRI

Hari pertama dinar emas dan dirham dibuka untuk jualan menyaksikan rakyat Kelantan memenuhi Pusat Pajak Gadai Islam Ar-Rahn di Kota Bharu bagi mendapatkan mata wang yang diperkenalkan kerajaan negeri ini.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pembeli berhasrat menjadikan dinar dan dirham itu sebagai hiasan diri seperti loket dan juga untuk disimpan sebagai koleksi peribadi.

Seorang pembeli, Zainun Che Aziz, 60, berkata pengeluaran dinar itu adalah trend terbaru emas di pasaran yang perlu dibeli dan harus dimiliki.

"Emas ni ikut musim, macam-macam bentuk dan saiz emas keluar di pasaran dan bila keluar emas dinar ni saya rasa mesti beli kerana ia unik dan saya mahu membuat loket untuk diberi kepada cucu saya. Kalau tidak beli rugilah mana tahu tiba-tiba ia tidak dijual lagi," katanya di Kota Bharu.

Sementara itu, Pengurus Operasi Ar-Rahn Kota Baharu 2, Siti Azian Ibrahim berkata sebanyak 344 keping dirham serta 50 keping dinar dibuka untuk jualan semalam.

"Melihat situasi sebelum ini pada mulanya kita tidak menjangkakan jualan dinar akan mendapat sambutan kerana ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaannya dalam urusan seharian.

"Tetapi pembukaan jualan mata wang berkenaan di Ar-Rahn hari ini melihat sesuatu yang berbeza apabila rakyat tetap berminat membelinya dan kebanyakan pelanggan berkata mereka mahu menjadikan dinar itu sebagai perhiasan diri seperti loket dan gelang," katanya.

Siti Azian berkata bagi dinar, terdapat lima saiz yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa dan hari ini harga bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736).

"Manakala bagi nilai dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260)," katanya.

Beliau berkata bagi dinar, ianya dibuat menggunakan emas bernilai tinggi iaitu emas 916 yang diguna untuk membuat barang kemas.

"Memang diakui di Kelantan trend membeli emas sentiasa wujud sejak dulu sehingga kini kerana tarikan nilainya yang sentiasa bernilai dan tidak akan turun secara mendadak sehingga merugikan," katanya.

Siti Azian berkata mereka yang berminat untuk membeli dinar itu dan ingin mengetahui harga dari semasa ke semasa boleh layari laman web http://islamicmint.com.my/ atau mengunjungi pusat Ar-Rahn berhampiran, yang dipertanggungjawab menjadi wakil sah jualan dinar dan dirham.