Showing posts with label Hindraf. Show all posts
Showing posts with label Hindraf. Show all posts

Sunday, July 19, 2009

Hindraf pun tak harapkan Pakatan Rakyat?

Sumber: mStar

Harapan terhadap PKR, DAP dan PAS berkecai!

Ini sebahagian daripada luahan perasaan pemimpin pertubuhan Hindraf, P. Uthayakumar dalam tulisannya yang dikeluarkan dalam bentuk buku setebal 114 halaman hari ini.

Kata beliau, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat itu kini mula mengabaikan kepentingan masyarakat India kerana dilihat sudah tiada kekuatan politik.

"Inilah hakikat politik yang kita lalui sekarang," kata beliau dalam bukunya bertajuk Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward yang dilancarkan sempena pengumuman penubuhan Parti Hak Asasi Manusia.

Kandungan buku itu dihasilkan ketika beliau berada dalam tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 514 hari di Kamunting, Taiping.

"Adalah jelas dan ketara bahawa apa yang PKR, DAP dan PAS mahukan daripada kita ialah hanya undi semata-mata.

"Ahli politik adalah ahli politik! Sejauh mana bezanya lima kerajaan negeri pimpinan PKR, DAP dan PAS berbanding bekas kerajaan negeri diterajui Umno ataupun kerajaan pusat Umno bagi (kepentingan) masyarakat India?" katanya.

Beliau memuatkan kekecewaan dengan prestasi Pakatan Rakyat yang didakwa tidak membantu masyarakat India dalam 10 halaman.

Katanya, selepas pilihan raya umum 2008 ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat yang sepatutnya dilihat sebagai "parti pelbagai kaum" telah mengabaikan kepentingan masyarakat India.

"Kini kita berhadapan dengan keadaan sebenar dan sudah bersedia untuk bercakap mengenai realiti politik.

"Kita perlu berhadapan dengan fakta ini. Sebagai contoh salah satu daripada 18 perkara yang dituntut ialah kesemua 523 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kuil, krematorium, lokasi pengebumian dan kawasan setinggan diduduki masyarakat India diberikan tanah kerajaan dan diwartakan dengan sewajarnya," katanya sambil menambah, keadaan sebaliknya berlaku sekarang.

Tambah beliau, "nampaknya PKR, DAP dan PAS tidak berminat untuk menyelesaikan mana-mana perkara yang dituntut itu walaupun beberapa bidang terletak seratus peratus di bawah kerajaan negeri".

Hindraf mengadakan perhimpunan di ibu negara dalam usaha mengetengahkan 18 tuntutan itu pada 25 November 2007 - lima bulan sebelum pilihan raya umum ke-12.

Gelombang kemarahan itu digunakan sebagai modal kempen oleh Pakatan Rakyat ketika pilihan raya umum Mac 2008 dan dilihat telah menyumbang kepada prestasi baik pembangkang yang menawan lima kerajaan negeri dan menindakkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Sunday, October 12, 2008

SELEPAS KURANG AJAR, HINDRAF CABAR SYED HAMID

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) bukan saja kurang ajar pada majlis sambutan Aidilfitri Perdana Menteri tetapi kini mencabar pula Menteri Dalam Negeri dan TV3agar menyiarkan rakaman lengkap rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri yang menunjukkan penyokong mereka biadap.

Dalam kejadian itu, kira-kira 800 penyokong Hindraf berpakaian kemeja-T jingga beratur seawal jam 11 pagi bersama ribuan pengunjung lain bagi menyerahkan kad ucapan Aidilfitri yang turut diselitkan dengan mesej supaya Perdana Menteri membebaskan pemimpin Hindraf yang dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keadaan dilaporkan "menjadi kecoh seketika" oleh akhbar-akhbar apabila mereka dihalang memasuki dewan jamuan di aras empat PWTC dan "melaungkan rasa tidak puas hati kerana menunggu terlalu lama untuk bertemu Perdana Menteri".

Polis pula dilaporkan terpaksa campur tangan polis untuk mengawal keadaan.

Hindraf, yang begitu sukar dan tidak pernah berpeluang berjumpa Perdana Menteri dikutuk oleh para pemimpin Umno khususnya kerana menyampaikan bantahan mereka ke atas penahanan tanpa bicara rakan-rakan mereka di bawah ISA di rumah terbuka itu.

Laporan Malaysiakini berkata Hindraf mencabar menteri dalam negeri dan TV3 menyiarkan rakaman lengkap rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri yang menunjukkan penyokong mereka biadap.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy juga mengecam Datuk Seri Syed Hamid Albar, stesen televisyen itu dan Utusan Malaysia berhubung laporan mereka yang mendakwa sedemikian.

Beliau, yang juga adik seorang lagi tokoh gerakan tersebut P Uthayakumar yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mendakwa dua media itu "sengaja mengapi-apikan semangat perkauman" terhadap Hindraf.

"Sekiranya benar tohmahan-tohmahan mereka, mengapa mereka tidak berani menayangkan gambar dan klip yang kononnya penyokong Hindraf bersikap biadap dan kurang ajar," katanya.

"Sebaliknya kami mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan yang perdana menteri, timbalan beliau dan ramai lagi menteri-menteri kabinet yang senyum panjang dan menerima salamam penyokong Hindraf dengan hati terbuka dengan semangat maaf zahir dan batin."

Apa menyebabkan mereka bersikap demikian? Jawapannya mudah. Orang Islam sendiri pun menyokong mereka.
Baca apa kata seperti disiarkan Harakahdaily, 5 Oktober lalu:

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tidak biadab apabila bertemu Perdana Menteri pada rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet beragama Islam Rabu lalu. Beliau berkata, tindakan penyokong Hindraf bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bukan sesuatu yang biadab dan perlu dipandang dari sudut positif.
"Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah... kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi... biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih... itu biasa... Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah.
"Kalau betul mereka tak mahu bagi Hindraf masuk, mereka boleh halang. Tetapi apa yang berlaku tidak ada polis yang halang. Tak ada masalah mereka jumpa Perdana Menteri macam tu... saya pun ada orang datang ke rumah. Kita kena lihat ia sebagai perubahan demokrasi di Malaysia, lagipun mereka tidak buat kecoh atau bertumbuk," katanya selepas berucap pada majlis perasmian Ijtima' Aidilfitri anjuran Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Badan Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu semalam.

Beliau meminta semua pihak melihat tindakan penyokong Hindraf bertemu Perdana Menteri pada majlis rumah terbuka itu sebagai demokrasi era baru.

Friday, October 10, 2008

MANA MAJLIS RAYA UMNO KELANTAN?

Seronok membaca laporan MSO mengenai Majlis Raya Pas Kelantan yang dihadiri lebih 20,000 orang.

Majlis sambutan Hari Raya Pas Kelantan bertempat di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV semalam itu meriah dan mencatat sejarah apabila turut sama dikunjungi para pelancong asing yang kebetulan sedang melancong ke Kelantan.

Bayangkan bagaimana mereka melihat ada yang berpakaian berjubah habis, berjubah setengah, berkopiah, berpakaian biasa dan ada juga yang hanya ber T-shirt.
Semua gambaran ini membuatkan Kijang tertanya-tanya, apa dah jadi dengan Umno?

Mana jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk rakyat Kelantan?
Apakah orang UMNO hanya sibuk dengan merebut jawatan?
Apakah Tan Sri Annuar Musa hanya ingatkan jawatan Naib Presiden sahaja?
Bayangkan betapa seronoknya majlis itu dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum; Cina, India, Orang Asli dan Siam.
Malah dikatakan kehadiran golongan muda masyarakat Tionghua sangat memberangsangkan.

Majlis itu anjuran Badan Perhubungan Pas Kelantan ia bermula jam 10:00 hingga menjelang Asar 4:00 petang.
Itulah, kalau kata pemimpin UMNO pentingkan diri dan kejar jawatan mereka marah.
Annuar pun buat sambutan Aidilfitri pada hari raya pertama senyap-senyap saja dan jemput tetamu tertentu sahaja.

Kenapa tidak dibuat di Pejabat UMNO Kelantan atau di padang kompleks sekolah Wakaf Mek Zainab macam pesta Islam Hadhari tahun lepas?
Orang MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain yang menyokong BN pun boleh diajak sama.
Takkan takut kat puak Hindraf? Mana ada penyokong Hindraf di Kelantan.
Sudah tidak ada peruntukan?
Pakat-pakatlah demi UMNO – kan orang UMNO banyak yang kaya daripada projek lebuh raya dan projek kerajaan Pusat yang lain.

Pengarah JPP Kelantan, Datuk Shukri Salleh mesti boleh atur punya....dia tahu siapa dapat kontrak dan siapa yang dapat banyak.
Musim perayaan seperti ini, sesekali kontraktor UMNO belanjalah rakyat Kelantan....Kesian Orang Kelantan!